Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Empat saksi pendakwa gagal cabar keterangan pakar, kata peguam Anwar
- Kontrak IPP Tg Bin tidak melalui tender terbuka
- Jangan lupa ‘jasa’ Umno bela Raja Melayu
- Media Malaysia belum bebas
- REFSA: Hutang negara mungkin cecah RM1 trillion
- Karpal minta hakim didakwa plagiat letak jawatan
- Himpunan Sejuta Umat: PAS buat keputusan malam ini
- Hutang negara mencecah RM437.2 bilion
Empat saksi pendakwa gagal cabar keterangan pakar, kata peguam Anwar Posted: 17 Oct 2011 11:08 PM PDT KUALA LUMPUR, 18 Okt — Empat saksi yang dibawa pasukan pendakwa hari ini gagal mencabar kredibiliti keterangan pakar pihak pasukan pembela yang mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara fizikal tidak berupaya untuk meliwat sesiapa, kata peguamnya hari ini. Hari ini, mahkamah mendengar keterangan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Zaninah Mohd Zin, pegawai penyiasat ASP Jude Pereira, Sarjan Ahmad Abdullah dan pakar runding HKL Dr Jayaindran Sinadorai. Mereka hadir sebagai saksi pendakwa selepas pasukan pembela menutup pembentangan kes mereka semalam. Saksi ketujuh pasukan pembela Dr Thomas Hoogland baru-baru memberi keterangan bahawa "sangat tidak mungkin" Anwar telah meliwat pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan ekoran keadaan bahagian belakang yang sakit dan tidak mampu melakukan aktiviti-aktiviti berat. Semalam, Peguam Cara Kanan II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memberitahu mahkamah bahawa empat saksi pihaknya akan mengetepikan keterangan Dr Hoogland tentang keupayaan Anwar melakukan perbuatan yang didakwa — meliwat Saiful. Peguam pembela memberitahu mahkamah bahawa mereka telah menutup kes peringkat pembelaan dan tiada bantahan jika pendakwa mahu membawa saksi-saksi baru. Dr Hoogland sebelum ini memaklumkan bahawa "sangat tidak mungkin" Anwar telah meliwat Saiful ekoran faktor usia dan juga masalah artritis teruk dan kerosakan saraf yang dialami Ketua Pembangkang itu. Dr Hoogland, yang mengendalikan pembedahan ke atas Anwar di Munich, Jerman pada 2004 berkata, Anwar berhadapan dengan tiga masalah iaitu stenosis leher, artrisis dan kerosakan laluan saraf yang tidak membolehkan beliau terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang kuat. Pakar itu berkata sudah pasti Anwar berhadapan dengan kesakitan yang teruk jika beliau mengadakan hubungan seks melibatkan posisi membongkok dan berlutut. Hari ini, tiga saksi pertama memberi keterangan bahawa peguam-peguam Anwar menerima satu salinan laporan perubatan pada 16 Julai 2008 — yang diambil selepas Ketua Pembangkang itu diminta menjalani pemeriksaan perubatan ketika ditahan antara 16 dan 17 Julai 2008. Terdapat dua laporan perubatan, yang kedua-duanya ditandatangani oleh Dr Jayaindran manakala yang kedua ditandatangan bersama oleh doktor fizik kerajaan Dr Ee Boon Leong. Sementara keterangan tiga saksi dibuat di mahkamah terbuka manakala keterangan Dr Jayaindran pula dijalankan menggunakan kamera. "Bukti ini tidak boleh menyangkal keterangan Dr Thomas Hoogland. Ia tidak mencabar penilaian Hoogland," kata peguam pembela Sankara Nair kepada pemberita selepas mahkamah ditangguhkan. Butiran keterangan Dr Jayaindran tidak diketahui malah Sankara pula enggan menghuraikan dengan lanjut. "Saya tidak boleh kata banyak sebab sesi dijalankan menggunakan kamera. Tetapi, apa yang boleh saya katakan sekarang ialah bukti (pendakwa) dikemukakan hari ini tidak boleh sangkal Hoogland," kata Sankara. Ini merupakan pertuduhan liwat kedua terhadap Anwar. Pada 2000, beliau dituduh meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar. Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi kerana meliwat Azizan, tetapi empat tahun kemudian Mahkamah Persekutuan menyanggah keputusan kesalahan dan mengetepikan hukuman penjara tersebut. Anwar dituduh melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan rotan jika sabit kesalahan. Perbicaraan itu, yang bermula pada 3 Februari tahun lepas, di mana Mohd Saiful, 25, memberikan keterangan dengan memberitahu mahkamah mengenai tugasnya di pejabat Anwar sebagai pembantu dan dakwaan insiden tersebut. Sumber: The Malaysian Insider |
Kontrak IPP Tg Bin tidak melalui tender terbuka Posted: 17 Oct 2011 11:05 PM PDT KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kerajaan semalam memaklumkan projek loji jana kuasa IPP berkapasiti 1000MW di Tanjung Bin bukan diberikan secara tender terbuka, tetapi secara 'tender terhad' kepada Tanjung Bin Power (TBP) dan Jimah Energy Ventures (JEV). Alasan 'penganugerahan' secara tender terhad itu menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dibuat kerana ianya perlu disiapkan segera untuk operasi mulai tahun 2016. Kerajaan juga memaklumkan kadar tarif serta tempoh konsesi juga belum dimuktamadkan walaupun tender tersebut telah di anugerahkan. Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) ketika mempersoal jawapan itu berkata jika ianya mahu disiapkan segera, kenapa hanya dua syarikat sahaja dipanggil mengambil bahagian dalam "tender tertutup" itu. "Saya tak faham kenapa projek yang disifatkan "perlu disiapkan segera" ini, hanya dua syarikat dipanggil," soalnya pada sidang media di parlimen hari ini. Turut dipersoal, kenapa tender tersebut diberikan dalam keadaan kadar tarif dan tempoh konsesi tidak dimuktamadkan. Menurutnya, tidak hairan jika tarif elektrik negara ini masih tinggi berbanding di negara jiran walaupun kerajaan membelanjakan wang yang besar untuk subsidi kepada IPP ini. "Gas asli dijual kepada IPP Malaysia pada RM13.70 mmBtu, manakala di negara Thailand dijual RM23.10 mmBtu. "Tetapi rakyat Malaysia perlu membayar RM157.20 bagi penggunaan 500kW sebulan berbanding RM129.50 perlu dibayar oleh rakyat di negara Tahiland," soalnya. Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) pada sidang media sama turut menyelar pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang kononnya mengamalkan tender terbuka dan telus. Katanya, komitmen Najib itu tidak lebih dari retorik kerana tradisi lama BN itu terus berulang dan tidak menampakkan sebarang perubahan. Sumber: harakahdaily |
Jangan lupa ‘jasa’ Umno bela Raja Melayu Posted: 17 Oct 2011 11:03 PM PDT KUALA LUMPUR, 18 Okt: "Kita semua jangan sesekali lupa akan 'jasa' Umno yang hipokrit dan pandai berlakon kononnya mereka pembela kepada institusi raja dan pembela Melayu," kata Drs Khalil Idham Lim. Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak itu menyatakan demikian sebagai respons bahawa pembela yang dikatakan wujud di sekitar orang Melayu sekarang ini sebenarnya adalah golongan yang tidak menyenangi kuasa Raja-Raja suatu ketika dahulu. Katanya, Pada 1993, Dr Mahathir Mohamad telah melucutkan kekebalan Raja-Raja Melayu dan beliau sendiri yang mahu diwujudkan satu peruntukan undang-undang supaya raja-raja boleh diheret dan dibicarakan di mahkamah khas. Nampaknya, kata beliau semakin lama Umno BN menerajui Malaysia, semakin parah dan tenat keadaan negara, penipuan berleluasa, fakta dan sejarah terus menjadi bahan yang berjaya diseludup dari pengetahuan rakyat. Tambahnya, semakin lama juga BN menerajui pusat semakin meningkat hutang negara, rakyat kini telah merasai kesan meningkatnya jenayah rasuah dan situasi bahaya yang terkini iaitu makin meningkatnya warga asing yang mendapat Maykad segera. "Jawapan yang meyakin dari pihak kerajaan masih belum muncul sehingga sekarang," ujarnya yang juga Adun Titi Serong kepada Harakahdaily. Katanya rakyat sepatutnya wajib mengetahui situasi sebenar negara, di mana negara yang semakin tenat adalah akibat pemimpin Umno BN yang telah menyalahgunakan kuasa secara berleluasa. Justeru, beliau menambah, rakyat perlu melakukan sesuatu untuk menggembleng perubahan kepimpinan negara menjelang PRU 13 nanti. "Menyokong dan memenangkan Pakatan Rakyat bererti anda telah menyelamatkan Malaysia dari kehancuran yang berterusan akibat kerakusan pemimpin BN yang sentiasa mengaut keuntungan dari jawatan dan amanah yang telah dikhianati sekian lama," ujarnya. Sumber: Harakahdaily |
Posted: 17 Oct 2011 11:02 PM PDT KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaaan (KPKK) memberitahu tindakan tidak menjemput pengamal media alternatif dan juga media atas talian (online) pada Majlis Perundingan Media (MPM) pada 25 Julai yang lalu adalah kerana unsur fitnah yang diamalkan oleh media terbabit. Timbalan Menteri KPKK, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz menyatakan demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (gambar) mengenai bagaimana pihak kementerian melantik anggota-anggota MPM serta mengapakah tidak merangkumi media portal atas talian (online). Tambah Tian lagi, kebebasan media di negara ini masih lagi berada pada peringkat yang membimbangkan. "Melihat pada kedudukan kebebasan media, Malaysia berada pada kedudukan 143 dari 196 ia memperlihatkan media Malaysia belum bebas sepenuhnya. "Dalam mengembalikan kebebasan media kenapa perundingan tersebut hanya melibatkan media arus perdana sahaja sedangkan media alternatif tidak dijemput sekali," jelas Tian. Dalam pada itu KPKK juga memberitahu perbincangan yang turut disertai Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu masih lagi diperingkat cadangan dan beberapa faktor perlu diambil kira kerana terdapat tentangan dari pengamal media arus perdana yang tidak mahu campur tangan kerajaan. Sumber: Harakahdaily |
REFSA: Hutang negara mungkin cecah RM1 trillion Posted: 17 Oct 2011 10:57 PM PDT Sekiranya hutang kerajaan persekutuan berkembang pada kadar RM50 bilion setahun, ia boleh mencecah RM1 trilion menjelang tahun 2020, kata badan pemikir bebas Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA). Senario yang menggerunkan itu dikemukakan semasa kajian REFSA mengenai Bajet 2012, yang memberi amaran bahawa impian menuju Wawasan 2020 boleh "berkecai" melainkan jika kerajaan berhemah dalam perbelanjaan kewangannya. Defisit semasa negara berada pada RM437 bilion, yang menurut REFSA adalahlebih dua kali ganda bajet defisit RM217 bilion yang dilaporkan pada tahun 2004. "Dengan kata lain, kerajaan telah menambahkan lebih banyak hutang pada enam setengah yang lalu sejak tahun 2004 berbanding dengan 47 tahun selepas Merdeka," petik laporannya itu. Antara tahun 2007 dan 2011, defisit berkembang secara purata pada kadar kira-kira RM34 bilion setiap tahun. Tetapi dengan andaian, defisit akan meningkatkan hutang tambahan sebanyak RM50 bilion setahun, Malaysia boleh menjangkakan jumlah hutang negara naik dua kali ganda lagi pada tahun 2020 menjadi RM1 trilion. "Ini adalah 1 dengan 12 sifar di belakang - RM1, 000000000000," petik laporan itu. Dengan mengandaikan kadar faedah sebanyak lima peratus setahun, laporan REFSA berkata, bayaran faedah sahaja akan menjadi RM50 bilion setahun. "Ia adalah hampir keseluruhan kos projek MRT. Kami belum lagi memikirkan tentang bayaran balik hutang itu lagi, "kata laporan itu lagi. Sumber: Malaysiakini |
Karpal minta hakim didakwa plagiat letak jawatan Posted: 17 Oct 2011 10:55 PM PDT Ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh hari ini menggesa Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hakim Abdul Malik Ishak supaya meletakkan jawatannya berikutan dakwaan plagiarisme. "Ini adalah untuk menyelamatkan reputasi badan kehakiman dan negara daripada menanggung malu berterusan." "Perkara yang betul dan mulia untuk dilakukan adalah meletakkan jawatan kerana beliau tidak nafikan apabila saya bertanya dan hantar dua surat kepada beliau (Abdul Malik) supaya menafikan dakwaan berkenaan sebelum usul itu dibawa ke parlimen," kata Karpal (dua dari kiri) yang juga seorang peguam kanan. Karpal juga membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, yang menyalahkan badan kehakiman kerana tidak mengambil tindakan ke atas Abdul Malik walaupun perkara itu telah dibawa untuk perhatian Malaysia oleh Singapura pada tahun 2000. "Saya rasa Nazri telah salah mentafsirkan undang-undang. Mengikut undang-undang dan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan, satu-satunya cara untuk menyingkirkan seseorang hakim adalah melalui tribunal," katanya. "Ketua Hakim Negara tidak boleh memecat atau menyingkir mana-mana hakim kerana tiada peruntukan untuk beliau berbuat demikian," katanya. Pada 4 Oktober lalu, Karpal mengemukakan usul mengikut Perintah-Perintah Tetap 27 yang dibaca bersama dengan 36 (8) dan Perkara 127 perlembagaan persekutuan, yang mahu dibentangkannya di Dewan Rakyat. Menurut Karpal yang juga pengerusi DAP, beliau sendiri telah menulis kepada hakim kanan itu pada 22 Ogos lalu dan memberi beliau masa selama tujuh hari untuk menjawab dakwaan berkenaan. Karpal kemudiannya menulis sepucuk lagi surat pada 29 September lalu dan memberitahu hakim itu bahawa sekiranya tiada jawapan diberikan beliau akan mengandaikan ia sebagai pengakuan salah laku. Sumber: Malaysiakini |
Himpunan Sejuta Umat: PAS buat keputusan malam ini Posted: 17 Oct 2011 10:53 PM PDT Keputusan sama ada PAS akan menyertai atau tidak Himpunan Sejuta Umat yang dijadualkan Sabtu ini akan diputuskan malam ini oleh Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat. Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu mungkin dapat diketahui sekitar jam 11.00 malam ini. Menurut Harakahdaily yang memetik Tuan Ibrahim, keputusan mesyuarat itu nanti mesti dipatuhi oleh semua organisasi PAS. Semalam, PAS Selangor memberi sokongan bersyarat untuk menyertai perhimpunan anti murtad itu jika tujuannya adalah untuk memantapkan akidah umat Islam dan bukannya menimbulkan ketegangan agama di negara ini. Serang Pakatan Menurut pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, penganjuran himpunan itu juga mesti memastikan ia tidak dijadikan agenda politik yang bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat. Katanya, meskipun Kristianisasi adalah satu ancaman, namun ancaman lebih besar yang sedang merosakkan akidah majoriti rakyat di negara ini adalah doktrinasi fahaman perkauman, sekularisme dan materialisme. "Sebarang usaha melaga-lagakan antara penganut pelbagai agama dengan tidak beserta sebarang bukti kesalahan yang diputuskan mahkamah perlu dijauhi. "Tindakan sebegini hanya bertujuan untuk menutup masalah sebenar yang menimpa umat Islam, di mana akidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya yang pada akhirnya meletakan kesalahan itu dibahu pihak lain," katanya. Antara penceramah yang dijadual berucap pada majlis itu adalah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Selain itu, pengerusi bersama acara itu, Yusri Mohamad berkata, dirinya dan pengerusi bersama Mohd Azmi Abdul Hamid, yang juga pengerusi Majlis Perundingan Islam Malaysia, wakil-wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sarjana agama Indonesia Yusuf Mansur juga akan menyampaikan ceramah. Himpunan Sejuta Umat itu selama empat jam itu dijadualkan bermula pada jam 2 petang dengan tujuan "menyelamatkan akidah umat". Lebih daripada 29 NGO telah mengesahkan penyertaan dalam perhimpunan itu. Antara mereka Gabungan Penasyid Malaysia, Jawatankuasa Penyelaras Bersekutu NGO Islam, dan Persatuan Ulama Malaysia. Mahu hadiri Sementara itu, Pemuda PAS dalam satu kenyataan media berkeras mahu menghadiri Himpunan Sejuta Umat pada Sabtu ini dan menyokong usaha "menyatu suara dan tindakan ke arah memperjuangkan Islam serta mempertahankan akidah ummah". Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata usaha murni itu perlu disokong oleh seluruh umat Islam. Tanpa mengulas agenda anti-Kristianisasi perhimpunan itu, Nasruddin berkata objektif utama acara itu adalah "memotivasi ummah agar bangkit mempertahan dan memperjuangkan akidah mereka. Selain itu, katanya majlis itu adalah untuk sebagai satu penyataan sikap dan deklarasi ummah yang sedia berjuang "Telah tiba masanya ummat Islam menghentikan polemik sesama sendiri, konflik yang merugikan masa depan mereka. "Saling curiga mencurigai, fitnah memfitnah, tuduh menuduh, jatuh menjatuh dan khianat mengkhianati diantara satu sama lain adalah punca segala musibah yang menimpa ummah, sedang mereka mempunyai sebab yang sangat kuat untuk teguh bersatu iaitu Aqidah Islamiyyah," katanya. Sumber: Malaysiakini |
Hutang negara mencecah RM437.2 bilion Posted: 17 Oct 2011 10:51 PM PDT Hutang kerajaan persekutuan mencecah RM437.2 bilion atau 52.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sehingga 30 Jun tahun ini. Angka yang mengerunkan itu diperoleh daripada jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada soalan ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok yang meminta menteri kewangan menyenaraikan negara luar yang memberi hutang kepada Malaysia. Daripada jumlah berkenaan, sebahagian besar hutang kerajaan adalah daripada hutang dalam negara yang berjumlah RM421 bilion atau 96.3 peratus daripada keseluruhan hutang. Manakala bakinya RM16.2 bilion atau 3.7 peratus merupakan hutang luar negara. Dewan Rakyat juga diberitahu bahawa sumber hutang, pinjaman dalam negara itu diperolehi melalui terbitan Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan Kerajaan Kerajaan (TPK), Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM), pinjaman Kumpulan Pinjaman Perumahan dan terbitan Sukuk Simpanan Rakyat serta Sukuk 1Malaysia. Dalam pada itu hutang luar negara kerajaan persekutuan pula diperoleh daripada sumber pasaran modal antarabangsa melalui terbitan sukuk global dan pengeluaran pinjaman projek melalui institusi multilateral seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam serta bilateral dalam mata wang asing iaitu Dolar Amerika Syarikat, Yen, Dolar Euro, Dolar Kanada serta Dinar. Pemegang instrumen berkenaan terdiri daripada institusi kewangan, syarikat insurans dan pertubuhan keselamatan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Sumber: Malaysiakini |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan