Khamis, 2 Februari 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


MENGANTUK

Posted: 02 Feb 2012 07:18 PM PST

Tak reti koi nak cakap dari segi sains nya apa dia ngantuk ni.  Yang koi tau, kalau kurang tidur malam sebelumnya, hari esuknya tentulah ngantuk.  Menguap tak sudah-sudah adalah tanda mengantuk. Dan kalau badan terlalu letih, kemudian, tidur hanya sekadar se jam dua sahaja, memanglah badan jadi lemah dan mengantuk.

Bila mengantuk semua kerja tak dapat disempurnakan dengan baik.  Tak usah nak minum kopi pekat atau lain-lain minuman menahan mengantuk.  Kalau minum juga banyak kopi kelat untuk tahan mengantuk, nanti badan jadi lebih lemah lagi.

Kalau kita memandu, ada lebih baik cari-cari tempat selamat sikit, dan parkir kereta baik-baik, dan tidurlah se jam dua, supaya keadaan mengantuk kita dapat diatasi sedikit.

Kalau memandu sambil mengantuk, akan ada split second kita akan berkhayal, dan diwaktu itulah banyak accident boleh berlaku, kecuaian manusia, dan memandu didalam keadaan mengantuk itu boleh membawa padah, dan tidak kurang juga boleh membawa maut.

Hari ini koi ngantuk betul; dari minggu lepas lagi, dapatlah tidur kurang dari 3 jam sehari.  Hari ni nak kuat-kuat kan badan dengan harapan nak menziarahi beberapa kampong dalam DUN Jenderak, bersantai disana sini, bawa air kopi dan teh didalam bekas dengan bawa sedikit biskut, di mana nampai orang berengger (berkumpul sambil berehat) koi akan berhentikan kereta dan minum kopi bersama-sama dengan tak perlu bercerita hal-hal politik, tetapi bercakap perkara-perkara cakapan lazim di kampong sambil minum-minum.

Kerja gitu selalu koi buat, dan kira-kiranya hari ni nak buat gitu juga; kopi dah target beberapa kampong di kedai-kedai kampong; tapi apa boleh buat hari ini betul-betul mengantuk.  Nak hayun kaki pun berasa tak larat, jauh sekali nak pandu kereta dalam keadaan begini.

Maka koi nak tidur sebentar sehingga waktu solat Jumaat nanti.  Sebelah petang, kalau tak hujan, boleh koi teruskan hasrat koi nak ziarah kampong-kampong didalam DUN Jenderak.  Moga-moga mengantk ni hilang dan ada sedikit tenaga agar hasrat koi nak lawat kampong-kampong tu berjaya; kalau tak terdaya juga kerana terlalu letih, maka tak dapat koi nak buatlah; nak tangguh hari esuk tak boleh kerana pada hari esuk koi dah ada 2 program kat Melaka, satu majlis Dialog dan satu lagi Majlis Ceramah, kedua-dua Majlis itu adalah di kawasan Parlimen Alor Gajah dan kedua-duanya di kawasan Felda.

Koi akan pergi ke Melaka dengan orang kanan koi, Bendahari PKR Cabang Kuala Krau, Bendahari Wanita Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR dan Bendahari koi sendiri, iaitu isteri koi, Kak Hendon.

Dengan Kak Hendon ni senang, koi tak susah-susah nak cari drebar.  Dia boleh pandu kereta, koi pun boleh pandu kereta.  Kalau dia letih dan ngantuk, koi lah yang pandu kereta, dan kalau koi letih dan ngantuk, Kak Hendonlah yang pandu kereta.  Mana-mana kami pergi, senang, sewa satu bilik, kami kongsilah, dan hubungan suami isteri lagi baik dengan cara itu.

Mana-mana tempat ceramah, koi tak ambik duit sumbangan dari penganjur-penganjur.  Koi malu betul kalau ambik duit dari penganjur.  Ada penganjur yang sediakan sumbangan, dua tiga ratus ringgit, tapi koi takkan ambik.  Koi kira koi berjuang dan berkorban, dan penganjur itu juga berjuang dan berkorban, maka tak perlu penganjur sediakan duit untuk koi, kalau koi ambik duit, dimanakah nak dikatakan bahawa kita ni berjuang dan berkorban!

Susah? Memang susah.  Tak ada perjuangan yang tak susah, tetapi kejayaan daripada kesusahan itulah yang memberikan kepuasan didalam perjuangan ini.

Koi pun berkira-kira juga, di tempat ceramah yang jauh dari kampong koi, koi akan tidur di sana, iaitu di rumah-rumah anggota parti; kalau tak ada rumah anggota parti, koi menginaplah di hotel budget dengan sewa yang rendah.  Makan minum?  Koi orang tua, bukan banyak sangat makan minumnya!

Didalam satu bulan memang koi rezabkan untuk aktiviti di DUN Jenderak, untuk mesyuarat PKR Kuala Krau, PKR Negeri dan PKR Pusat (sebab koi ni anggota MPP); kurang-kurang 7 hari setiap bulan koi tumpukan ke kawasan DUN Jenderak, hari-hari (malam-malam lainnya) koi membantu ceramah di kawasan-kawasan dan negeri-negeri lain.

Koi juga memberikan tumpuan kepada kerja-kerja yang diaturkan untuk Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal dan Task Force Felda Negeri Selangor, dan ceramah-ceramah koi atau dialog-dialog yang diaturkan untuk koi kebanyakannya didalam Rancangan-Rancangan Felda dan Perkampongan Orang Asal.

Dan memang koi malas nak terima panggilan untuk berceramah di luar kawasan Felda kerana penceramah-penceramah lain boleh dan jauh lebih steady dari koi berceramah di kampong bukan Felda dan bukan Orang Asal, pekan-pekan dan bandar-bandar.  Maka konsentrasi koi adalah di rancangan-rancangan Felda dan perkampongan Orang Asal.

Koi seronok buat kerja ni.  Letih pun jadi tak terasa, ngantuk pun boleh koi sengkang mata.  Ok, koi ngantuk sangat dah ni, boleh koi "mengeluh" sekejap?

Dr Syed Husin Ali tidak mahu dipanggil Yang Berhormat

Posted: 02 Feb 2012 04:33 PM PST

Banyak kali di perjumpaan terbuka Parti Keadilan Rakyat, Dr Syed Husin Ali meminta rakyat tidak memanggilnya dengan panggilan Yang Berhormat apabila beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Mengikut kata Anwar Ibrahim, amat sukar untuk mendapatkan persetujuan daripada Syed Husin Ali untuk dilantik sebagai seorang Senator, tetapi perlantikan itu dibuat juga semasa Syed Husin Ali tidak berada di Malaysia semasa beliau menunaikan Umrah di Mekah.

Tokoh ini cukup berbeza dengan pemimpin-pemimpin lain bahkan cukup jelas perbezaannya dengan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional yang kadang-kadang menunjukkan rasa kurang senang kalau mereka tidak dipanggil "Yang Berhormat Dato".

Ada juga wakil-wakil rakyat Pembangkang yang tidaklah meminta sangat mereka dipanggil Yang Berhormat atau Yang Berhormat Dato atau YB Dato, tetapi mereka sangat berkenan jika mereka dipanggil sedemikian itu.

Saya banyak menguji wakil-wakil rakyat ini dengan memanggil mereka YB; mereka nampaknya berkenan dan tidak ada sedikit pun jelingan mata agar panggilan itu tidak dibuat.  Kita tahu dari jelingan mata atau body languange samada gelaran itu serasi dengan kehendaknya atau pun tidak.

Saya cuba memanggil YB kepada Sdr Sivarasa, Ahli Parlimen Subang dari Parti Keadilan Rakyat, beliau terus menyatakan kepada saya, "Suhaimi, kita orang perjuangan kan?  Harap tidak lagi panggil saya YB."

Yang lain-lain saya uji begitu jugalah dengan panggilan YB.  Nampaknya, reaksi mereka suka dengan panggilan itu.

Didalam Majlis kadang-kadang kita perlu menggunakan panggilan YB itu, tetapi di luar majlis, panggilan itu adalah tidak sesuai bagi pejuang-pejuang rakyat.  Biarlah mereka yang bukan pejuang-pejuang rakyat itu tergila-gila dengan panggilan YB. 

Saya melihat bahawa bekas-bekas anggota PRM didalam PKR, mereka menggunakan panggilan SAUDARA dan perkataan Saudara itu tidak tertumpu kepada lelaki sahaja kerana perkataan itu membawa maksud Comrade.  "Cpomrade" ini adalah perkataan yang sangat dihargai didalam perjuangan rakyat menandakan bahawa mereka adalah pejuang-pejuang sejati, yakin meyakini dan percaya mempercayai.

Tidak menjadi masalah kepada Anwar Ibrahim jika beliau dipanggil SAUDARA sahaja kerana beliau adalah orang perjuangan!

Namun, ramai lagi dari wakil-wakil rakyat PKR yang bergelar Dato, semacam kurang berkenan kalau mereka dipanggil Saudara, maknanya sikap "UMNO-MCA-MIC" mereka masih menebal dibidang penggelaran ini, dan ertinya semangat kekitaan, kerakyatan, comradeship menghadapi batasan-batasan tertenu.

Maka selepas ini, saya mahu kembali kepada semangat perjuangan dan saya akan memulakan gelaran dengan menggunakan perkataan Saudara dan bagi wanita yang bukan dari bekas PRM akan saya gunakan perkataan Saudari.  Harap tidak ada wakil rakyat atau Dato yang terkilan!

Bangsa Malaysia belum wujud....!

Posted: 02 Feb 2012 04:07 PM PST

Pergilah ke mana-mana di Malaysia ini, rakyat Malaysia masih dikenali dengan ethniknya sendiri, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Orang Ulu, Orang Asal....dsb.

Bahkan didalam kad pengenalan pun rakyat Malaysia dikenali dengan ethnik kaumnya dan tidak dikenali dengan bangsa Malaysia.

Parti DAP pernah menjadikan Bangsa Malaysia sebagai pengenalan kepada rakyat Malaysia dengan gelaran Malaysian Malaysia atau Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Usaha daripada DAP itu adalah satu usaha yang baik dan didalam kontek itu DAP mahukan rakyat negara ini dikenali sebagai rakyat Malaysia untuk sebuah Negara Malaysia.  DAP menolak politik perkauman dan Perlembagaan Parti DAP jelas menyatakan bahawa DAP menolak perkauman.

DAP yang rata-rata dianggotai oleh kaum Cina, sedikit kaum India dan segelintir kaum Melayu dan kaum-kaum lain tidak berjaya menyemaikan semangat Malaysian Malaysia kerana dasar multi-racialism itu telah dibelasah oleh parti-parti perkauman sebagai konsep perkauman Cina, dan yang membelasah konsep pengenalan bangsa sebagai Bangsa Malaysia itu adalah parti-parti perkauman seperti UMNO, MCA dan MIC.

Parti Rakyat Malaya dan Parti Boroh Malaya (yang diharamkan oleh Kerajaan Perikatan) bergabung didalam sebuah organisasi politik bergelar Socialist Front atau Barisan Sosialis; juga memperjuangkan politik yang bebas dari perkauman.  Namun begitu Parti Rakyat Malaya dianggotai secara majoritinya oleh orang-orang Melayu dan Parti Boroh Malaya pula dianggotai secara majoritinya oleh orang-orang Cina walaupun kedua-dua parti itu menolak politik perkauman dan memperjuangkan kepentingan rakyat marhaen tanpa mengira kaum.

Politik perkauman digunakan oleh UMNO, MCA dan MIC bagi melebarkan pengaruh dikalangan kaum-kaum yang mereka wakili, dan parti-parti itu tidak segan silu menggunakan dasar perkauman yang sempit bahkan berusaha menakut-nakutkan kaum masing-masing jika tidak menyokong parti-parti perkauman itu.

Parti-parti poloitik yang mendahului zamannya didalam memperjuangkan multi-racialism sukar mendapat sokongan rakyat kerana parti-parti itu dimomok-momokkan akan menghilangkan kekuasaan satu-satu kaum yang dipelopori oleh parti-parti perkauman seperti UMNO, MCA dan MIC.

Anihnya, parti-parti perkauman ini boleh bergabung didalam Perikatan dan Barisan Nasional membawa kita kepada pemahaman bahawa parti-parti perkauman ini bukanlah ikhlas dan jujur memperjuangkan hak dan kepentingan kaum-kaum yang kononnya mereka wakili tetapi hanya menggunakan isu perkauman sempit semata-mata untuk mengekalkan pengaruh dikalangan kaum-kaum itu.

Selagi parti-parti perkauman ini bertunjangkan kepada dasar perkauman selagi itulah Bangsa Malaysia sukar dapat diwujudkan.

Saya pernah membawa ahli-ahli keluarga saya melawat Indonesia lebih dari 20 tahun yang lampau; kami bertandang ke Jakarta, Bogor, dan Bali.

Di Jakarta saya secara tidak sengaja bertemu dengan Professor Sutan Takdir Ali Syahbana, seorang professor di Pengajian Melayu di Universiti Malaya, seorang rakyat Indonesia.  Kami sama-sama menaiki pesawat dari Jakarta ke Bali.  

Saya menyapai dia dan tidak mungkin beliau boleh mengenali saya kerana saya hanyalah salah seorang student dari kalangan ribuan student di Universiti Malaya.

Saya bertanyakan kepada Professor itu mengenai tempat asalnya; tetapi jawapannya menyukarkan saya untuk bertanya soalan kedua kerana dia menyatakan dia adalah rakyat Indonesia; saya merasakan bahawa dia faham soalan saya kerana dia begitu lama tinggal di Kuala Lumpur.  Tetapi dia tetap mengekalkan jawapannya bahawa dia adalah orang Indonesia.  Begitu menebal semangat nasionalisme Indonesianya, tidak dia mahu menyatakan bahawa dia itu orang Sunda atau Jawa atau Bugis atau lain-lain tempat di Indonesia.

Sebelum itu saya bertemu seorang lelaki yang dari mirip mukanya adalah berketurunan Tionghua.  Dia juga mahu ke Bali, dan dia datang dari Pontianak.

Akhirnya saya bertanyakan kepada beliau samada beliau seorang bangsa Cina.  Dengan penuh senang dan selamba dia menjawab, "Bukan Pak, saya seorang bangsa Indonesia!"  Saya meneruskan soalan saya dan setelah beberapa ketika barulah dia menjawab bahawa beliau adalah dari ethnik Cina.

Saya tanya lagi samada didalam keluarganya mereka ngomong bahasa Cina, dia menjawab, "Tidak Pak, kami ngomong bahasa Indonesia."

Dua dekad yang lalu saya melawat Beijing dan disebuah kedai kain sutera ada dua rombongan bas, yang rupa paras mereka adalah Cina.  Tetapi mereka menggunakan Bahasa Indonesia.  Mereka hanya menggunakan bahasa Cina dengan penjual-penjual di kedai sutera itu, namun, sesama mereka, bahasa Indonesia digunakan.

Saya merapati mereka dan bertanya kenapa mereka menggunakan bahasa Indonesia dan tidak bahasa Cina, mereka jawab dengan mudah, "sudah biasa Pak".

Saya tidaklah nak mengatakan bahawa dengan hanya menggunakan bahasa Malaysia, maka kita boleh dikenali sebagai rakyat Malaysia seperti yang digunakan oleh orang Indonesia.  Tetapi ingin saya nyatakan bahawa orang Indonesia meletakkan Indonesia sebagai pengenalan mereka samada mereka itu datangnya dari Medan, Pekan Baru, Kerinci, Sunda, Jawa, Bugis/Sulawesi, Banjarmasin, Bali dan sebagainya.

Tetapi di Malaysia ini pengenalan utamanya adalah kaumnya, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dsb, dan selepas itu barulah ingin dikenali sebagai rakyat Malaysia.

Walaupun 1Malaysia diperkenalkan oleh Najib Tun Razak, beliau sendiri enggan menyatakan bahawa beliau itu mahu dikenali sebagai Malaysia dahulu sebelum Melayu, kononnya, tidak mahu bercanggah dengan Timbalannya, Muhyidin Yassin yang mengisytiharkan bahawa baginya, beliau mahu dikenali sebagai Melayu dahulu kemudian barulah Malaysia.

Kalau pimpinan setinggi itu pun enggan dikenali sebagai Malaysia, apatah lagi rakyat diperingkat bawah.  Orang Melayu umpamanya suka dikenali dengan tempat datangnya seperti Kelantan, Kedah atau Perlis.

Perjuangan menegakkan hak untuk rakyat marhaen tanpa mengira kaum adalah suatu perjuangan yang besar dan tembok-tembok perkauman yang ditegakkan oleh parti-parti perkauman seperti UMNO, MCA dan MIC perlu diruntuhkan dan diatas keruntuhan itu ditegakkan perjuangan untuk rakyat tanpa mengira perkauman.

Pakatan Rakyat bercakap didalam satu nada dan pimpinan parti-parti didalamnya telah sama-sama menandatangani memorandum bersama bagi memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu, Hak Istimewa Orang-Orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Malaysia.  Semoga keberanian daripada pimpinan Pakatan Rakyat ini akan mencetuskan satu perjuangan bangsa yang tidak lagi berlandaskan kepada perkauman dan akan tercetus rasa sayang kepada Negara dan sayang kepada Malaysia!


Tiada ulasan: