Haniza Talha - Landscaping New Politics |
- 1.5juta kekosongan dalam bidang maritim
- Panggilan Baitullah…….
- Belanjawan Kesejahteraan Rakyat 2012 oleh PR
1.5juta kekosongan dalam bidang maritim Posted: 14 Oct 2011 01:53 AM PDT Para belia perlu rebut kekosongan sebanyak 1.5juta dalam industri maritim negara. Kekosongan ini telah menyebabkan syarikat-syarikat berkaitan maritim mengambil pekerja-pekerja asing. Pejabat DUN Taman Medan telah mengambil inisiatif mengadakan taklimat mengenai kerjaya dalam industri berkaitan kepada para belia. Pekerjaan dalam bidang ini menjanjikan gaji yang selesa dan suasana kerja yang berlainan daripada pekerjaan di darat. Usaha ini akan mengurangkan bilangan pengangguran, menaikkan tahap sosio ekonomi penduduk dan seterusnya memberikan kehidupan yang selesa. |
Posted: 14 Oct 2011 01:17 AM PDT |
Belanjawan Kesejahteraan Rakyat 2012 oleh PR Posted: 14 Oct 2011 01:11 AM PDT KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA Belanjawan Kesejahteraan 2012 yang diluncurkan Pakatan Rakyat merupakan suatu permuafakatan merangka masa depan baru bagi Malaysia selari dengan pengikraran Agenda Bersama Disember 2009 dan Buku Jingga, Disember 2010. Kesejahteraan Untuk Semua hanya boleh dicapai dengan iltizam politik untuk membawa reformasi secara menyeluruh terhadap institusi-institusi negara dengan berpandukan prinsip ketelusan dan tata kelola yang baik. Kepelbagaian Malaysia adalah kekuatan kita. Pertumbuhan ekonomi kita bergantung kepada muafakat rakyat tanpa mengira jantina, kaum dan agama. Potensi rakyat boleh disemarakkan melalui sebuah belanjawan yang prihatin kepada kaum hawa dan berpaksikan agenda untuk mengembalikan maruah rakyat biasa yang kini bergelumang dengan segala keperitan hidup. Belanjawan Kesejahteraan 2012 mengambil kira keperluan mendesak membantu rakyat mengharungi arus kenaikan harga barang. Seluruh tumpuan diberikan untuk menjamin agar pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh semua golongan melalui dasar dan kerangka yang menekankan peningkatan pendapatan 60 peratus isi rumah di Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM 3,000 sebulan. Pengenalan gaji minima, pengurangan jumlah pekerja asing tidak terlatih, tumpuan untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti secara bersepadu akan memberi faedah kepada tenaga kerja rakyat tempatan. Perhatian khusus adalah untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja agar gaji, kemahiran dan produktiviti juga dapat ditingkatkan. Penambahbaikan keupayaan pengangkutan awam, penyediaan perumahan awam dan penjagaan kesihatan yang memuaskan akan meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat. Pendapatan boleh guna yang tinggi akan mengukuhkan perbelanjaan dalam negara dan menjadi strategi ekonomi yang lunak untuk mendindingi negara dalam persekitaran ekonomi global yang semakin tidak stabil. Monopoli dan oligopoli yang dipecahkan akan meningkatkan persaingan serta membantu ahli perniagaan Malaysia dengan mengurangkan kos operasi dan perniagaan. Persaingan akan meredakan tekanan inflasi dengan memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat. NEGARA KAYA, RAKYAT MISKIN? Malaysia adalah negara yang kaya dengan sumber. Malangnya, lambakan kekayaan hasil dari sumber alam semula jadi tidak diagihkan dengan baik kepada rakyat Malaysia. Hasil kekayaan negara dipusatkan di kalangan beberapa kerat golongan elit berkepentingan hingga mewujudkan golongan mahakaya (super rich) di Malaysia. Pada masa ini, rakyat tidak menikmati pendapatan yang berpadanan dengan hasil kekayaan negara dan tekanan kos sara hidup. Kumpulan terbawah meliputi 40% dari jumlah isi rumah di seluruh negara hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan, manakala kumpulan pertengahan 40% peratus seterusnya hanya menikmati pendapatan purata RM3,500 sebulan. Secara keseluruhan, 80% isi rumah keluarga di Malaysia hanya menikmati pendapatan purata RM2,500 sebulan. Di sebalik pelbagai kemajuan fizikal yang dilihat di Malaysia, 70% rakyat Malaysia hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kelayakan tertinggi. Lebih satu pertiga dari tenaga kerja rakyat Malaysia mencari rezeki dalam sektor tidak rasmi seperti menjaja, bekerja sendiri, buruh dan lain-lain. Maka tidak hairanlah jurang di antara yang miskin dan kaya di Malaysia adalah sangat tinggi bila mana kumpulan rakyat yang berada di bawah seramai 40% hanya menikmati 15% kekayaan negara, berbanding kumpulan 20 peratus terkaya yang menikmati sehingga 49% kekayaan negara. Dek kegilaan pemerintah yang mengutamakan kekayaan dan kepentingan sekumpulan individu sahaja, dasar-dasar ekonomi Malaysia di bawah Barisan Nasional adalah ketinggalan zaman hingga memerangkap Malaysia dalam kelembapan ekonomi yang dialami sekarang. Realiti ekonomi rakyat Malaysia adalah dikelilingi: Kelemahan-kelemahan dalaman akibat kepincangan pentadbiran ini dirumitkan lagi oleh suasana ekonomi global yang terus tidak menentu. Keupayaan Amerika Syarikat dan Eropah untuk menjana pertumbuhan adalah terhad menjadikan pendekatan mengeksport ke negara-negara Barat bukan lagi jaminan pertumbuhan ekonomi untuk Asia. Malaysia perlu mencari jalan baru untuk berdikari dengan pasaran-pasaran baru dan dalam negara yang memberikan kelebihan daya saing kepada kita. BELANJAWAN KESEJAHTERAAN 2012 Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012 menekankan pemerkasaan, mewujudkan peluang ekonomi dan mengembalikan maruah kepada seluruh rakyat Malaysia dengan berteraskan kerangka kewangan dan jaringan perlindungan yang mampan. Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 menumpukan usaha untuk membangunkan rakyat Malaysia, bukannya projek mega. Ia bukan untuk kroni dan mereka yang berkepentingan tetapi demi memperkukuhkan daya keusahawanan, produktiviti dan budaya kerja yang baik. PERBELANJAAN BERHEMAH Pakatan Rakyat akan memperuntukkan sejumlah RM220 billion untuk Belanjawan 2012 dan akan memastikan dana tersebut dibelanjakan secara berhemah, bertanggungjawab dan berkesan. Defisit akan dikurangkan kepada 4.4% dari KDNK berbanding 6% yang diunjurkan bagi tahun 2011. Pengurang defisit ini bersamaan dengan penjimatan wang rakyat ssebanyak RM 14 billion. Pendapatan negara boleh ditingkatkan tanpa membebankan rakyat dengan memastikan konsesi kerajaan dan permit tidak disalahguna dan dihargakan dengan betul. Sebagai contoh, kita akan memperolehi pendapatan tambahan sekitar RM1.2 billion melelong Permit Import (AP) kepada pembida tertinggi. Langkah-langkah khusus akan dilaksanakan untuk memastikan dana dibelanjakan secara berhemah dengan memastikan tiadanya ketirisan, pembaziran dan ketidakcekapan. Kita yakin ini akan membawa 20% nilai tambah bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan. Sebagai contoh, Pakatan Rakyat mampu untuk memperuntukkan RM 4.4 billion untuk: Pun begitu, demi menjamin kelangsungan Petronas untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa, satu formula dividen yang munasabah akan menggantikan amalan sekarang yang menyedut hasil kekayaan negara tanpa had melalui desakan dividen yang besar jumlahnya dari Petronas setiap tahun. Sungguh pun harga petroleum dijangka kekal tinggi dan keuntungan Petronas dalam tahun 2012 adalah berganda, dividen untuk 2012 dihadkan kepada RM 26 billion, lebih rendah berbanding jumlah yang diambil Barisan Nasional dalam tahun 2011 berjumlah RM 30 billion. MENINGKATAN PENDAPATAN Pakatan Rakyat akan mengutamakan inisiatif polisi untuk meningkatkan tahap pendapatan keluarga dan kemahiran tenaga kerja. Gaji pekerja Malaysia adalah rendah. Kumpulan terbawah meliputi 40% isi rumah hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan dan gaji yang rendah ini menyebabkan: Walaupun Pakatan Rakyat menyokong asas bahawa tahap gaji dan bayaran upah berhubung kait dengan kadar produktiviti, hakikatnya mekanisme penetapan gaji sedia ada tidak berfungsi sehingga menghasilkan herotan dalam pasaran tenaga kerja. Oleh itu, Pakatan Rakyat mencadangkan: MENAMATKAN MONOPOLI Pakatan Rakyat akan merintis era baru ekonomi rakyat dengan melaksanakan reformasi dasar-dasar dan peraturan-peraturan sedia ada untuk mengurangkan kos sara hidup, menggalakkan usahawan kecil dan sederhana (IKS) serta meningkatkan pelaburan. Dasar tender terbuka untuk perolehan kerajaan yang memberi ganjaran kepada mereka yang berkebolehan, bukannya kroni dan kaum kerabat orang berkepentingan. Ini akan diadakan selari dengan pengenalan langkah-langkah sokongan bagi membantu golongan Melayu/Bumiputra dan kumpulan lain yang layak menerima sokongan ekonomi. Langkah-langkah sokongan yang dirangka akan berteraskan objektif untuk menambah daya saing usahawan baru Melayu/Bumiputra dan kumpulan sasaran lain melalui pendidikan, latihan dan bantuan kewangan. Satu Akta Kontrak Awam Tidak Adil akan digubal untuk mengkaji semula konsesi-konsesi dan perjanjian-perjanjian yang dikenalpasti sebagai tidak adil dan bertentangan dengan kepentingan umum. Pakatan Rakyat juga akan mengembalikan kemuliaan perkhidmatan melalui peningkatan profesionalisme dan memberi ruang memainkan semula peranan terpenting dalam pentadbiran negara, agar penjawat awam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, tanpa mengira pangkat dan darjat. Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan dibebaskan dari gangguan politik dan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan keutamaan perniagaan. Di masa hadapan, sasaran Pakatan Rakyat adalah untuk menyaksikan kemunculan gergasi GLC yang cemerlang dalam bidang masing-masing dan hanya GLC dalam sektor strategik sahaja akan dikekalkan. Akta Persaingan 2010 akan diperluaskan kepada semua sektor ekonomi termasulah syarikat telekomunikasi, perkhidmatan televisyen berbayar dan sektor tenaga yang paling banyak menyaksikan herotan harga akibat monopoli. Monopoli-monopoli berikut yang menghakis pendapatan boleh guna rakyat Malaysia dan mengakibatkan kos perniagaan yang tinggi akan distruktur semula dalam tahun 2012: MEMPERTAHAN MARTABAT DI WAKTU SUSAH Pakatan Rakyat peka dan prihatin dengan kesusahan rakyat yang bergelumang dengan kemelut kenaikan harga barang. Sebelum dasar-dasar jangka sederhana dan panjang bertujuan mengubah struktur gaji dan ekonomi rakyat berkesan, keperluan mendesak membantu rakyat dalam suasana ekonomi yang perit perlu diberi perhatian. Oleh yang demikian, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan untuk membantu rakyat dalam tahun 2012: Subsidi yang diperuntukkan untuk mengawal harga-harga barangan dan perkhidmatan akan dikekalkan pada jumlah RM22 bilion dalam tahun 2012 untuk mengekang kenaikan harga barangan keperluan. Dasar-dasar bersabit subsidi dan harga kawalan petrol akan dirombak seperti berikut: MENGURANGKAN JURANG BANDAR-DESA Pakatan Rakyat akan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia yang menetap di desa. Pembangunan serantau dan luar bandar akan digalakkan melalui desentralisasi pentadbiran. Monopoli import beras yang dipegang BERNAS akan dihapuskan. Lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif dan terbuka. Subsidi akan diberi terus kepada para petani melalui institusi-institusi pertanian. RM 100 juta akan diperuntukkan kepada peniaga-peniaga kecil untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa. MENINGKATKAN KUALITI KEHIDUPAN Pakatan Rakyat akan meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik buat semua rakyat Malaysia. Pasukan polis akan difokuskan semula kepada tugas utama mencegah jenayah dan meningkatkan keselamatan awam. Dasar "Bina dan Jual" ("Build then Sell") untuk projek perumahan kos rendah-sederhana akan dikuatkuasakan demi menjamin kepentingan pengguna. Peruntukan kos perumahan awam akan dinaikkan kepada RM1 bilion. Dasar Pengangkutan Nasional akan diperkenalkan untuk memberi keutamaan kepada pengangkutan awam berasaskan prinsip "sistem pengakutan menggerakkan rakyat, bukan menambah kereta di jalanraya". Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pengangkutan. Peningkatan penggunaan teknologi hijau untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih baik, cekap dan mendatangkan kebaikan kepada rakyat melalui penjimatan kos kemudahan awam asas dan lain-lain perbelanjaan isi rumah dan industri. REFORMASI POLITIK Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan amalan demokrasi berparlimen dan Persekutuan. Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan prinsip dan pelaksanaan sistem persekutuan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dengan memberi perkongsian sumber yang lebih adil dengan negeri-negeri. Pakatan Rakyat juga akan memperkenalkan refomasi-reformasi berikut: Pakatan Rakyat berjanji untuk memperkukuhkan Parlimen sebagai sebuah institusi dan menolak amalan Perdana Menteri yang mentadbir bak seorang raja dan diktator: ANAK MUDA MENDEPANI PERUBAHAN Satu kajian semula dan siasatan yang menyeluruh ke atas perbelanjaan dan struktur kurikulum Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dibuat dengan tujuan menggantikannya dengan program-program luar kurikulum atau program komuniti yang lebih bermanfaat dan membina kemahiran peribadi. RM747 juta yang diperuntukkan kepada PLKN tahun lepas akan disalurkan kepada inisiatif terbaru ini. Sejumlah RM100 juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda yang memberi peluang kepada anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun menjalankan projek-projek dan program-program pilihan mereka yang bersifat awam dan membawa kebaikan melalui sistem undian. RM50 juta akan diperuntukkan kepada sebuah dana khas untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam aktiviti-aktiviti berdasar kreativiti dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah dan rekreasi khusus untuk anak muda. KESEJAHTERAAN RAKYAT, KESEJAHTERAAN BERSAMA Pakatan Rakyat tidak mungkin akan berjaya melaksanakan dasar-dasar yang mustahak dan bakal merubah wajah negara ini dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan. Rakyat Malaysia, sebagai majikan, pekerja, suri rumah, pengasuh, mahasiswa dan sebagai warga negara wajar memainkan peranan secara individu dan kolektif untuk menjayakan agenda yang berani ini demi menuju masa depan yang lebih cerah buat semua |
You are subscribed to email updates from Haniza Talha - Landscaping New Politics To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan