Jumaat, 23 Mac 2012

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Azmin dakwa Hasan Ali salah guna lebih RM800,000

Posted: 23 Mar 2012 02:40 AM PDT


SHAH ALAM: Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali didakwa menyalahguna wang kerajaan negeri mencecah lebih RM800, 000 untuk kegunaan program dan pengubahsuaian pejabat ketika menjadi exco kerajaan negeri Selangor,
Perkara itu didedahkan Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) ketika membahaskan usul titah Sultan Selangor dalam sidang dewan undangan negeri hari ini.
Azmin mendakwa Hasan yang juga exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, ketika itu berbelanja lebih RM500 , 000 untuk pelbagai program di bawah Perbadanan Adat Istiadat Melayu (PADAT).
Beliau juga mendakwa Hasan menggunakan RM300, 000 untuk mengubahsuai pejabat exco.
"Saya mendapat maklumat awal kerana jabatan audit telah menjalankan siasatan menyeluruh. Ia fakta dan bukan tuduhan. Tindakan beliau (Hasan) tidak boleh dimaafkan.
"Pembaziran ini jika dikaitkan dengan perjuangan dibawa Hasan (Islam, Raja, Melayu). Islam mana yang dibawa jika guna wang rakyat dengan tidak berhemah?" katanya kepada pemberita di luar lobi bangunan Annex, bangunan SUK Selangor

`Exco tidak bertanggungjawab'
Azmin turut menuduh Hasan sebagai exco yang tidak bertanggungjawab apabila membelakangkan dasar kerajaan negeri untuk mengamalkan tender terbuka.
Dakwa Azmin tindakan sedemikian adalah percubaan sabotaj yang dilakukan Hasan terhadap kerajaan negeri.
"Beliau sebagi exco membelakangkan dasar kerajaan negeri dengan menghantar terus senarai kontraktor kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melantik kontraktor menyelenggara jalan di Selangor.
"Perkara ini tidak dapat diterima kerana kerajaan negeri mempertahankan sistem tender terbuka dan telus. Sedangkan ada exco kanan sabotaj dasar ini. Maka tindakan tegas perlu di ambil seperti mana kenyataan saya sebelum beliau dipecat," katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa BN yakin merampas Selangor, Azmin berkata ia amalan biasa yang dilakukan seperti yang terjadi di Perak.


Sumber: Freemalaysiatoday

1Care: Kerajaan tidak belajar dari SBPA

Posted: 23 Mar 2012 01:30 AM PDT


KUALA LUMPUR, 23 Mac: Presiden PKR, Datuk Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoal tindakan kerajaan berhubung sesi penerangan 1Care yang hanya dibuat selepas dibantah rakyat.

Katanya, kerajaan seolah-olah tidak belajar dari rekod Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan dan kemudiannya dimansuhkan selepas dibantah rakyat.

"Sebagaimana disebutkan di dalam kenyataan kami sebelum ini, kami mempersoalkan jaminan Menteri Kesihatan sebagaimana rekodnya di dalam kontroversi Lynas.

"Seperti pengumuman BN yang lain contohnya SBPA, proses perundingan nampaknya dilakukan selepas mendapat kritikan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Azizah lagi, beliau juga menerima aduan-aduan daripada doktor-doktor yang terlibat di dalam perbincangan mengenai 1Care sebelum ini bahawa tiada proses rundingan dan dialog sebenar dan kerajaan nampaknya akan meneruskan 1Care.

Sebagaimana disebut di dalam kenyataannya sebelum ini, perbelanjaan kesihatan kerajaan sebanyak 2.2 peratus daripada KDNK pada 2008 adalah lebih rendah daripada cadangan WHO sebanyak 5 hingga 6 peratus.

WHO juga menganggarkan bahawa 20 hingga 40 peratus perbelanjaan kesihatan kerajaan dibazirkan kerana ketidakcekapan termasuk rasuah.

Justeru ujarnya, memperkenalkan 1Care tanpa mengatasi ketidakcekapan ini hanya akan membuka ruang untuk meningkatkan rasuah yang membebankan sistem kesihatan negara.

"Coraknya sama seperti penswastaan pelbagai sektor sistem kesihatan negara sepanjang dua dekad ini yang sepatutnya meningkatkan kecekapan tetapi sebaliknya hanya meningkatkan ketirisan.

"Ini termasuklah penswastaan Stor Perubatan Kerajaan, Hospital-Hospital Universiti, Jabatan Kardiologi dan Perkhidmatan Sokongan Hospital yang telah membawa peningkatan kos yang tinggi tanpa meningkatkan kecekapan," jelasnya.


Sumber: Harakahdaily

Umno jual 74 ekar tanah rizab Melayu

Posted: 23 Mar 2012 01:25 AM PDT


SHAH ALAM, 23 Mac: Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali mendakwa kerakusan Umno di kawasan Gombak menyebabkan 74 ekar tanah rizab Melayu di Sungai Sering telah dijual dan dipindah milik kepada Syarikat Triump City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian tanah di kawasan lain.

Dakwanya sewaktu membahas titah ucapan Diraja di Dewan Negeri Selangor, selain itu juga syarikat tersebut turut gagal membangunkan tanah berkenaan dan berdegil utuk menjelaskan bayaran premium tanah biarpun status tanah tersebut telah ditukar.

"Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat terpaksa merampas kembali tanah tersebut untuk menjaga kepentingan rakyat negeri Selangor.

"Ini satu amalan yang seringkali dilakukan oleh pentadbiran Umno dalam menguruskan tanah rizab Melayu ialah dengan menukarkan tanah rizab di kawasan bandar dan diberikan tanah di kawasan luar bandar yang bernilai jauh lebih rendah daripada harga tanah rizab yang asal," katanya.

Tambah beliau lagi, tindakan ini menyebabkan tanah rizab Melayu di Selangor susut nilai dan memberi impak kepada nilai aset orang Melayu, inilah amalah khianat Umno kepada orang Melayu di Selangor ketika mentadbir negeri ini.

"Kerajaan Pakatan Rakyat terbukti tidak menyalahgunakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

"Oleh itu, adalah diharapkan agar Kerajaan Negeri dapat merangka satu Pelan Strategik Pengurusan Tanah Rizab Melayu supaya dapat dibangunkan secara tersusun dan dipelihara supaya terus mengekalkan status tanah demi kepentingan generasi masa depan," sambung beliau lagi.

"Isu Tanah Rizab Melayu turut dibangkitkan dalam titah Tuanku Sultan dan saya menyambut baik nasihat Tuanku supaya Kerajaan Negeri memelihara Tanah Rizab Melayu," katanya

Beliau yakin kerajaan negeri akan mematuhi peruntukan perlembagaan berkenaan tanah rizab Melayu selaras dengan prinsip 'rule of law' dan semangat berperlembagaan.


Sumber: Harakahdaily

Tarikh PRU: Najib teruskan legasi 'PM penakut'

Posted: 23 Mar 2012 01:15 AM PDT


KUALA LUMPUR, 23 Mac: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang masih berteka-teki dengan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 disifatkan sebagai meneruskan legasi perdana menteri sebelum ini yang juga penakut.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia Sany Hamzan (gambar) berkata, Najib hanya nampak gagah perkasa seperti Badang tetapi sebenarnya seorang yang penakut dan bacul kerana masih lagi terus berahsia.

"Datuk Seri Najib meneruskan legasi ketakutan perdana menteri sebelum beliau untuk mengumumkan tarikh pembubaran parlimen kerana mereka semua tidak mempunyai keyakinan diri sendiri terhadap kekuatan jentera dan sokongan rakyat kepada mereka.

"Datuk Seri Najib hanya akan berani membubarkan parlimen setelah petunjuk sokongan telah 'solid' untuk Umno dan Barisan Nasional," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut Sany, Najib pada masa sama sebenarnya sedang melakukan kezaliman kepada parti-parti pembangkang kerana hanya pihak Umno dan Barisan Nasional sahajalah yang mendapat manfaat daripada merahsiakan tarikh tersebut.

Berbeza dengan negara yang dianggap kurang maju dari Malaysia seperti Thailand dan Indonesia, mereka juga lebih berani untuk mengumumkan tarikh pilihanraya mereka kepada rakyat supaya segala proses pengundian akan berjalan lebih lancar.

"Bahkan di Indonesia, Komisi Pemilihan Umum Republik Indonesia (seperti SPR) telah diberikan kuasa penuh untuk mengendalikan proses pilihanraya secara bebas tanpa campurtangan pihak kerajaan hingga te tahap pemilihan tarikh pengundian.

"Tetapi Malaysia yang dikatakan sebagai sebuah negara maju masih lagi memiliki seorang perdana menteri yang berfikiran kuno, sempit dan ketinggalan zaman," katanya.

Beliau berkata, biarpun Najib masih berahsia, Dewan Pemuda PAS telah mempersiapkan jentera mereka untuk berhadapan dengan pilihan raya pada bila-bila masa.

"Kita ingin memberi 'signal' kepada Umno dan Barisan Nasional walaupun mereka terus berahsia tentang tarikh pembubaran Dewan Rakyat tetapi pemuda PAS telah cukup bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum pada bila-bila masa," katanya.


Sumber: Harakahdaily

Kroni dapat RM589 juta, rakyat dapat RM500 je

Posted: 23 Mar 2012 01:10 AM PDT


KUALA LUMPUR, 23 Mac: Kroni Umno, Tan Sri Tajudin Ramli dapat RM589 juta sedangkan rakyat berpendapatan rendah sekadar mendapat RM500 sahaja, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini hari ini yang melaporkan, pengurusuan Danaharta Nasional Bhd melupuskan hutang Tajudin sebanyak RM589 juta sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah yang dicapai dengan beberapa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bulan lalu.

"Dengan segala riuh rendah yang tidak terkawal, rakyat berpendapatan rendah digula-gulakan dengan hanya RM500 sekali bagi sahaja.

"Pada masa yang sama, Tajudin boleh ketawa berdekah-dekah kerana sebesar RM589 juta diberikan percuma kepadanya," kata Mohamad.

Beliau menyifatkan kerajaan yang membelanjakan wang rakyat sesuka hati tanpa rasa bersalah adalah kerajaan yang sama sekali tidak bertanggung jawab.

"Kepada kroni itu bagi RM250 juta, kepada kroni ini pula RM589 juta.

"Itu kepada keluarga (Ketua Wanita Umno, Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) dan kepada Tajudin, bolehkah dipercayai isteri dan anak Perdana Menteri tidak dapat apa-apa?

"Bagaimana pula dengan pembesar Umno yang lain serta keluarga mereka? Adakah anak serta menantu perdana-perdana menteri sebelum ini tidak dapat apa-apa?" Mohamad mempersoalkan.

Beliau meminta rakyat berfikir, adakah selepas menang di dalam pilihan raya akan datang, para pemimpin Umno dan kroni-kroni mereka tidak akan berbelanja sesama sendiri dengan lebih ganas lagi selepas menang pilihan raya akan datang.

"Dalam pada hendak menghadapi pilihan raya pun tidak takut langsung dan tidak rasa bersalah sedikit pun kerajaan Umno menggasak RM589 juta untuk kroninya, bayangkan apabila menang pilihan raya nanti," Mohamad mengingatkan.

Pembantaian wang rakyat itu, katanya, belum lagi termasuk pelbagai penyiksaan ke atas rakyat yang dijangka akan "dihempuk" oleh Umno ke tas rakyat seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pemotongan pelbagai subsidi seperti subsidi minyak yang pasti diikuti kenaikan harga barang yang mendadak dan meruncing, kenaikan tarif dan palbagai penyiksaan lain.

"Satu-satu pilihan yang ada untuk mengelakkan pembantaian wang rakyat dan penyiksaan itu ialah memastikan Umno dikalahkan dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Penyelesaian luar mahkamah yang dicapai oleh Tajudin dengan beberapa GLC itu adalah berikutan persetujuannya untuk menarik balik rayuannya pada 7 Disember, 2009 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap beberapa litigan dan GLC termasuk Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporation, Celcom (M) Bhd, Atlan Holding Bhd dan Kumpulan CIMB Group.

Tiga tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Tajudin membayar jumlah berkenaan kepada Danaharta, jumlah wang yang beliau berhutang ketika pembelian kontroversi saham MAS pada tahun 1994, yang membuka jalan bagi hartawan untuk memiliki syarikat penerbangan nasional itu.

Pada masa yang sama, mahkamah juga membatalkan tuntutan balas RM13 bilion yang difailkan oleh Tajudin terhadap GLC berkenaan.


Sumber: harakahdaily

PSM saman 82 kerana 'salah tangkapan' EO6

Posted: 23 Mar 2012 01:05 AM PDT


Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini memulakan saman sivil terhadap 82 defendan, yang sebahagian besar mereka adalah anggota polis, kerana salah menangkap dan memenjarakan enam pemimpin parti itu secara tidak sah di bawah Ordinan Darurat (EO) tahun lalu.

Saman berkenaan difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh peguam Yudistra Piagam Dorai. Ia menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Keenam-enam pemimpin itu juga menuntut ganti rugi kerana dibelasah, pendakwaan yang berniat jahat, tidak ada alasan yang munasabah ketika ditangkap dan salah guna proses pejabat awam.

Semua mereka ditahan selama 28 hari di bawah EO atas sebab-sebab yang tidak dijelaskan semasa polis bertindak tegas ke atas kumpulan hak sivil dan parti-parti pembangkang yang merancang perhimpunan BERSIH 2.0 yang menuntut pembaharuan pilihan raya.

Keenam-enam mereka yang kemudiannya terkenal dengan jolokan EO6 adalah ahli parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj dan aktivis PSM Choo Chon Kai, Sarat Babu, M Sarasvathy, Sukumaran dan A Letchumanan.


Sumber: Malaysiakini

Hutang RM589 juta Tajudin dilupuskan

Posted: 23 Mar 2012 01:00 AM PDT


Tan Sri Tajudin Ramli tidak perlu membayar RM589 juta wang yang dihutangnya daripada Pengurusuan Danaharta Nasional Bhd kerana ia sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah yang dicapai dengan beberapa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bulan lalu.

Ini disahkan kepada Malaysiakini oleh sumber dalaman selepas ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua pada 15 Februari lalu mendakwa terdapat penyelesaian rahsia yang dicatatkan oleh Mahkamah Rayuan di antara bekas pengerusi Malaysia Airlines (MAS) dan beberapa GLC.

"Daripada sumber saya, saya boleh sahkan bahawa hutang itu telah dlupuskan sepenuhnya sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu. Saya tahu tentang ini daripada sumber dalaman. Penyelesaian ini menyebabkan negara serta merta kerugian RM589 juta," kata Pua kepada Malaysiakini bulan lalu.

Penyelesaian itu berikutan persetujuan Tajudin untuk menarik balik rayuannya pada 7 Disember, 2009 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap beberapa litigan dan GLC termasuk Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporation, Celcom (M) Bhd, Atlan Holding Bhd dan Kumpulan CIMB Group.

Tiga tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Tajudin membayar jumlah berkenaan kepada Danaharta, jumlah wang yang beliau berhutang ketika pembelian kontroversi saham MAS pada tahun 1994, yang membuka jalan bagi hartawan untuk memiliki syarikat penerbangan nasional itu.

Pada masa yang sama, mahkamah juga membatalkan tuntutan balas RM13 bilion yang difailkan oleh Tajudin terhadap GLC berkenaan.


Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan: