Khamis, 29 September 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


UMNO tidak perlu mempolitikkan Hukum Hudud

Posted: 29 Sep 2011 03:36 PM PDT

Hairan kenapakah UMNO mahu mempolitikkan Hukum Hudud dan perbahasan mereka terkadang-kala sampai ke peringkat menentang Hukum itu sebagai Hukum yang ketinggalan zaman, dengan mempersoalkan bahawa undang-undang itu sangatlah zalim kerana kononnya pencuri-pencuri yang dipotong tangan itu sudah pasti tidak dapat meneruskan kehidupan untuk mencari rezeki.

Sudah pasti bahawa ahli-ahli UMNO itu adalah orang Islam kecuali yang beragama Kristian dan yang tidak beragama. Bagi majoriti ahli-ahli UMNO itu adalah beragama Islam; tidak mungkin mereka tidak yakin dengan Quran dan hukum-hukum yang diturunkan Allah didalam Quran.

Perbahasan saya dengan seorang anggota UMNO di Temerloh baru-baru ini membayangkan bahawa beliau adalah seorang Islam yang kuat; dia solat; dan dia juga berpuasa. Dan dia sangat yakin dengan Islam.

"Saya seorang Islam dan jika ada sesiapa yang mempermain-mainkan Islam saya sanggut berjihad menentangnya." kata beliau dengan penuh yakin. Dan saya sangat gembira mendengar pengakuan ini.

Saya mulakan perbahasan saya dengan soalan-soalan mudah. "Adakah you berpegang dengan Islam?" Dia menjawab dengan merenung ke muka saya:" Tentulah". "Anda yakin dengan Quran dan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah didalam Quran?" "Sudah tentu" jawabnya. Dia agak marah dengan berkata: "Jangan persoalkan Islam saya, saya juga seperti kamu, bersolat, berpuasa dan membayar zakat fitrah."

Saya tanya lagi: "Kalau seseorang Islam itu memperlekehkan Hukum didalam Al-Quran, bagaimanakah Aqidahnya?" "Gugur, gugur, gugur Islamnya, dia terkeluar dari Agama Islam," jawabnya dengan yakin.

"Apa pandangan kamu dengan Hukum Hudud?" saya tanya dia lagi. "Hukum Hudud mana boleh! Hukum itu sudah ketinggalan zaman, itu Hukum padang pasir, zalim!" jawabnya.

Saya tanya dia samada dia pernah membaca Mustika Hadith yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri. Dia kata dia tak pernah dengar tentang Mustika Hadith itu. Tapi saya terangkan bahawa terdapat Hadith-Hadith soheh bahawa jika seseorang itu mempertikaikan Hukum Allah, maka gugurlah Islamnya.

Dia tidak yakin bahawa Mustika Hadith itu wujud, dan dia juga tidak yakin bahawa menentang Hukum Hudud menanggalkan Islam seseorang.

Dia mula mengambil petikan dari Dr Mahathir bahawa Hudud itu zalim. Mahathir menyatakan bahawa jika 2 orang melakukan kesalahan jenayah yang boleh disabitkan Hukum Hudud, yang beragama Islam itu akan dipotong tangan dan yang tidak beragama Islam itu terlepas, dan Hukum seumpama ini pastinya zalim, katanya.

Saya tidak mahu meneruskan perbahasan saya dengan dia kerana makin mendalam perbincangan itu makin terdedah dia dengan perbuatan riddah. Saya hanya memintanya membaca Quran dengan terjemahan Bahasa Melayu atau Inggeris supaya dia faham, kerana orang-orang Melayu membaca Quran dengan langsung tidak memahami apakah erti ayat-ayat Quran itu. Saya juga menyerahkan kepadanya Kitab Mustika Hadith untuk dijadikan bahan bacaannya.

Apabila pemimpin-pemimpin UMNO menentang Hudud perbuatan mereka itu diikuti oleh ahli-ahlinya diperingkat bawah. Sungguh teraniaya kepada ahli-ahli UMNO yang turut menentang Hudud dengan tidak memahami bahawa Hudud adalah Hukum Allah yang diturunkan didalam Quran.

Sesungguhnya jika UMNO mematuhi Hukum Alquran, parti itu tidak perlu mempolitikkan Hukum Hudud. Setakat hari ini Hukum Hudud di Kelantan tidak dapat dilaksanakan semata-mata kerana ada halangan dan rintangan dari Kerajaan Persekutuan yang memerintah. Dr Mahathir pernah mengugut Kerajaan Kelantan bahawa jika PAS melaksanakan juga Hukum Hudud, Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan keatas Kerajaan Kelantan. Amaran yang sama disuarakan oleh Najib Tun Razak.

Saya tertarik dengan cadangan Khairy Jamaluddin supaya Kerajaan Persekutuan membenarkan Kerajaan Kelantan melaksanakan Hukum Hudud. Walaupun tujuan Khairy itu bukanlah mengambil roh Islam supaya Kelantan melaksanakan Hukum Islam, tetapi sebagai cabaran kononnya Kerajaan PAS Kelantan tidak akan berupaya melaksanakan Hukum Hudud. Tidak mengapa, asalkan perlaksanaan Hukum Hudud ini tidak dihalang oleh Kerajaan Persekutuan dibawah UMNO.

Kebaikan Hukum Hudud ini telah saya lihat sendiri dengan mata kasar saya semasa berada di Tanah Suci Mekah. Money Changers atau Pengurup Wang di Mekah menjalankan perniagaan pengurupan wang bukan didalam bangunan-bangunan yang tersergam dengan dilindungi oleh security guards dan peralatan canggih.

Money changers di sana hanya berniaga di kaki-kaki lima tanpa sebarang security, dan apabila masuk waktu solat, mereka meninggalkan perniagaan mereka dan wang mereka hanya sekadar ditutup dengan kain sahaja. Tiada siapa yang mencuri atau merompak wang mereka.

Maka saya insaf bahawa Undang-Undang Hudud yang dijalankan di Arab Saudi itu telah menanamkan satu keyakinan rakyat tentang keadilan undang-undang Islam itu.

Saya tidak pula terjumpa bahawa di Mekah atau Madinah itu dipenuhi oleh orang-orang yang telah dipotong tangan!

Bandingkan dengan ekonomi Barat dibidang perbankan. Penuh dengan alat-alat canggih untuk mengesan sebarang tindakan untuk mencuri dan merompak dan 24 jam dilindungi oleh security guards. Tetapi didalam keadaan sebegitu pun, Bank-Bank dirompak dan dicuri.

Maka sudah pasti Hukum Hudud membawa kebaikan kepada rakyat dan kepada Negara, maka apa juga alasan dari UMNO menghalang perlaksanaan Hukum Hudud di Kelantan memperlihatkan bahawa parti itu menentang undang-undang Islam!

Lawatan Wanita PKR Negeri Pahang ke Cabang Temerloh dan Kuala Krau

Posted: 29 Sep 2011 06:32 AM PDT

Hjh Hendon Jaafar, Naib Ketua 2, Wanita PKR Pahang menyerahkan sumbangan kepada isteri Saibol Jahar di Felda Jengka 22, Kuala Krau, petang tadi. Anak Saibol Jahar, seorang OKU, meninggal dunia minggu lepas semasa sedang tidur.
Siti Zainab Zainudin, Pengarah Pilihanraya Wanita PKR Pahang sedang menyampaikan sumbangan kepada Pn Rosnita Ibrahim, AJK Wanita PKR Kuala Krau, beliau baru sahaja keluar dari Hospital Hj Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh kerana kemalangan jalanraya.
Gambar atas. Wanita PKR Pahang melawat Pn Khalia Shaikh Mohamad yang baru keluar dari HOSHAS kerana keguguran anak, Pn Khalia adalah Ketua Wanita PKR Cabang Kuala Krau. Mereka turut menghulurkan sumbangan

Gambar bawah, Wanita PKR Negeri Pahang melawat Hospital Temerloh menziarahi anak ahli PKR dari Kuala Lipis, kerana kemalangan jalanraya di Lipis, beliau masih koma dan rakannya meninggal dunia. Mereka menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

===

Wanita PKR Pahang memulakan jelajah Pahang dengan menziarahi beberapa destinasi di Temerloh dan Kuala Krau, jelajah ini diketuai oleh Khamsiah Shahbudin, Naib Ketua 1, Wanita PKR Pahang bersama-sama Pn Hjh Hendon Jaafar, Naib Ketua II Wanita PKR Pahang, Pn Zainon Bakar, Bendahari Wanita PKR Pahang, Siti Zainab Zainudin, Pengarah Pilihanraya Wanita PKR Pahang, dan didalam rombongan itu termasuk juga Pn Nieta Karim, AJK Wanita PKR Pahang; Pn Zainunayah, AJK Wanita PKR Kuala Krau.

Wanita PKR Pahang akan meneruskan jelajah mereka untuk menziarahi perkampongan Orang Asal di Cameron Highlands, Maran dan Jerantut. Pada 7hb Oktober 2011 Wanita PKR Pahang akan bersama-sama dengan Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pahang ke Kg Bangas, Maran untuk membuat serahan pakaian, makanan dan alat-peralatan dapur.

365 Orang Peneroka Felda Jengka saman Felda

Posted: 29 Sep 2011 03:53 AM PDT

Sementara menunggu wartawan dari Sinar untuk hadir, selepas Latheefah Koya, Pengarah Guaman Parti Keadilan Rakyat memfailkan saman di Registry Mahkamah, Peguam-Peguam yang diketuai oleh YB Sivarasa Rasiah sudah bersiap sedia untuk mengadakan sidang media di Kantin Mahkamah Tinggi Temerloh.
Latheefah Koya memfailkan saman di Registry Mahkamah, bersama beliau adalah Sdr Razali Ithnain, yang menjadi Ketua Plaintif didalam kes saman ini (berdiri paling kanan) disebelahnya Peguam T. Kumar dan di kiri sekali adalah Haji Suhaimi Said, Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal.
Yang beragama Islam mengaminkan doa yang dibacakan oleh Sdr Haji Suhaimi Said
Wanita PKR Pahang turut memberikan sokongan kepada peneroka-peneroka Felda Jengka
Haji Suhaimi Said sedang membacakan doa dan sebelum itu beliau meminta para peneroka mengadakan Solat Hajat berterusan dan membaca Yassin moga-moga dapat membukakan hati semua pihak.
Sdr Ahmad Nizam, Pemangku Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Pahang menyatakan bahawa peneroka-peneroka perlu mengambil tindakan berterusan bagi menawan hati peneroka-peneroka yang masih belum menyertai tindakan saman ini.
Latheefah Koya memberikan tempat duduk kepada Ahli Dewan Undangan Kawasan Kuala Semantan
Sdr Bosatamin Bakar, Ketua Parti Keadilan Cabang Maran (berbaju belang) dan beliau merupakan tenaga yang menyusun peneroka-peneroka Felda yang mengambil tindakan saman ini.
Sdr Razali Ithnain yang mengetuai barisan Plaintiff sedang menerangkan sesuatu kepada Latheefah Koya.
Sdr Nizam dan Sdr T. Kumar
Haji Suhaimi Said memperkenalkan kepada wartawan team Biro nya yang turut hadir. Di sebelah kiri sekali, Sdr Rabidin Kasmawi, Ketua PKR Cabang Rompin, Sdr T. Kumar selaku Timbalan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal (3 dari kiri), Sdr Razali Ithnain (duduk paling kanan), dibarisan belakang Sdr Rahman, YDP Pas Kawasan Jempol (berdiri no 2 dari kanan), Sdr Karip (berdiri disebelah Rahman) Ketua PKR Cabang Jempol yang juga Bendahari Biro, Sdr Rebin Birham (berdiri dari kanan No. 3) Setiausaha Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, Sdr Rosli Ahmad berdiri No. 2 dari kiri, Pak Jabit, tiada didalam gambar, Sdr Taminyin, tidak ada dalam gambar, Sdr Bob Manolan, Timbalan Pengerusi Biro (tiada dalam gambar).
Apakah yang dibisikkan oleh Sdr Nizam tu, menunjukkan jam?
Sdr Rosli Ahmad, Ketua PKR Cabang Jerantut merangkap Ketua Penerangan Biro bagi Negeri Pahang, Pak Jabit Setiausaha Kerja Biro, dan Sdr Nizam.

Sebentar tadi Latheefah Koya memfailkan saman ditemani oleh Haji Suhaimi Said dan Sdr T. Kumar
Sdr T. Kumar memerhatikan Latheefah meletakkan haribulan kepada saman.

Seramai 365 orang lagi sebagai tambahan kepada saman yang mula-mula difailkan tiga bulan yang lalu oleh Peneroka-Peneroka Felda sekitar Jengka dan jumlah saman untuk hari ini adalah RM165 juta.

Dengan pemfailan yang dilakukan di Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini, keseluruhan Plaintiff didalam kes ini adalah 1061 orang, dan setakat ini merupakan jumlah yang terbesar yang pernah difailkan dalam mana-mana Mahkamah Tinggi di Negara ini.

Setiap peneroka menyaman Felda kerana manipulasi oleh Felda terhadap peratusan perahan KPG dan tandan reject dan jumlah setiap saman oleh peneroka tersebut berjumlah RM483,000.00 iaitu jumlah saman selama 15 tahun.

Sdr Sivarasa Rasiah yang mengetuai pasukan Peguam didalam saman ini menyatakan bahawa beliau sangat optimis bahawa kes ini boleh dimenangi oleh peneroka-peneroka Felda kerana sudah ada precedent di Mahkamah Persekutuan didalam Kes Felda Kemahang 3.

Beliau menyatakan bahawa saman yang dimasukkan adalah bersandar kepada fakta yang tepat hasil daripada kajian makmal yang meletakkan peratusan perahan KPG adalah 27%, beliau telah membuat perkiraan bahawa jika setiap peratus perbezaan diantara KPG yang diberikan oleh Felda dengan setiap peratus KPG itu bernilai sebanyak RM33.00 bagi setiap tan, maka 10 tan bagi setiap KPG diatas harga RM33.00 itu adalah RM330.00 bagi setiap tan kalikan dengan 10 tan, bererti Felda telah memanipulasikan pendapatan peneroka sebanyak RM3300.00 setahun dan didalam tempoh 15 tahun (yaitu kadar yang dibenarkan) setiap peneroka Felda kerugian lebih dari RM490,000.00.

Haji Suhaimi Said selaku Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal pula menyatakan bahawa peneroka-peneroka di kawasan Rompin Pahang sudah pun mengumpulkan sejumlah 300 orang peneroka dan kawasan Paya Besar Pahang mengumpulkan lebih dari 300 orang peneroka untuk memasukkan saman terhadap Felda.

Peneroka-peneroka di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak juga sedang mengumpulkan jumlah mereka untuk memfailkan saman.

Bagaimanapun, Haji Suhaimi menyatakan bahawa bukanlah menjadi hasrat peneroka-peneroka untuk menyaman Felda, bahkan peneroka-peneroka lebih suka berunding dan sanggup menerima bayaran yang lebih kecil dari Felda melalui rundingan.

Peneroka-peneroka juga terpaksa menyaman Felda didalam kes tuntutan pengembalian dana tanam semula yang dicarumkan oleh peneroka sendiri, disamping itu peneroka-peneroka bersedia berhadapan dengan Felda untuk menuntut geran tanah yang gagal disempurnakan oleh Felda walaupun peneroka-peneroka itu telah menjelaskan bayaran BK (bayaran kembali) dan CAC, disesetengah rancangan Felda sudah melebihi 14 tahun.

Juga peneroka-peneroka berminat untuk menyaman Felda jika tiada jalan rundingan dapat menyelesaikannya berhubung dengan Hutang Peneroka Felda. Haji Suhaimi Said menjelaskan bahawa dalam tempoh 8 tahun, Felda mengenakan hutang sebanyak RM94,000.00 sedangkan apabila dibuat hitungan dan kira-kira Felda berhutang dengan Peneroka tidak kurang dari RM200,000.00.

Haji Suhaimi juga menjelaskan bahawa Tan Sri Isa Samad telah merampas jawatan Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) dengan cara yang tidak beradab semasa Pengerusi yang sedia ada sedang menunaikan Umrah di Mekah. Isa Samad tidak layak menjadi Pengerusi KPF kerana beliau bukan seorang ahli Koperasi, bukan juga beliau seorang Peneroka yang membolehkan dia menjadi ahli KPF dan tidak pula beliau menjadi kakitangan tetap Felda yang membolehkan beliau menjadi Pengerusi. Isa Samad juga memanggil Lembaga Pengarah Koperasi dan beliau melantik diri sendiri didalam mesyuarat Lembaga Pengara Koperasi itu, satu kesalahan jenayah.

ANAK, Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan, sudah memulakan laporan Polis dan SPRM terhadap Isa Samad; manakala Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal akan membuat laporan Polis dan SPRM pada 12hb Oktober akan datang.

100 orang tenaga PKR Cabang Kuala Krau akan ikuti Kursus PACABA esuk

Posted: 29 Sep 2011 03:19 AM PDT

Seramai 100 orang tenaga PKR Cabang Kuala Krau akan dapat mengikuti Kursus PACABA anjuran PKR Cabang Kuala Krau pada 2hb Oktober 2011.

Kursus ini akan diadakan selepas MATC Cabang Kuala Krau yang dijangka selesai jam 3.00 petang, dan selepas itu terus dijalankan KURSUS PACABA.

DUN Jenderak mempunyai 12 saluran dan PKR Cabang Kuala Krau memerlukan 72 tenaga untuk PACABA dan dengan yang hadir Kursus seramai 100 orang itu, Insya Allah, PKR Cabang Kuala Krau mencukupi tenaga untuk bertugas semasa PRU akan datang.

Insya Allah, mereka akan memberikan tenaga bakti mereka kepada Parti.

Blog saya menghadapi masalah teknikal

Posted: 29 Sep 2011 03:05 AM PDT

Semasa di Mahkamah Tinggi Temerloh tadi ramai rakan-rakan mengatakan bahawa sejak hari semalam mereka gagal melayari blog saya dan ada diantara mereka menyatakan bahawa setiap pagi "saya baca Lubokkawah dulu", blog ini lain dari yang lain, katanya. Tetapi bila tak dapat baca Lubokkawah, dia terasa ada something missing!

Saya pun tidak tahu kenapa.

Selepas Mahkamah tadi dan selepas pergi makan tengah hari bersama Sdr Nizam, Sdr Rebin, Sdr Rabidin, Sdr Rosli, Sdr Bostamin dan Sdr Pak Jabit di Restoran Bukit Angin, tempat ikan patin masak tempoyak, saya pergi ke Pejabat Suhaimi Tan Zamani & Rozilan di F.128 Tingkat 1, Jalan Tengku Ismail, Temerloh, dan saya pinta Surina tengokkan kenapa kawan-kawan tak boleh lihat blog ini.

Dan masa itu pun ada seorang rakan Surina bertanya kepada Surina kenapa Blog saya tak boleh dilayari.

Surina telah melihat blog saya. Dia kata: "Abah ada terusik 'upgrade' tak? Kalau buat up-grade tu jarang-jarang orang boleh layari Blog Abah, sebab upgrade itu lebih canggih" katanya. Dia cubakan untuk kembali kepada format asal blog saya, tapi rupa-rupanya setelah dibuat upgrading, sudah tidak dapat kembali ke format asal.

Apa yang boleh dibuat adalah untuk memilih mana-mana format yang kompatibel dengan format asal, dan Alhamdulillah, Surina sudah letakkan satu format yang kompatibel dan kini semua rakan-rakan boleh layari semula blog Lubokkawah tu.

Selamat melayari Blog saya.

Tiada ulasan: