Sabtu, 10 Disember 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Sultan : Pastikan Sekeliling Perpustakaan Dipelihara Kehijauannya

Posted: 10 Dec 2011 02:00 AM PST

SHAH ALAM, 10 DIS : Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan supaya memelihara kehijauan di sekeliling bangunan Perpustakaan Raja Tun Uda serta tidak membenarkan pembangunan yang mencemarkan alam sekitar dan boleh membawa kepada bencana.

Menurut Sultan Sharafuddin lokasi perpustakaan ini dipilih untuk memastikan pengunjung boleh mencergaskan minda disamping beriadah sambil membaca buku dan bahan bacaan ilmiah yang lain.

"Beta berpuas hati dengan koleksi bahan bacaan serta sistem susun atur di perpustakaan ini, namun ianya masih belum mencukupi, kerana keseluruhan rak yang ada boleh membuatkan kira-kira 400,000 naskah buku,sedangkan jumlah terkini koleksi buku ialah sekitar 190,000 naskah sahaja," titah Sultan Sharafuddin semasa merasmikan Perpustakaan Raja Tun Uda di sini.

Sultan Sharafuddin juga memaklumkan akan mengurniakan sebanyak 1,200 naskah buku yang merangkumi bidang kepimpinan di dalam politik, sejarah, ketenteraan, sukan, muzik, seni dan perniagaan.

"Pada peringkat permulaan ini, beta akan mengurniakan lebih kurang 350 buah buku terlebih dahulu dan selebihnya akan Beta kurniakan secara berperingkat-peringkat sehingga selesai keseluruhannya pada selewat-lewatnya bulan Mac 2012." titah baginda Sultan.

Baginda Sultan juga menyeru kepada kerajaan negeri supaya memberikan peruntukan yang mencukupi kepada perpustakaan itu.

"Beta juga menyeru kepada pihak swasta, perbadanan syarikat berkaitan kerajaan, tokoh-tokoh korporat dan individu agar dapat memberikan sumbangan bagi membantu perpustakaan meningkatkan koleksi buku dan bahan-bahan rujukan," titah Sultan Sharafuddin.

Perasmian perpustakaan ini turut dihadiri Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Selangor Dr Halimah Ali, Dr Yaakob Sapari, Teresa Kok, Rodziah Ismail, Elizabeth Wong dan Dr Xavier Jayakumar.

Sementara itu, Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Insan Dr Halimah Ali dalam ucapannya berkata perpustakaan itu sedang dalam proses menubuhkan yayasan yang dinamakan Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda.

"Yayasan ini bertujuan bagi mengurus dan mentadbir sumbangan dan derma yang diterima bagi pembangunan koleksi dan prasarana perpustakaan," kata Dr Halimah.

Perpustakaan Raja Tun Uda itu mula dibuka kepada orang ramai pada 22 Julai lepas, dan sehingga 30 November telah menerima pengunjung seramai 140,071 orang, pendaftaran keahlian baru 8,446 dan pinjaman bahan berjumlah 25,796.

Perpustakaan itu dibina dengan kos bangunan berjumlah RM60 juta dan kos rekabentuk dan prasarana dalaman berjumlah RM10 juta.

Bangunan yang setinggi enam tingkat itu berkeluasan 203,000 kaki persegi dan boleh memuatkan seramai 2,500 orang serta 400,000 naskah pada satu-satu masa.

Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan: