Rabu, 14 Mac 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Kenyataan PenafianTidak Menjernihkan Pelbagai Persoalan Mengenai Intergriti Dan Ketelusan Perdana Menteri

Posted: 14 Mar 2012 06:54 AM PDT

Saya memandang serius kenyataan-kenyataan penafian yang dibuat tanpa disertakan bukti berhubung dakwaan salah guna kuasa Perdana Menteri yang ditimbulkan mutakhir ini. Walaupun saya mengalu-alukan kenyataan
yang dibuat oleh Shangrila Hotel, ada dua aspek yang mempersoalkan ketelusan Perdana Menteri dalam berdepan dengan rakyat:

1. Sehingga sekarang, tidak ada sebarang maklumbalas dari Perdana
Menteri mengenai 8 bukti yang sewajarnya diberikan kepada rakyat agar
sebarang keraguan dapat dirungkai secepat mungkin, seperti yang
disyorkan KEADILAN; dan

2. Perdana Menteri seolah-olah merasakan kenyataan penafian oleh
pejabat beliau dan Shangrila Hotel sudah memadai untuk memadamkan isu
ini.

Persoalan yang dibawa bukanlah semata-mata siapa yang menanggung kos majlis pertunangan tersebut, tetapi ketelusan dan operasi Pejabat Perdana Menteri yang sewajarnya mengasingkan di antara kepentingan peribadi dan tugasan umum. Perdana Menteri menjanjikan transformasi politik, ekonomi dan sosial sebagai jawapan kepada tuntutan rakyat agar rasuah dan salahguna kuasa pimpinan diperangi sehabis-habisnya; maka Perdana Menteri perlulah memberikan teladan yang baik bahawa segala urusan Pejabat Perdana Menteri bebas dari sebarang unsur salahguna kuasa dan pecah amanah.

Ini adalah piawaian integriti baru yang dituntut rakyat Malaysia.
Mungkin Perdana Menteri merasakan isu ini remeh, tetapi sikap Perdana
Menteri menangani isu ini membayangkan sama ada beliau betul-betul
ikhlas dalam menjalankan transformasi politik, ekonomi dan sosial
negara.

Sebab itu KEADILAN berpendapat masih banyak persoalan yang belum dijawab dalam hal ini, terutamanya apabila dibandingkan dengan satu lagi majlis peribadi yang menggunapakai khidmat Shangrila Hotel.

Pada hari Ahad 24 Julai 2011, Perdana Menteri telah mengadakan satu jamuan meraikan hari lahir beliau di Sri Perdana. Banquet Event Order (BEO) majlis tersebut diedarkan bersama-sama dengan kenyataan akhbar
ini.

Berdasarkan BEO tersebut, fakta-fakta berikut adalah tepat:

1. Tempahan turut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun
ia jelas adalah majlis peribadi Perdana Menteri;

2. Berbanding dengan majlis pertunangan anak beliau, majlis ini
dengan jelas menyatakan bahawa ia majlis peribadi Perdana Menteri. Ini
menimbulkan persoalan kenapa majlis pertunangan anak Perdana Menteri
tidak dinyatakan secara jelas sebagai majlis peribadi, sebaliknya
disebut sebagai "majlis Pejabat Perdana Menteri"?

3. Perdana Menteri membelanjakan sekitar RM79,053 untuk satu
majlis meraikan hari lahir beliau; pecahannya seperti berikut:

Buffet untuk 100 tetamu @ RM207 setiap seorang RM20,700

Band Syed Sobri @ RM7,300 + 6% cukai RM7,738

Band Batak @ RM5,000 + 6% cukai RM5,300

Minuman 5 gallons @ RM750 + 6% cukai RM795

Gubahan bunga @ RM30,000 + 6% cukai RM31,800

Ca pengendalian @ RM12,000 + 6% cukai RM12,720

JUMLAH RM79,053

4. Majlis tersebut menyajikan 47 juadah antarabangsa termasuklah
daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan
Barat dan lain-lain.

Oleh yang demikian, saya ingin mengajukan soalan-soalan berikut kepada Perdana Menteri jika beliau benar-benar telus dan ikhlas untuk menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia:

1. Bilakah beliau akan mengemukakan 8 bukti yang disyorkan
KEADILAN agar nama beliau dapat dibersihkan?

2. Dalam masa lebih kurang satu bulan, Perdana Menteri
membelanjakan setengah juta ringgit untuk dua majlis mewah di Sri
Perdana. Jika beliau bertegas ini dibayar oleh beliau sendiri,
bagaimanakah beliau mampu berbelanja sedemikian rupa sedangkan
pendapatan Perdana Menteri tidaklah seberapa?

3. Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung oleh rakan taulan yang
memberi tajaan, siapakah mereka ini dan apakah bukti Perdana Menteri
bahawa sumbangan kepada majlis peribadi tidak mempengaruhi apa-apa
keputusan beliau selama ini?

4. Wajarkah Perdana Menteri berbelanja besar sebegini untuk
majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia
mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan
dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini? Kos hampir RM800 setiap
tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang
diberikan kepada rakyat.

Perdana Menteri boleh sahaja tidak mengendahkan soalan-soalan ini, tetapi dengan bertanyakan soalan sebeginilah rakyat dapat membongkar pelbagai penyelewengan yang berlaku di dalam pengurusan dana awam NFC
sehinggakan Barisan Nasional terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat.

Perdana Menteri membuat keputusan tidak menyambung tempoh perkhidmatan Dato' Seri Shahrizat Jalil apabila persoalan moral bersabit integriti sebegini diajukan kepada Dato' Seri Shahrizat Jalil.

Apabila soalan-soalan yang sama diajukan kepada beliau sekarang, wajarlah beliau juga membuat 'pengorbanan' seperti yang dilakukan oleh Dato' Seri Shahrizat Jalil dengan menjawab satu persatu secara ikhlas dan telus, demi menjaga integriti kerajaan.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

14 MAC 2012

Azmin: Kenapa Dialog Berhad jadi ‘anak emas’ Petronas?

Posted: 14 Mar 2012 06:39 AM PDT

Keadilankini

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali hari ini mempersoalkan status syarikat Dialog Berhad yang disifatkannya kini menjadi anak emas kepada pengurusan tertinggi Petronas sehinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi projek berjumlah USD20 bilion kepada syarikat tersebut.

Kata beliau dalam membahas titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong di Parlimen, selain daripada Program Tranformasi Ekonomi (ETP), terdapat satu perancangan yang hanya mendatangkan keuntungan kepada syarikat korporat dan sebaliknya menekan nasib rakyat di bawah.

“Perdana Menteri dalam janji awalnya ketikan mengambil alih pentadbiran negara telah menyatakan bahawa "…the era where the government knows the best is over." Ini menjadi lanjutan kepada janji dengan mengadakan tender terbuka dalam projek-projek kerajaan yang melibatkan kepentingan rakyat dan kerajaan. Namun begitu, hal yang berlaku adalah sebaliknya,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mendesak agar kerajaan memberi penjelasan berhubung projek Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor di mana kerajaan telah mengumumkan projek bernilai USD20 bilion itu secara tergesa-gesa.

“Apakah mekanisme untuk menjamin ketelusan faedah jangka panjang dan prinsip value for money dalam proses penganugerahan kontrak ini? Daripada sumber kuat dalaman Petronas dan juga daripada masyarakat industri oil and gas , projek yang bernilai USD 20 bilion ini akan dianugerahkan kepada Dialog Berhad. Sekiranya maklumat ini benar, apakah hubungan Dialog Berhad dengan pengurusan tertinggi Petronas?” soal beliau.

Tambahnya lagi, Dialog Berhad sekarang dilihat sebagai anak emas kepada pengurusan tertinggi Petronas, tetapi apakah Petronas telah menjalankan kajian sepenuhnya dan juga risiko pengurusan memandangkan projek ini mempunyai nilai yang besar.

“Saya juga ingin mengetahui status pengambilan tanah untuk projek RAPID yang melibatkan 7 buah kampung dan lebih 900 keluarga. Apakah nilai pampasan yang dibayar kepada penduduk-penduduk yang terlibat dalam pengambilan tanah tersebut,” sambungnya lagi.

Pada Oktober 2011, Dialog Berhad telah dianugerahkan kontrak Tanjung Langsat Storage Tank Terminal Facilities di Johor dengan nilai hampir RM 400 juta. Dialog Berhad diberikan pegangan saham sebanyak 40 peratus sedangkan MISC hanya diberikan 33.3 peratus dan China Aviation Oil (Singapore) diberikan 26 peratus.

Menurut beliau lagi, Petronas juga telah menganugerahkan Risk Service Contract bagi Balai Pembangunan Balai Cluster Marginal Field kepada Konsortium yang terdiri daripada Dialog Berhad, Petronas Carigali dan Australia ROC Oil.

Anwar: Bimbang Rakyat Asing Diberi Hak Mengundi

Posted: 13 Mar 2012 08:37 PM PDT

Keadilankini

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melahirkan rasa kebimbangan apabila rakyat asing diberi hak warganegara serta dimasukkan dalam senarai pengundi baru kemudian diberikan hak mengundi.

Tambahnya lagi, berdasarkan maklumat terkini menunjukkan terdapat kecelaruan tentang ketelusan proses daftar pemilih setelah Mimos membuat kajian.

Tegas Anwar sebanyak 106,000 nama pemilih dipotong dan setakat ini seramai 100 nama pengundi diletakkan dalam satu alamat sebanyak 522 kes telah dikesan.

“Kita bimbang perkara ini tidak dibersihkan, maka daftar pemilih akan terus dipertikaikan,”katanya.

Sementara itu dalam isu berlainan, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, langkah mengadakan pilihan raya berasingan antara negeri dan pusat perlu mendapat persetujuan bersama.

“Untuk mengadakan pilihan raya berasingan kita perlu mendapat persetujuan bersama,” katanya.

Menurutnya lagi, keputusan Pakatan Rakyat akan membuat keputusan sama ada melaksanakan PRU-13 berasingan dengan kerajaan persekutuan selepas berbincang dengan semua menteri besar negeri yang ditadbirnya.

Menurut Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan menyelaraskan mesyuarat bersama semua menteri besar Pakatan Rakyat untuk mendapatkan kata sepakat.

“Mesyuarat itu akan dihadiri pemimpin negeri Pakatan Rakyat untuk mendapat kata sepakat tentang keputusan sama ada hendak ada pilihan raya berasingan dengan persekutuan,” katanya.

Keputusan bersama itu diputuskan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat yang berlangsung di Parlimen tengah hari tadi.

Turut sama menghadiri mesyuarat itu termasuklah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusof dan Timbalannya Dr Siti Mariah Mahmud.

Tiada ulasan: