Khamis, 5 Januari 2012

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Halang himpunan khianati asas negara demokratik- Azmin

Posted: 04 Jan 2012 09:07 PM PST

KUALA LUMPUR 5 Januari: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menegaskan halangan kepada perhimpunan aman di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini, bertentangan dengan asas perlembagaan dan pembentukan negara yang demokratik.

"Ia (himpunan aman) merupakan antara teras kepada amalan sesebuah negara demokratik,"

"Justeru, sebarang usaha atau tindakan yang mengusir hak untuk berhimpun secara aman dan hak menyatakan pendirian politik rakyat Malaysia, adalah pertentangan dengan asas pembentukan negara Malaysia yang demokratik, bebas dan merdeka.

"Pencabulan ke atas hak ini dianggap sebagai mengkhianati asas penubuhan negara Malaysia yang merdeka," tegas beliau dalam satu kenyataan media pagi ini.

Bagaimanapun, katanya, KEADILAN menyambut baik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Hussein yang menyatakan kesediaan pihak polis untuk berbincang.

"KEADILAN menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan pihak polis demi memastikan perhimpunan aman ini berjaya diteruskan dengan aman dan teratur," kata beliau.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan telah mengarahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh untuk mengadakan pertemuan dengan penganjur himpunan tersebut.

Dalam pada itu, Azmin menyeru semua anggota KEADILAN dan penyokong Pakatan Rakyat serta rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran untuk turut serta pada hari keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Berharap insiden keganasan semasa himpunan Bersih dan mahasiswa baru-baru ini tidak berulang, Azmin berkata, ia adalah peluang terbaik bagi pihak polis memulihkan imej dan mengembalikan keyakinan awam.

"KEADILAN turut menggesa pihak polis untuk memelihara keselamatan awam termasuk para demonstran dan rakyat keseluruhannya yang berhimpun di Kuala Lumpur," tegas beliau.

Tiada ulasan: