Selasa, 20 Mac 2012

Angkatan Muda Keadilan Gelang Patah, Johor Darulta'zim

Angkatan Muda Keadilan Gelang Patah, Johor Darulta'zim


JANJI NAJIB SEMASA DI JOHOR

Posted: 20 Mar 2012 12:21 PM PDT


Peruntukan RM1 trilion dikatakan bakal disumbang Kerajaan Pusat kepada 
negeri Johor selepas Pilihan Raya Umum  Ke-13. Menurut sumber kerajaan 
negeri, ia akan digunakan untuk membiayai Koridor  Selatan; pembangunannya 
nanti dikatakan lebih hebat dan lebih canggih  daripada apa yang terdapat 
di Putrajaya. 


Antara lain projek yang akan dibangunkan adalah pembinaan monorel, LRT, 
landasan kapal terbang ringan, rangkaian lebuh raya mudah akses,  tasik dan 
masjid, serta kompleks mahkamah, stadium, terminal bersepadu utara serta 
mini Disneyland. 


Dalam kunjungan ke Johor baru-baru ini, Perdana Menteri Najib Razak 
mengumumkan suntikan dana RM200 juta kepada Iskandar Malaysia. Ia mungkin 
pendahuluan kepada peruntukan RM1 trilion yang dijanjikan beliau kepada 
Johor selepas PRU13 dengan syarat BN menang di negeri ini. 


Soalnya, jika benar maklumat ini, kenapa Najib sanggup menjanjikan 
peruntukan yang begitu besar kepada Johor. Apakah Johor negeri miskin 
seumpama Kelantan seperti didakwa Najib baru-baru ini, menyebabkan Kerajaan 
Pusat bersedia menyalurkan peruntukan terlalu besar itu? 


Semua maklum negara kita memang kaya, melalui hasil mahsulnya dan tidak 
terkecuali  mungkin juga sumber-sumber lain di luar pengetahuan rakyat, 
seperti "pemberian" Pulau Batu Putih dan beratus-ratus hektar tanah 
Keretapi Tanah Melayu (KTM) kepada Singapura serta penyerahan Blok 4 telaga 
minyak di Sarawak kepada Brunei? Ya, siapa tahu, 'kan? 


Logiknya, mana mungkin kerajaan Umno-BN berani menjanjikan peruntukan RM1 
trilion ini (hanya untuk satu negeri) jika tidak mempunyai sumber tambahan 
lain yang diyakini mampu "mengembungkan" kantung mereka? 


Apakah Najib merasakan kedudukan BN begitu tergugat sehingga memaksa 
beliau  menjanjikan peruntukan luar biasa banyaknya dengan harapan pemimpin 
Umno akan bekerja lebih keras bagi mempertahankan Johor tidak dirampas 
Pakatan Rakyat. 


Mungkin juga Najib sudah menghidu bunga-bunga kekalahan BN di kubu terkuat 
mereka yang menyumbang 26 kerusi Parlimen, lantas bagi memastikan igauan 
ngeri tidak menjadi kenyataan, maka beliau terpaksa berjanji bagi mendorong 
semua warga Umno-BN bekerja keras mempertahankan negeri kelahiran Umno ini. 


Bukanlah sesuatu yang sukar dibaca agenda tersembunyi di sebalik peruntukan 
RM1 trilion ini. Sudah pasti banyak pihak, termasuk pemimpin Umno Johor, 
yang akan mendapat laba lumayan daripadanya. 


Oleh kerana wang yang akan "dijahanamkan" untuk kepentingan politik Umno-BN 
ini adalah wang awam maka rakyat mesti bertanggungjawab menghalang 
kerakusan golongan  tidak berhati perut ini. 


Seluruh rakyat Johor khususnya orang Melayu mesti bertekad dan berazam 
menumbangkan BN pada PRU13  ini. RM1 trilion ini tidak mungkin diberi 
seandainya Johor dikuasai Pakatan nanti. 


Bagaimanapun jika BN masih berkuasa, bukan rakyat yang akan mendapat 
manfaatnya tetapi jerung serta lanun-lanun besar yang akan kenyang 
membahamnya  dan kehidupan rakyat menjadi lebih teruk apabila dipaksa 
"membayar balik" pelaburan yang dibelanjakan Umno-BN untuk menipu rakyat 
bagi mengekalkan kuasa. 


Mahu tidak mahu, Pakatan mesti berusaha menawan Nusajaya dan Putrajaya 
pada PRU13. Umno-BN mesti ditumbangkan jika kita  berhasrat hasil kekayaan 
negara  diagih secara adil dan saksama kepada seluruh rakyat tanpa mengira 
bangsa, agama dan fahaman politik. 


Tiada ertinya Umno-BN dinyahkan setakat di Johor sahaja sedangkan di 
peringkat Pusat masih berkuasa. Hanya dengan menguasai Putrajaya barulah 
akan berlaku perubahan besar-besaran ke atas landskap politik negara ini. 
Dan rakyat pula sudah tentu mendapat manfaat  sangat besar, yang selama ini 
dinafikan kerajaan Umno-BN sepanjang lebih 50 tahun berkuasa. 


Kuasa ada di tangan rakyat. Dan rakyat yang akan mencorakkan masa depan 
negara ini. Maka apa ditunggu lagi, ayuh bersama kita menumbangkan regim 
zalim Umno-BN pada PRU13. Jangan ragu-ragu lagi ... lakukanlah!

Tiada ulasan: