The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Songkok saya pernah berlawan dengan Calon BN di kawasan Parlimen Temerloh Posted: 24 Oct 2011 03:23 AM PDT Saya menyertai PAS pada tahun 1982. Sebelum menyertai PAS saya berguru dengan Ustaz Ishak Abdullah, Yang Di Pertua PAS Kawasan Temerloh, dari segi kekeluargaan, pangkat pupu dengan saya, orang Berhala Gantang iaitu kampong aki saya sebelah ibu saya. Ustaz ini berkelulusan Agama dari sebuah Universiti di Indonesia dan beliau menjadi tenaga pengajar bebas mengajar di surau-surau dan masjid-masjid. Ilmu agamanya sangat tinggi. Seminggu hampir 5 hari saya akan bersama Ustaz Ishak, saya memandunya ke mana sahaja kuliah yang dia pergi mengajar. Dia mengajar Tafsir Al-Quran, Aqidah, dan juga kelas Bahasa Arab. Kemudian disuatu hari datanglah Tuan Guru Haji Hadi Awang memberikan Ceramah di Balai Islam disini, dan saya berpeluang buat kali pertama mendengar ceramahnya. Saya benar-benar tertawan. Selepas ceramah itu saya bertanya kepada Tuan Guru samada beliau ada membuat kuliah di mana-mana, dan dia memberitahu saya bahawa beliau mengajar di setiap Malam Jumaat di Masjid Rusila, Marang. Mulai hari itu, saya sampai ke Rusila setiap hari Khamis malam Jumaat. Saya mengikuti Kuliah Tuan Guru Haji Hadi. Pada tahun itu saya mengerjakan Haji dan sekembali saya dari Mekah, saya membuat keputusan menyertai PAS. Lantas saya dilantik sebagai Setiausaha PAS Kawasan Temerloh. Saya ubah gerakan PAS Temerloh daripada label parti Tok Lebai kepada parti yang politik yang berjuang untuk rakyat. Saya susun PAS Temerloh dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja massa dan penubuhan cawangan-cawangan baru. Serta merta keahlian PAS melonjak kepada 500 orang, suatu bilangan yang sangat kecil jika berbanding UMNO/BN yang secara kumpulan mempunyai hampir 25,000 ahli. Sejak itu saya memberikan tumpuan kepada pembelaan kepada peneroka-peneroka Felda kerana sebahagian besar dari pengundi di kawasan Parlimen Temerloh pada ketika itu adalah peneroka-peneroka Felda dengan dua gugusan Felda iaitu gugusan Bukit Mendi dan gugusan Sebertak. Disamping itu, kami memperkukuhkan kedudukan parti di kampong-kampong tradisi. Malangnya, pembaharuan yang saya cuba bawa ke dalam PAS kawasan Temerloh tidak dapat saya teruskan kerana pada tahun 1985 di bulan Februari, saya ditahan dibawah ISA dengan tuduhan besarnya memecah-belahkan masyarakat Peneroka Felda, saya dipinta oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional untuk tidak meneruskan Simposium Kebangsaan Peneroka-Peneroka Felda di Sg Gau, dan saya tidak memperdulikan tuntutan daripada Kerajaan BN Negeri Pahang itu sehinggalah saya dipanggil oleh DYMM Sultan Pahang ke Istana Pahang di Kuala Lumpur yang memberitahu saya bahawa Kerajaan akan menahan saya dibawah ISA dan Sultan meminta saya mengendurkan gerak kerja politik saya kalaupun saya tidak boleh menyertai UMNO. Degil saya. Tak lama selepas itu saya ditahan dibawah ISA, dan semasa saya ditahan itu, Pilihanraya Umum berlangsung pada tahun 1986. Ustaz Hassan Syukri, Setiausaha Agung PAS pada waktu itu meminta saya bertanding di kawasan parlimen Temerloh walaupun saya ditahan dibawah ISA. Saya akur, dan Sdr Man Kadir, seorang sahabat, seorang yang telah bersumpah setia dengan saya bahawa beliau adalah adik kepada saya, mengepalai gerakan mewakili saya didalam Pilihanraya itu. Saya dibebaskan tetapi dibuang daerah ke Melaka dan tidak dibenarkan pulang ke Temerloh. Man Kadir terpaksa berulang alik dari Pejabat PAS di Taman Melewar untuk urusan dengan Setiausaha Agung, ke Melaka dan ke Temerloh. Saya diisytiharkan sebagai calon PAS di kawasan Parlimen Temerloh. Kawasan Parlimen Temerloh tidaklah sama dengan kawasan yang ada sekarang. Semasa itu, kawasan di Kuala Krau dan di Bera adalah sebahagian dari kawasan parlimen Temerloh bersama-sama dengan kawasan Sanggang dan Kuala Semantan. Kawasan Lanchang termasuk didalam kawasan parlimen Bentong. Walaupun keanggotaan parti PAS di kawasan ini adalah kecil, tetapi saya mempunyai rangkaian rakan-rakan. Saya pernah memimpin Gerakan Belia 4B Daerah Temerloh dan mempunyai jaringan cawangan yang begitu banyak jauh melebihi cawangan UMNO sendiri. Rakan-rakan saya yang memimpin Belia 4B pada waktu itu kebanyakanya menjadi ketua-ketua UMNO di peringkat cawangan. Dengan kekuatan 4B itu, kami telah menguasai Persatuan Bolasepak Daerah Temerloh yang mempunyai team bolasepak di hampir setiap kampong, dan dengan kekuatan itu juga kami menubuhkan Persatuan Berbasikal Daerah Temerloh, yang menjadi sukan favourite pada waktu itu kerana buat kali pertamanya, pelumba-pelumba dari Derah ini yang datangnya dari kampong-kampong bejaya memenangi pertandingan-pertandingan di peringkat nasional. Dan di peringkat nasional pula saya adalah Naib Presiden Persatuan Berbasikal Malaysia dan Presiden Mountainbike Malaysia. Rangkaian rakan-rakan saya cukup ramai dan dikalangan mereka itu masih bersetia dengan saya walaupun kami berbeza parti politik. Di waktu itu saya jadikan satu kepastian bahawa setiap kampong diwujudkan rangkaian Belia Niaga dan Belia Tani dengan bantuan daripada Jabatan Belia dan Sukan Daerah Temerloh. Dalam waktu yang sama saya mempastikan setiap kampong menghantar para belia untuk mengambil kursus-kursus anjuran Kementerian Belia dan Sukan dan dengan itu melayakkan mereka membuat pinjaman daripada pihak Jabatan Belia dan Sukan. Temerloh pada waktu itu menjadi contoh untuk kaum belia terlibat dengan Belia Niaga dan Belia Tani. Temerloh adalah kampong saya sendiri. Dari kecil lagi saya sudah melibatkan diri dengan gerakan politik. Semasa Pak Sako bertanding di kawasan Parlimen Temerloh pada tahun 1959, saya adalah diantara "budak kecil" yang ke hulu ke hilir berkempen untuknya dan merayau ke seluruh kampong didalam kempen Fron Sosialis pada waktu itu. Pak Sako kalah tak sampai 2000 undi di kawasan parlimen Temerloh. Saya masih ingat bahawa saya telah memanjat Pasar Besar Temerloh dan menampalkan poster Fron Sosialis dengan perkataan VOTE SOCIALIST FRONT. Untuk membantu Pak Sako, saya dan rakan-rakan muda tak pulang ke rumah, kami tidur diwarong-warong, dan makan di Markas Parti Rakyat di Jalan Ibrahim Temerloh. Pulang ke rumah hanya apabila sangat perlu menukar seluar dan baju. Saya memimpin lebih kurang 30 rakan muda berbasikal dan diatas basikal kami dilekatkan bendera Fron Sosialis. 3 bulan saya tidak bersekolah iaitu sepanjang kempen Pilihanraya itu. Dan apabila selesai Pilihanraya, saya pergi semula ke sekolah, hanya untuk ditampar oleh Guru Besar, Abu Bakar School, Temerloh dan pada hari Isninya saya diberikan public canning dihadapan semua murid-murid. Tetapi saya berbangga kerana di umur sekecil itu saya sudah terlibat dengan politik. Saya sudah mempunyai rakan-rakan dari setiap kampong sekitar Temerloh terdiri daripada orang-orang dewasa. Saya mempunyai kawan-kawan di Kampong Lebak, Pengkalan Cina (Pengkalan Jaya), Kg Pengkalan Manggis, Kg Tengah, Kg Buntut Pulau, Kg Pangsenam, Kg Bangau, apatah lagi Lubok Kawah, Kg Paya Banir, Kg Paya Jejawi, Kg Sanggang, Kg Songsang, Kg Chatin, Kg Sanggang Seberang, Kg Bintang Hulu, Kg Bintang, Kg Bali, Kg Berhala Gantang, Kg Telok Mengkuang, Kg Telok Ira, Kg Tebal dan Seberang Temerloh, Kg Lebak Seberang, Kg Paya Pulai (kubu PRM), Kg Paya Luas, Kg Paya Kechik, Kg Belengu, Kg Paya Ara, Kg Bukit Kelulut, dan sehingga sekarang ramai diantara mereka yang sebaya dengan saya yang masih hidup masih lagi berkawan dengan saya. Rangkaian ini dikesampingkan pula dengan rakan-rakan bekas ketua-ketua Cawangan Gerakan Belia 4b di seluruh Daerah Temerloh, menjadikan rankaian kawan-kawan saya yang sangat besar, ditambah lagi dengan rangkaian kekeluargaan saya yang sangat luas di Mukim Mentakab, Mukim Songsang, Mukim Sanggang, Mukim Bangau dan Mukim Perak. Walaupun kekuatan parti pada waktu itu sangat lemah, saya mempunyai rangkaian rakan-rakan dan keluarga yang luas dari kalangan ahli-ahli UMNO sendiri. Maka didalam Pilihanraya Umum tahun 1986 itu saya telah memecahkan rekod untuk Pembangkang di kawasan Parlimen Temerloh. Sebelum ini PAS sentiasa kalah didalam lingkungan antara 8000 hingga 12000 undi di Temerloh dan semasa saya bertanding majoriti BN itu susut kepada lebihkurang 4000 sahaja, dan undi yang saya dapat kumpulkan jauh melebihi undi dari rakan-rakan calon PAS dan DAP yang bertanding di Triang, Kuala Semantan, Kuala Krau dan Sanggang. Siapa yang berlawan dengan calon UMNO/BN itu? Adalah songkok Haji Suhaimi Said sahaja kerana Haji Suhaimi Said dibuang daerah ke Melaka dan tidak dibenarkan pulang selepas dibebaskan dari ISA. |
Bertemu rakan-rakan lama di Stesyen Bas (lama) Temerloh Posted: 24 Oct 2011 02:37 AM PDT Jam 4.00 petang tadi saya turun ke Stesyen Bas (lama) Temerloh untuk bertemu dengan Ahmad Bila Adam. Biasanya dia akan berada di Stesyen itu jam 4.00 hingga 5.00 petang untuk trip terakhirnya dari Temerloh ke Felda Jenderak Utara. Saya pergi ke kounter bas di stesyen itu dan diberitahu bahawa beliau bercuti pada hari ini, dan esuk dia akan kembali bertugas. Kemudian didalam perjalanan ke kereta saya yang diparkir diluar kawasan Stesyen Bas itu, saya ternampak rakan dari Kuala Krau sedang menunggu bas, dia adalah tukang gunting di Kuala Krau, dan saya ajak dia minum teh petang. Kemudian Cikgu Nan melaung ke arah saya: "Oik peguam, nak kemana tu?" Saya terus mengajak dia minum teh bersama iaitu di warong di Stesyen Bas. Terkena pulak taukeh warong itu adalah anak buah saya penunggang basikal semasa saya aktkif dengan Persatuan Berbasikal dahulu, dia adalah penunggang/pelumba yang saya bimbing mewakili Temerloh untuk team wanita. Rupa-rupanya dah ramai anak dia. Saya order 3 cawan teh tarik untuk Cikgu Nan, Abang Taih dan saya sendiri. Abang Taih kata dia dah sewakan kedainya di Kuala Krau tu "RM600.00 sebulan. Tak mampu dah nak buat kerja menggunting rambut ni, ni saya sedang tunggu bas untuk pergi ke Taman Temerloh Jaya ke rumah anak yang tinggal disana." katanya. Abang Taih ni memang orang kuat PAS Kuala Krau, beliau bukan pemimpin PAS, tapi orang kuat PAS. Tak usah nak lenturlah semangat dia. "Kawan akan undi PR dan nak tengok sangat UMNO terpukang di Pahang ni." katanya. Lepas itu seorang demi seorang daripada pemandu teksi itu datang dan minum bersama kami. "Nak rasa belanja Peguam," kata mereka. Borak punya borak, semuanya menentang UMNO/BN. "Tak usah nak cakap apalah. Kami pemandu teksi ni hingga cukup makan ajer, kadang-kadang tak cukup pun, harga barang dah melampau-lampau naik." kata salah seorang mereka. Ana, pemilik warong pun mencelah. Ada orang UMNO datang ke warong ni suruh saya masuk UMNO dan saya jawab: "Tak hingin." Mereka kata nanti susah dapat lesen niaga kalau tak sokong UMNO. Saya jawab, "Saya jual goreng pisang ngan air teh ajer, ada orang UMNO tolong saya? Ingat orang UMNO ke yang tolong saya dapatkan lesen dan warong ni?" Dan orang UMNO pun tak ada yang datang nak minum sini, kalau harap kepada orang UMNO, mati keringlah saya." Cikgu Nan kata bahawa dah lebih 10 tahun dia bawa teksi. "Kalau macam hari biasa begini, langsung tak ada pendapatan. Kami ni betul-betul bergantung kepada Hari Kebesaran dan Hari Raya, bolehlah dapat sikit duit, menghantar orang Indonesia yang kadang-kadang nak berjumpa dengan saudara maranya di Johor atau Ipoh, mereka sanggup bayar satu teksi sampai RM700.00. Bolehlah buat belanja raya dan beli sehelai dua baju raya untuk anak-anak," kata Cikgu Nan. Semua pemandu teksi yang minum bersama saya tu mengeluh dengan keadaan yang ada pada hari ini. Pendapatan mereka tak berubah tetapi harga barang melampau-lampau naik. Harapkan Menteri, orang Temerloh, hapah tak ada guna. Asyik-asyik kata, harga barang di Malaysia ni lebih rendah dari Negara lain, dan asyik-asyik kata kenaikan harga barang tak membebankan rakyat, "Kepala hotak dia." Mereka cabar Menteri tu supaya terima gaji macam pendapatan pemandu teksi, tengok mengeluh atau tidak dia. Menteri kita ni bodoh, kata mereka. Ini adalah keluhan orang bawahan, keluhan rakyat. "Tak apalah, kita tunggu ajer Pilihanraya yang dah dekat ni, kita nak ajar puak-puak UMNO ini tinggi-rendahnya langit tu." Di akhir perbualan mereka bertanya kepada saya dimana saya akan bertanding. Saya jawab kalau pun saya bertanding, saya akan bertanding di DUN Jenderak, tetapi kemungkinan besarnya saya tidak bertanding. Mereka melahirkan rasa keciwa terhadap saya. "Kenapa Haji tak bertanding disini. Di sini kampong Haji, semua orang sini kawan Haji. Jarang boleh jumpa orang macam Haji ni, boleh bergaul dengan orang-orang bawah dan jalanan." Saya jawab bahawa saya mewakili parti. Di mana-mana pun, kalau saya bertanding, saya mewakili parti. Dan yang akan bertanding di sini pun adalah orang yang mewakili parti. "Betul," jawab mereka, "tapi Haji orang sini, dari kecik lagi Haji bergerak disini, kawan-kawan Melayu, Cina ramai dan saudara mara Haji pun ramai." Kta seorang yang kebetulannya juga seorang pemandu teksi pangkat pupu dengan saya. "Cuba bayangkan bahawa orang Telok Ira, Berhala Gantang, Bintang, Chatin, Songsang, Sanggang semuanya ada hubungan keluarga dengan Haji." Saya tidak dapat nak layan percakapan begitu kerana saya sendiri sudah memutuskan bahawa saya tidak akan bertanding didalam Pilihanraya ini, dan seterusnya. Setelah saya membayar harga minuman, saya pergi ke Kedai Obat, perut saya memulas-mulas, senak dan sebu. Sampai di rumah saya terus solat Asar dan mengambil Obat yang saya beli. Terasa kurang senak perut saya. Dan saya pun lakarkan pengalaman sebentar tadi di Stesyn Bas (lama) Temerloh. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan