The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
UMNO hanya ada "Rasuah" dan "Fitnah" sahaja untuk mengikat rakyat Posted: 18 Jan 2012 03:59 PM PST Apa yang dibongkarkan oleh Tan Sri Kadir Sheikh Fadhir, bekas Menteri UMNO/BN, bukanlah perkara baru; semua orang tahu bahawa kerja UMNO bagi menghadapi Pilihanraya adalah menjalankan kegiatan rasuah, semua rakyat tahu kerana merekalah yang menerima habuan rasuah itu. Awal-awal dulu memang terkenal perbuatan rasuah UMNO ini dengan pemberian kain pelaikat dan duit RM10.00 untuk orang kampong, hampir semua orang kampong dapat; untuk wanita pula kain batik. Sehinggakan Pembangkang terpaksalah mengolahkan satu bicara dengan mengatakan: "Beri wang ambil, beri kain ambil, tapi beri undi kepada Pembangkang." Dan pembangkang juga membuat kenyataan yang lebih serius dengan mengatakan bahawa: "Orang yang memberi dan menerima rasuah tidak masuk syorga." Kepada orang UMNO yang begitu pekat ada yang mengatakan: "Neraka ke Nerakalah, Dosa ke Dosalah." Hebat betul manusia bernama UMNO tegar itu kerana sanggup masuk Neraka dan sanggup terima dosa semata-mata nak sokong perbuatan rasuah yang dilakukan oleh UMNO. Cerita yang tersohor di Kelantan semasa Tengku Razaleigh memimpin Semangat 46 dulu adalah seperti berikut. Apabila UMNO beri RM50.00, pulangkan balik RM4.00, ambil hanya RM46.00 sahaja, dan kemudian undilah calon Semangat 46. Ini bererti bahawa rasuah pilihanraya yang dijalankan oleh UMNO itu sudah menjadi semacam cerita rakyat, semua orang tahu dan kebanyakan pengundi ada menerima rasuah itu dari UMNO; hanya bezanya mereka yang menyokong Pembangkang, mereka ambil rasuah dari UMNO itu, tetapi untuk mengelakkan daripada dosa, mereka tidak mengundi UMNO; kalau terima rasuah dari UMNO dan undi UMNO, maka sudah tentu mereka menerima rasuah itu, tetapi kalau mereka terima dari UMNO tetapi mengundi Pembangkang bererti itu tidaklah rasuah. Maka menjadi famous perkataan-perkataan: UMNO BERI BERAS, AMBIL, MAKAN; UMNO BERI SUSU,TEH, KOPI, AMBIL, MINUM; UMNO BERI KAIN, AMBIL, PAKAI; TAPI UNDI BERI KEPADA PEMBANGKANG. Atas penerimaan olahan ini, rakyat Kelantan ambil duit dari UMNO tetapi mereka kekalkan Kerajaan PAS Kelantan! Sekarang ini Kerajaan memberikan wang RM100.00 bagi setiap kanak-kanak sekolah; tetapi cara pemberiannya berbentuk rasuah juga, Wakil Rakyat UMNO/BN yang berikan, bukan melalui sekolah, bukan guru besar yang berikan, bukan pejabat pendidikan yang berikan; maka amat jelas bahawa pemberian itu adalah untuk menyogok pengundi-pengundi. Wang RM500.00 yang diberikan kepada mereka yang berpendapatan RM3000.00 kebawah, juga dibuat dalam bentuk rasuah; berduyun-duyun mereka mengambil wang itu dari Wakil Rakyat UMNO/BN, bukan dari Jabatan Kerajaan. Ini kesemuanya mainan rasuah yang boleh dikatakan "Berkilau ikan di air, sudah jelas jantan betinanya!" Bagi peneroka-peneroka Felda pula ada kononnya pengembalian wang dari MPOB, tetapi pemberiannya bukan dibuat oleh Pegawai MPOB atau pegawai Felda; wang itu diberikan oleh Wakil-Wakil Rakyat UMNO/BN. Tiba-tiba ada pula pengembalian wang CESS, juga diberikan melalui Wakil-Wakil Rakyat UMNO/BN. Malangnya yang menerima wang CESS itu mendapati bahawa wang itu dimasukkan keadalam jumlah baki hutang kepada peneroka-peneroka; dapat memang dapat, tetapi hutang bertambah pun dapat! Anihnya, kalau peneroka yang tanam melalui Felda, wang cess dari Risda itu sudah digunakan untuk tanaman semula dan dibayar kepada Felda, maka dimana lagi ada wang cess untuk dikembalikan kepada peneroka? Jawapannya mudah! Itulah wang yang digunakan oleh UMNO untuk tujuan memberi habuan kepada peneroka bertujuan menarik pengaruh kepada UMNO tanpa disedari bahawa peneroka Felda dikenakan hutang diatas wang yang mereka terima itu. Selama manakah rakyat/peneroka hendak diperbodohkan oleh UMNO, terserah kepada rakyat/peneroka; selagi mereka tidak sedar dan insaf akan perbuatan rasuah UMNO itu, selagi itulah mereka boleh diperbodohkan oleh UMNO/BN. Dan UMNO/BN kini sudah tidak ada cara lagi bagaimana untuk mengekalkan pengaruh melainkan dengan cara memberi rasuah dan menaburkan fitnah. Mengenai isu fitnah ini, biarlah saya nukilkan didalam tulisan yang lain. |
Kemunduran Kg Seboi menjadi aset untuk UMNO/BN Posted: 18 Jan 2012 04:33 AM PST Kami sempat bergambar Kak Hendon juga menikmati makanan yang dibawanya Inilah jalan yang terdapat di Kg Seboi Saya bertolak dari rumah saya di Temerloh untuk ke Kg Seboi jam 2.30 petang tadi, sampai di Kuala Krau saya singgah di Pejabat PKR di pekan itu untuk mengambil pakaian bundle untuk dibawa ke kampong Seboi. Perjalanan dari Kg Terengging ke Kg Seboi kena buat secara sangat berhati-hati. Jalan ke kampong itu sudah pecah-pecah dan berlobang-lobang, jika tidak hati-hati, tayar kereta akan masuk kedalam lobang yang agak dalam yang boleh merosakkan kereta. Sampai sahaja di Kg Seboi, saya meletakkan kereta saya di tepi jalan, dan mula pergi dari rumah ke rumah untuk menyampaikan edaran bertajuk Tanah Orang Asal. Saya ziarah dari rumah ke rumah sehinggalah saya sampai ke rumah Bakar Panjang. Dari sana saya mengajak Bakar untuk mengikuti saya pergi rumah ke rumah dengan menggunakan motosikalnya,boleh laju dan cepat sedikit berbanding kalau saya hanya sekadar berjalan kaki. Di rumah Bakar saya pasangkan bendera KEADILAN dan kemudian kami pergi sehingga ke hujung kampong. Kg Seboi bukanlah kampong yang besar, kesemua rumah di kampong itu hanyalah lebih kurang 35 buah. Daripada 35 buah rumah itu ada sebuah rumah yang tak boleh saya lupakan. Penghuninya adalah seorang yang agak tua melebihi 60 tahun. Apabila dia melihat saya datang dan menengok baju yang saya pakai berlambang Pakatan Rakyat dengan lambang PKR, DAP dan PAS, dia cepat-cepat tutup pintu rumahnya. Bila saya mengatakan SELAMAT TEDUH (bererti Selamat Petang) sebagai tanda hormat kepadanya, dia terus jawab dari dalam rumahnya, "Tak mau, tak mau!" Tapi saya masukkan juga edaran itu dibawah pintu rumahnya, dan dia ambil juga edaran itu. Apa dia buat dengan edaran itu taklah saya tau. Setelah membuat edaran itu, saya mengajak Bakar merayau-rayau di kampong itu. Begitu teruklah jalan di kampong itu, dengan lobang-lobang dan becak menakung air. Inilah keadaan kampong Orang Asli di Kuala Krau ini. Jauh ditinggalkan dari sebarang pembangunan, dan saya berasa hairan masih adalah lagi penyokong UMNO yang tegar sedangkan rumahnya dan kehidupannya adalah lebih teruk daripada anggota masyarakat yang lain yang tampak jauh hidup lebih selesa darinya. Selepas itu saya dan Bakar pergi ke rumah Bakar untuk Majlis Ramah Mesra dengan penduduk kampong. Selepas majlis itu kami menjamu selera; Kak Hendon menyediakan nasi lemak dan air kopi O, beliau datang bersama Khalid Dahalan, Penolong Setiausaha PKR Cabang Kuala Krau yang datang lewat untuk membawa bekalan makanan tersebut. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan