Khamis, 13 Oktober 2011

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


eKasih, RM500 duit rakyat dan Kristianisasi

Posted: 13 Oct 2011 01:42 AM PDT



Maklumlah kerajaan BN nak bagi RM500 Januari 2012 nanti kena daftar di eKasih. Kita pun cepat-cepatlah cari dalam internet eKasih ni. Mula-mula tu terperanjat beruk, apa pula eKasih ini ada mesej seruan Kristian, ada cerita mengenai Bapa, Tuhan dan Jesus. Tersilap masuk laman web rupanya. Cari balik, baru jumpa laman web eKasih Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Hairan juga tengok logo eKasih JPM ada iras-iras bau bacang dengan logo eKasih laman web Kristian. Waduh, waduh, siapa tiru siapa ni?

Yang eKasih Kristian bermula 8 Ogos 2006, yang eKasih JPM bermula pada November 2007.

Macam Poco-Poco pula.

eKasih lahir dari kerinduaan sebuah visi yang Tuhan berikan mengenai impartasi kasih Bapa melalui media internet. Maka pada tanggal 8 Agustus 2006 eKasih lahir dalam bentuk media website. Melalui media internet yang dikenal tanpa adanya batasan ruang dan waktu, maka eKasih memberitakan tentang kasih Bapa. Melalui tulisan, berita, artikel bahkan kesaksian tentang kasih Tuhan, eKasih menjadi berkat bagi banyak orang baik di indonesia bahkan sampai luar negeri.
Tuhan Yesus Memberkati
http://ekasih.com/

eKasih, satu pangkalan data bersepadu mengenai golongan miskin, dilancarkan pada November 2007 dan diselenggarakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
http://klikkhas.bharian.com.my/klikkhas/bajet/Artikel2010/LaporanEkonomi/20091023163935/Article/

Bandingkan India di Paroi (PAS), Melayu di Palong (UMNO)

Posted: 13 Oct 2011 12:57 AM PDT



Bandingkan dua berita di bawah ini. Yang pertama luahan penduduk Pahang yang guna jalan Felda Palong 8 di Negeri Sembilan dan yang kedua berita gembira penduduk di Ladang Kombok di DUN Paroi , juga di N.Sembilan. DUN Palong , wakil rakyatnya Dato Aziz bin Shamsudin (UMNO), DUN Paroi wakil rakyatnya Hj Mohamad Taufek (PAS).

Jadi kepada DUN yang dari dulu diwakili UMNO, cubalah buat perubahan atau ujian, tengok apa akan jadi. Pengundi di DUN Paroi dah buat perubahan, sekarang ni sampai dalam ladang pun ada lampu jalan.

Dalam pada tu Pengerusi Felda seluruh Malaysia ialah Isa Samad, juga wakil rakyat UMNO dari Negeri Sembilan.

***********
Harung jalan tanah merah
Sinar Harian 13 Okt 2011

PALONG - Serik! Itulah antara luahan penduduk Kampung Pasal, Pahang apabila terpaksa melalui jalan tanah merah dan berlubang sepanjang jalan kebun Felda Palong Lapan, dekat sini setiap hari.

Kedudukannya hanya di sempadan Negeri Sembilan, namun penduduk kampung terbabit mendakwa kerap menggunakan jalan kebun berkenaan berikutan ketiadaan kemudahan jalan raya untuk ke pekan berhampiran.

Sinar Harian difahamkan, hampir dua tahun penduduk kampung itu menunggu jawapan daripada pihak berwajib di negeri ini berkaitan permohonan baik pulih jalan dari kampung terbabit sehingga Kilang Getah Felda Palong Lapan.

Ahli jawatankuasa kampung, Mat Jais Mat Sahat berkata, pihak pengurusan Felda Palong Lapan sudah bersetuju dan membenarkan jalan berkenaan dibaiki dan diturap.

Menurutnya, namun mereka belum mendapat jawapan daripada pihak berwajib. Hanya jalan dalam kampung itu sahaja yang berturap.

"Kampung kami ini macam tengah pulau tetapi dikelilingi kebun dan estet. Kalau kami menggunakan jalan kebun sawit di Pahang hampir 5 kilometer untuk sampai ke jalan utama iaitu Jalan Keratong.

"Hanya jalan kebun Felda Palong Lapan sahaja yang paling dekat untuk keluar, kira-kira 1.9 kilometer," katanya.

Mat Jais berkata, penduduk lebih selesa untuk keluar masuk menggunakan jalan itu kerana mudah untuk ke pekan.

"Jalan itu terlalu teruk dan berlubang. Lubangnya bukannya kecil, tetapi besar. Kalau tayar kereta termasuk dalam itu memang masalah.

"Anak-anak semua sekolah dekat Negeri Sembilan, sebab itu yang paling dekat. Risau juga bila ada kecemasan nanti," katanya.

Sementara itu, anaknya, Norazizan Mat Jais, 32, berkata, pekan Bahau dan Gemas adalah pekan yang paling dekat untuk keluar membeli barang keperluan.

"Oleh itu, diharap akan ada perubahan di kampung ini sebab pihak Negeri Pahang hanya dapat menurap jalan di sekitar kampung sahaja.

"Manakala jalan keluar melalui Felda Palong Lapan mesti mendapat kelulusan daripada pihak berkaitan di Negeri Sembilan," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9630078.asp

BN tunaikan janji bina pelbagai kemudahan
Sinar Harian 12 Okt 2011

SUNGAI GADUT - Kerajaan Negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) berjaya menunaikan janji kepada pengundi di sekitar kawasan ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hampir semua permintaan orang ramai berhubung penyediaan kemudahan awam dan infrastruktur telah dilaksanakan.

"Sebagai contoh, jika dulu kawasan Ladang Kombok di sini gelap pada waktu malam, kini sudah terang benderang setelah lampu jalan dipasang.

"Banyak kemudahan awam dan infrastruktur lain turut dinaik taraf untuk keselesaan orang ramai di sini," katanya pada majlis bersama rakyat di padang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kombok, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis sama, Mohamad menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan India Kombok dan bantuan lain kepada seramai 54 warga emas serta 12 ibu tunggal.

Sehubungan itu menurutnya, pengundi seharusnya melahirkan penghargaan mereka dengan mengundi BN pada PRU ke-13 nanti.

Kata Mohamad, sokongan padu rakyat akan membantu BN untuk menawan semula kerusi Dun Paroi dan Dun Senawang yang pada masa ini disandang wakil rakyat pembangkang.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan kaum India terutamanya dalam aspek pendidikan, ekonomi dan sosial.

"Banyak peruntukan telah disalurkan untuk memajukan kaum India. Sehubungan itu, kaum India sewajarnya meneruskan sokongan terhadap BN agar kebajikan mereka terus dibela," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9627682.asp

Daftar di eKasih, kerajaan beri kita RM500

Posted: 13 Oct 2011 12:29 AM PDT



Cepat, daftar di e-Kasih untuk dapatkan RM500 pada Januari 2012 nanti. Syaratnya cukup mudah, pendapatan isi rumah bawah RM3000. Pasangan dato nenek dikira satu isi rumah, pasangan ibu ayah dikira satu isi rumah, pasangan abang kakak ipar dikira satu isi rumah, pasangan kakak abang ipar dikira satu isi rumah. Cepat daftar sekarang sebab bayaran secara berperingkat-peringkat.

Tak tahulah berperingkat tu sampai Disember 2012 ke, Disember 2013 ke atau selagi stok masih ada.

Sila daftar on-line di laman web e-Kasih di https://www.ekasih.gov.my/Pendaftaran/Pages/BorangPendaftaranRingkas.aspx

Inilah masanya kita nak bantu saudara mara, sepupu sepapat kita di kampung yang susah yang tiada kemudahan internet dan jarang diziarahi oleh Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen.

*************
RM500 diagih awal tahun depan

KUALA LUMPUR 12 Okt. 2011 - Pemberian bantuan kepada rakyat sebanyak RM500 melibatkan isi rumah yang memiliki pendapatan bulanan di bawah RM3,000 akan bermula pada Januari ini.

Timbalan Menteri Kewanan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, PENGAGIHAN BANTUAN WANG TUNAI ITU AKAN DIBUAT SECARA BERPERINGKAT-PERINGKAT, pada bila-bila masa mulai awal tahun depan.

Beliau berkata, agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan ditugaskan sebagai pelaksana berdasarkan kepada maklumat penerima melalui fail-fail cukai pendapatan.

''Agensi lain yang turut terlibat dalam pengagihan bantuan itu ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Negara serta POS Malaysia,'' katanya selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2011 di sini hari ini.

Bantuan yang diberikan hanya sekali sahaja (one off) diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012 baru-baru ini.

Menurut Awang Adek, selain maklumat fail cukai pendapatan, LHDN dijangka menggunakan data e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan maklumat rakyat yang benar-benar layak menerima bantuan terbabit.

Beliau berkata, antara mekanisme pembayaran adalah berdasarkan perkiraan jumlah pendapatan isi rumah dengan mencampurkan pendapatan suami, isteri dan anak-anak yang tinggal bersama.

Namun, persoalan bagi anak yang tinggal berasingan, masih dibincangkan.

''Kerajaan akan mengkaji isu-isu berbangkit sebelum ia dilaksanakan nanti,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, rakyat yang masih belum mendaftar dengan e-Kasih, boleh mendapatkan borang pendaftaran melalui laman web LHDN.

Di samping itu, borang tersebut akan dicetak dan diedarkan di cawangan LHDN serta kawasan lain yang bakal dikenal pasti di seluruh negeri.

"Mereka (masyarakat) akan dimaklumkan mengenai pengagihan borang dari semasa ke semasa,'' katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm

Tiada ulasan: