Selasa, 1 November 2011

BULETIN RAKYAT

BULETIN RAKYAT


MTUC : Piket pekerja berlangsung serentak di 18 lokasi pada 3.Nov ini.

Posted: 01 Nov 2011 01:20 AM PDT


azlanKongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memberi jaminan piket yang akan diadakan di seluruh negara Khamis ini akan diadakan secara aman.

Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor juga berkata piket bagi membantah pindaan terhadap Akta Kerja 1955 yang diluluskan Parlimen pada 6 Oktober lepas, tidak akan mengganggu ketenteraman awam serta tidak mengganggu tugas pekerja terbabit kerana ia akan diadakan selepas waktu bekerja iaitu antara pukul 5 hingga 6.30 petang.

Beliau berkata sebanyak 18 lokasi piket telah ditetapkan iaitu Seksyen 15 Shah Alam, Jalan Persiaran Kuala Selangor, Teluk Panglima Garang, Jalan Barat Petaling Jaya, Bukit Raja Klang, Rawang/Sungai Choh di Selangor, Pulau Pinang (Hadapan Pearl View Hotel, Prai), Melaka (Jalan Bukit Beruang Air Keroh), Negeri Sembilan (Padang Majlis Perbandaraan Seremban).

Di Perak (Hadapan bangunan MTUC, Ipoh), Pahang (Padang Masjid Negeri, Kuantan), Kelantan (hadapan Kota Baharu Trade Centre), Johor (hadapan MasjidJamek Kampung Pasir, Batu 5 Jalan Skudai), Kuala Lumpur (hadapan bangunan KWSP Jalan Raja Laut), Sabah (hadapan Tang Dynasty hotel dan Centre Point Kota Kinabalu), Kedah (hadapan Sime Tyre International, Mergong) dan Sarawak (hadapan Bangunan Sultan Iskandar, Kuching).

Ketika dihubungi Bernama, Abdul Halim berkata pihaknya telah menghantar surat kepada Ketua Polis Negara bagi memaklumkan tujuan serta lokasi piket itu diadakan.

"Berdasarkan pengalaman selama 30 tahun bersama MTUC, saya memberi jaminan bahawa piket ini akan berlangsung secara aman bagi membela nasib pekerja dan memastikan perlindungan serta hak-hak pekerja terjaga.

"Insya-Allah piket ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pekerja berdasarkan lokasi yang kita pilih iaitu berhampiran dengan tempat kerja bagi memudahkan mereka datang memberi sokongan," katanya.

Beliau berkata piket itu di jangka melibatkan antara 300 hingga 500 orang di setiap lokasi dan pegawai kesatuan telah diberi tanggungjawab memastikan piket berlangsung secara aman.

Ditanya mengenai bantahan terhadap pindaan Akta Kerja 1955 itu, Abdul Halim berkata isu utama mengenai pindaan akta itu ialah wujudnya kontraktor tenaga kerja dan ini membolehkan majikan 'mengupah' kontraktor itu memberikan tenaga kerja kepada majikan berkenaan.

Beliau berkata sistem itu membuatkan pekerja itu bekerja untuk kontraktor bukan majikan berkenaan menyebabkan majikan tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja terutamanya melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

-- Bernama

APA HUBUNGAN MALAYSIA DGN ISRAEL ~ SUSAH KE NAK JAWAB

Posted: 01 Nov 2011 12:38 AM PDT

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa berkata sikap membisu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed apabila diajukan soalan mengenai hubungan diplomatik dengan Israel disifatkan mempunyai 'udang disebalik batu'.
Er mendapati kenyataan dalam sebuah laman web www.anakmudamalaysia.com bahawa wujud beberapa dokumen kastam, buku-buku dan ucapan Menteri Perdagangan dan Industri Israel yang menunjukkan hubungan dagang dengan Malaysia.
Maka penjelasan lanjut dikemukakan beliau ketika persidangan Dewan Rakyat semalam sehingga menyebabkan beliau diarahkan meninggalkan dewan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Katanya disebabkan keengganan menteri menjawab disebalik kebenaran laman web itu menunjukkan seolah-olah kerajaan menyorokkan sesuatu berhubung hal tersebut.

"Saya hanya meminta Menteri untuk menjawap benar atau tidak wujudnya hubungan dagang ini. Sekiranya tidak, Perdana Menteri harus menafikan kenyataan Menteri Perdagangan dan Industri Israel, Mischa Harish yang menyebut secara jelas dalam kata-kata aluan beliau dalam majalah promosi perdagangan Isreal.
Menteri Israel itu dipetik sebagai berkata, "The public declaration of the Malaysian Prime Minister and Minister of International Trade and Industry that their country intends to pursue economic relations with Israel is another milestone in the development of trade in this continent."
"Kenyataan Mischa Harish ini boleh mengguris hati bukan sahaja umat Islam di Malaysia tetapi juga seluruh rakyat yang mengutuk kekejaman tentera Zionis Israel terhadap rakyat awam Palestin beberapa tahun ini," dakwa beliau.
Menurut Er selama ini kerajaan Barisan Nasional (BN) kerap menuduh Pakatan Rakyat sebagai agen zionis, namun hakikatnya mereka yang sebenarnya bersekongkol dengan Israel.
Er berkata isu ini bukan kecil kerana ia melibatkan pandangan dunia terhadap Malaysia, memandangkan seantero dunia menyelar kekejaman Israel terhadap Palestin.
Jelas beliau, Malaysia dilihat vocal dalam menyuarakan pandangan mengutuk kekejaman Israel, malah negara kita aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan terhadap penduduk Palestin.
"Kenyataan Mischa Harish dan pendedahan dokumen Kastam transaksi perdagangan dengan syarikat berpengkalan di Israel, apatah lagi keengganan Menteri menjawap boleh mencacatkan pandangan dunia terhadap inisiatif Malaysia terhadap isu kemanusiaan di Semenanjung Gaza," katanya yang juga wakil rakyat dari DAP.

Tiada ulasan: