Selasa, 25 Oktober 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Laporan Ketua Audit Negara: Kepincangan, Kelemahan Dan Ketirisan Berterusan.

Posted: 25 Oct 2011 09:30 AM PDT

Selasa, 25hb Oktober 2011

Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang gagal dikemukakan dalam Dewan Rakyat bersekali dengan Laporan Ekonomi dan dokumentasi belanjawan negara sejajar dengan amalan Parlimen Malaysia sekian lama, akhirnya diedarkan sebagai Kertas Perintah 40, Tahun 2011 kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada hari Isnin, 24 Oktober 2011. Pengedarannya lewat 17 hari dari tarikh pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober 2011 yang lalu. 

Kegagalan pengedarannya dibangkitkan berulang kali oleh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, meskipun sebenarnya Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan telah siap ditandatangani oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Haji Amrin Bin Bujang pada 8 Julai 2011 dan Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Pengurusan Kewangan Dan Aktiviti Serta Pengurusan Syarikat Subsidiari Badan Berkanun Persekutuan ditandatangani pada 16 Jun 2011. Sewajarnya tidak timbul masalah lewat mengedarkan laporan tersebut kecuali lah ada muslihat untuk menyembunyikan fakta sebenar dari pengetahuan rakyat.

Hasil dari penelitian prestasi terhadap pelaksanaan aktiviti di bawah 32 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan pengurusan 7 syarikat Kerajaan, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa dari segi pelaksanan aktiviti/projek yang dijalankan terdapat beberapa kelemahan yang berpunca daripada penyeliaan yang kurang rapi, ketiadaan pemantauan yang berkesan, kekurangan peruntukan kewangan dan kekurangan kakitangan serta kepakaran. Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan kelemahan, kepincangan dan penyelewengan yang berlaku dalam 45 aktiviti/projek di bawah pelbagai Kementerian/Jabatan Persekutuan.

Mengaibkan adalah pendedahan terhadap kepincangan beberapa aktiviti/projek yang mensasarkan golongan berpendapatan rendah dan rakyat termiskin. Antara projek dan aktiviti tersebut adalah:

1.   Kelemahan pengurusan Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM691.52 juta pada tahun 2010 dan didapati mengalami kegagalan 54.4% daripada pencapaian objektifnya.

"Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) adalah agensi penyelaras Program Pembasmian Kemiskinan di bawah RMKe-9. Matlamat utama program ini adalah bagi mensifarkan miskin tegar pada bulan Disember 2010 di seluruh negara. Pada tahun 2010, sejumlah RM691.52 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan program ini. Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri (PPPN) atau Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri (JPPN) bertanggungjawab menyelaraskan pelaksanaan projek di peringkat negeri. Pengauditan yang dijalankan antara bulan September hingga Disember 2010 mendapati masih lagi terdapat seramai 2,472 orang miskin tegar di seluruh negara dan pelaksanaan projek peningkatan ekonomi kurang memuaskan kerana 37 (54.4%) daripada 68 projek yang dilawati gagal mencapai objektifnya. Juga terdapat kelemahan dalam pengurusan program seperti tempoh pelaksanaannya tidak mencukupi; peserta tidak layah diberi bantuan; peserta tidak tahu terlibat dengan projek; barang tidak diterima sepenuhnya dan tidak lengkap; bantuan tidak diterima oleh peserta; projek tidak dilaksanakan oleh pembekal; pembekal mengambil keuntungan daripada peserta; mentor tidak memainkan peranannya; perjajian projek champion tidak lengkap; komitmen peserta rendah dan kelemahan pemantauan."  - Laporan Ketua Audit Negara 2010, muka surat xvii.

2.  Kelemahan pengurusan Skim Insentif Peningkatan Hasil Padi di bawah Kementerian Pertanian yang mendedahkan kegagalan Kerajaan Persekutuan membayar insentif berjumlah RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah kerana peruntukan tidak mencukupi.

"Insentif Peningkatan Hasil Padi (IPH) adalah untuk memberi galakan kepada petani untuk meningkatkan hasil padi semasa dan meningkatkan tahap sara diri. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 September 2006 telah bersetuju skim IPH dilaksanakan dan pembayarannya dibuat mulai bulan Mac 2007. Sejak skim ini dilaksanakan sehingga tahun 2010, sejumlah RM230.62 juta telah dibelanjakan daripada peruntukan skim IPH dan sejumlah RM72 juta daripada peruntukan Dasar Jaminan Bekalan Makanan. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Ogos hingga November 2010 mendapati objektif skim IPH untuk meningkatkan pengeluaran padi telah dapat dicapai. Bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan IPH seperti tiada perjanjian yang mengikut BERNAS yang dilantik sebagai agensi pelaksana skim; peruntukan tidak mencukupi mengakibatkan Kerajaan belum membayar insentif berjumlah RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah; kadar insentif yang tidak munasabah bagi pesawah yang mengusahakan tanaman lebih 2 hektar dan kelewatan BERNAS menyelesaikan siasatan terhadap kes di mana peningkatan hasil padi melebihi 10% daripada anggaran hasil yang ditetapkan."  - Laporan Ketua Audit Negara 2010, muka surat xxii.

3. Kelemahan pengurusan penyenggaraan jalan persekutuan yang diswastakan di negeri Sarawak setelah sejumlah RM462.46 juta telah dibelanjakan.

Program penswastaan penyenggaraan jalan persekutuan di negeri Sarawak dilaksanakan oleh 3 syarikat konsesi iaitu PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd, Endayan Construction Sdn Bhd dan HCW Engineering Sdn Bhd. Mengikut perjanjian penswastaan, jalan persekutuan yang perlu disenggarakan setakat 14 Julai 2003 ialah sepanjang 1,326 km dan telah meningkat kepada 1,566 km setakat 31 Disember 2009. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Ogos hingga Disember 2010 mendapati secara umumnya keadaan jalan persekutuan adalah kurang memuaskan walaupun sejumlah RM462.46 jua telah dibelanjakan untuk penyenggaraannya bagi tempoh tahun 2005 hingga 2010. Selain itu, terdapat beberapa kelemahan seperti kerja penurapan jalan tidak dibuat dan kerosakan pavement tidak dibaiki; jentera yang digunakan untuk memampatkan kerja penurapan jalan tidak mengikut spesifikasi serta penyenggaraan bahu/perabot.perparitan jalan tidak memuaskan."  - Laporan Ketua Audit Negara 2010, muka surat xxv.

4. Kelemahan pengurusan projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ke 2 di pelbagai kementerian dan jabatan yang terdedah kepada pelbagai bentuk penyelewengan perbelanjaan, bayaran dan peruntukan.

“Laporan Ketua Audit Negara turut menyentuh Pakej Ransangan Ekonomi Kedua (PRE 2) berjumlah RM60 bilion yang dilancarkan pada 10 Mac 2009 bertujuan merangsangkan ekonomi negara dalam tempoh yang singkat. PRE 2 telah dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh 2 tahun iaitu tahun 2009 dan 2010 dengan peruntukan berjumlah RM15 bilion. Sehingga 31 Disember 2010, Kementerian Kewangan telah mengagihkan RM13.23 bilion kepada 27 Kementerian/Jabatan/Skim untuk melaksanakan 51,560 projek. Daripada jumlah yang diagih, hanya RM10.09 bilion (76.3%) telah dibelanjakan melibatkan 49,169 (95.4%) projek. Pengauditan yang dijalankan pada tahun 2010 terhadap 9 program di 6 Kementerian/Jabatan yang melibatkan 201 projek mendapati kesemuanya telah siap dilaksanakan dengan bayaran berjumlah RM426.69 juta kecuali satu projek iaitu Pembinaan Jambatan Sungai Padas Kedua, Beaufort, Sabah. Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan wujudnya beberapa kelemahan seperti prestasi perbelanjaan yang tidak menunjukkan prestasi sebenar pelaksanaan projek; perolehan/pembekalan peralatan/kerja/projek tidak mematui peraturan/kurang berkualiti/tidak memuaskan/kurang jelas/tidak tepat/tidak dipatuhi. Selain itu, terdapat kes di mana pembayaran dibuat sebelum peralatan/kerja dibekalkan/disiapkan/disiapkan dengan sempurna; berlaku lebihan bayaran dan peruntukan tidak digunakan untuk tujuan asal projek."  - Laporan Ketua Audit Negara 2010, muka surat xliii.

Sungguhpun Dato’ Sri Najib mengumumkan pelbagai janji untuk menangani kepincangan kelemahan dan ketirisan, namun ternyata janji-janji tersebut masih belum terpenuhi. Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendedahkan dan menjadi bukti kegagalan dasar transformasi yang dirangka Perdana Menteri. Pakatan Rakyat tuntas menyatakan segala Perubahan dan setiap Reformasi Sistem yang menyeluruh memerlukan iltizam politik yang jitu serta ikhlas demi manfaat rakyat Malaysia. Tanpa iltizam serta kegigihan dan tiadanya penyertaan rakyat untuk bersama-sama membangunkan negara ini, segala kebijakan mahupun dasar yang dirangka pastinya menemui kegagalan.

ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG 
DEWAN RAKYAT MALAYSIA  
  

Perutusan Sambutan Deepavali

Posted: 25 Oct 2011 04:39 AM PDT

Hari Deepavali disambut sebagai pesta cahaya, zahir  kemenangan kebaikan ke atas kejahatan.  Kemenangan kebaikan, tidak dapat tidak berteraskan amalan berbuat baik dan meninggalkan kemungkaran. Bait dari Thirukural ada menyebut;  

“Sesungguhnya dengan amalan kebaikan maka hadirlah kemuliaan, sesungguhnya kejahatan itu menjelma apabila kita melupakan amalan kebaikan."

Hikmah dari bait itu mengungkap fitrah pertembungan cahaya dan kegelapan. Oleh kerana itu, setiap kali kita mendekati kezaliman dan melakukan perbuatan jahat maka semakin malaplah kemuliaan, keadilan serta karamah insaniah.  

Justeru saya menyeru agar semua rakyat Malaysia turut serta bersama menegakkan keadilan yang merupakan kelangsungan dari fitrah manusia yang mahukan kebenaran dan menolak kebatilan.

Sempena sambutan Deepavali tahun ini saya ucapkan Deepavali Nal Vathukal

ANWAR IBRAHIM

Pemberian Air Percuma Cara Selangor Pulangkan Keuntungan KDEB KEpada Rakyat

Posted: 25 Oct 2011 12:50 AM PDT

Kenyataan Akhbar

Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).  Sebagai anak syarikat kerajaan negeri, KDEB mendapat banyak keistimewaan dari segi pemberian sumber-sumber seperti tanah, projek pembangunan dan pemilikan saham-saham.
 
Selepas Kerajaan Negeri Selangor diambil alih Pakatan Rakyat, Kerajaan negeri mengamalkan dasar "Hasil Negeri Untuk Rakyat" menerusi program "Merakyatkan Ekonomi Selangor"(MES) yang bermaksud semua aset atau harta yang dimiliki kerajaan negeri adalah milik rakyat Selangor.
 
Selaku pemegang amanah, Kerajaan Negeri melaksanakan tanggung jawab menguruskan harta-harta milik rakyat secara telus dan bertanggungjawab.   Justeru, setiap keuntungan yang diperolehi oleh anak syarikat akan disalurkan secara terus kepada rakyat, selaku pemilik mutlak terhadap harta-harta ini.
 
Pemberian 20 meter padu air percuma kepada pengguna di Selangor – melalui KDEB – adalah salah satu usaha kita untuk menyalurkan keuntungan terus kepada rakyat.
 
Kerajaan faham jika polisi pemberian terus kepada rakyat ini janggal kepada Ketua Audit Negara dan agensi-agensi kerajaan persekutuan yang lain kerana sebelum ini, keuntungan anak syarikat kerajaan negeri diserapkan terus dalam  kerajaan negeri untuk program-program yang kita tidak tahu secara terperinci dan siapa yang mendapat manfaat.
 
Sebagai contoh, Petronas sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyerahkan keuntungan berbilion ringgit yang diperolehi setiap tahun  kepada kerajaan Pusat tetapi kita tidak tahu bagaimana keuntungan ini dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat.
 
Ini berbeza dengan pentadbiran Pakatan Rakyat yang mana keuntungan anak-anak syarikat kerajaan negeri diagihkan secara langsung kepada rakyat menerusi program-program MES termasuklah pemberian air percuma.
 
Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat mahu memastikan keuntungan anak syarikat disalurkan dengan betul dan tepat kepada golongan sasaran supaya tidak berlaku ketirisan dalam agihan kekayaan negeri.
 
Oleh kerana itu, pemberian air ini menerusi KDEB akan diteruskan kerana ia telah memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta rakyat negeri setiap tahun sejak dilancarkan pada Jun 2008.
 
Isu KDEB menanggung kerugian berikutan pemberian air percuma seperti yang berbangkit dalam Laporan Ketua Audit Negara, tidak perlu timbul langsung
kerana dana untuk program pemberian air percuma ini disalurkan terus oleh Kerajaan Negeri kepada KDEB untuk pembayaran.
 
Banyak juga sedang diperkatakan tentang pengurusan kewangan Negeri Selangor, dan pejabat ini ingin menyatakan perjalanan perbelanjaan telah dibuat dengan telus dan mengikut peraturan yang diperuntukan.
 
Jika Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar mahu meneliti akaun Negeri Selangor, Kerajaan Negeri tidak keberatan dengan syarat beliau juga menunjukkan perjalanan perbelanjaan  peruntukan yang disalurkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta bagaimana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) di Selangor diagihkan kepada rakyat Selangor.
 
Jika Dato' Menteri berani, Kerajaan Negeri akan bersama beliau membuka akaun untuk dihalusi oleh SELCAT.
 
 
dikeluarkan
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Perutusan Hari Deepavali Dr. Wan Azizah Wan Ismail

Posted: 25 Oct 2011 12:21 AM PDT

Perayaan Deepavali diserikan dan diraikan dengan "cahaya" untuk mengenang dan mempermuliakan kemenangan yang baik atas yang jahat. Lalu disusun lampu ’ agal vilakku’ yang bercahaya dan berseri-seri. Kita di sini beruntung kerana dapat berkongsi merayakan perayaan ini dengan masyarakat Malaysia yang beragama Hindu.Tidak dapat dinafikan bahawa tamadun daripada pengaruh agama Hindu turut menyumbang kepada proses ketamadunan di Nusantara. Kehebatan yang terserlah ialah, apabila kedatangan Islam, kedua tamadun ini dapat terjalin dengan baik dan tanpa sebarang ketegangan atau kesusahan. 

Ujian sebenar ialah hari ini. Sebagai salah satu kaum utama di Malaysia, masyarakat India khususnya yang beragama Hindu masih tercicir. Lihat sahaja bagi mereka yang tinggal di estet-estet, keadaannya masih daif. Berulang kali disebutkan, termasuk di dalam Parlimen bahawa angka banduan,  keciciran pendidikan di sekolah dan gangsterisme masih ramai yang melibatkan belia dari masyarakat India. Yang jelas ialah kepercayaan sekian lama yang mereka berikan kepada pemerintah sediakala telah dikhianati. Malah kita dengar bagaimana saham berbilion ringgit yang diperuntukkan kepada masyarakat kita yang keturunan India, lenyap begitu sahaja. Pembelaan bagi pihak semua masyarakat yang memerlukannya adalah tunggak perjuangan Keadilan sejak penubuhannya. 

Dalam konteks ini , masyarakat India  tidak boleh dibiarkan terkebelakangan  mengakibatkan keseluruhan corak masyarakat Negara menjadi tidak seimbang. Inilah ujian dan cabaran yang sedang dihadapai oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kesejahteraan. Parti Keadilan Rakyat tidak memandang sambil lewa hal ini. Kita dengan sepenuh daya upaya mahukan agar masyarakat India tidak lagi ketinggalan, dan keberadaan mereka bukan hanya tempelan di kaca TV untuk menampakkan keharmonian yang serba pura-pura. 

Menjelang hari mulia 26 Oktober 2011 ini, saya mewakili seluruh barisan kepimpinan dan ahli-ahli Keadilan mengucapkan Selamat Hari Deepavali. Mari kita bersama membawa cahaya kebaikan ke semua warga negara kita yang tercinta. 

Dr Wan Azizah Ismail
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Tiada ulasan: