Rabu, 1 Februari 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Lubok Kawah - aku lawatinya semalam!

Posted: 01 Feb 2012 04:42 PM PST

Semalam aku mengambil sedikit masa untuk menziarahi Lubok Kawah, sebuah kampong rebolusi, dimana kampong ini telah mencatatkan perjuangan berani rakyat Negara ini menentang Penjajahan Inggeris.

Dari jalanraya aku menoleh kepada kawasan perkuburan di kampong itu dan kearah Masjid lama yang kini hanya digunakan sebagai surau oleh penduduk-penduduknya kerana Masjid baru telah dibina di sebuah kampong berdekatan iaitu Kampong Bukit Tingkat.

Aku memandang ke arah rumah arwah abang saya iaitu Allahyarham Abdul Razak.  Diatas tapak itu kini terdiri dua buah rumah baru iaitu rumah anak-anak saudara aku iaitu Rumah Hakimi Abdul Razak dan Rumah Sohaya Abdul Razak, manakala Kakak Ipar aku, Siti Nor Mohamad tinggal serumah dengan Hakimi dan keluarganya.

Diatas tapak inilah pada suatu ketika dulu terdiri sebuah bangunan Kedai Rakyat dan Markas API (Angkatan Pemuda Insaf).

Kedai Rakyat ini mempunyai keyunikannya sendiri.  Ia ditadbirkan oleh sebuah Jawatankuasa, tetapi tidak ada cashier atau petugas-petugas di kedai itu.  Semua penduduk yang mahukan sesuatu mengambil barangan yang diperlukan dan dengan jujurnya menimbang barang-barang yang perlu ditimbang dan terus membuat bayaran secara jujur dan ikhlas di tempat simpanan wang di kedai itu.

Jawatankuasa hanya membuat senarai semakan mengenai barang-barang yang perlu ditambah dan dibeli dari kedai-kedai borong di Kuala Semantan.

Itulah kejujuran penduduk yang ditarbiahkan oleh semangat perjuangan yang tinggi dari anggota-anggota Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan API.

Terbayang kepada aku muka arwah AYAH aku apabila aku merenung ke kawasan perkuburan di kampong itu.  Said bin Haji Ismail, itulah nama ayahku.  Beliau adalah pejuang API dan bersama-sama dengan penduduk asal kampong itu seperti Wan Abdullah, Haji Ismail, Ibrahim Che Man (Tok Ayah) dan ramai lagi merengkok didalam kem-kem tahanan British.

Adik kepada ayah saya yang paling bongsu, Pokde Uda bin Haji Ismail, mati ditembak oleh tentera upahan British; adik kepada ibu saya, Ayahcik Mokhtar bin Haji Ibrahim juga mati ditembak; pupu saya Omar bin Mat Amin mati ditali gantung, mereka adalah pejuang API dan perjuangan mereka menuntut kemerdekaan adalah sejarah berdarah yang jangan dilupakan oleh rakyat Negara ini.

Pupu-pupu saya yang lain, Abd Kadir, Yaakob, Hashim, Mat Ali turut merengkok didalam tahanan British; manakala Embong Meriam dan Embong Miyah merentasi hutan bersama-sama dengan Rejimen ke-10 yang akhirnya berundur ke Sempadan Siam.  Embong Meriam sudah meninggal dunia, Embong Miyah menghabiskan masa tuanya tinggal bersama anaknya di Kuala Lumpur.  Abang Kadir dan Abang Yaakob sudah meninggal dunia.  Abang Hashim masih segar dan tinggal di Lubok Kawah, manakala Abang Mat Ali tinggal di Kampong Batu 4, Jalan Maran, Temerloh dan tidak jauh dari rumah saya sendiri.

Saya tidak mempunyai apa-apa harta di Kg Lubok Kawah selain dari ingatan keatas perkampongan dan kampong yang suatu ketika dulu dipenuhi oleh pondok-pondok yang didirikan oleh Ulamak terkenal yang digelar Tok Ayah.

Tok Ayah datangnya dari Negeri Kelantan, berhijrah ke Kampong Bintang, Temerloh iaitu kampong arwah aki saya di sebelah ayah saya.  Aki saya pada waktu itu mahu membuka Kg Lubok Kawah ini dan mengajak Tok Ayah turut bersama-samanya membuka kampong itu.  Maka kampong itu semasa mula dibuka hanyalah dimiliki oleh 2 insan ini iaitu Aki saya dan Tok Ayah.  Disitu didirikan Masjid tempat pengajian Islam dan tidak lama selepas itu kampong ini dipenuhi dengan pondok-pondok pengajian, dan penuntut dari seluruh Negeri Pahang datang mengaji disana.

Apabila PKMM dan API mengembangkan sayapnya ke kampong ini, saudara mara saya dan juga saudara mara Tok Ayah menyertai gerakan bagi menuntut kemerdekaan bagi tanah air.  Akhirnya, kampong ini diisytiharkan sebagai Black Area (kawasan hitam) dan selain daripada pejuang-pejuang API yang ditahan British dan yang menyusun diri kedalam hutan sehingga tertubuhnya Rejimen ke-10, kampong ini menjadi padang jarak padang terkukur.

Di tanah perkuburan itu disemadikan juga Arwah Aki saya disebelah emak saya iaitu Haji Ibrahim Ahmad yang lebih dikenali sebagai Pak Alang Haji Ibrahim.

Beliau ada seorang guru Agama, mengajar di Sekolah Melayu Kg Sanggang, dan berpencen sebagai Guru Agama.  Kepakaran beliau adalah dibidang tajwid, maka begitu ramai anak-anak muda belajar membaca Quran secara bertajwid semasa di Lubok Kawah dan semasa berpindah ke Kg Berhala Gantang apabila Kg Lubok Kawah diisytiharkan oleh Brisith sebagai kawasan hitam.

Kini aku menetap di Kg Batu 4, Jalan Maran, Temerloh, Pahang dan penduduk di kampong itu yang asalnya adalah juga berasal dari kampong Lubok Kawah, juga sebuah kampong yang pada waktu dulu adalah kampong bagi orang-orang politik terutamannya bekas-bekas tahanan semasa penjajahan Inggeris, dan kampong itu terkenal dengan sokongan padu kepada perjuangan Parti Rakyat Malaya seketika dulu dan kini sudah beralih kepada Parti Islam Semalaysia (PAS). 

Tiada ulasan: