Rabu, 19 Oktober 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


SPR tiada alasan lengah guna dakwat kekal

Posted: 19 Oct 2011 01:22 AM PDT


KUALA LUMPUR, 19 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) agar segera melaksanakan tuntutan rakyat iaitu penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) menganggap proses menunggu 'lampu hijau' dari Majlis Fatwa Kebangsaan telah selesai kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah lama mengeluarkan kenyataan mengenai hukum tersebut.

Justeru, jelasnya DPPM memetik kenyataan daripada Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Cetakan Kedua 2010, terbitan JAKIM, m/s 144 yang menyebut bahawa: "Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Inedible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Inedible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan syarak, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan. Oleh itu penggunaan Inedible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada umat Islam. Walau bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa terhadap kandungan dan tahap ketelapan Inedible Ink ini hanya tertakluk kepada bahan yang sama dengan yang telah diuji oleh pakar-pakar berkenaan sahaja."

"Bagi DPPM, Fatwa ini terang dan jelas bahawa tiada masalah dakwat kekal dilaksanakan dalam PRU ke-13 nanti," katanya.

Justeru, tegasnya SPR tidak perlu berlengah dan tidak perlu bimbang kerana hukum dari pihak yang berautoriti dalam bidang agama telah dikeluarkan lebih awal.

Beliau menambah, rakyat khususnya umat Islam akan selamat dengan kaedah ini kerana ia tidak akan mengganggu amal ibadat serta mengandungi perkara yang syubhat mahupun haram.

Menurutnya, DPPM mengingatkan bahawa SPR sedang menjadi bahan cemuhan dan mendapat krisis ketidakyakinan bukan setakat rakyat di Malaysia, bahkan masyarakat dunia.

Bagi mengelakkan prasangka yang lebih buruk, katanya SPR perlu melaksanakan sistem celup jari secepat mungkin.

Setidak-tidaknya, ujar beliau rakyat akan memberi sedikit harapan dan kepercayaan bahawa SPR sedang berusaha menjadikan sistem pilihan raya di Malaysia bebas, bersih dan adil.

Justeru, tambahnya DPPM meningatkan agar SPR tidak mencari dalih lain bagi melengahkan pelaksanaannya dalam PRU ke-13 nanti.

Jika tidak, katanya SPR akan dianggap gagal dan rakyat tidak akan memaafkan kesalahan besar ini buat selama-lamanya.

"Jangan hampakan harapan rakyat Malaysia yang inginkan satu sistem pilihan raya yang bersih, adil, telus dan diyakini.

"Usahalah agar sistem pilihan raya di Malaysia menjadi antara yang terbaik di dunia," ujarnya.



Sumber: Harakahdaily

PKR juga tidak sertai Himpun

Posted: 19 Oct 2011 01:15 AM PDT


KUALA LUMPUR, 19 Okt: PKR mengambil pendirian sama dengan PAS iaitu tidak akan menyertai Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22 Oktober ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya hanya tidak terlibat dengan perhimpunan itu namun teguh mempertahankan prinsip Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan segala usaha mempertahankan akidah umat Islam harus ditingkatkan.

"PKR juga mengambil sikap sama (dengan PAS dan beberapa NGO) untuk tidak menyertai perhimpunan itu.

"Dari segi kedudukan Islam, adalah menjadi keperluan kita memperkukuh akidah, untuk meningkatkan dakwah, kita tekankan itu perlu ditingkatkan," kata Anwar pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

PAS dalam mesyuarat lajnah politiknya malam tadi memutuskan tidak menyertai Himpun atas dasar menghormati kehendak penganjur yang tidak mahu ia melibatkan parti-parti politik.

PAS bagaimanapun mengingatkan pihak penganjur agar tidak menimbulkan polemik perkauman dan agama yang akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, pihaknya gusar Himpun diperalatkan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan suasana tegang di antara kaum.

Ketua Pembangkang itu sebaliknya menegaskan, masalah moral yang kebanyakannya berpunca daripada longgarnya akidah umat Islam harus diberi penekanan.

"Saya berpendapat isu akidah, akhlak dan dakwah umat itu tanggungjawab yang kita kena laksanakan.

"Yang menggalakkan judi, arak, yang kuasi syarikat besar itu tiada kaitan dengan kristianisasi...itu masalah umat.

"Masalah kepincangan sosial, rasuah berleluasa, masalah kezaliman...itu juga isu yang dekat dengan Islam. Kalau itu tidak ditangani, itu bukan cara dan pendekatan dakwah yang baik.

"Lebih-lebih lagi timbul kecurigaan pelbagai pihak tentang muslihat kemungkinan ketegangan yang ditimbulkan pihak tertentu terutamanya daripada Umno," tegasnya.

Selain PKR dan PAS, NGO Wadah turut mengundur diri daripada menyertai Himpun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata, PKR mengambil pendirian tersebut atas dasar toleransi di antara kaum seperti yang dibuktikan sejarah Islam.

Mengambil contoh pemerintah Islam di Sepanyol dan India yang mempunyai pemerintah berlainan agama, beliau berkata tidak timbul masalah pentadbiran jika mengamalkan sikap hormat-menghormati.

"Kalau seseorang pemerintah benar-menghayati Islam dia akan mengamalkan tolenrasi, memahami dan tak melihat pengganut agama lain dengan prejudis.

"Kita ambil pendirian dalam konteks politik pelbagai kaum dan agama dan komitmen kita dalam dasar bersama, kita terjemahkan pendirian kita yang berasaskan sejarah toleransi Islam," ujarnya yang juga Setiausaha Agung PKR.

Menurutnya, dalam tradisi Khalifah Umar Al-Khatab ketua audit negara zaman itu seorang Kristian.

Dalam sejarah di India pula, sewaktu pemerintahan Sultan bernama Tipu Sultan angkatan panglimanya juga seorang Kristian.


Sumber: Harakahdaily

DAP: Blog guna gambar palsu fitnah anak Lim

Posted: 19 Oct 2011 01:13 AM PDT


Penulis blog yang dikaitkan dengan Umno dikatakan menggunakan gambar palsu bagi memfitnah anak ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang hanya berusia 16 tahun meramas buah dada teman sekolahnya.

Menurut setiausaha publisiti DAP, Tony Pua, gambar yang digunakan oleh penulis blog berkenaan dikenalpasti sebagai Anya Sun Corke, 21, seorang warga Britain.

Gadis itu juga dikatakan tidak mempunyai kaitan dengan Pulau Pinang mahupun pernah berhubungan dengan anak Lim, kata Pua.

"(Beliau) sekarang pelajar tahun ketiga di sebuah kolej di Amerika Syarikat. Semua ini membuktikan bahawa dakwaan oleh cybertrooper Umno adalah pembohongan," katanya.

Pua menyifatkan tindakan keji penulis blog berkenaan yang mengheret anak Lim itu sebagai "memalukan bangsa, agama dan negara" mereka dan bertujuan memusnahkan masa depan remaja itu.

"Malah, penulis blog cuba memberi kredibiliti pendustaan mereka dengan menyiarkan gambar gadis muda itu," kata Pua merujuk blog yang turut memuat-naikkan gambar mangsa-mangsa berkenaan.

Menurut Pua, tembelang penulis blog itu berjaya dibongkar oleh pengurus IT DAP Goh Kheng Teong yang mengesan identiti gadis itu selepas gambarnya dimuat-naikkan di blog mereka.

"Tidak ada sesiapa di sekolah anak Lim yang mengenali siapa gadis itu, termasuk pengetua dan guru-guru.

"Tidak memeranjatkan kerana gadis itu tidak pernah belajar di Pulau Pinang dan bukan juga warga Malaysia," katanya.

Corke, yang kini menuntut di Wellesley College, adalah pemain catur yang terhandal dan menjadi wanita pertama yang mewakili universitinya dalam Liga Catur Amerika Syarikat.


Sumber: Malaysiakini

'Negara Kristian': MP gesa permit Utusan digantung

Posted: 19 Oct 2011 01:10 AM PDT


Ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi menuntut kerajaan supaya menggantung permit penerbitan Utusan Malaysia yang didakwa menerbitkan berita palsu berhubung dakwaan rancangan penubuhan negara Kristian.

Jelasnya, laporan akhbar milik Umno itu perlu dikenakan tindakan tersebut kerana siasatan polis sendiri menunjukkan tiada bukti kukuh berhubung dakwaan berkenaan.

Beliau membuat penjelasan itu berdasarkan satu jawapan bertulis
oleh menteri dalam negeri di Dewan Rakyat bertarikh 3 Oktober, berhubung siasatan yang dijalan ke atas dakwaan tersebut.

"Hasil siasatan mendapati bahawa tiada bukti kukuh yang boleh menyokong keterangan untuk menyabitkan kesalahan kepada mana-mana individu dalam kes ini," jawapan tersebut dipetik.

Jawapan berkenaan adalah untuk menjawab soalan yang dikemukakan ahli parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin.

Dalam jawapan berkenaan, menteri dalam negeri juga menyatakan bahawa jabatan peguam negara telah memutuskan "tiada tindakan lanjut" dijalankan untuk kes berkenaan.

Oleh sebab itu, kata Ooi, Utusan perlu dikenakan tindakan kerana "membuat laporan tidak berasas yang cuma mencetuskan keadaan tegang dan ingin memperlagakan antara agama di Malaysia."

Ooi menjelaskan, kes berkenaan tercetus apabila Utusan menyiarkan dakwaan daripada tulisan seorang penulis blog, Big Dog.

"(Jadi) saya minta menteri dalam negeri menggunakan kuasanya untuk menggantung lesen cetak Utusan Malaysia," katanya dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini.


Sumber: Malaysiakini

Selepas SKMM, Aziz Bari disiasat polis pula

Posted: 19 Oct 2011 01:08 AM PDT


Selepas disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Isnin lalu, pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari hari ini disiasat pula pihak polis berikutan reaksinya terhadap titah Sultan Selangor baru-baru ini.

Katanya, beliau disiasat di bawah akta hasutan oleh dua pegawai berpangkat ASP di ibu pejabat polis daerah Shah Alam ekoran laporan Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

"Saya sebagai suspek. (Ia) berikutan laporan Ezam minggu lalu," katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas perjalanan sesi itu, Aziz menyifatkan kedua-dua polis yang merakamkan kenyataannya itu bertindak secara "profesional dan mesra".

Tambahnya, mereka juga mematuhi undang-undang sebagaimana diperuntukkan dalam Kanun Acara Jenayah.

SKMM semalam menyiasat Aziz dan wartawan Malaysiakini Jimadie Shah Othman berhubung perkara yang sama di pejabat mereka secara berasingan di Gombak dan Kuala Lumpur.

Ia ekoran pandangannya yang dilaporkan Malaysiakini bahawa tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan lazim.

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam negeri, baginda mempunyai hak untuk itu tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz sehari menjelaskan bahawa Akta Hasutan 1948 memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu asalkan mereka tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Tidak puas hati dengan kenyataan itu, Ezam dan empat aktivis NGO tampil membuat laporan serentak dengan mendakwa Aziz berlaku biadap dan derhaka kepada institusi Raja Melayu.

Sultan sebelum itu bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan hasil siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi ia tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.


Sumber: Malaysiakini

Salahuddin: SKMM bukan polis peribadi Rais

Posted: 19 Oct 2011 01:07 AM PDT


Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim tidak harus menjadikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai "polis peribadinya".

"Tindakan ini dilihat umum sebagai penyalahgunaan kuasa yang sangat ketara dan pencabulan kebebasan bersuara yang memalukan negara.

"Ia mesti dihentikan serta-merta kerana ia bukan sahaja pencabulan kebebasan bersuara malah pencabulan serta penghinaan terhadap kebebasan akademik," kata naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas siasatan berterusan SKMM berhubung kenyataan yang dibuat oleh pakar perlembagaan, Profesor Abdul Aziz Bari, tentang titah sultan Selangor mengenai siasatan sebuah gereja oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sambil mempertahankan Abdul Aziz, Salahuddin berkata kenyataan pensyarah universiti itu dibuat berdarkan kerja-kerja penyelidikan akademik profesor itu.

Katanya, tindakan SKMM yang menyiasat Abdul Aziz tanpa menyatakan kepada umum kesalahan beliau di sisi undang-undang adalah tindakan yang dilihat rakyat sebagai menjijikkan.

"Yang ada hanyalah histeria dan gelagat tidak tentu arah dan melucukan dari mereka yang hendak membodek atau mereka yang sudah jenuh dilihat umum sebagai gila-gila," katanya.


Wajib sesuaikan diri

Sementara itu, NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) pula dalam kenyataannya hari ini menyatakan sokongan terhadap Aziz dan berpendapat titah monarki boleh dikritik dan diperdebatkan.

Pengerusinya Badrul Hisham Shaharin berkata, dalam dunia yang terbuka ini semua perkara harus dihujahkan dengan matang dan ini bukan zaman rakyat, khususnya anak muda, menerima apa sahaja yag disuap pihak atasan.

"Begitu jugalah institusi monarki bukan sahaja di negara ini tetapi terdapat di seluruh dunia. Institusi monarki ini harus segera menyesuaikan diri termasuklah berevolusi sesuai dengan peredaran zaman.

"Mahu atau tidak ia sesuatu yang wajib demi kelangsungan untuk institusi beraja," kata Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard (kanan).

SAMM juga menyatakan penghormatannya terhadap pandangan kerabat diraja Negeri Sembilan, Tunku Zain Al 'Abidin Tuanku Muhriz bahawa titah diraja boleh dibincangkan ahli akademik dan media, selagi tidak mendatangkan kemudaratan yang sebenar.

"(Ia) menunjukkan dengan jelas betapa dalam dunia terbuka ini institusi monarki harus bersedia untuk titah mereka diperdebatkan dan dikritik masyarakat," kata Badrul lagi.


Sumber: Malaysiakini

PAS tak akan sertai perhimpunan anti murtad

Posted: 19 Oct 2011 01:03 AM PDT


PAS memutuskan tidak akan menyertai Perhimpunan Sejuta Umat atau HIMPUN yang tujuannya bagi menyelamatkan akidah umat Islam Sabtu ini.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat biro politik parti Islam itu dalam mesyuarat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pada Selasa malam.

"PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program," kata Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri).

Penganjur acara itu pada Selasa memberi jaminan HIMPUN tidak mempunyai kaitan politik ataupun akan digunakan bagi menyerang mana-mana kumpulan.

Secara khusus, pengerusi bersama himpunan itu Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia tiada kaitan dengan beberapa ahli politik kontroversi - Datuk Zulkifli Noordin, Ezam Mohd Noor dan Datuk Ibrahim Ali.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat itu, Hadi berkata, PAS memperingatkan pihak yang terlibat bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama.

"Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak," katanya lagi.

Dalam masa yang sama, katanya, PAS memandang berat usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.

"Agenda menyelamatkan akidah merupakan agenda murni tetapi ia mesti diurus dengan cara berhemah," kata Hadi.

Beliau juga menegaskan PAS menyokong segala usaha sebegitu tetapi berpendirian bahawa pengukuhan akidah hendaklah dilaksanakan "menerusi jalan dakwah secara damai".

Ia sebagaimana Islam diterima masyarakat rantau ini secara damai, tambahnya.

Sumber: malaysiakini

'Ahli Umno didakwa tuntut wang perlindungan'

Posted: 19 Oct 2011 12:54 AM PDT


Tiga ahli perniagaan mendakwa pekerja-pekerja mereka telah dikasari oleh sekumpulan lelaki, yang dipercayai ahli Pemuda Umno yang cuba menuntut wang perlindungan.

Bagaimanapun, seorang ahli Pemuda Umno yang secara tiba-tiba muncul pada sidang akhbar yang dianjurkan oleh ahli perniagaan berkenaan, semalam menafikan dakwaan itu dan berkata ia "tuduhan yang tidak berasas".

Dua ahli perniagaan - Heng Chin Cheng, 36 (kiri), dan Lee Kok Leong, 43, yang membeli unit bawah bangunan sebuah hotel di Jalan Haji Hussein, di Chow Kit, berkata mereka pergi ke premis yang telah lama terbiar itu pada Khamis lalu untuk memulakan kerja-kerja pengubahsuaian.

Ketika merancang pembukaan kedai ketiga mereka - CCH Hardware di tapak itu yang dibeli mereka pada harga RM8.25 juta semasa lelongan Jun lalu, mereka didatangi oleh sekumpulan lelaki yang diketuai oleh ahli jawatankuasa Umno bahagian Titiwangsa, Zulkeflie Mat.

"Empat hingga lima orang yang datang dan mereka memperkenalkan diri mereka sebagai wakil-wakil daripada penjaja di sana. Salah seorang daripada mereka adalah Zulkeflie. Dia beri saya kad perniagaannya dan minta kami membenarkan sedikit masa untuk gerai-gerai kecil di koridor dikosongkan," kata Lee.

Bagaimanapun, tidak ada perkara lain yang dibincangkan semasa pertemuan itu, kata Lee kerana terdapat kehadiran anggota polis ketika itu.

"Kami sebenarnya telah menunggu sejak Jun untuk penjaja mengosongkan kedai kami," katanya.

"Zulkeflie (kanan) dan rakan-rakannya meminta kami menunjukkan dokumen pemilikan kami ... tetapi kenapa harus kami berbuat demikian? Siapakah mereka untuk membuat tuntutan itu? Jadi saya minta beliau untuk semak dengan pemilik sebelumnya atau dengan pihak berkuasa," kata Lee .

"Kami tidak melayan mereka dan meneruskan kerja-kerja kami."

Diserang

Langkah seterusnya langsung tidak dijangka, kata Lee. Beberapa orang muncul pada di premis itu pada hari berikutnya (Jumaat lalu). Mereka bersenjata batang kayu dan menyerang seorang daripada pekerjanya dan memecahkan cermin lori pekerja berkenaan.

"Seorang daripada mereka mendakwa tempat ini adalah kawasan mereka ... dan menuntut agar bayaran dibuat. Tiada seorang pun daripada kami (pemilik) berada sekitar, jadi mereka menghalau pekerja dan juga memukul seorang daripada pekerja kami," kata Lee.

Pekerja yang dibelasah itu, Md Shahin Matbor (kiri), seorang warga Bangladesh, kemudiannya memaklumkan kepada Lee bahawa "samseng" itu memberi amaran kepada mereka supaya tidak kembali, selagi wang belum dibayar.

Md Shahin (kiri) membuat laporan di balai polis daerah Dang Wang berhubung pada hari yang sama dan Lee mendakwa setakat ini tiada tindakan yang diambil.

Berikutan itu, kedua-dua, Lee dan Cheng membuat laporan berasingan - satu di Pandan Indah dan satu lagi di Dang Wangi - bahawa Zulkeflie dan seorang lagi lelaki yang hanya dikenali sebagai AD, telah enggan mengosongkan premis milik mereka dan "menegaskan bahawa kawasan itu di bawah jagaan Umno".

Bimbang dengan keselamatan mereka, Lee dan Cheng mengadakan sidang akhbar di City Hotel Villa yang terletak bersebelahan, semalam dan juga meminta pihak polis memberi perlindungan kepada mereka.

Mereka juga membawa media melawat premis yang kosong itu.


Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan: