Jumaat, 16 Disember 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Transformasi? Ya, berlaku di Palong

Posted: 16 Dec 2011 05:25 PM PST

Tiada siapa boleh menduga. UMNO yang berada didalam "comfort zone" tidak menduga. PKR yang sentiasa tertekan dan ditekan didalam rancangan-rancangan Felda tidak pernah menduga.

Dato Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menduga bahawa kehadirannya di Felda Palong 6 dalam siri lawatannya ke Negeri Sembilan berjaya menjemput lebih dari 2000 orang Peneroka Felda sekitar Palong dan menerima kemasukan lebih 350 orang anggota baru yang disampaikan oleh Ketua PKR Ranting Felda Palong 6, Sdr Ariffin, yang baru bulan lepas menyertai PKR dari UMNO.

YB Zuraida Kamaruddin tidak pernah menduga bahawa kehadirannya di Felda Palong 8 didalam siri lawatan kerjanya di DUN Palong berjaya mengumpulkan hampir 1000 orang peneroka Felda Palong 8.

Saya samasekali tidak menduga kebangkitan yang begini pesat di DUN Palong. Saya turut diundang semasa penubuhan PKR Ranting Palong 10, Palong 9, Palong 4, Palong 5, Palong 6 dan Palong 7 dan 8.

Dari minggu ke minggu saya dipanggil untuk Majlis Ceramah dan Majlis Dialog di DUN Palong. Peneroka-peneroka Felda di DUN Palong mempunyai pelbagai masalah yang didatangkan oleh Felda dan UMNO.

Kayu getah mereka dijualkan oleh Felda, JKKR dan UMNO dengan harga tak sampai dari separuh dari harga pasaran.

Mereka menjemput Sdr T.Kumar, Rebin dan saya kedalam Majlis Dialog, beberapa Majlis Dialog; dan mereka yang menyertai Majlis-Majlis Dialog ini terdiri daripada ahli-ahli UMNO yang tidak berpuas hati.

Akhirnya, masalah-masalah mereka dibawa ke Mahkamah. Ada kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah dan kemenangan memihak kepada peneroka-peneroka. Banyak lagi kes-kes mereka yang sudah difailkan di Mahkamah, tetapi tarikh perbicaraan belum ditetapkan lagi.

Isunya, bukan siapa menang siapa kalah di Mahkamah, tetapi keupayaan Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR mengadakan dialog dengan peneroka-peneroka yang terdiri daripada ahli-ahli UMNO, dan akhirnya mereka menyertai PKR dan rantiing-ranting baru yang ditubuhkan adalah dipimpin oleh bekas ahli-ahli UMNO dan keanggotaanya terdiri daripada 100% bekas ahli-ahli UMNO.

Mereka tidak memperdulikan "durian runtuh", tidak memperdulikan bayaran RM100.00 bagi setiap anak yang bersekolah kerana itu melibatkan duit Kerajaan iaitu duit rakyat bukan duit UMNO, mereka tidak memperdulikan bayaran RM500.00 kepada mereka yang berpendapatan RM3000.00 kebawah. Itu semua bayaran "one-off" yang mereka sudah baca sebagai umpan Pilihanraya. Mereka akan ambil bayaran RM100 itu dan RM500 itu, dan mereka tidak lagi dapat dipancing dengan umpan yang begitu kecil

Mereka lebih berminat dengan lebihan pendapatan yang tidak dikembalikan oleh Felda kepada mereka oleh Felda yang dikira sebanyak RM150,000.00 setelah 5 tahun ladang mereka mengeluarkan hasil.

Mereka lebih berminat dengan seruan PKR untuk penghapusan hutang mereka kerana mengikut kira-kira bahawa Feldalah yang berhutang dengan mereka. Mereka tidak mahu menanggung hutang atas angin yang dikenakan oleh Felda sebanyak lebih RM90,000.00 setelah 8 tahun kebun mereka ditanam semula, sedangkan pendapatan sebenar mereka adalah melebihin RM200,000.00 dan mengikut kira-kira itu, Feldalah yang berhutang dengan mereka.

Mereka lebih berminat agar Felda Technoplant/Felda menyempurnakan tanam semula kebun-kebun mereka kerana sehingga kini ada kebun-kebun mereka yang sudah melebihi 3 tahun selepas penebangan tidak ditanam semula oleh Felda walaupun mereka sudah menandatangani surat menyerahkan kebun masing-masing untuk ditanam semula oleh Felda.

Apalah sangat wang RM100.00 atau RM500.00 jika dibandingkan wang mereka yang tidak dikembalikan oleh Felda berjumlah beratus ribu ringgit.

Apalah sangat wang sebanyak itu jika dibandingkan dengan kegagalan Felda menyempurnakan tanam semula untuk kebun-kebun mereka.

Apalah sangat wang yang segelintir itu jika dibandingkan dengan hutang yang dibebankan oleh Felda sebanyak RM90,000.00 iaitu hutang atas angin yang Felda sendiri tidak berupaya mengeluarkan Penyata Kira-Kira keatas pendapatan dan tanggungan peneroka-peneroka.

Mereka mahu menuntut yang lebih asas, hak dan kepentingan mereka, bukan secebis wang yang bertujuan untuk memancing undi.

Anak-anak muda mahukan supaya Felda Plantation dibubarkan dan mereka mahukan tanah-tanah itu diagih-agihkan kepada mereka seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat didalam Buku Jingga. Tetapi tindakan Felda dan Kerajaan sangat mengeciwakan anak-anak muda kerana Felda Plantation dipajakkan kepada Felda Global Ventures untuk penyenaraian di Bursa Saham yang akhirnya akan menghapuskan peluang anak-anak muda untuk mendapatkan tanah sebagai Peneroka Baru.

UMNO boleh menipu rakyat di sesuatu ketika tetapi tidak boleh terus menerus menipu rakyat sepanjang zaman. Pembohongan dan penipuan UMNO sudah terdedah.

Apakah dia transformasi di Palong? Peneroka-Peneroka Felda dan Generasi Baru Felda kini beralih bukan setakat mahu menyokong Pakatan Rakyat tetapi terus menyertai Parti Keadilan Rakyat sebagai anggota dan memimpin peneroka-peneroka bagi membawakan perubahan.

Transformasi? Ya, benar! Palong akan membawa perubahan dari UMNO kepada Parti Keadilan Rakyat!

Posted: 16 Dec 2011 05:25 PM PST

Tiada ulasan: