The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Pelancaran "BANTAH' di Felda Jenderak Selatan Posted: 23 Feb 2012 08:49 PM PST BANTAH iaitu gerakan membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holding Berhad akan dilancarkan di PKR Cabang Kuala Krau pada 8hb Mac 2012 sempena lawatan YB Pn Zuraida Kamaraddin ke Felda Jenderak Selatan pada 8hb Mac 2012. Lawatan Pn Zuraida akan bermula dari jam 10.00 pagi dengan walk-about di Felda Jenderak Utara dan Felda Jenderak Selatan. Beliau akan disertai oleh pasukan Wanita dari Negeri Pahang dan Cabang Kuala Krau. Di dalam walk-about itu Ketua Wanita PKR Pusat itu akan turut menziarahi 30 buah rumah dimana kedapatan golongan OKU, dhaif, ibu tunggal dan mereka yang sedang diserang penyakit untuk menyampai sumbangan dari beliau. Pada jam 5.00 petang pula, satu Majlis untuk penyokong-penyokong PKR akan diada di Rumah Sdr Nawi di Felda Jenderak Selatan bersama-sama YB Zuraida, dan di tempat yang sama akan diadakan Majlis ceramah pada jam 9.00 malam. Penceramah-penceramah lain yang turut diundang adalah Sdr Shamsul Iskandar, Ketua AMK PKR Pusat, Sdr Abd Rahman Ramli, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Sdr Rebin Birham, Setiausaha Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, dan Sdr Pak Jabit @ Man Kadir, Timbalan Ketua PKR Cabang Temerloh. Pelancaran BANTAH akan disempurnakan semasa Majlis Ceramah itu, semua para hadirin akan menandatangani Memorandum Bantah yang akan disampaikan kepada Perdana Menteri dan juga menandatangani Kain Putih yang akan direntangkan semasa berlangsungnya penyerahan Memorandum Bantah kepada Perdana Menteri pada 30hb Mac 2012. Orang ramai dijemput menghadiri Majlis Pelancaran BANTAH. |
Pendapatan sebenar, hutang dan tanam semula bagi peneroka-peneroka Felda Posted: 23 Feb 2012 07:19 PM PST Pada 22hb Februai 2012, saya telah dijemput oleh Sdr Nizam Hamid, Ketua PKR Cabang Temerloh memberikan taklimat kepada peneroka-peneroka Felda Bukit Damar mengenai isu-isu yang menghantui peneroka-peneroka Felda dan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh peneroka-peneroka Felda terhadap Felda. Peringkat awalnya ada juga desas desus menyatakan bahawa sebagai peneroka-peneroka Felda maka amat tidak patut mereka menyaman Felda. Ini menandakan bahawa peneroka-peneroka tidak tahu bersyukur. Setelah mereka memperolehi rahmat dan menfaat dari Felda maka kini mereka mahu menyaman Felda pula. Sepintas lalu pandangan ini seolah-olah menggambarkan kebenaran. Tetapi apabila dikaji secara terperinci, sepatutnya Felda dan Kerajaanlah yang sepatutnya berterima kasih kepada peneroka-peneroka Felda dan tidak sebaliknya. Saya bentangkan dengan cara yang mudah bahawa apabila peneroka-peneroka menyertai sesebuah rancangan Felda, mereka disediakan 10 ekar tanah kebun, suku ekar tanah kampong, peneroka-peneroka hanya datang dengan "basuh kaki" sahaja. Begitu mudah, bunyinya. Hakikat sebenarnya ialah setiap peneroka itu dikenakan pinjaman yang turut dikenakan faedah. Selain dari hutang itu setiap peneroka juga dikenakan potongan pendapatan masing-masing didalam berpuluh item bagi menampung pembangunan didalam rancangan yang ia diami. Diantara item terbesarnya juga ialah membayar potongan bulanan untuk "kos tanam semula". Ini menjadikan peneroka-peneroka Felda sebagai manusia yang unik kerana terbeban keatas bahu mereka semua kos pembangunan yang dijalankan didalam rancangan Felda, tidak seperti manusia yang duduk di kampong atau di bandar. Tidak ada perkara yang "free" yang diterima oleh peneroka-peneroka Felda melainkan air hujan, udara dan angin. Setelah mereka selesai membayar hutang "pertama" ini didalam jangka masa 15 hingga 20 tahun, mereka dikehendaki menjalani proses tanam semula. Peneroka-peneroka yang bijak menjalankan Tanam Semula secara bersendirian untuk mengelakkan dari hutang baru dibebankan keatas mereka. Tetapi kepada golongan majoriti, mereka menyerahkan kerja-kerja tanam semula kepada Felda atau kepada Felda Technoplant, sebuah anak syarikat Felda. Bagi mereka yang menanam semula melalui Felda, mereka dikenakan hutang termasuk hutang elaun sara hidup. Kebun mereka dibersihkan oleh Felda, dan Felda bertanggungjawab menggali lobang, menanam kekacang, membekalkan baja dan racun dan menyediakan elaun sara hidup. Peringkat awal, mereka merasakan kehidupan mereka menjadi sangat istimewa kerana mereka tidak perlu membuat sebarang kerja bagi menjayakan kebun masing-masing, maka timbullah perbualan mengatakan bahawa mereka hidup aman damai dengan tidak perlu kerja, mereka boleh minum teh pagi di kedai, makan tengah hari di kedai dan makan malam di kedai dengan cara goyang kaki sahaja. Setiap bulan setelah kebun mereka mengeluarkan hasil, mereka dibayar elaun sara hidup sebanyak RM1500.00 (gross). Seronok hidup mereka. Dan mereka menzahirkan rasa kasihan kepada peneroka-peneroka yang tanam sendiri. Terpaksa buat kerja di kebun, membersihkan kebun, membaja, meracun, membuat pruning, dan menuai buah-buah sawit bersendirian. Alangkah letihnya mereka itu, dan alangkah "bodoh"nya mereka itu! Setelah 8 tahun tanam semula dijalankan peneroka-peneroka yang tanam semula melalui Felda itu mulalah merasa resah gelisah, gundah gulana, mula melahirkan rasa kesal, barulah terasa bahawa selama ini mereka telah dipermainkan. Mereka mendapati bahawa mereka sudah berhutang dengan Felda berpuluh-puluh ribu ringgit. Ada yang RM90,000.00, ada yang RM100,000.00 dan tak sangka di Felda Jelai 2, peneroka-peneroka sudah berhutang dengan Felda sebanyak RM200,000.00 sedangkan umur masing-masing kesemuanya sudah berada didalam lingkungan 60 tahun - 70 tahun. Menangis tidak ada guna lagi. Rakan-rakan mereka yang tanam sendiri berpendapatan melebihi RM5000.00 sebulan, ada yang dapat sehingga RM10,000.00 sebulan, mereka tidak menanggung sebarang hutang, sekarang mereka yang tanam sendiri boleh mengupah boroh-boroh dari Indonesia menuaikan buah sawit mereka, dan pendapatan mereka tetap juga tidak jatuh dari RM5,000.00 sebulan. Maka kini berlakulah perubahan pemikiran. Peneroka-peneroka yang tanam semula melalui Felda itu sudah mula "merampas" kebun mereka, mereka tidak mahu lagi Felda menguruskan kebun mereka. Walaupun mereka sudah dikenakan hutang yang begitu besar, mereka rela mengambil alih semula kebun mereka kerana apabila mereka menjalankan kerja sendiri, mereka boleh berpendapatan lebih dari RM5,000.00 sebulan, dan hutang mereka tidak bertambah lagi. Kepada golongan ini, saya menasihatkan kepada mereka supaya berhenti membayar hutang mereka kepada Felda kerana sesungguhnya mereka tidak berhutang dengan Felda malah Feldalah yang berhutang dengan mereka. Setelah dibuat kira-kira pendapatan dan tanggungan setiap seorang dari mereka itu adalah didapati bahawa Felda terhutang dengan mereka tidak kurang dari RM150,000.00 setiap seorang. Maka, sesungguhnya Feldalah yang kena membayar kepada peneroka-peneroka itu dan bukanlah sebaliknya. Saya terangkan isu-isu seperti tuntutan peratusan perahan KPG yang apabila dibuat kira-kira didapati bahawa setiap peneroka boleh menuntut hingga RM500,000.00 setiap seorang daripada Felda kerana mereka telah dimanipulasi peratusan perahan hingga wujud perbezaan sebanyak 5% hingga 10%, dan dengan perbezaan ini, Felda telah memanipulasikan pendapatan peneroka hingga RM500,000.00. Maka apalah sangat imbuhan yang dijanjikan oleh Felda untuk memberikan Cess sebanyak RM13,000.00 atau MPOB sebanyak RM4,000.00 atau BRIM RM500.00 atau suapan penyenaraian sebanyak RM20,000.00. Kini sudah terkumpul lebih kurang 300 orang daripada Felda Mempaga 1, 2 dan 3 peneroka-peneroka yang sudah menandatangani borang Waran Untuk Bertindak melantik peguam bagi memfailkan saman terhadap Felda berhubung isu peratusan perahan KPG, dan lain-lain tuntutan berkenaan dengannya, jumlah ini akan diikuti pula oleh peneroka-peneroka Felda Bukit Damar dan Felda Sertik. Sebaik sahaja jumlah itu mencecah 500 orang, maka Tuntutan terhadap Felda akan difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh. Peneroka-peneroka Felda Bukit Damar pada malam itu telah pun menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak bagi mengumpulkan peneroka-peneroka yang akan bersama-sama mereka. Tindakan ini bukan merupakan tindakan politik, dan peneroka-peneroka tanpa mengira parti politik boleh menyertainya bagi menuntut hak peneroka-peneroka yang selama berpuluh tahun ini sudah dimanipulasikan pendapatan mereka oleh Felda. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan