Khamis, 20 Oktober 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Program Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Kedah

Posted: 20 Oct 2011 05:45 PM PDT

22 Oktober  2011 (Sabtu)

Program 1)

8.00 mlm – Sambutan Rumah Terbuka Deepavali

Lokasi: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sidam (YB Tan Chu Kang)
Jalan Sekerat, Sungai Petani

Program 2)

9.00 – 12.00 mlm – Ceramah Perdana – Demi Rakyat

Lokasi: Dewan Dato' Fadhil Noor, Kampong Batu 16, Serdang, Bandar Baru, Kulim

Penceramah:

1.      YB Dato' Seri Anwar Ibrahim

2.      YB Saifuddin Nasution Ismail

3.      YB Yakob Husin

4.      YB Senator Saiful Izham Ramli

5.      Sdr Fariz Musa

Rayuan Sepina Najib, Rosmah Patut Didengar dulu

Posted: 20 Oct 2011 12:49 AM PDT

Malaysiakini

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rayuannya bagi menolak sepina yang membenarkan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mengketepikan sepina yang meminta mereka hadir di Mahkamah Tinggi didengar terlebih dahulu sebelum hujahan akhir daripada pihak pembelaan dan pendakwaan dilakukan.

“Kami telah membuat rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Datuk Mohamad) Zabidin (Mohd Diah) untuk membatalkan sepina yang diberikan kepada Najib dan Rosmah.

“Saya juga tidak mahu kes ditangguhkan lagi… tetapi Mahkamah Rayuan perlu mendengar rayuan saya terlebih dahulu. Dalam kes-kes lain, rayuan diputuskan dengan cepat,” kata Anwar.

Ketua pembangkang itu juga mempersoalkan kredibiliti badan kehakiman dan mendakwa kelewatan dalam mendengar rayuan beliau hanya mencerminkan pendakwaan yang tidak adil terhadap dirinya.

AMK Kecam Penggantungan Prof. Dr. Abdul Aziz Bari

Posted: 20 Oct 2011 12:07 AM PDT

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam keras tindakan pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang bertindak menggantung perkhidmatan Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, pensyarah kanan UIAM yang juga merupakan pakar perlembagaan tanah air.

Penggantungan ini, susulan daripada Surat Tunjuk Sebab yang dikeluarkan oleh UIAM semalam kepada Dr. Aziz, ternyata sesuatu yang memelikkan dalam keadaan Dr. Aziz belum lagi memberikan sebarang jawapan balas kepada Surat Tunjuk Sebab berkenaan yang meletakkan tarikh 25 Oktober sebagai tarikh akhir untuk beliau menjawabnya.

Isu yang dipolemikkan secara berlebihan oleh Utusan Malaysia dan beberapa aktivis politik picisan melibatkan kenyataan terdahulu Dr. Aziz sehingga beliau disiasat oleh SKMM dan polis, nyata sekali bertujuan untuk mengelirukan rakyat dan bertujuan untuk membangkitkan sentimen rakyat ke atas sesuatu isu yang sememangnya jelas justifikasinya di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sistem perundangan Malaysia.

AMK melihat, penggantungan ini, jelas mencalarkan imej UIAM selaku ‘Taman Ilmu dan Budi’, apabila dalam keadaan budaya ilmu melalui penghujahan fakta yang autoritatif di dalam lingkungan kepakaran seseorang pensyarah ditekan dengan tindakan seumpama ini.

AMK tidak berniat untuk campur tangan di dalam pentadbiran UIAM. Sebaliknya, yang dipertikaikan ialah kenapa wujud kekangan ke atas kebebasan akademik, atau secara asasnya kebebasan berfikir di kalangan pensyarah yang bertanggungjawab mendidik mahasiswa? Sekiranya ini berlaku, maka bukan sesuatu yang memelikkan, melihat kepada kualiti mahasiswa yang ada di pasaran sangat mendukacitakan. ini kerana kalangan pensyarah dimusnahkan kredibiliti mereka sehingga menghadkan ruang mereka untuk berwacana dengan ilmu pengetahuan serta kepakaran yang ada pada mereka.

Kenyataan Dr. Aziz, sekiranya menimbulkan pertikaian, seharusnya di bawa ke tengah melalui perdebatan dan perbahasan umum di mana pihak yang menyanggah diberi ruang untuk menyanggah, dan Dr. Aziz sendiri diberi ruang untuk mempertahankan diri dengan fakta-fakta beliau. Tetapi sayangnya, di Malaysia, di sebalik slogan “Malaysia Boleh”, tetapi budaya ilmu seperti ini tidak boleh dilaksanakan sama sekali. Para pensyarah harus berfikir, mengajar dan mengamalkan apa yang disistemkan oleh pemerintah. Sekiranya bercanggah, nasib para pensyarah akan menjadi seperti Dr. Aziz.

Sekiranya trend seumpama ini berterusan, AMK percaya, janganlah dirungsingkan kenapa prestasi IPTA Malaysia di mata dunia saban tahun sukar mendaki tangga kedudukan IPT terbaik dunia. Jawapannya mudah: Kredibiliti akademik dan budaya ilmu di Malaysia sedang ‘dibinasakan’ secara sistematik oleh Umno-BN yang berterusan menekan pengurusan IPT untuk bertindak ke atas pensyarah dan mahasiswa yang tidak sealiran dengan aspirasi mereka.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia/
Mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, UIAM sesi 1996/1997

Abdul Aziz Bari: Keluhuran Perlembagaan Bukan Untuk Diulang-ulang Seperti Burung Kakak Tua

Posted: 19 Oct 2011 10:08 PM PDT

Merdeka Review

Berita terkini melaporkan bahawa Profesor Abdul Aziz Bari digantung tugasnya sebagai pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), lantas mencungkil persoalan sejauh manakah institusi pengajian tinggi mampu mempertahankan kebebasan akademik atau kebebasan bersuara dalam menara gading?
Mampukah menara gading tempatan menampung sesuatu yang dikatakan “idealisme”?  Atau sekadar bayangan realiti di luar kampus – apabila mereka yang sepatutnya mempertahankan “keluhuran perlembagaan” menodai semangat ini; dan apabila mereka yang sepatutnya mempertahankan autonomi akademik, mencabul kesucian intelektual.

Abdul Aziz Bari (gambar kiri), 52, menjadi tumpuan kali ini.  Isunya terlalu besar, membelenggu fikrah masyarakat Malaysia selama ini.  Namun sehingga hari ini, beliau tetap tidak berganjak, mempertahankan apa yang dipercayai dirinya, sebagai seorang pakar perlembagaan.

Ikuti bahagian kedua wawancara MerdekaReview (MR), bersama Abdul Aziz Bari (AAB) melalui email.

MR: Dari sejarahnya, sistem perlembagaan kita direka dengan institusi Raja dikekalkan sebagai lambang untuk mempertahankan agama Islam dan kaum Melayu.  Mungkin ini antara puncanya mengapa institusi Raja menjadi isu “sensitif”, kerana mengkritik “Raja” disamakan dengan “mempertikaikan Melayu dan Islam”.

Atau dalam konteks hari ini, apakah Prof menganggap, “sensitif”nya isu institusi Raja sebenarnya berpunca daripada permainan politik kepartian?  Parti politik telah mengheret institusi Raja ke gelanggang politik kepartian, sebagai senjata dalam pergelutan politik.  Misalnya, dalam rampasan kuasa Perak pada tahun 2009, penyandang asal jawatan Menteri Besar, Mohd. Nizar Jamaluddin diserang sebagai “penderhaka” oleh UMNO, yang mana motifnya diketahui umum.

AAB: Apa yang dianggap sensitif itu pada saya sesuatu yang subjektif.  Lain orang lain tafsirannya.  Dalam konteks undang-undang hasutan seorang hakim, Tan Sri Azmi Kamaruddin, pernah menyebut dalam kes Mark Koding (1982) betapa undang-undang hasutan Malaysia payah difahami.  Menyeret istana ke kancah politik ini banyak sebabnya.  Tetapi jika istana tegas dan tahu peranannya itu saya fikir tidak akan berlaku.  Tetapi ada kalanya tuduhan itu timbul kerana pihak berkenaan hendak menyembunyikan sesuatu dan pihak ini mungkin berkata istana diseret ke dalam politik kerana istana memainkan peranannya yang sebenar.

Dalam kes Nizar itu saya dah sebut sikap dan pandangan saya yakni istana perlu melaksanakan kuasanya sebagaimana yang dihasratkan oleh perlembagaan; yakni selaras dengan demokrasi.  Ertinya kuasa budibicara itu perlu dilihat dalam konteks yang betul.  Bukan secara literal.

MR: Dalam tulisan prof, institusi Raja seharusnya melangkaui politik kepartian, supaya diterima sebagai lambang perpaduan negara.  Konsep ini diterima dan diamalkan di negara seperti Britain.  Namun, sebagaimana yang diamati, apabila Pakatan Rakyat diasak dengan serangan UMNO-BN dalam isu institusi Raja, wujud kecenderungan daripada pihak PR untuk menarik sokongan institusi Raja.  Misalnya, PKR pernah seketika dahulu mencadangkan agar kekebalan Raja dipulihkan.

Dalam senario politik sedemikian, apakah strategi ini adalah satu kemestian, ataupun sebenarnya PR boleh tampil dengan alternatif yang lain?

AAB: Saya tidak pasti apakah yang sebenarnya mereka maksudkan, khususnya mengembalikan kekebalan atau imuniti itu.  Ini sebenarnya tidak timbul kerana perlembagaan hanya boleh diubah melalui pindaan formal.  Saya tidak pasti apakah PKR mampu berbuat demikian kerana pindaan perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.  Sekarang ini usahkan hendak meminda perlembagaan, hendak menubuhkan kerajaan yang hanya memerlukan majoriti biasa pun masih belum mampu.  Saya tidak pasti apakah kekebalan atau imuniti yang menjadi kekuatan sistem beraja sebagaimana di Britain.  Ini kerana sistem beraja di sana sentiasa dikritik.  Bahkan kalau mengikut standard kita dipermain-mainkan atau diejek.

MR: Dalam konteks zaman sekarang, apakah Prof bersetuju, seandainya institusi Raja disesuaikan dengan peranannya sebagai lambang untuk mempertahankan SEMUA rakyat Malaysia – tanpa membezakan kaum dan agama.  Apakah ia mampu meredakan masalah perkauman dan agama yang meruncing?

AAB: Setahu saya institusi ini bukan lambang rakyat; institusi beraja ialah lambang autoriti negara dan lambang perpaduan rakyat.  Ia juga adalah jatidiri dan identiti negara dan sejarahnya.  Sama ada sistem itu mampu meredakan masalah kaum atau tidak itu bergantung kepada komitmen institusi itu sendiri.  Pada saya pengekalan sistem beraja itu sendiri sepatutnya sudah mampu mengelakkan timbulnya gerakan kanan dan ekstrem.  Dengan kata lain, sekiranya sistem beraja itu dihormati maka tidak akan muncul gerakan berhaluan kanan yang pada asasnya muncul kerana tidak wujudnya institusi seperti sistem beraja.

MR: Baru-baru ini beberapa isu yang agak sensitif untuk masyarakat Melayu dicungkil.  Misalnya isu Mat Indera, di mana isu di sebaliknya adalah perjuangan komunis.

Prof pernah dalam satu ceramah membidas bahawa kerajaan sebenarnya tidak mematuhi Perjanjian Haadyai 1989, apabila Chin Peng tidak dibenarkan balik ke Malaysia.

Isu di sini sebenarnya melibatkan integriti, iaitu sama ada sesebuah negara patuh kepada janjinya.  Namun, suara “dominan” dalam masyarakat Melayu tidak melihat dari perspektif ini, sebaliknya lebih didorong sentimen ketika menangani isu ini, misalnya mencungkil semula emosi bekas tentera yang tercedera ketika memerangi komunis.  Persoalannya, apakah di sini “emosi” mengatasi segala-galanya?

AAB: Saya tidak melihatnya begitu.  Bukan soal emosi mengatasi segala-galanya tetapi ada media tertentu yang dibiarkan bermaharajalela dan berbuat sesuka hati.  Mereka hanya memaparkan perspektif yang disukai oleh pemerintah yang belum tentu sempurna dan betul.  Apa yang saya katakan itu adalah fakta, ia bukan pendapat saya.  Ia hanyalah paparan yang perlu diketengahkan kerana masyarakat sudah lupa atau tidak tahu.

MR: Sebagai pakar perundangan, sejauh manakah prof menilai semangat “rule of law” ini dipraktikkan dalam masyarakat kita?  Padahal dalam rukun negara kita melafazkan “keluhuran perlembagaan”.  Seandainya semangat itu masih tipis dalam masyarakat kita, apakah puncanya?  Bagaimana kita boleh berusaha ke arah itu?

AAB: Masalah yang kita hadapi ialah kita melakukan itu sebagai ritual yang kosong, yang tidak ada makna apa-apa.  Keluhuran perlembagaan perlu dihidupkan dalam masyarakat.  Tetapi realiti kita adalah sebaliknya.  Sebuah negara yang bukan sahaja penuh dengan undang-undang drakonia dan pelaksanaan yang memilih-milih dan tidak adil.  Keluhuran perlembagaan bukan untuk diulang-ulang seperti burung kakak tua.  Ia perlu dilaksanakan supaya rakyat komited dan sedia mempertahankannya.

MR: Masyarakat Melayu mungkin mengalami “gegaran fikrah” lantaran beberapa isu yang dibangkitkan baru-baru ini, Mat Indera, peranan Sultan dan sebagainya.  Politikus mungkin lebih berhati-hati, kerana seandainya mengambil langkah terlalu ke depan, mereka bimbang kehilangan undi seandainya gagal menjelaskan kepada pengundinya.

Di sini, mungkin cendekiawan, pemikir dan ahli akademik boleh memainkan peranannya.  Sejauh manakah golongan intelektual ini memainkan peranan mereka yang seharusnya?  Apakah harapan Prof terhadap mereka?

AAB: Kita banyak universiti dan ramai profesor.  Tetapi ini tidak semestinya bermakna bahawa kita ramai intelektual.  Lihat sahajalah apa yang berlaku dalam isu Mat Indera itu.  Dan apa yang saya sendiri tanggung sekarang.  Saya menghargai sokongan rakan-rakan dan saya harap mereka dapat memainkan peranan dalam bidang masing-masing.  Termasuk berkongsi dengan masyarakat apa yang mereka kaji dan ajar.

MR: Prof mungkin tidak perlu berdepan dengan risiko seandainya memilih untuk berdiam diri dalam isu-isu yang kontroversial.  Tetapi mengapa Prof sebagai kaki tangan dalam institusi pengajian tinggi awam mengambil langkah untuk tampil ke depan, malah tidak berundur apabila diserang?

AAB: Saya tidak mahu angkat bakul.  Memadai jika saya katakan saya percaya dan komited dengan cita-cita kebenaran dan keadilan.  Ini semua perlu diperjuangkan.  Secara kebetulan saya ahli akademik.  Jadi saya pilih jalan ini.  Kalau saya petani atau ahli politik saya akan gunakan cara dan pendekatan yang lain yang sesuai dengan pekerjaan saya. (Bahagian kedua, tamat)

Bahagian pertama: Abdul Aziz Bari: Majoriti yang sokong saya Melayu

Tiada ulasan: