Selasa, 21 Februari 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Semua Masyarakat Peneoka Felda dikehendaki menyerahkan kad pengenalan masing-masing kepada Felda

Posted: 21 Feb 2012 06:29 PM PST

Semalam semasa menghadiri ceramah Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail di Dataran Niaga Felda Palong 4, 5 dan 6, seorang peneroka Felda, En. Tangga telah menemui saya dengan membawakan beberapa dokumen mengenai Mesyuarat Khas Koperasi Permodalan Felda yang dijadualkan akan berlangsung pada jam 3.00 petang 22hb Februari 2012.

Beliau adalah seorang perwakilan di Mesyuarat Khas itu. Dari apa yang beliau fahamkan setiap peneroka Felda di seluruh Negara dikehendaki menyerahkan salinan fotostat kad pengenalan masing-masing kepada Felda, setiap rancangan Felda akan diuruskan oleh Pengurus Felda setempat.

Mengikut kata Tangga, tujuan supaya peneroka-peneroka menyerahkan kad pengenalan itu untuk memudahkan Felda membuat bayaran sebanyak RM10,000.00 hingga RM20,000.00 berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holding Berhad.

Tetapi mengikut kata Tangga bahawa itu bukanlah tujuan sebenar kenapa setiap peneroka Felda perlu menyerahkan fotostat kad pengenalan masing-masing kepada Felda. Beliau memahamkan bahawa tujuan sebenarnya adalah untuk propaganda bahawa semua peneroka-peneroka Felda bersetuju dengan penyenaraian itu dengan kononnya peneroka-peneroka telah dengan rela hati menyerahkan fotostat kad pengenalan mereka tanda persetujuan mereka.

Tangga menyatakan bahawa jika Felda hanya sekadar mahu membayar kepada peneroka-peneroka sejumlah wang berikutan penyenaraian FGVHB itu, Felda tidak perlu kepada fotostat kad pengenalan itu kerana semua butiran peribadi peneroka-peneroka sememangnya ada tersimpan didalam rekod Felda.

Saya telah diserahkan dokumen Mesyuarat Agung Khas KPF itu dan didalamnya mengandungi usul-usul yang apabila diperhalusi bahawa pemilik-pemilik saham KPF akan kehilangan segala-galanya kerana saham-saham KPF akan dijual kepada Felda untuk dilaburkan melalui sebuah syarikat yang baru diwujudkan yang tidak memiliki sebarang harta atau modal tunai bernama IHC, Investment Holding Company. Syarikat inilah yang akan memegang saham KPF dan mewakili KPF didalam FGVHB.

Pemegang-pemegang saham KPF tidak dibenarkan melabur secara langsung didalam FGVHB, jika berlaku keuntungan maka IHC lah yang mendapat faedahnya, tetapi jika berlaku kerugian, pemegang-pemegang sahamlah yang akan menanggungnya.

Felda betul-betul memperjudikan nasib masa depan KPF dan pemegang-pemegang sahamnya. Semakin hari semakin jelas bahawa penyenaraian FGVHB ini hanyalah untuk kepentingan penjawat-penjawat atasan Felda dan mereka yang berkepentingan didalam politik. Mereka itu akan benar-benar mendapat Durian Runtuh dengan memperolehi ratusan juta ringgit manakala peneroka-peneroka akan mendapat sedikit imbuhan penyejuk hati.

Adakah tujuan penyenaraian itu kelak akan memberikan satu jumlah wang yang besar kepada Politik UMNO untuk digunakan menanggung kos Pilihanraya UMNO/BN? Marilah kita ikuti perkembangan penyenaraian ini secara yang lebih dekat dan telus.

Sementara itu KPF telah memberi Notis bahawa Mesyuarat Agung Khasnya pada jam 3.00 petang 22hb Februari 2012 terpaksa dibatalkan kerana behadapan dengan Injunksi yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan bertarikh 17hb Februari 2012.

Injunksi itu melarang pelupusan harta benda KPF dari disalurkan kepada FGVHB untuk penyenaraian. Dan inilah Injunksi kali kedua yang telah diambil oleh Peneroka-Peneroka Felda melarang Mesyuarat Agung Khas KPF, dan tarik tali ini tidak akan terhenti disini.

Tidak syak lagi Negeri Sembilan akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat

Posted: 21 Feb 2012 11:45 AM PST

Sudah hampir 2 tahun saya berulang alik dari Temerloh ke DUN Palong didalam kawasan Parlimen Jempol. Saya hadir ke Palong diatas undangan Sdr Rebin Birham yang diamanahkan oleh PKR Negeri Sembilan untuk menggerakkan jentera parti.

Rebin Birham adalah Naib Ketua PKR Cabang Jempol dan bekas calon PKR di DUN Palong. Dari sudut hubungan saya dengan Rebin, beliau adalah Setiausaha Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal. Seorang Setiausaha yang sangat dedikated. Sukar mencari Setiausaha seumpama ini. Dedikated dan bertugas dengan penuh disiplin. Beliau juga kini dilantik sebagai Penyelaras, Sekretariat Task Force Felda Negeri Selangor.

Pada peringkat awal saya menghadirkan diri ke Felda Palong, dan didalam setiap aktiviti yang diadakan, jumlah hadirin terkadang kala hampir sama ramai dengan jumlah penceramah yang hadir.

Tetapi Rebin tidak pernah jemu. Saya turun ke Palong setiap minggu kadang-kadang lebih dari 2 kali satu minggu. Saya sudah anggap kawasan DUN Palong ini sebagai satu kawasan yang menjadi sebahagian daripada DUN Jenderak, iaitu di tempat saya memberikan tumpuan kerja.

Saya lihat cara-cara Rebin mengorganisir parti di Palong hampir sama dengan cara saya melakukannya di DUN Jenderak. Kedua-dua kawasan ini, Palong dan Jenderak adalah dua-dua kawasan yang sukar. Palong adalah 100% melibatkan kawasan Peneroka Felda; manakala Jenderak pula adalah kawasan yang melibatkan lebih 95% penduduk Melayu.

Dengan kerja yang saya dan Rebin curahkan di kawasan masing-masing, dan jika lah, kawasan DUN Palong dan DUN Jenderak ini dihuni oleh 10% pengundi-pengundi Cina, nescaya kedua-dua kawasan sini sudah dapat menumbangkan UMNO/BN dari peringkat awal lagi. Kami menumpukan kepada gerak kerja politik di kawasan kami sepenuh masa.

Kami lakukan kerja-kerja massa, kerja-kerja parti, kerja-kerja sosial, kerja-kerja kebajikan dan kami curahkan apa yang ada untuk memperkukuhkan gerakan parti di kawasan kami. Rasanya, sukar nak dicarikan pergerakan yang begitu tersusun daripada 2 kawasan DUN, Jenderak dan Palong ini.

Setelah bertungkus lumus di Palong selama hampir 2 tahun ini, gerakan yang dibawakan oleh Rebin menampakkan perubahan yang segar. Tiba-tiba berlaku perubahan angin dikalangan peneroka-peneroka Palong. Ranting-ranting mula ditubuhkan. Ahli-ahli UMNO dan atas pagar mulai menyertai Parti Keadilan Rakyat. Di sesetengah rancangan Felda di Palong seperti Palong 6 dan 4, sudah tidak ada lagi anak muda yang masih mahu tinggal bersama UMNO.

Di kawasan Palong 4, 5, 6 ini sudah berlaku transformasi dan penghijrahan yang besar. Ratusan anak muda menyertai PKR. Mereka tubuhkan Ranting PKR di Palong 4, 5 dan 6, dengan keahlian yang begitu ramai.

Palong 7 dan 8 turut menubuhkan ranting-ranting PKR. Palong 9 - Ranting PKR ditubuhkan oleh ahli-ahli UMNO yang keluar dari parti itu.

Setiap kali berlaku aktiviti di mana-mana Palong di kawasan DUN ini, pasukan gotong royong yang begitu ramai menaikkan bendera dan banner. Kalau dulu tidak ada bendera, jauh sekali banner PKR yang boleh dipasang lebih dari 10 minit. Bendera-bendera, poster-poster dan banner-banner itu akan diturunkan oleh UMNO dan kebanyakannya akan dimusnahkan. Tetapi tidak lagi berlaku kini.

UMNO sudah menjadi sukar untuk merosakkan bendera-banner-poster PKR kerana kaki upah UMNO yang melakukan kerja-kerja jijik itu sudah sedar dan mereka sudah berduyun-duyun menyertai PKR.

Apabila Azmin Ali, Saifuddin Nasution dijemput ke Palong, ratusan manusia sudah mulai turun meraikan ceramah mereka. Tetapi pada hari ini jumlah manusia yang sama boleh hadir dengan tidak perlu menurunkan penceramah-penceramah besar. Tetapi apabila Dato Seri Anwar Ibrahim didatangkan ke Palong, ribuan manusia menghadirkan diri. Dan mereka itu datang dengan motorsikal, menandakan bahawa mereka itu adalah orang Palong. Cukup berbeza jika di kawasan ceramah itu dipenuhi oleh kereta-kereta kerana itu menandakan kehadiran adalah dari orang-orang jauh yang mungkin dari kawasan-kawasan pengundian yang jauh.

Pada hari ini, apabila Dato Seri Wan Azizah diturunkan ke Palong di Dataran Niaga Palong 4, 5 dan 6, saya cukup terperanjat dengan kehadiran yang begitu ramai dari penduduk Palong.

Diantara sebab-sebab peneroka-peneroka Palong secara tiba-tiba dan mendadak menyokong PKR kerana tindakan dari Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal dengan khidmat peguam-peguam PKR yang memberikan khidmat undang-undang kepada peneroka-peneroka yang menghadapi masalah.

Tidak kurang dari 5 kes telah difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban melibatkan pembelaan terhadap peneroka-peneroka Felda yang terdiri daripada ahli-ahli UMNO berhubung isu kayu getah yang harganya telah dimanipulasikan oleh Felda dan JKKR. Peguam-peguam UMNO tidak mahu bertindak kerana manipulasi harga kayu getah ini melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat cawangan-cawangan didalam Palong.

Juga isu Injunction yang difailkan oleh Kontraktor yang dilantik oleh Felda yang ditentang oleh Peneroka-Peneroka telah diputuskan oleh Mahkamah dengan memihak kepada peneroka-peneroka.

Berlaku juga pemecatan peneroka yang diputuskan oleh Mahkamah bahawa pemecatan itu adalah salah, memberikan semangat kepada peneroka-peneroka bahawa Felda dan UMNO selama ini mengugut peneroka-peneroka dengan pemecatan dan Mahkamah telah memberikan jawapan bahawa ugutan dari Felda dan UMNO itu sudah tidak berharga lagi.

Peneroka-peneroka Felda Palong 4, 5 dan 6 pula memfailkan tuntutan di Mahkamah bagi menuntut bayaran lebihan pendapatan yang tidak dikembalikan oleh Felda kepada peneroka-peneroka.

Kesemua ini boleh berlaku kerana gerak kerja yang dijalankan oleh Sdr Rebin, Sdr Kumar melalui Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR.

Program PKR Palong malam tadi (21.2.12) menampakkan satu kekuatan yang begitu nyata. Dan kiranya trend ini berterusan, saya sendiri tidak nampak lagi Palong tidak boleh direbut dari BN/UMNO.

Negeri Sembilan hanya memerlukan 3 sahaja lagi kawasan DUN untuk dimenangi untuk membolehkan Pakatan Rakyat mentadbirkan Negeri itu. Dan Palong merupakan salah satu daripada kawasan DUN yang boleh membantu hasrat Pakatan Rakyat itu.

Dengan kebangkitan hingga 83% undi Cina menyokong Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan, tidak ada sebab lagi untuk Pakatan Rakyat tidak boleh mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan. Undi Melayu dan India juga sedang berubah, dengan perubahan yang lebih nyata dari kalangan pengundi-pengundi Cina yang begitu besar, saya tidak syak lagi bahawa Negeri Sembilan akan gugur dari UMNO/BN untuk menaikkan Pakatan Rakyat!

Tiada ulasan: