Isnin, 7 November 2011

AMK BATU

AMK BATU


Pakatan sedia sokong protes jika Najib panggil PRU sebelum syor panel khas.

Posted: 06 Nov 2011 08:31 PM PST


Petikan dari Malaysianinsider.

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Datuk Seri Najib Razak kini berhadapan dengan protes jalanan besar-besaran kedua jika pembaharuan pilihan raya gagal dilaksanakan sebelum memanggil pilihan raya umum ke-13, langkah yang dijangka boleh mengganggu usaha pentadbirannya mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Semalam, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) memberi perdana menteri kata dua bahawa pihaknya akan mengadakan protes mirip Bersih 2.0 jika membubarkan Parlimen sebelum pembaharuan pilihan raya dikuatkuasakan.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini melahirkan sokongan dengan pelan itu dan mahu Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menunaikan janjinya.

Pemimpin-pemimpin PR yang dihubungi berkata perdana menteri harus membolehkan jawatankuasa pilihan khas, yang beliau telah bentuk, menyelesaikan fungsi mereka dalam tempoh enam bulan dan melaksanakan syor-syor yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-13.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar memberitahu The Malaysia Insider, partinya akan memberi sokongan kepada satu lagi protes jika perlu.

"Saya percaya rakyat menunggu bukti janji-janji pembaharuan yang dibawa oleh perdana menteri," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai ini dalam kenyataan menerusi SMS.

Tegas Nurul Izzah, oleh kerana isu-isu pembaharuan pilihan raya berkaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0, perlu ada gelombang ketiga.

Najib dan imej pembaharuan beliau berhadapan dengan kritikan banyak pihak termasuk media antarabangsa ekoran tindakan keras pentadbirannya menangani perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli juga berkata, partinya akan menyokong pendirian PR bagi memastikan pilihan raya umum ke-13 hanya akan dipanggil selepas pembaharuan pilihan raya dilaksanakan.

"Pada pandangan parti-parti, sepatutnya tidak ada pilihan raya sehingga pembaharuan dilaksanakan.

"Jadi dua kumpulan itu merasakan bahawa kita telah diperdaya, kemungkinan akan ada sokongan, Pakatan Rakyat akan mempertimbangkan langkah menyokongnya kerana kami telah pun menjelaskan perkara itu sebelum ini," kata beliau yang juga anggota jawatankuasa itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen DAP Anthony Loke berkata, beliau akan berusaha untuk melakukannya menerusi jawatankuasa berkenaan sebelum memberi kata dua mengenai protes.

"Pada masa sekarang, kami melihat pada opsyen-opsyen yang ada tetapi kita cuba untuk melakukannya menerusi jawatankuasa pilihan khas ini," kata beliau yang juga anggota panel khas itu.

"Jika ia (pilihan raya) diadakan, kita perlu membuat keputusan kemudian. Kita tidak boleh membuat andaian sekarang, kami akan mengadakan mesyuarat susulan Khamis depan," katanya lagi merujuk kepada pertemuan berkala jawatankuasa berkenaan.

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang juga berkata, terlalu awal untuk mengatakan sama ada satu protes jalanan besar-besaran diperlukan pada masa sekarang.

"Saya tidak mahu membuat jangkaan buat masa sekarang, tetapi harapan rakyat adalah tinggi," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Batu.

Tiada ulasan: