s |
Pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 Posted: 30 Oct 2011 06:46 AM PDT 1. Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Ketiga 2011 (Julai hingga September), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menerima sebanyak 264,404 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 52,215 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR. 2. Selaras dengan kehendak Peraturan 13(5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Ketiga 2011 akan dipamerkan mulai 27 Oktober hingga 2 November 2011 di 987 tempat pameran di seluruh Negara seperti berikut: 2.1 Pejabat Pilihan Raya Negeri - 15 tempat 2.2 Pejabat Pos Berkomputer - 477 tempat 2.3 Kompleks/Pejabat Kerajaan - 87 tempat 2.4 Pejabat Daerah/Pejabat Tanah - 140 tempat 2.5 Majlis Daerah/Perbandaran - 48 tempat 2.6 Dewan Serbaguna/ Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan - 190 tempat 2.7 Lain-lain tempat - 31 tempat 3. Sehubungan dengan itu, mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi adalah dinasihatkan supaya menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 yang dipamerkan itu. Dalam hal ini, mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 itu bolehlah membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B. Borang tuntutan tersebut hendaklah diserahkan kepada Pendaftar, iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh 7 hari dari tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 itu dipamerkan. 4. Bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 bagi satu-satu bahagian pilihan raya itu bolehlah membuat bantahan tersebut dengan mengisi Borang C. Borang bantahan itu hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh 7 hari dari tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 itu dipamerkan. Nasihat SPR bagi mereka yang ingin membuat bantahan, pastikan bantahan itu adalah berdasarkan kepada alasan yang kukuh dan tidak dibuat secara melulu. 5. Selain daripada mempamerkan nama-nama pemilih baru dan nama-nama pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih. Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meninggal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera/Polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya. 6. Dalam tempoh pameran ini juga, SPR akan mempamerkan senarai 42,051 nama pemilih yang rekodnya meragukan bukan untuk tujuan tuntutan atau bantahan. Sebaliknya untuk tujuan pengesahan daripada pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama yang dipamerkan itu. Jika nama pemilih itu ada dalam senarai berkenaan, maka beliau perlu hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengenalpasti masalah berhubung rekod nombor kad pengenalannya sebelum merujuk kepada SPR untuk urusan berkaitan dengan pendaftaran pemilihnya. 7. Jika mana-mana pihak ada apa-apa pertanyaan lanjut mengenai perkara ini, sila hubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon atau melalui Faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. Orang ramai juga boleh melayari laman web SPR di www.spr.gov.my untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011. Sekian, terima kasih (SABRI BIN SAID) Pegawai Perhubungan Awam Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Tarikh: .25 Oktober 2011 |
You are subscribed to email updates from s To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan