The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
- Tikam dari belakang....!
- Contohilah Semangat Kin Kasim, Ketua PKR Ranting Kg Penderas
- Ada yang nak tolong dan ada yang kata dia terpaksa berehat
- Saya komited untuk aktif sehingga PRU-13
Posted: 27 Dec 2011 09:08 AM PST Kalau seseorang itu dia mahu menjadi hero, dia takkan tikam orang dari belakang. Hero tak semestinya tak mati didalam perlawanan. Dia hero kerana dia gentleman, dia hero kerana dia jujur, dia ikhlas, dan dia perjuangkan yang prinsip. Mati dia tetap mati hero. Kalau kita tengok cerita-cerita ninggrat British, mereka pertahankan honour. Pertaham melalui pedang atau pertahan melalui pistol. Berpedang, mereka berlawan dengan salah seorangnya mati ditikam. Mati kerana mempertahankan honour adalah mati yang dihormati, mati seorang hero. Berpistol, mereka akan melangkah berpaling ke belakang dengan beberapa langkah, cukup langkah, berpaling kepada lawan. Mati kerana mempertahankan honour adalah mati dihormati, mati seorang hero. Yang tikam dari belakang dan tembak dari belakang adalah orang jahat, orang yang tak boleh dipakai didalam masyarakat, walaupun dia hidup tetapi pengenalannya adalah seorang yang jahat, tidak diterima didalam masyarakat, tidak diyakini, satu karektor yang dibenci. Apa kata dalam sesuatu organisasi. Secara berdepan semuanya baik-baik belaka, saya hello anda dan gosok belakang anda, cukup mesra, tapi dibelakang, tak ada perkara yang baik dilakukan. Habis karektor rakannya dia huraikan dengan membawa apa juga keburukan mengenai rakannya. Dia akan membawa mulut dari satu telinga ke suatu telinga yang lain sehingga masyarakat dapat mengenali manusia yang diumpatnya itu sebagai manusia yang tak senonoh. Siapa sebenarnya tak senonoh? Manusia yang membawa mulut itulah! Orang macam ni tidak boleh dibuat kawan. Kalau kenal dia, eloklah dari awal lagi sekat dia dari meresap dalam organisasi jika tidak mahu organisasi itu berpecah-belah. Orang macam ni, dia berpura-pura secara melampau untuk memuji seseorang lain secara berdepan, seolah-olah tidak ada sedikit pun keburukan orang yang dipuji itu. Hati-hatilah dengan orang seperti ini. Kalau dia boleh memuji secara berdepan, dia juga boleh mengeji apabila di belakang. Dia akan tikam rakan dia dari belakang, hancur imej dan karektor orang yang ditikam dari belakang itu. Insya Allah, kita sudah kenal kan? Dah kenal, ok, berhati-hati, dan jangan bawa dia kedalam organisasi kita, campak dia jauh-jauh, jika tidak akhirnya kita yang tercampak jauh. Setuju tak? |
Contohilah Semangat Kin Kasim, Ketua PKR Ranting Kg Penderas Posted: 27 Dec 2011 06:57 AM PST Bukan senang dizaman ini nak cari anggota akar umbi yang mempunyai pegangan yang kukuh dan prinsip yang tidak boleh dijual beli. Beliau adalah bekas ahli UMNO. Macam-macam dia buat semasa menjadi ahli UMNO. Dan sebagai seorang dari masyarakat Orang Asal dari Kg Penderas Kuala Krau, bukan mudah untuknya keluar dari UMNO. Tentu ada sebab-sebab yang benar-benar mengusik jiwanya menyebabkan dia keluar dari UMNO. Sejak dua tahun yang lalu dia menyertai Parti Keadilan Rakyat dan bersama-sama dengan lebih 60 orang penduduk Kg Penderas yang turut menyertai PKR, beliau telah menubuhkan ranting PKR di kampong itu dan beliau telah dipilih sebagai Ketua Ranting. Bila ditanyakan kenapa dia keluar dari UMNO, sebuah parti yang memerintah kepada PKR, sebuah parti Pembangkang, jawapannya mudah: "Tak ada apa yang diperjuangkan oleh UMNO untuk menjamin masa depan Orang Asli. Setakat buat jalan, beri elektrik dan air, itu semua kerajaan boleh buat, tak perlu UMNO; elektrik tu berbayar bukan free, air itu berbayar bukan free," ujar Kin. "Orang Asli mahu jaminan masa depan mereka, mereka mahu jaminan keatas tanah mereka. Kami penduduk kampong ini dah tengok tanah-tanah kami diceroboh, balak dikeluarkan dari hutan-hutan sekeliling kampong kami, kami hanya tengok dan dapat habuk!" katanya. "Tanah Orang Asli semakin mengecil, tengoklah disebelah kiri kanan jalan ni, dulunya menjadi tanah kami, tetapi sekrang ini sudah menjadi Rezab Perhilitan. Kerajaan UMNO ini lebih memberikan keistimewaan kepada binatang dari manusia. "Kami mahu tanah kami digezetkan, diwartakan dan tanah yang kami kerjakan seperti tanah kampong dan ladang kami perlu dikeluarkan geran. Kenapa tanah orang Cina, orang Melayu dan orang India ada geran, kenapa tanah kami tak ada geran? "Kami tuntut supaya kawasan tanah kami untuk penduduk kami iaitu tanah komunal kami ini diwartakan. Tanah yang diwartakan ini tidak boleh diceroboh melainkan dikenakan tindakan jenayah yang berat." Kin benar-benar memahami perjuangan Orang Asal terhadap tanah. Beliau juga menghadiri Majlis Perbincangan mengenai hak orang Asal terhadap tanah yang diselenggarakan oleh Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR di Seremban beberapa bulan yang lepas. Bukan sekali dua Kin telah dipujuk oleh Orang UMNO untuk kembali kepada UMNO. Pada suatu ketika ada pemimpin UMNO Kuala Krau menghulurkan duit RM50.00 kepadanya. Bukan nilai duit itu rendah menyebabkan Kin menolaknya tetapi dia tidak mahu dilihat bahawa nilai Orang Asal amat rendah dilihat oleh Orang UMNO. Kin telah menyelup poketnya dan mengeluarkan wang RM50.00 dari poket seluarnya dan berkata: "Kalau encik tak cukup duit, nah ambil duit RM50.00 dari saya." Amat tersipulah pemimpin UMNO itu. Disuatu ketika yang lain, pemimpin UMNO Kuala Krau telah menziarahi Kin dirumahnya di Kg Penderas. Rumah Kin yang begitu dhaif itu tidak mempunyai bekalan elektrik. Pemimpin UMNO itu menawarkan kepada Kin untuk membuat sambungan elektrik ke rumahnya, Kin bersetuju dan setelah rumahnya mendapat bekalan elektrik, pemimpin UMNO itu datang sekali lagi ke rumahnya dan mengajak Kin menyertai UMNO. Mendengar tawaran itu Kin merasa amat terhina dan terus berkata: "Kalau itulah niat awak, awak boleh tanggalkan semua wiring di rumah saya ni." Pemimpin UMNO yang sama masih tidak puas hati untuk memujuk Kin menyertai UMNO. Dia datang lagi ke rumah Kin dan menawarkan rumah PPRT kepada Kin. Kin setuju kerana rumahnya sangat dhaif. Syarat yang dikenakan oleh pemimpin UMNO itu ialah suapaya Kin menukar haluan pegangan politiknya daripada PKR kepada UMNO. Kin menjawab mudah: "Kalau itulah syaratnya, jangan datang lagi ke pondok saya ni!" Itulah semangat kental Kin. Cuba bandingkan dengan beberapa orang Wakil Rakyat PKR yang apabila mendapat habuan terus melompat parti. Alangkah malunya wakil-wakil rakyat itu! |
Ada yang nak tolong dan ada yang kata dia terpaksa berehat Posted: 27 Dec 2011 05:08 AM PST Dari jam 10.00 pagi tadi kami dari Group 3 telah pergi menampal poster untuk ceramah pada 30hb Disember 2011 dari Kg Masjid melalui Kg Seboi, Kg Kuala Mai, Kg Gong Halt ke Kg Paya sok; dan menyeberangi Sungai Pahang melalui jambatan Kuala Krau ke Kg Rumpun Makmur, Felda Jengka 24, Jengka 25, Jengka 21, Jengka 22 dan Jengka 23. Di setiap kampong yang kami tiba ada-ada saja yang datang mendekati kami, ada yang datang untuk membantu kami menampalkan poster dan ada pula yang pandang kami dengan gimik muka semacam tidak berkenan. Di Felda Jengka 24, seorang anak muda telah menemui kami dan meminta kami menyerahkan kepadanya untuk dia menampalkan poster di kawasan rancangan Felda itu. Di Jengka 22 pula, pengunjung kedai kopi yang kami lalui datang menyerbu kami meminta poster-poster untuk mereka tolong menampal, dan taukeh kedai itu berkata kepada saya; "Lah, takkan tuan Haji buat kerja ni sendiri, lain kali, tuan Haji hantar sahaja poster-poster ni disini dan kami akan tampalkan ke rancangan ini." Beliau merasa pelik kenapa saya buat tampal poster sendiri. Dia kata dia tak pernah jumpa pemimpin parti yang tampal poster, inilah kali pertama dia tengok pemimpin PKR buat kerja sendiri. Memang berbezalah konsep yang ada padanya bahawa pemimpin-pemimpin tidak layak menampal poster dengan konsep yang ada pada saya bahawa mana-mana pemimpin yang memilih sekadar untuk berceramah dipentas yang disediakan tidak akan tahu betapa letihnya anggota-anggota diperingkat bawah menjalankan kerja agar pemimpin-pemimpin mengerti bahawa parti dibina oleh semua pihak termasuk pihak bawahan yang memainkan peranan yang meletihkan. Jangan mereka lupa. Sesampai kami di Gong Halt, seorang pemuda yang berketayap memberitahu saya bahawa dia sudah tidak berani lagi nak pasang poster. Apabila saya tanya kenapa, dia jawab, "kini saya dah pegang jawatan tertentu dalam kampong ini, nanti kalau saya buat kerja itu, takut saya dibuang kerja." Apa kerja atau jawatan yang dia pangku di kampong itu? Tak payahlah saya sebut, tetapi sudah pasti dia bukan Ketua Kampong, jauh sekali dari Pengurus Ladang, dan gajinya pun hanyalah sekadar RM400.00. Kerana jawatan yang bergaji itu, dia sudah hilang keberanian untuk menjalankan kerja-kerja parti. Dia adalah ahli dari parti sahabat. Saya jawab, "Tak apalah asalkan semasa PRU nanti saudara masih boleh mengundi PR." Dia jawab, "Insya Allah." Di tempat kawasan hentian keretapi Gong Halt, seorang pekedai minta poster secukupnya untuk dia tampalkan didalam Estet Sungai Mai. Dia adalah seorang pekedai yang berani. Alhamdulillah. |
Saya komited untuk aktif sehingga PRU-13 Posted: 27 Dec 2011 04:27 AM PST Ada rakan-rakan bimbang bahawa saya akan menarik diri dari bertindak aktif didalam parti kerana saya telah mengumumkan bahawa saya memilih untuk tidak menjadi calon didalam PRU-13. Saya memberi jaminan kepada rakan-rakan didalam parti khususnya rakan-rakan didalam Jawatankuasa PKR Cabang Kuala Krau bahawa saya tidak akan mengurangkan walau sedikit pun pengelibatan saya didalam parti khususnya di PKR Kuala Krau. Sebelum PRU-13 ini saya akan pastikan bahawa PKR Kuala Krau akan mempunyai jentera parti yang kukuh dan kuat, dengan keanggotaan yang lelbih komited. Saya akan pastikan semua bilik-bilik gerakan daripada Bilik Gerakan Utama kepada bilik-bilik gerakan diperingkat ranting dapat bergerak cergas dan disana akan diwujudkan pengkalan data yang lengkap bagi menentukan apa juga keputusan parti untuk kejayaan dimasukkan. Saya puas hati bahawa sehingga kini PKR Kuala Krau sudah berjaya mengujudkan jumlah PACABA yang mencukupi untuk semua saluran mengundi dengan setiap saluran diperuntukkan seramai 6 orang PACABA. Setakat ini DUN Jenderak sudah pun mempunyai 200 orang sukarelawan, lelaki dan wanita disamping PACABA yang akan turut menjadi sukarelawan sehingga hari mengundi. Gerakan kerja parti semakin hari semakin ditingkatkan dengan AJK Cabang serta sukarelawan terlibat dengan kerja-kerja membuat edaran, edaran-edaran dalam Bahasa Melayu, Cina dan Tamil disediakan. Saya berjuang untuk parti dan bukan individu,dan oleh kerana itu, saya akan memberikan sokongan saya kepada mana-mana calon yang dipilih untuk parti didalam Pilihanraya ini. Selepas PRU-13, saya telah memberitahu rakan-rakan di PKR Cabang bahawa saya mahu melihat perubahan pimpinan di Kuala Krau dan tempat yang saya pegang sekarang perlulah dipangku oleh Timbalan Ketua Cabang sehinggalah pemilihan yang bakal dibuat didalam MATC pada tahun 2013. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan