Isnin, 16 Januari 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Ke Alor Star semacam Kembali Ke Kg sendiri!

Posted: 15 Jan 2012 03:10 PM PST

Jam 6.00 petang 13.1.12 saya sampai di Alor Star dan ditempatkan dengan semua tenaga penceramah Pakatan Rakyat yang lain di Hotel Regency. Kami telah diberikan taklimat oleh Sekretariat Konvensyen Pakatan Rakyat akan jadual dari pagi hingga ke malam untuk 14.1.12, dan tepat jam 11.45 pagi 14hb itu, saya akan berucap di Konvensyen tersebut didalam slot Perbahasan Perwakilan mengenai Felda khususnya mengenai penyenaraian Felda Global Ventures ke Bursa Saham.

Puan Siti Khalijah Haji Mohamad juga akan berucap mengenai Felda didalam agenda Suara Nurani Rakyat Malaysia dan beliau memfokuskan isu yang menimpa peneroka-peneroka Felda Cahaya Baru di Negeri Johor.

Sebelum Konvensyen bermula, ramai sungguh yang "menyapa" saya terutamanya dari golongan mereka yang sudah berumur 60 tahun keatas.

Mereka memperingatkan kepada saya Peristiwa Lubok Merbau. Cerita-cerita yang mereka datangkan membawa kenangan pahit saya ke Felda Lubok Merbau lebih kurang 26 tahun yang lampau bilamana saya ditugaskan oleh Allahyarham Ustaz Fadhil Mohd Nor mengepalai jentera Pilihanraya PAS didalam Pilihanraya Kecil Padang Terap di Felda Lubok Merbau.

Seorang rakan kami telah dipukul oleh gerombolan petugas-petugas UMNO dan telah meninggal dunia dan seorang lagi mendapat cedera yang teruk dan sehingga kini kes itu tidak ada penyelesaian.

Kawan-kawan yang menyapa saya itu adalah mereka yang bertugas di Felda Lubok Merbau, suatu kawasan yang "pure UMNO" pada waktu itu.

Kami yang bertugas sentiasa diugut dan dikejar oleh puak-puak UMNO dan kadang-kadang dikejar dengan mereka menggunakan motosikal dan jika kami tidak berhati-hati kami boleh dilanggar oleh motosikal mereka.

Poster-poster yang kami pasang hanya boleh bertahan dalam tempoh tidak lebih dari 5 minit, gerombolan UMNO ini akan datang dan dihadapan kami mereka akan mengoyakkan poster-poster kami dan merentap poster-poster bertali serta membakar poster-poster itu dihadapan kami.

Golongan mereka cukup ramai dan dari segi bilangan memang kami terpaksa mengalah. Namun petugas-petugas kami terus menampal poster, dan pada hari kejadian itu, 2 orang petugas kami sedang menampal poster, maka gerombolan UMNO telah datang menghentak kepala Othman Talib dengan bahan keras menyebabkan beliau meninggal dunia dan seorang lagi dihentak dengan besi tajam menyebabkan luka dan mengalirkan darah dengan banyaknya.

Parti telah mengarahkan semua petugas-petugas PAS untuk keluar dari Lubok Merbau untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk. Tetapi saya, Man Kadir (Pak Jabit) dan Pak Harun (kini sudah meniggal dunia) tetap berkampong di Felda Lubok Merbau kerana kami cukup bimbang akan keselamatan tuan rumah yang menempatkan kami dan menjadikan rumahnya sebagai Markas Parti untuk PRK itu.

Saya dan rakan-rakan bertahan di Kg Lubok Merbau hinggalah selesai PRK itu. Saya cukup hormat kepada tuan rumah. Badannya kecil sahaja tetapi hati dan jiwanya cukup cekal. Beliau meminta kepada saya supaya berundur dari Lubok Merbau dibimbangkan kalau-kalau saya akan dicederakan pula oleh gerombolan UMNO yang mengganas di kampong itu.

Apabila saya enggan pergi, beliau mendapatkan khidmat seorang yang agak "hebat" menjaga keselamatan saya, dan beliau itu turut memberikan amaran kepada gerombolan penjahat UMNO itu bahawa Lubok Merbau akan bermandi darah jika puak gerombolan itu melakukan sebarang kecelakaan kepada saya dan rakan-rakan saya.

Manusia "hebat" ini rupa-rupanya memang terkenal dengan kegagahan dan ilmu batinnya, dan selepas amaran yang diberikan olehnya gerombolan dari UMNO itu tidak lagi mengacau kami di Felda Lubok Merbau itu.

Di Konvensyen pagi 14.1.12 itu saya bertemu semula dengan mereka yang berada bersama-sama saya di Felda Lubok Merbau. Walupun saya sudah tidak mengenali mereka kerana jarak masa yang sudah 25 tahun, tetapi mereka "menyapa" saya apabila mereka mengenali saya melalui nama didalam Buku Program.

Saya merasakan bahawa kehadiran saya ke Alor Star kali ini seolah-olah saya kembali ke kampong saya sendiri sebagai seorang yang sudah begitu lama tidak pulang ke kampong dan saya diraikan oleh penduduk-penduduk yang masih mengingati saya.

Masing-masing semuanya ada cerita mengenai peristiwa Lubok Merbau, dan apa kurangnya Dr Hatta yang juga bercerita tentang Lubok Merbau semasa kami makan semeja tengah hari itu.

Tiada ulasan: