The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Bukan senang nak jadi orang yang merendah diri! Posted: 30 Sep 2011 05:30 PM PDT Setelah perjumpaan saya dengan beberapa orang Pemuda PAS dan anggota-anggota PKR di Temerloh semalam dan sambil minum-minum teh petang semalam saya benar-benar rasa teruja untuk menuliskan "borak-borak" petang sambil bersantai. Permulaan ceritanya mudah sahaja. Salah seorang mereka bertanya saya: "Haji bertanding dimana kali ni?" Saya jawab saya tidak bertanding kali ni. Saya dah beritahu Dato Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi PKR Negeri, dan Sdr Ahmad Nizam Hamid, Timbalan Pengerusi PKR Negeri, dan saya sudah sms kepada Dato Seri Anwar Ibrahim. "Kenapa?" tanya dia. Soal peribadi saya tentulah memainkan peranan kenapa saya tidak lagi mahu bertanding, umur sudah lanjut, dan kemampuan kewangan pun amat kurang. Tetapi selebih dari itu, saya sudah kurang yakin dengan sistem Pilihanraya di Malaysia ini. Penipuan, manipulasi, penindasan, salah guna kuasa, rasuah, pendatang asing menjadi pengundi, semua itu mempengaruhi saya untuk tidak mahu bertanding. Tetapi itu adalah keputusan peribadi saya dan tidak ada kena mengena dengan Parti, dan selagi parti tidak memboikot Pilihanraya, maka saya juga terikat dengan keputusan parti itu. Akhirnya mereka menyatakan sikap kurang senang mereka dengan 2 orang pemimpin satu dari PKR dan satu lagi dari PAS, dan jika kedua-dua ini dijadikan calon oleh PKR dan PAS, mereka menyatakan bahawa mereka tidak akan keluar mengundi, bahkan mereka menyatakan bahawa jika YB Saifuddin Abdullah dikekalkan oleh BN sebagai calon, mereka akan mengundi Saifuddin. Pandangan mereka mendapat tentangan dari saya. Saya katakan bahawa kita kena akur dengan keputusan parti, PKR dan PAS; dan jika mereka dijadikan calon parti, kita wajib kena memberikan sokongan kita samada kita setuju atau pun tidak kerana keputusan parti mengikat ahli-ahli dan kalau betul-betul tidak bersetuju maka perlulah kita mengundur diri dari parti. Mereka menyatakan bahawa mereka tetap sayang kepada parti dan jika parti meletakkan calon yang lain, mereka tetap akan menyokong calon itu. Diantara perkara yang mereka usik adalah perkara yang mudah-mudah sahaja. "Tengoklah Haji 2 orang tu, mereka tu tak pandang kami ni, kalau Haji ada minum bersama kami, mereka pasti akan duduk bersama; tetapi kalau kami minum dengan ahli-ahli bawahan ini, mereka pandang kami macam kucing kurang. Itu namanya sikap sombong," kata mereka. "Lihat pulak peribadi mereka, lepas bertukar daripada kereta mewah, bertukar lagi kepada kereta mewah. Kami taulah mereka tu banyak duit, tapi mereka itu nak helo ajak kami minum teh sebulan sekali pun tak mau. Mereka berkawan dengan orang-orang yang ada kelas sahaja, kami ni kelas rendah. Dengan Haji mereka berkawanlah sebab Haji peguam." "Orang Temerloh ni kadang-kadang tak tau Haji ni seorang Peguam, sebab cara hidup Haji sangat sederhana; di warong mana-mana pun sanggup minum dengan kami, dan Haji boleh hu hah dengan sesiapa saja, kami senang dengan Haji. Pemimpin PKR dan PAS itu tidak ada kesanggupan buat begitu. Kami tahu pemimpin PKR tu kuat membodek, dia pandai membodek pemimpin atasan, dan pemimpin atasan pun suka dengan bodek dia, dan memberikan pujian kepada dia. Dari segi kerja parti, hapah pun dia tak buat. Ranting-ranting yang kami buat dulu mampus semuanya kerana dia tidak mahu ambil tahu. Dia ada 2, 3 orang kroni. Dengan kroni itulah dia sampai kemana-mana; dia tidak peduli kepada ahli-ahli lain; kalau pergi Kongres dia tak peduli samada kami ni ada tempat tidur atau pun tidak, dia tidur Hotel, kami ni terpaksalah menumpang rumah PKR Terengganu atau lain-lain Negeri yang masih ada kosong. Kami sayang kepada PKR kerana kamilah anggota-anggota yang awal semasa penubuhan PKN dulu dan pada waktu itu kami seronok buat kerja di bawah Haji selaku Ketua Bahagian, tapi bila Haji dah pergi kedudukan parti menjadi semakin malap......" Macam-macam mereka timbulkan, dari jam 2.30 petang hingga jam 6.00 petang sembang semalam tu. Mereka minta saya menegur pemimpin itu supaya berubah sikap, supaya menjadi humble, supaya aktif dalam parti, supaya merendah diri, supaya bergaul dengan ikhlas dengan orang ramai dan bukan memilih bulu dari kalangan orang yang ada "standard" saja. Senang mereka cakap begitu, tapi bukan senang untuk saya menyampaikan teguran mereka itu. Saya katakan kepada mereka, "Kenapa tidak panggil pemimpin itu dan bersemuka, kan itu lebih baik, mungkin dia sendiri tidak sedar bahawa tindak-tanduknya itu tidak disenangi oleh orang-orang bawah." Menghampiri 6.00 petang, saya pinta diri dari mereka kerana saya belum lagi solat Asar, tetapi saya keluar dari Sembang Petang itu dengan hati yang sangat sugul dan berdukacita. Saya katakan kepada diri sendiri, tegur mati emak, tak tegur mati ayah; kedua-duanya mendukacitakan saya. Saya harap melalui tulisan ini, kepada pihak yang berkenaan itu, cuba-cubalah tukar sikap, jika kita mahu parti kita kuat. Mereka memberitahu saya bahawa mereka sangat takut calon kita itu menang. Kalau kalah tak apa, kata mereka, tapi kalau menang, rosak PKR dipandangan umum. |
Kenapa PKR tidak melatih jentera sendiri? Posted: 30 Sep 2011 02:24 PM PDT Saya tertarik membaca entri didalam blog PDO: Pahang Daily Online yang menyatakan bahawa Pembangkang (bermaksud) PKR masih bergantung kepada jentera PAS untuk menghadapi Pilihanraya. PKR walaupun baru diwujudkan tetapi kebanyakan pimpinan mereka sudah mempunyai pengalaman yang luas didalam parti-parti yang mereka pernah sertai sebelum ini, samada dari UMNO, MCA, Gerakan, PPP dan juga mempunyai pengalaman yang luas dari gerak-kerja mereka didalam NGO. Untuk menyertai Pilihanraya, perkara utama yang mesti ada ialah keanggotaan secukupnya. Kemudian mesti ada jentera Pilihanraya. Wang juga menjadi faktor utama. Tetapi lebih dari itu pengaruh dikalangan masyarakat. Pilihanraya bukan sekadar perlawanan diantara Parti A dengan Parti B dengan kekuatan orgnaisasi dan wang, tetapi lebih dari itu. Tidak dinafikan bahawa jentera memainkan peranan yang sangat besar. Tidak ada makna bagi sesebuah parti itu menyertai Pilihanraya dengan tidak mempunyai jentera yang secukupnya kalaupun tidak jentera yang kuat. Setidak-tidaknya untuk sesuatu kawasan Parlimen yang mempunyai 3 kawasan Dewan Undangan Negeri, sesuatu parti itu memerlukan sekurang-kurangnya 300 orang petugas-petugas umum; dan disetiap saluran JDM pula, paling minima mempunyai 6 orang petugas; 4 untuk PACA dan 2 untuk BA (PACABA). Ini bererti bahawa keanggotaan parti itu mestilah mencukupi, dan mencukupi bukan bererti ramainya ahli sahaja. Tidak ada guna ahli yang ramai, tetapi semuanya menghilangkan diri untuk dibawa untuk bertugas. Ada keahlian PKR di sesetengah Cabang di Pahang mempunyai ribuan ahli, tetapi apabila dikehendaki untuk menghadiri mesyuarat agung tahunannya, hanya sekadar cukup koram sahaja yang hadir. Ini tidak membayangkan parti itu mantap. Bahkan keahlian parti itu entah berada dimana, dan entahkan masih menganggotai parti atau pun sudah terlepas ke parti lain termasuk UMNO. Faktor calon juga amatlah penting. Ada calon-calon merasakan diri mereka sangat berpengaruh, sedangkan diperingkat bawah memandang bahawa calon itu adalah sombong, tidak suka bergaul dengan orang peringkat bawah, mengada-ngada dengan kelebihan kewangan, dan tidak bersikap mudah dengan orang ramai. Ertinya, tidak mesra rakyat. Mereka menjadi calon kerana pandai menjolok pimpinan Pusat, membodek dan terus terang bahawa sebagai pemimpin rakyat mereka langsung tidak berwibawa. Mereka sudah bertanding sebelum ini, dan merasakan bahawa kerusi tertentu itu menjadi hak mereka, walaupun rakyat diperingkat bawah sudah meluat dengan mereka. Usahkan rakyat yang ramai, bahkan anggota-anggota parti pun tidak keluar mengundi seperti pengakuan ramai ahli-ahli parti terhadap calon parti didalam PRU-12 dulu. Mereka sangat bimbang jika calon parti mereka menang. Mereka telah saksikan cara kehidupan calon itu. Mereka mengenali calon itu lebih mementingkan diri daripada perjuangan dan membela nasib rakyat. Mereka takut calon itu menang dan kemenangan kepada calon itu akan mendatangkan mudharat kepada Parti. Mereka ini tidak berupaya dan tidak berdaya untuk menghampiri pimpinan Pusat Parti. Mereka tidak ada saluran untuk menyatakan perasaan mereka. Mereka tidak mampu untuk menghubungi Anwar Ibrahim atau Azmin Ali. Yang mereka mampu lakukan hanyalah untuk berkecuali didalam Pilihanraya. Mereka tidak mengundi UMNO kerana perbuatan itu adalah pengkhianatan kepada parti; tetapi mereka tidak pula mengundi calon Parti kerana untuk berbuat demikian mereka akan mengkhianati amanah rakyat. Saya sangat bersetuju dengan pandangan PDO supaya semua kawasan-kawasan yang tidak mampu mengadakan keanggotaan yang mencukupi dan jauh sekali mengadakan jentera parti bagi menghadapi Pilihanraya diserahkan kepada parti-parti sahabat, mungkin disana ada kebijaksanaanya agar parti-parti sahabat dapat memberikan khidmat yang lebih baik untuk memenangi Pilihanraya itu. Dan ini tidak bererti bahawa PKR sahaja yang menyerahkan kawasan-kawasannya, bahkan PAS dan DAP juga di tempat-tempat yang ia kurang mampu, atau pun ditempat yang ia mampu, tetapi tidak mempunyai pengaruh yang melebar dikalangan rakyat juga turut berbuat demikian. Kemenangan didalam Pilihanraya bukan sekadar ditentukan oleh keanggotaan atau jentera parti, faktor pengaruh yang melebar dikalangan anggota-anggota parti lawan dan orang ramai yang tidak berparti juga penting. DAP terbukti mempunyai keanggotaan yang kecil, tetapi dengan moot pengundi-pengundi bukan Melayu pada waktu ini dengan DAP meletakkan semua calonnya dikawasan bandar memberikan kesempatan kepada parti itu memenangi kawasan-kawasan itu. Demikian juga dengan kedudukan PKR. PKR mempunyai pengaruh yang lebar diluar jumlah keanggotaannya terutama sekali didalam kawasan-kawasan "mixed area" iaitu kawasan-kawasan yang hampir seimbang diantara pengundi Melayu dan bukan Melayu. Calon-calon PKR yang terdiri daripada orang-orang bukan Melayu juga mempunyai pengaruh yang kuat dikalangan pengundi-pengundi bandar dan memungkinkan mereka menang di kawasan-kawasan itu seperti yang telah dibuktikan didalam PRU ke-12. Namun, jika parti itu tidak mempunyai apa-apa kekuatan samada dari segi bilangan ahli atau jentera dan juga tidak mempunyai kekuatan kewangan, ada lebih baik parti itu menyerahkan kawasan yang biasa ditandinginya itu kepada parti-parti sahabat. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan