Ahad, 23 Oktober 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Pakatan Batal GST Jika Memerintah

Posted: 23 Oct 2011 06:56 PM PDT

Harakah

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan tetap dibatalkan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah negara kerana ia membebankan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra ‘Sepetang Bersama Masyarakat’ di Dewan Orang Ramai Batu 5, Permatang Janggus, Permatang Pauh, kelmarin.

Menurut beliau lagi, GST adalah satu bentuk paksaan yang dikenakan oleh pemerintah kepada rakyat yang sedang menghadapi masalah bebanan dengan kenaikan harga barangan.

“Sekiranya cukai ini dikenakan kepada rakyat, ia bukan saja membebankan mereka, tetapi menjadikan rakyat terpaksa tunduk kepada hasrat kerajaan untuk menekan dan menzalimi secara hormat.

“Oleh itu, seandainya PR berjaya memenangi kerusi pilihan raya umum yang akan datang, kita berjanji akan membatalkan GST yang tidak memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan yang berpendapatan rendah,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut menyelar kepimpinan Datuk Seri Najib kerana mempermainkan rakyat apabila menangguhkan GST sehingga selepas pilihan raya yang akan datang.

Katanya, apabila cukai yang hendak dikenakan ditangguhkan sebelum pilihan raya, adalah tidak mustahil ianya akan dilaksanakan selepas ini.

“Ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada tidak prihatin terhadap keperluan rakyat, sebaliknya memberi prioriti terhadap keperluan mereka bagi memeras dan mencekik darah rakyat,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga membidas BN yang cuba mempolitikkan isu berkaitan pelajar sekolah yang didakwa terlibat dalam kes serangan seksual dikaitkan dengan anak Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Jelasnya lagi, cara politik yang dimainkan bukan saja mempamerkan kedangkalan modal oleh BN, sebaliknya memperlihatkan bahawa parti tersebut senantiasa menjadikan kelucahan sebagai modal politik terdesak.

“Adalah sesuatu yang merbahaya sekiranya, BN terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan dalam negara apabila mereka tidak dapat menjustifikasikan mana yang baik dan mana yang buruk untuk dipolitikkan,” tambahnya lagi.

Rakyat Bayar GST.Pemimpin Terus Diulit Kemewahan

Posted: 23 Oct 2011 01:41 AM PDT

Harakah

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mendakwa kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak ada kawalan ke atas perbelanjaan yang boros dan gaya hidup mewah.

Pada masa yang sama, rakyat pula katanya bakal dikenakan cukai barangan GST (Goods and Services Tax) yang sekaligus menyaksikan rakyat bawahan akan terus terbeban.

"Rang Undang-Undang berkaitan sudah diedarkan, tunggu masa hendak diluluskan dan akan dilaksanakan kutipan cukai baru itu ke atas segenap lapisan rakyat tanpa mengira miskin atau kaya.

"Sedangkan dia tidak ada kawalan ke atas perbelanjaan yang boros dan gaya hidup mewah, bahkan memperkenalkan cukai baru,” katanya.

Beliau berucap pada program Penjelasan Sidang Dewan Undangan Negeri dan Bajet 2012 Muslimat anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lajnah Penerangan Muslimat PAS Negeri di JKR 10, Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini semalam.

Mengulas lanjut, Saifuddin mendakwa perbelanjaan negara terus bertambah akibat pemborosan, pembaziaran, kebocoran dan ketirisan.

"Sebagai contoh, perbelanjaan perjalanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib mencecah RM17 juta, pembayaran bill utility rumah Perdana Menteri dan Timbalannya serta bill air menelan belasan jutaan ringgit.

"Perbelanjaan itu boleh dikawal jika sekiranya cara hidup mewah dihentikan," katanya.

Menututnya, ini berbeza dengan cara hidup menteri besar di negeri Pakatan Rakyat yang tidak menduduki rumah rasmi, bahkan mendapat pujian daripada Jabatan Audit Negara berkenaan pembaziran dan pemborosan.

Pemberian one-off hasil hutang

Selain itu, beliau mendakwa pengumuman insentif dalam Bajet 2012 oleh Datuk Seri Najib yang bersifat 'One Off' adalah hasil daripada hutang.

Menurutnya, negara terpaksa menambah hutang bagi menampakkan BN membiayai rakyat pada masa yang sama mereka menambah defisit negara.

"Hutang yang terpaksa dibuat bagi menampung defisit dan hutang jugalah bagi membiayai rakyat," dakwanya.

Megnulas Laporan Ketua Audit Negara yang tidak dibentang biarpun perbahasan Bajet 2012 di peringkat dasar telah pun tamat, beliau yakin ada sesuatu yang tidak kena.

"Biasanya bukti-bukti salah urus ini akan dicatatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang terbaru, setiap tahun.

"Peristiwa (kelewatan) ini saya lebih melihat bahawa ada sesuatu yang tidak kena walaupun penjelasan diberikan pihak Jabatan Audit," katanya.

Tiada ulasan: