AMK KEDAH |
K’jaan jangan hipokrit tuduh pihak lain pro-Israel – Mapim Posted: 01 Mar 2012 11:41 PM PST KUALA LUMPUR 1 Mac: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan menghentikan sikap hipokrit dengan menuduh pihak lain sebagai pro-Israel, tetapi dalam masa sama terus menjalin hubungan dengan rejim itu, kata Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid. Menurutnya, pemimpin kerajaan bersikap hipokrit apabila bertindak demikian sedangkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sendiri menggunakan khidmat firma Israel, Apco Worldwide. "Sekarang perdana menteri tidak boleh lagi berselindung bahawa memang benar beliau telah mengupah Apco sebuah syarikat konsultan komunikasi Israel untuk membantu memperbaiki imej pemimpin BN. "Mapim menegaskan bahawa polisi yang tidak konsisten ini akan meletakkan imej Malaysia sebagai negara yang tidak berintegriti dalam hubungannya dengan Israel," kata Azmi dalam kenyataan hari ini. Beliau turut mengulas surat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad kepada tiga Perdana Menteri Israel – Yitzhak Rabin, Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak , yang membayangkan hasrat kerajaan pada masa itu menjalinkan hubungan dengan Israel. "Apakah pemimpin kerajaan dapat menafikan hakikat bahawa sejak zaman Tun Mahathir sendiri lagi isyarat untuk mengadakan hubungan dengan Israel sudah mula dirintis?," soalnya, yang turut dilaporkan Malaysiakini. Beliau menegaskan, rakyat selama ini dikaburi "sandiwara" kononnya Malaysia sama sekali tidak mempunyai hubungan dengan Israel, namun fakta yang didedahkan setakat ini menunjukkan sebaliknya. "Dunia akan melihat dasar hipokrit yang akan menelanjangkan Malaysia di kaca mata seluruh masyarakat antarabangsa," katanya yang juga Presiden NGO Teras Pengupayaan Melayu (Teras). Dari satu sisi, katanya, kerajaan Malaysia dilihat sangat lantang mengutuk Israel, namun dari sisi lain, kerjasama ekonomi sangat subur antara dua negara itu. "Dengan tidak mengiktiraf Israel tetapi aktif berdagang dengan Israel sudah cukup bagi Israel untuk menjadikan Malaysia sebagai negara rakannya yang strategik untuk menjaga kepentingannya dengan cara yang paling efektif," katanya lagi. Semalam, Harakahdaily melaporkan kerajaan Malaysia menjalinkan hubungan dagang dengan Israel sejak 2001, atau lebih awal dari itu. Pada 2001 sahaja, Malaysia dikatakan mengimport USD615.924 juta (RM1,847 juta) barangan Israel dan mengeksport USD26.553 juta (RM79.65 juta) barangannya ke negara itu dan nilai dagangan antara kedua-dua negara meningkat dari tahun ke tahun. |
MP BN BUAT TUNTUTAN PALSU..... Posted: 01 Mar 2012 11:34 PM PST SHAH ALAM 1 Mac: Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan penjara enam tahun dan denda RM400,000 terhadap anggota parlimen Sabak Bernam Abdul Rahman Bakri. Wakil rakyat BN itu didapati bersalah atas lapan tuduhan berhubung kesalahan membuat tuntutan palsu berjumlah RM80,000. Hakim Azhaniz Teh Azman menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 untuk setiap kesalahan. Abdul Rahman didapati bersalah melakukan perbuatan itu ketika menjadi ADUN Sungai Air Tawar, empat tahun lalu, lapor Bernama. Beliau juga dihukum penjara setahun sekiranya gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama. Hakim mengarahkan hukuman penjara itu berjalan serentak. Abdul Rahman, 47, diperintah membela diri Jun tahun lepas atas tuduhan menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat Adun mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan. Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cendera mata dan jamuan Program Motivasi Pelajar Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas. Abdul Rahman didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Jan dan 12 Feb, 2008. Bagi setiap pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama. Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Sementara itu di mahkamah sama, pembantu Abdul Rahman, Rosli Busro, 44, dikenakan hukuman sama iaitu penjara enam tahun dan denda RM400,000 kerana bersubahat dengannya untuk melakukan kesemua kesalahan itu. |
You are subscribed to email updates from ANGKATAN MUDA KEADILAN KEDAH To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan