Jumaat, 4 November 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Hari Raya Aidil Adha tahun ini

Posted: 04 Nov 2011 07:55 PM PDT

Setelah beberapa lama, inilah tahun pertama saya tidak kesempatan untuk menyertai korban yang dianjurkan oleh Masjid di kampong saya. Tanya-tanya, sudah tidak ada ruang lagi kerana semua lembu yang disediakan sudahpun dikongsikan.

Tapi tak mengapalah. Saya akan pergi juga ke perkarangan Masjid untuk menyempurnakan penyembelihan lembu-lembu yang ada disediakan itu.

Ramai juga yang berkorban tetapi tenaga sukarela untuk melapah adalah terhad. Sekurang-kurangnya dapatlah saya sumbangkan tenaga saya kearah itu.

Didalam suasana ini, saya masih teringin untuk berhariraya di Mekah. Pada tahun 1982 dulu memang saya memperolehi kesempatan itu. Kami berkongsi seekor unta. Kami lapahkan bersama, dan seluruh warga haji bersama kami itu menyumbangkan tenaga dan dagingnya dibahagi-bahagikan kepada semua penghuni di flat itu.

Itu sudah lama. Saya juga pernah berumrah di Bulan Ramadhan. Tetapi tidak berhariraya di 1 Syawal di Mekah, saya ambil pakej dari awal bulan Ramadhan dan kembali dipertengahan Ramadhan.

Tahun hadapan jika umur panjang dan dikurniakan rezeki, saya bersama isteri dan adik perempuan saya bersama suaminya akan menunaikan Haji. Ya Allah berilah kesempatan kepada saya dan isteri saya serta adik saya dan suaminya menunaikan Ibadah Haji tahun hadapan. Adik saya dan suaminya itu pernah mengerjakan Haji dan Umrah.

Saya pernah melakukan Umrah seorang diri tanpa melalui mana-mana pakej. Saya uruskan visa dan mengambil penerbangan dari Subang ke Jeddah, kemudian menyewa sebuah taxi ke Mekah.

Setelah melakukan beberapa kali Umrah melalui Tanaim, saya meninggalkan Mekah ke Madinah dengan bas, dan kembali semula ke Mekah dengan bas. Perbelanjaannya kecil. Saya dapat menumpang di Rumah Tabung Haji di Mekah dan Tabung Haji di Madinah.

Saya sempat berulang alik dari Mekah ke Madinah dan sebaliknya sebanyak 2 kali didalam tempoh 12 hari saya berada di Saudi Arabia. Itu betul-betul pengalaman baru bagi saya.

Saya tidak membawa apa-apa pakaian kecuali yang dipakai dan kain ihram kerana banyak masa saya membuat umrah dan terus menggunakan ihram saja.

Selepas Umrah dan untuk kembali ke Malaysia, saya tinggalkan kain ihram saya dan berpakaian seperti saya datang, hanya dengan sehelai seluar, seluar dalam dan sehelai baju, dan didalam beg kecil saya ada dua lagi seluar dalam, sehelai baju, dan sehelai seluar.

Apabila saya sampai di Temerloh (dari KL ke Temerloh saya naik taxi), rodong-rodong tidak percaya bila saya katakan saya baru pulang dari mengerjakan Umrah.

Tiada ulasan: