Isnin, 20 Februari 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


500 orang lagi Peneroka dari gugusan Keratong mahu menyaman Felda

Posted: 20 Feb 2012 05:17 PM PST

Semasa saya hadir ke Felda Keratong 8 untuk menyambut ketibaan Dato Seri Anwar Ibrahim yang melawat rancangan Felda itu, saya telah didatangi oleh seorang peneroka yang menggelarkan dirinya sebagai Din, meminta tarikh yang sesuai dari saya untuk turun ke salah satu dari rancangan Felda Keratong 1 - 5, kerana beliau mahu mengumpulkan 500 orang lebih peneroka-peneroka dari Keratong 1 - 5 supaya dapat diadakan satu Majlis Dialog kearah tindakan memfailkan saman mengenai manipulasi peratusan perahan KPG.

Din menyatakan bahawa beliau telah pun menyenaraikan lebih dari 500 orang peneroka yang telah bersetuju untuk memfailkan saman tersebut.

Saya dengan segeranya menghubungi peguam-peguam dari Parti Keadilan Rakyat iaitu Sdr Sivarasa Rasiah, Sdri Latheefa Koya dan Sdr T. Kumar untuk mendapatkan tarikh yang sesuai dari mereka untuk turun ke Keratong dan mengadakan dialog dengan peneroka-peneroka yang bakal terlibat dengan tindakan saman itu.

Sebelum ini lebih kurang 600 orang peneroka-peneroka dari Gugusan Keratong di luar Keratong 1 - 5, telah mengadakan Dialog dengan peguam-peguam PKR dan menyerahkan senarai mereka yang bersetuju memfailkan saman terhadap Felda.

Pemfailan saman bagi golongan itu sedang diproses dan akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan sebaik sahaja dokumen-dokumen untuk pemfailan selesai diperbuat.

Negeri Pahang menyaksikan jumlah yang teramai dari rancangan-rancangan Felda seluruh Negara yang menyaman Felda.  Di Rancangan-Rancangan Felda Gugusan Jengka di luar DUN Jengka menyaksikan 1,186 orang peneroka menyaman Felda.  Di kawasan Parlimen Bera seramai lebih 500 orang terlibat.  Di DUN Chini lebih dari 700 orang Peneroka terlibat.

Di kawasan Panching, sudah terkumpul lebih dari 200 orang peneroka-peneroka yang bakal menyaman Felda dan mereka sedang menjalankan tugas untuk mengumpulkan sehingga 500 orang sebelum satu Majlis Dialog akan diadakan disana bagi menerangkan proses-proses memfailkan saman.

Didalam keadaan peneroka-peneroka menerima ganjaran BRIM RM500.00, didalam keadaan mereka menerima RM4000.00 dari MPOB dan kini dijanjikan sebanyak RM10,000.00 selaras dengan usaha Felda dan Kerajaan menyenaraikan FGVHB ke Bursa Saham Kuala Lumpur, peneroka-peneroka tetap mahu memperjuangkan hak mereka kerana peratusan perahan KPG mereka telah dimanipulasi, dan kerugian setiap peneroka adalah melebihi RM300,000.00.

Apa yang menjadi hak peneroka, pasti peneroka mahu menerimanya dan mereka sanggup berjumpa di Mahkamah bagi menuntut hak mereka!

UMNO memulakan keganasan

Posted: 20 Feb 2012 04:43 PM PST

Beberapa bulan yang lalu, ceramah Sdr Azmin Ali di Pagoh (di Bukit Kepong) telah diganggu dengan jeritan, sorakan, dan rempuh masuk oleh segolongan pemuda yang mengganas.  Setelah ceramah itu selesai, kami terpaksa meninggalkan majlis itu dengan di eskot keluar oleh pihak polis.

Tidak lama selepas itu, ceramah yang diadakan oleh PKR di Felda Maokil dimana saya menjadi penceramah utamanya terpaksa diberhentikan kerana telah diganggu dengan cara yang demikian rupa  ia menjadi tidak dapat diteruskan langsung.

Di kedua-dua lokasi itu terdapat ramai pihak polis yang bertugas terutama sekali di Bukit Kepong.  Namun, pihak polis yang bertugas tidak mengambil apa-apa tindakan.  Polis tidak mengambil tindakan menangkap mana-mana pengacau yang mengganas itu.

Senario mengganas oleh kumpulan Melayu ekstrim ini adalah fenomena baru didalam senario politik tanah air. Kalau terdahulu dari ini, ceramah-ceramah politik yang dianjurkan oleh Pembangkang diganggu oleh pihak polis, tetapi di akhir-akhir ini, taktik gangguan ini mulai berubah.  Polis nampak tidak lagi mengganggu ceramah-ceramah Pembangkang, tetapi gangguan itu didatangkan oleh samseng-samseng yang diupah dan berlaku dihadapan kehadiran polis yang ramai yang tidak melakukan apa-apa tindakan.

Negeri Johor merupakan Negeri yang paling banyak menyaksikan gangguan gangguan daripada samseng-samseng ini.  Di hampir semua ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat semasa PRK Tenang dulu diganggu oleh puak-puak ini.  Dan semua gangguan itu berlaku dihadapan pihak Polis yang beruniform.

Di akhir-akhir ini pula di kesemua kawasan ceramah yang dianjurkan oleh PR, UMNO/BN akan meletakkan bendera parti itu dengan lebatnya sehingga memenuhi tempat-tempat lokasi ceramah itu sendiri.  Banner-banner yang dipasang oleh mereka berupa probokatif tetapi dengan laporan polis yang dibuat pun banner-banner itu tetap kekal tidak diturunkan.

Adakah senario baru ini suatu rancangan dari UMNO/BN bagi menghadapi ceramah anjuran PR?  UMNO/BN akan membuat probokasi dengan mengupah samseng-samseng yang akan membawa bendera UMNO/BN dan mengacau ceramah-ceramah PR dengan membaling batu, kayu, telur busuk dan botol-botol air?

Samseng-samseng ini juga membawa kayu dan belantan dan memukul para hadirin dan merosakkan kenderaan-kenderaan terutamanya yang membawa penceramah-penceramah utama.

Dato Seri Anwar Ibrahim telah diserang oleh samseng-samseng ini di Semberong. Kenderaan yang membawa Dato Seri Anwar telah mengalmi kerosakan, cermin kereta pecah dan pintu kereta kemik.

Sebelum itu mereka yang menghadiri ceramah anjuran ABU-Hindraf telah diserang dan berlaku kecederaan.  

Malaysia bukan lagi boleh berbangga dengan gelaran Negara demokrasi, tetapi sebuah Negara yang sedang membunuh demokrasi yang dilakukan oleh parti yang memerintah.

Dan jika pihak Polis terus membiarkan keadaan ini, apatah lagi bersekongkol dengan tindakan ganas ini, maka demokrasi akan runtuh dan Negara ini akan menempatkan anarki dan undang-undang tidak akan berguna lagi! 


Dengan masyarakat Cina memihak kepada Pembangkang

Posted: 20 Feb 2012 05:32 AM PST

Kemenangan besar parti-parti didalam Pakatan Rakyat didalam Pilihanraya Umum ke-12 pada Mac 2008 lalu antara lainnya kerana perubahan sikap pengundi-pengundi bukan Melayu yang tidak dapat menahan lagi perasaan keciwa mereka diatas dasar-dasar yang dibawakan oleh UMNO/Barisan Nasional, lebih khususnya oleh UMNO.

Didalam keghairahan UMNO ingin mengatasi PAS yang mulai mendapat sokongan Melayu dan pengundi-pengundi luar bandar, UMNO telah merumuskan beberapa dasar yang tidak berjaya menarik undi orang-orang Melayu tetapi sebaliknya menolak undi orang-orang Cina.

Lebih dari 60% orang Cina berpaling tadah dari parti-parti komponen Barisan Nasional dan usaha daripada MCA yang cuba memainkan dasar cauvinis Cina tidak dapat merobah keadaan ini.

UMNO menjadi lebih ekstrim sehingga orang-orang Cina memandang kepada UMNO sebagai parti yang tidak lagi mengambil kira kebajikan orang-orang Cina.  Hayunan keris oleh Hishamuddin Tun Hussein dipandang sebagai tanda kekuatan Melayu yang mahu meminggirkan orang-orang bukan Melayu.  

Isu ketuanan Melayu yang dimainkan oleh UMNO secara melampau-lampau menakutkan orang-orang bukan Melayu seolah-olah Negara ini hanyalah untuk orang-orang Melayu dan orang-orang Melayu itu mesti diterima sebagai "Tuan" didalam Negara ini.

Walaupun UMNO cuba memberikan kefahaman kepada orang-orang Cina bahawa Ketuanan Melayu itu bukanlah bermaksud Melayu menjadi Tuan dan orang-orang bukan Melayu menjadi hamba, tetapi konsep ketuanan Melayu itu tidak pernah diterangkan dengan betul bahkan apabila UMNO cuba menerangkan bahawa konsep ketuanan Melayu itu hanya konsep retorik semata-mata.

Orang-orang bukan Melayu boleh menerima Ketuanan Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Melayu dan ketuanan itu melindungi semua kaum yang ada didalam Negara ini, mereka boleh faham dan terima bahawa Raja-Raja Melayu tidak mencampuri politik dan semua rakyat didalam Negara ini bernaung dibawah ketuanan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.  Tetapi apa yang hendak diterangkan oleh UMNO tidak bermaksud demikian itu, bahkan ingin membayangkan bahawa konsep kenegaraan di Malaysia ini adalah berpaksikan ketuanan sesuatu kaum, iaitu kaum Melayu.

Mereka telah lihat bahawa konsep ketuanan Melayu ini telah meminggirkan golongan besar orang-orang Cina.  Orang Cina tidak mendapat tempat secara telus didalam perkhidmatan awam, tentera, badan-badan berkanun, polis dan tidak pula mendapat kepentingan didalam perniagaan.

Apabila ditunjukkan kepada Cina, semua orang lupa bahawa sebahagian daripada masyarakat Cina yang mendapat kedudukan didalam perniagaan itu bukanlah golongan majoriti masyarakat Cina.  Ada orang-orang Cina yang tinggal sebagai masyarakat setinggan, ada Cina yang bekerja di kedai-kedai runcit dan kedai-kedai makan, dan ada yang bekerja di super-super market dengan gaji yang tidak sebanyak mana dan ramai golongan orang Cina yang berkerja di syarikat-syarikat perkhidmatan dengan mendapat gaji yang sekadar cukup untuk menyara keluarga mereka.

UMNO sentiasa silap membuat tafsiran bahawa apabila disebut sahaja Cina, mereka cuba menunjukkan kepada Cina yang kaya-raya, towkay-towkay besar dan golongan orang kaya Cina ini bukanlah mewakili masyarakat Cina yang majoriti.

Maka orang-orang Cina yang bukan towkay dan bukan orang kaya berada didalam keadaan yang dialema, mereka Cina dan dikatakan kaya walhal nasib mereka tak jauh bezanya dengan golongan majoriti masyarakat Melayu atau masyarakat India.

Golongan Cina inilah yang mempunyai undi yang besar, bukan golongan Cina towkay dan yang kaya raya.  Golongan Cina inilah yang terpinggir, dan golongan Cina inilah yang mahukan perubahan.

Tidaklah menjadi perkiraan yang konserbatif bahawa lebihkurang 80% daripada masyarakat Cina dari golongan yang bukan towkay dan kaya raya ini yang mahukan perubahan kerana mereka amat terasa bahawa mereka dipinggirkan dan golongan mereka ini akan meninggalkan Barisan Nasional didalam Pilihanraya yang akan datang.

Kalau dalam PRU-12, sekitar 60% sahaja golongan Cina yang bukan towkay dan kaya raya ini memihak kepada pembangkang dan dengan perpindahan mereka itu maka negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Selangor tumbang kepada Pembangkang, dan Pembangkang juga berjaya memenangi 10 dari 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur serta hanya kalah 4 kerusi DUN sahaja di Negeri Sembilan.

Perubahan masyarakat Cina sebanyak 80% akan mempastikan kawasan-kawasan Parlimen dan DUN di pinggir-pinggir bandar di seluruh Negara akan berpindah tangan dari Barisan Nasional kepada Pembangkang, dan dengan hanya penambahan diantara 15 hingga 20 kerusi Parlimen sahaja lagi, Putrajaya akan diambil alih oleh Pembangkang dan angka 15-20 kerusi ini adalah angka yang mudah untuk dicapai dengan perubahan sikap pengundi-pengundi Cina, dan perubahan lebih besar daripada 2008 dikalangan pengundi-pengundi Melayu.

Imbuhilah pengundi-pengundi dengan apa nama sekalipun seperti BR1M tidak boleh merubah perjalanan mengambil alih Putrajaya kerana rakyat sudah tidak tertahan lagi dengan baham kepanasan kenaikan kos sara hidup dan kenaikan barang yang tidak dapat dikawal lagi.  Rakyat hidup susah dan menderita dan cabaran yang menanti mereka hanyalah merubah kerajaan yang sedia ada.

Tiada ulasan: