www.telokkemang.blogspot.com/ |
- SOALAN TAMBAHAN PARLIMEN TELOK KEMANG
- JAWABAN SOALAN PARLIMEN - TELOK KEMANG -
- PERLANTIKAN ISA SAMAD HARAM
SOALAN TAMBAHAN PARLIMEN TELOK KEMANG Posted: 11 Oct 2011 09:39 PM PDT SIDANG PARLIMEN - MESYUARAT KETIGA - PENGGAL KEEMPAT - PARLIMEN KEDUABELAS 2011 10 OKTOBER 2011 - ISNIN - Dato' Kamarul Baharin Abbas [Telok Kemang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya kagum dengan beberapa maklumat yang diberikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri berkenaan dengan soalan saya. Hanya ini tidak memberi keadaan sebenar kerana masalahnya ialah dia menunjukkan bahawa maklumat peneroka, hutang peneroka kepada FELDA. Masalahnya ialah di banyak tempat penyata hutang memang 'up to date', tiap-tiap bulan ada penyata hutang. Apa yang menjadi masalah ialah penyata hasil peneroka tidak diberi oleh FELDA ada tempatnya sampai ke lima tahun. FELDA hanya memberi pendahuluan (advance) sebanyak RM1,500 kepada peneroka berkenaan tetapi apabila diminta penyata hasil ini tidak dapat ditunaikan oleh FELDA. Maka hutang peneroka bertambah seperti mana yang saya cakap sampai ke lima tahun dan secara automatik hutangnya akan sampai kepada angka RM80,000 hingga RM100,000. Soalan saya ialah kenapa FELDA mempunyai masalah untuk menyediakan penyata seperti mana yang lazimnya dilakukan dalam transaksi urusan niaga yang perlu FELDA tunaikan supaya ini tidak memberi gambaran yang sebenar kepada kedudukan kewangan peneroka-peneroka berkenaan. Terima kasih. Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Terima kasih atas maklumat yang diberikan oleh Ahli Yang Berhormat. Saya rasa itu masalah yang terpencil ia bukan menjadi masalah yang umum kepada peneroka. Tadi disebut advance RM1,500 pendahuluan hasil RM1,500. Maksud apabila diadakan pendahuluan hasil tanah itu baru tanam semula belum dapat hasil sepenuhnya. Mungkin di setengah-setengah tempat apabila baru tanam semula hasil peneroka itu masih lagi belum dapat dirumuskan berapakah jumlah sebenar. Saya kira itu di antara punca masalah yang disebutkan oleh Yang Berhormat. Akan tetapi di semua rancangan FELDA kita ada pengurus rancangan di dalam kampung peneroka itu sendiri dan ada beberapa pegawai lain di dalam setiap 317 kawasan rancangan. Peneroka yang tidak puas hati boleh jumpa pengurus 24 jam kalau tidak puas hati tentang penyata dan sebagainya semua boleh jumpa 24 jam pada pengurus dan kita tidak tipu peneroka. Kita beri jaminan tidak tipu peneroka itu masalah yang terpencil sahaja Yang Berhormat. Masalah yang terpencil. |
JAWABAN SOALAN PARLIMEN - TELOK KEMANG - Posted: 11 Oct 2011 09:16 PM PDT DEWAN RAKYAT PARLIMEN KEDUA BELAS - PENGGAL KEEMPAT - MESYUARAT KETIGA - 10 OKTOBER 2011 - ISNIN - Dato' Kamarul Baharin bin Abbas [Telok Kemang] minta Perdana Menteri menyatakan: (a) butiran terakhir jumlah peneroka yang masih terhutang dengan FELDA serta jumlah keseluruhannya; dan (b) jumlah wang caruman tanaman semula dalam Tabung Tanam Semula setakat ini. ____________________________________________________________________
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan] Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, peneroka diberi secara percuma 10 ekar tanah kebun dan suku ekar tapak rumah. Namun tidak semuanya percuma sehingga 1 Oktober 2011, jumlah pinjaman bagi seramai 120,635 orang peneroka adalah RM3,220 juta. Pinjaman ini adalah kos pembangunan yang didahulukan oleh FELDA meliputi kos pembersihan hutan, pembangunan ladang, pembinaan sebuah rumah dengan kos hanya RM4,000 sebuah rumah dan pinjaman persendirian. Sehingga kini seramai 102,560 orang peneroka atau 91.1% telah pun menyelesaikan bayaran balik pinjaman kepada FELDA berjumlah RM3,105 juta dan terdapat seramai 10,075 orang atau 8.9% peneroka masih mempunyai baki pinjaman berjumlah RM92.863 juta. Daripada jumlah tersebut RM28.58 juta daripadanya adalah masih dalam tempoh bayaran kembali yang dijadualkan berakhir pada tahun 2017. Manakala RM64.28 juta adalah berbentuk tunggakan. Pinjaman ini tidak termasuk bantuan sara hidup dan pinjaman lain yang disediakan oleh FELDA berjumlah RM2,313.16 juta yang terdiri daripada pinjaman pembesaran rumah berjumlah RM655 juta, Skim Insentif Usahawan FELDA berjumlah RM87.6 juta, pinjaman pelajaran berjumlah RM7.4 juta, pinjaman komputer berjumlah RM9.66 juta dan lain-lain pinjaman berjumlah RM0.63 juta. Ini menjadikan keseluruhan pinjaman jangka pendek berjumlah RM760.3 juta. Kesemua pinjaman ini tidak dikenakan sebarang faedah kerana hasrat kerajaan membantu peneroka. Bantuan sara hidup diberi kepada peneroka yang sedang tanam semula sekiranya mereka memilih untuk menerima sara hidup yang perlu dibayar kembali. Sehingga kini FELDA telah mendahulukan bantuan sara hidup bagi peneroka yang sedang tanam semula berjumlah RM1,460 juta. Bahagian kedua kepada soalan Yang Berhormat jumlah wang simpanan peneroka dalam Tabung Tanam Semula pada 31 Disember 2010 bagi tujuan tanam semula sawit kali pertama adalah RM269 juta. Simpanan ini diambil daripada kutipan bulanan yang dibuat setiap bulan mengikut kadar hanya RM4 seekar atau RM40 bagi kawasan sepuluh ekar. Ini bermakna bagi kawasan sepuluh ekar setiap peneroka mencarum kira-kira RM960 seekar selama 20 tahun sekiranya pencarum penuh atau RM9,600 bagi kawasan sepuluh ekar. Pada masa ini kos tanaman semula sawit ialah RM2,600 seekar atau RM26,000 bagi kawasan sepuluh ekar. Oleh sebab itu FELDA memberi subsidi tanam semula peneroka sebanyak RM16,400 seorang peneroka iaitu RM26,000 kos tanam semula tolak RM9,600 wang caruman. Bagi tabung kutipan tanam semula kali kedua sehingga 31 Disember 2010 jumlah simpanan peneroka RM79 juta. Simpanan ini diambil daripada kutipan peneroka sebanyak RM12 seekar sebulan atau RM120 sebulan bagi kawasan sepuluh ekar yang telah berkuat kuasa mulai Julai 2009. Kenaikan kadar kutipan ini disebabkan kos tanam semula yang semakin meningkat dan persediaan menanam semula bagi peringkat kedua dalam masa 25 tahun dari sekarang. Terima kasih. |
Posted: 11 Oct 2011 07:44 PM PDT Perlantikan TS Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan FELDA (KPF) adalah haram dan tidak sah. Ini jika kita amati bahawa beliau bukanlah ahli koperasi yang absah. Ini berdasarkan kenyataan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bahawa apa-apa perlantikan lembaga pengarah koperasi tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah Akta Koperasi 1993 dan undang-undang yang mengawalnya. Antara yang perlu dipatuhi ialah seharusnya seseorang yang mahu dilantik sebagai lembaga pengah termasuk sebagai pengerusi haruslah terdiri daripada ahli koperasi yang merupakan peneroka FELDA, atau Generasi Kedua atau Pegawai Tetap. Dalam kes TS Isa Samad beliau adalah pegawai kontrak yang boleh dipertikaikan perlantikan beliau. Apatah lagi jika TS Isa Samad sendiri yang menduduki sidang mesyuarat perlantikan diri beliau sendiri jelas bertentangan dengan Akta SPRM 2009. Apakah SPRM akan bertindak dalam hal ini? Saya menggesa agar tindakan siasatan segera dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. Alasan TS Isa Samad untuk melakukan transformasi dalam KPF jika memegang jawatan sebagai Pengerusi KPF adalah meragukan kerana 'track record' TS Isa Samad jelas begitu buruk seperti prestasi 22 tahun menjadi Menteri Besar N. Sembilan - Linggi DUN MB pada ketika itu sehingga kini begitu daif pembangunannya, kemudian sebagai Menteri Wilayah juga tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan dan termasuk juga digantung 6 tahun oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana terlibat dan didapati bersalah dalam 5 daripada 9 pertuduhan rasuah politik ketika bertanding jawatan Naib Ketua UMNO pada Pemilihan Agung UMNO September 2004. Kita bimbang, jika nanti transformasi yang mahu dilakukan TS Isa Samad adalah membawa budaya korupsi ke dalam sistem pengurusan FELDA dan akhirnya koperasi yang bertujuan membantu para peneroka hilang fungsinya dalam menaikkan martabat peneroka-peneroka. PM Najib wajar untuk meneliti semula perlantikan ini atas kapasiti beliau sebagai Menteri yang juga bertanggungjawab terhadap FELDA |
You are subscribed to email updates from www.telokkemang.blogspot.com/ To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan