Isnin, 2 Januari 2012

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Kenapa individu boleh berubah?

Posted: 02 Jan 2012 06:26 AM PST

Semasa bertanding di kawasan Parlimen Temerloh menentang Dato Sabbaruddin Chik yang pada waktu itu adalah seorang Menteri, saya berada dikedudukan yang sangat lemah.

Pertama sekali saya pada waktu itu tidak dibenarkan pulang ke Temerloh kerana masih dibawah tahanan didalam rumah selepas dibebaskan dari Tahanan ISA di Kemunting. Saya tinggal di Batu Berendam, Melaka.

Parti yang menjadikan saya calon pada waktu itu adalah PAS yang hanya mempunyai keanggotaan yang tidak melebihi 500 orang.

Kewangan peribadi saya tidak ada dan kewangan parti juga tidak kukuh. Saya menjadi calon hanya diatas keyakinan bahawa Barisan Nasional mesti ditentang dan sebahagian dari rakyat Temerloh tidak suka kepada Barisan Nasional dan pembangkang mempunyai penyokong tegar.

Saya mendapat 12000 undi lebih manakala Sabbaruddin Chik mendapat 16000 lebih.

Walaupun saya kalah tetapi dari segi moralnya saya menang. Menang kerana undi yang saya dapat adalah begitu tinggi dibandingkan anggota PAS di kawasan Parlimen itu hanyalah lebihkurang 500 orang sahaja.

Saya menang dari segi moralnya kerana begitu ramai orang UMNO/BN dan orang ramai yang lain mengundi saya.

Kalau dikira keahlian UMNO, MCA, MIC, PPP, dan Gerakan yang berada di kawasan Parlimen Temerloh, gabungan itu mempunyai hampir 30,000 ahli, tetapi begitu besar dari mereka itu tidak mengundi Barisan Nasional tetapi mengundi saya.

Undi yang saya perolehi juga adalah jauh lebih tinggi daripada undi yang diperolehi oleh calon-calon PAS yang bertanding di kawasan-kawasan DUN didalam kawasan Parlimen Temerloh.

Maka jika ditanyakan kenapa undi PAS untuk saya waktu itu begitu tinggi jika dibandingkan dengan yang pernah diperolehi parti itu di waktu-waktu sebelum itu, maka
jawapannya, manusia itu boleh berubah. Kenapa mereka berubah? Diantaranya kerana mungkin calon PAS itu adalah jauh lebih baik dari calon BN. Mungkin juga ahli-ahli UMNO/BN sudah mual dengan calon BN itu. Mungkin juga calon PAS itu merupakan seorang individu yang lasak di kawasan parlimen Temerloh.

Sebelum menjadi calon PAS itu, saya pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Temerloh, bukan kerana saya ahli UMNO tetapi kerana penglibatan saya yang tak henti-henti dengan kerja-kerja masyarakat.

Saya juga memimpin kaum belia sebagai Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Daerah Temerloh yang mempunyai lebih dari 60 cawangan di seluruh kawasan Parlimen Temerloh, iaitu melebihi cawangan UMNO sendiri.

Saya juga memimpin pelbagai badan sukan seperti Persatuan Lumba Basikal Daerah Temerloh, Persatuan Bolasepak Daerah Temerloh, Persatuan Badminton Melayu Daerah Temerloh dan terlibat aktif didalam persatuan penulisan.

Sebagai seorang peguam, saya memberikan khidmat-khidmat guaman percuma kepada anak-anak guam yang kurang berkemampuan.

Latar belakang itu menjadikan saya mempunyai rangkaian rakan-rakan yang mahu mengundi saya diatas sumbangan yang pernah saya sempurnakan.

Itu adalah diantara sebab-sebab undi saya tinggi.

Disebaliknya, pengundi-pengundi berubah kerana mereka sudah jemu dan mual dengan calon Barisan Nasional.

Didalam lapangan yang lain, manusia boleh berubah kerana berlaku perubahan yang menimpa dirinya sendiri, mungkin status ekonomi yang lebih baik boleh merubah pandangan politiknya, dan sebaliknya mungkin juga status ekonominya yang merosot menyebabkan dia berubah pandangan politiknya.

Ada manusia yang tidak mampu menghadapi tekanan kemiskinan. Ada pula yang tidak dapat mengatasi tekanan kekayaan.

Ada yang mempunyai pandangan politik tertentu kerana dikelilingi oleh rakan-rakan yang ramai yang mempunyai pandangan politik yang sama. Kesunyian boleh juga merubah pandangan seseorang.

Tekanan dari sebab ia terkurung seperti kerana ditahan dibawah ISA boleh merubah pegangan politik seseorang, ramai yang hilang keyakinan kepada pegangan politik semasanya apabila dia ditahan dan diinterogasi berterusan, ia mengalah dan mengambil arus politik yang berbeza.

Mungkin keseronokannya menjadi pengkritik Kerajaan akan menjadi tumpul apabila ia mungkin terpisah dari masyarakat seperti terpencil di luar negara dan pandangannya sudah tidak diambil kira oleh kawan dan lawan. Dia semakin menjadi tidak relevan.

Dengan keadaan itu mungkin dia membuat teguran demi teguran terhadap rakan-rakan tetapi teguran-teguran itu tidak berpijak di bumi nyata dan tidak dihiraukan oleh kawan-kawan, menjadikan ia terasa terpencil dan 'sakit hati'.

Ia mula berubah dan perubahan kecilnya mendatangkan respon yang baik dari musuhnya sebelum ini, maka diuji dengan perubahan yang lebih besar, dan didalam perubahan itu dia mungkin diberikan perhatian oleh musuh asalnya, dan dia mendapati bahawa musuh asalnya itu memberi ruang yang cukup luas untuk dia menyatakan pandangannya yang cukup kritikal terhadap rakan-rakan lamanya.

Perubahan berlaku kerana individu-individu itu menjadi semakin tidak relevan didalam pertubuhan yang dianutinya.

Ada juga perubahan yang berlaku kerana individu itu sesungguhnya tidak lagi yakin dengan konsep atau arahtuju pertubuhan yang pernah dianutinya sebelum ini, perubahan ideologi atau dasar politik boleh menjadikan seseorang itu berubah dari pegangan asalnya kepada pegangan yang baru.

Perubahan pegangan politik oleh individu-individu itu bukanlah perkara yang luar biasa, tetapi perubahan daripada pegangan politik yang kolot kepada pegangan yang progresif adalah baik, tetapi tidak semua perubahan berlaku dari yang tidak baik kepada yang baik, ada juga perubahan berlaku daripada yang baik kepada yang tidak baik.

Untuk sesebuah Negara, hanya perubahan menuju kebaikan yang dicita-citakan oleh rakyat, dan perubahan untuk kebaikan adalah perubahan yang menepati aspirasi rakyat.

Tiada ulasan: