Sabtu, 19 November 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Crime Made Easy (Jenayah dipermudahkan)

Posted: 19 Nov 2011 03:12 PM PST

Melihat dan mengkaji apa yang berlaku dipersada perlakuan jenayah di Malaysia, perbuatan itu sudah dipermudahkan.

Malaysia kini sudah terkenal dengan Jenayah Yang Dipermudahkan. Dizaman pemerintahan Inggeris dahulu, jenayah adalah sesuatu yang serius, tidak boleh dilakukan walaupun perbuatan itu hanya melibatkan 10 sen; jenayah tetap jenayah.

Pada hari ini jenayah akan menjadi jenayah jika pelakunya berada didalam dua kategori. Pertama, jika jenayah itu dilakukan oleh Pembangkang; Kedua, jika jenayah itu dilakukan oleh anggota masyarakat biasa (termasuk juga anggota Polis biasa).

Jenayah besar akan ditutup, ataupun akan dicarikan kambing hitam untuk dijadikan mangsanya untuk dibawa ke Mahkamah. Dua orang anggota Polis telah didapati bersalah kerana membunuh Altantuya. Kedua-duanya tidak kenal kepada Altantuya; tidak pernah bertemu dengannya; tidak pernah ada bersengketa dengannya; bersalah kerana ada Orang Besar yang dilindungi.

NFC adalah jelas suatu kes jenayah yang melibatkan keluarga Menteri. Beratus juta wang diluluskan untuk projek pemeliharaan lembu disamping 5000 ekar tanah diluluskan untuk projek itu di Negeri Sembilan.

Wang yang diluluskan oleh Kerajaan itu digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk membeli 2 buah kondominium, suatu penyelewengan yang tidak ada tolok bandingnya. Tetapi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Khairy Jamaludin kesemuanya menyatakan tidak ada apa-apa penyelewengan berlaku.

Rakyat Malaysia kini didedahkan dengan suatu agenda Kerajaan bahawa Kerajaan boleh meluluskan peruntukan besar untuk melakukan sesuatu projek demi kepentingan Negara tetapi peruntukan besar yang diberikan kepada keluarga Menteri itu boleh digunakan untuk membeli 2 buah kondo yang berharga berbelas juta ringgit. Tidak ada apa-apa unsur jenayah yang dikesan disitu. Dan wang rakyat itu adalah untuk kepentingan keluarga Menteri. Menteri boleh lakukan jenayah dan pihak Polis tidak perlu mengambil apa-apa tindakan, dan Peguam Negara boleh berpeluk tubuh apabila Perdana Menteri berkata bahawa tidak ada apa-apa perkara yang diselewengkan.

Didalam bidang yang lain pula, seseorang yang akan menjadikan dirinya mangsa jenayah, akan bertemu dengan Perdana Menteri dan isterinya untuk membincangkan bagaimana jenayah itu akan dilakukan keatasnya 2 hari sebelum laporan polis diperbuat. Walaupun semua para doktor yang membuat penyiasatan menyatakan tidak ada tusukan, tidak berlaku apa-apa kesan dan perkara itu tidak berlaku, pihak Polis sangat pantas membuat pertuduhan kepada pemimpin Pembangkang diatas perbuatan jenayah yang tidak pernah berlaku tetapi dengan arahan dari pihak pimpinan Negara.

Jenayah di Malaysia ini perlu ditulis dari sudut dan perspektif yang berbeza. Kalau seseorang itu mengkaji undang-undang, beberapa elemen dan kriteria mesti terlebih awal wujud sebagai pembuktian perlakuan jenayah.

Tetapi di Malaysia itu semua tidak perlu apabila melibatkan Pembangkang. Semua bukti boleh dibuat dan dicarikan caranya.

Seseorang yang tidak pernah berada didalam bilik kondominium boleh dikatakan menjadi mangsa liwat kerana ada bukti mangsa itu masuk dan keluar lif, walaupun tidak pernah berada ditempat dianya diliwat.

Air mani yang sudah mati segala elemennya kerana terdedah begitu lama tidak disimpan ditempat yang diperlukan mengikut prosedurnya, didapati masih segar seolah-olah baru berlaku beberapa jam sahaja. Ini semuanya berlaku kerana di Malaysia ini Jenayah sudah dipermudahkan. Orang yang hendak dipenjarakan boleh bawa apa juga bukti termausk alibi akan tetap juga didapati bersalah kerana orang itu perlu dipenjarakan untuk menyelamatkan Perdana Menteri dan parti politik yang diwakilinya kerana Parti itu sudah busuk hingga ke ususnya.

Komisyen hingga beratus juta ringgit kesemuanya bukan jenayah kerana dilakukan oleh Menteri, keluarga Menteri dan kroni-kroni Menteri.

Tetapi wang yang melibatkan hanya sekadar RM2000.00 boleh disiasat hingga terbunuh orang yang disiasat.

Ramai pula yang mati didalam lock-up tetapi tidak menjadi apa-apa kesalahan jenayah kerana orang yang mati itu dianggap penjenayah yang tegar, maka nyawa mereka itu halal dipisahkan.

Senario Jenayah Dipermudahkan ini adalah gambaran yang menghantui Negara. Siapa tahu esuk lusa kamu akan ditahan dibawah suatu jenayah yang kamu tidak tahu siapa yang melakukannya tetapi kamu menjadi warga malang kerana kamu dituduh. Kamu boleh mati didalam lock-up dan kalau kamu berjaya tidak mati, kamu boleh dipertuduh di Mahkamah dan akhirnya kamu tetap akan bersalah dan dipenjarakan.

Lebih mudah lagi apabila ISA digunakan. Selepas 60 hari siasatan, kamu boleh dipenjarakan selama 2 tahun dan boleh diperbaharui 2 tahun sekali. Tak perlu apa-apa bukti. Apabila kamu ditahan, kamu sudah bersalah dan penjara 2 tahun pertama menunggu kamu.

Jenayah yang dipermudahkan ini merosakkan imej Negara. Rakyat dimangsakan sebagai pelaku jenayah dan dipenjarakan. Mereka yang bersalah kerana salahguna kuasa, melakukan rasuah, bahkan melakukan pembunuhan, tidak akan ke penjara atau ke tali gantung kerana Perdana Menteri berkata tidak ada unsur-unsur jenayah dilakukan. Mudahkan undang-undang jenayah Negara ini. Ikut sukahati Perdana Menteri!

Tiada ulasan: