Selasa, 15 November 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


MCA adalah sebuah Parti Cina yang takut bertanding di kawasan majoriti Cina

Posted: 15 Nov 2011 05:22 AM PST

Cukup ironi. MCA adalah sebuah parti perkauman Cina. Kewujudannya adalah untuk politik kaum Cina, tegak semata-mata dengan asas sokongan Orang Cina dan keseluruhan kehadirannya adalah kerana kaum Cina.

Tetapi MCA sangat takut untuk bertanding di kawasan yang bermajoritikan pengundi kaum Cina. Ia lebih selesa bertanding di kawasan campuran yang wujud kehadiran pengundi Cina tetapi tidak bermajoriti Cina.

Di kawasan-kawasan majoriti Cina, MCA dengan mudah boleh dikalahkan oleh DAP walaupun calon DAP itu bukan dari kaum Cina.

Walaupun politik Negara ini mahu dipesungkan berterusan untuk berasaskan perkauman oleh parti-parti didalam Barisan Nasional khususnya UMNO, MCA dan MIC dengan menekankan isu-isu perkauman, namun rakyat sudah mulai mahu melupakan politik perkauman tetapi bertegak diatas politik perpaduan kaum.

Jika didalam Pilihanraya Umum yang lalu lalu, MCA boleh hidup dengan politik perkauman Cinanya, tetapi Pilihanraya Umum ke12 dan lebih-lebih lagi ke-13, asas itu sudah ditinggalkan oleh pengundi-pengundi Cina.

Mereka tidak gentar untuk mengundi calon-calon Melayu atau India dan menolak calon-calon dari MCA dan Gerakan menandakan bahawa zaman untuk terus bertegak diatas asas perkauman sudah berakhir.

Pengundi-pengundi Cina mahu mengundi untuk keadilan, ketelusan, dan kebajikan. Banyak calon-calon MCA dan Gerakan, termasuk beberapa orang Menteri dan Timbalan Menteri dari kalangan orang Cina telah jatuh dan dijatuhkan oleh calon-calon yang sesetengahnya terdiri daripada kalangan Orang Melayu dan India.

Politik perkauman sudah ketinggalan zaman. Walaupun politik itu cuba dibaja, disiram dan diberikan nafas baru seperti kemunculan PERKASA yang sangat perkauman yang cuba menjadi barisan hadapan kepada UMNO, politik perkauman dikalangan Orang Melayu juga semakin kehilangan taring.

Rakyat berhadapan dengan masalah yang sama dan dikalangan rakyat biasa mereka berhadapan dengan kenaikan harga barang yang menghakis kuasa beli mereka. Keadaan ini dirasakan oleh semua kaum.

Kalau di luar bandar, harga getah sudah begitu susut. Semasa harga getah melonjak hingga RM6.00 sekilo, UMNO memainkan politik tonjol diri bahawa kenaikan harga getah itu adalah kerana kebijaksanaan pemimpin-pemimpin UMNO. Pada hari ini harga getah jatuh kepada RM3.40 sekilo, dan pemimpin-pemimpin UMNO tidak pula menyatakan bahawa mereka itu tidak bijaksana melainkan mengatakan bahawa jatuhnya harga getah itu adalah kerana masalah naik-turun harga komoditi di pasaran. Bila naik dikatakan pemimpin UMNO yang cerdik tetapi bila turun kenapa tidak dikatakan pemimpin UMNO yang bodoh!

Oleh kerana itu orang luar bandar pun sudah memahami bahawa kenaikan harga komoditi dipengaruhi oleh ketentuan pasaran. UMNO tidak ada kuasa menentukannya.

Orang Melayu juga telah melihat bahawa apabila Pakatan Rakyat memenangi lebih dari 80 kerusi di parlimen, wakil-wakil rakyat dari Pakatan Rakyat datangnya daripada berbagai kaum, Melayu, Cina dan India; dan wakil-wakil rakyat ini pula tidak memilih bulu untuk memberikan khidmat mereka.

Di Selangor, semua penduduknya mendapat air percuma tanpa mengira kaum. Anak-anak baru lahir diberikan buku akaun simpanan oleh Kerajaan Selangor tanpa mengira kaum. Waris-waris yang kehilangan ibu-bapa warga tua mendapat bayaran khairat kematian tanpa mengira kaum. Guru-guru KAFA mendapat imbuhan elaun bulanan yang sudah 3 kali ganda lebih besar dari semasa UMNO memerintah. Remaja yang dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading memperolehi imbuhan dari kerajaan Selangor tanpa mengira kaum.

Dengan tindakan berperinsip kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor itu dengan menghulurkan bantuan kepada penduduknya tanpa mengira kaum merubah persepsi pegangan penduduk Selangor dari berlandas kepada perkauman kepada perpaduan.

MCA, MIC dan Gerakan sudah hilang daya upaya untuk bermain dengan politik perkauman. UMNO masih mahu bertegak dengan politik perkauman tetapi politik UMNO ini sudah menjadi semakin jumud dan kolot dan jika UMNO tidak merubah cara berpolitik dan masih berpegang kepada politik perkauman, parti itu akan ditolak oleh semua kaum yang ada di Negara ini.

Politik perkauman bukanlah bererti bahawa UMNO itu membela Melayu, bahkan apa yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO adalah tengkolok mereka sendiri. Mereka mencari kepentingan diri sendiri, memperkayakan diri dan memperalatkan Melayu untuk kepentingan diri mereka sendiri.

UMNO akan menjadi sebuah parti yang terpencil yang akan hanya diundi oleh segelintir Melayu yang mempunyai pemikiran yang pekat berpaut kepada perkauman tegasr diatas dasar "I love my party, right or wrong".

Perkauman adalah penyakit yang sudah ada antedotenya, dan Malaysia tidak akan kembali kepada kefahaman politik yang kolot itu!


Tiada ulasan: