Isnin, 26 September 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Kemerdekaan bukanlah perjuangan seorang berdua

Posted: 26 Sep 2011 04:04 PM PDT

UMNO mensejarahkan perjuangan kemerdekaan hanya kepada Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dan perjuangan polis dan tentera menentang komunis.

Sejarah sebegini amatlah mengelirukan.

Pertamanya, perjuangan menuntut kemerdekaan itu adalah perjuangan tali-menali. Perjuangan menentang penjajah Inggeris adalah bertentangan dengan sejarah jika nama-nama perwira Melayu seperti Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Maharaja Lela, Tok Gajah, Mat Kilau dan kumpulan yang mengikuti gerakan mereka tidak dikaitkan.

Tidak juga dijadikan catatan sejarah jika Pejuang-Pejuang dalam tahun 30-an yang dipimpin oleh Parti Komunis Malaya dan kemudiannya oleh PKMM, API, AWAS dan PUTERA-AMCJA tidak dicatatkan.

UMNO memulakan gerakannya hasil dari gabungan pertubuhan-pertubuhan Melayu didalam tahun 1946 dan sikap ulungnya tidaklah menentang Inggeris bahkan menjadi rakan kongsi kepada Inggeris dengan kebanyakan pemegang-pemegang pimpinannya adalah pegawai-pegawai yang berkhidmat dibawah penjajahan Inggeris.

Apabila semua parti-parti politik yang progresif dan kiri diharamkan oleh Inggeris dan ribuan ahli-ahli mereka disumbatkan kedalam penjara tanpa bicara dan apabila sebahagian mereka mengambil tindakan menentang Inggeris melalui perjuangan bersenjata, Inggeris telah memupuk UMNO untuk mengambil alih pemerintahan Negara.

UMNO telah dibawa berunding oleh Inggeris untuk menerima syarat-syarat kemerdekaan termasuklah syarat-syarat menerima orang-orang Cina dan India menjadi warga negara dan Melayu diberikan hak keistimewaan.

UMNO menerima syarat-syarat kemerdekaan yang dibentangkan oleh Inggeris termasuk menerima Perlembagaan yang digubal oleh Lord Reid iaitu yang bertentangan dengan Perlembagaan Rakyat yang digubal oleh golongan nasionalis, Islam dan kiri.

UMNOlah yang menerima kemerdekaan yang dihidangkan, dan Tunku Abdul Rahmanlah yang menerima pengisytiharan kemerdekaan apabila UNION JACK diturunkan pada 31hb Ogos 1957.

Sesungguhnya Inggeris tidak mempunyai kekuatan lagi untuk mempertahankan penjajahan mereka keatas Malaya. Perjuangan menentang Inggeris bukan sahaja berlaku di Malaya tetapi diseluruh pelusuk dunia yang dijajah oleh Inggeris, dan anak-anak jajahan juga mengetahui bahawa Inggeris boleh dikalahkan apabila Jepun mulai menduduki Asia; Jepun hanya menyerah diri apabila Negara mereka dilumatkan oleh 2 Bomb Atom oleh Amerika Syarikat.

Dan sikap Inggeris yang melarikan diri dari Malaya semasa kemasukan Jepun menunjukkan bahawa Penjajah Inggeris tidak sanggup mempertahankan Malaya dan sikap ini memberikan semangat kepada penduduk Malaya untuk menentang Inggeris apabila Jepun "mengangkat tangan".

Tetapi apabila rakyat Malaya bangun untuk menentang Inggeris, ramai pula anak-anak Negeri yang sanggup bekerja dengan Inggeris sebagai Polis dan Tentera. Maka mahu atau tidak mahu, wujud pertentangan diantara pejuang-pejuang kemerdekaan dengan tentera-polis upahan Inggeris ini.

Sejarah perlu mencatatkan bahawa Polis-Tentera upahan itu adalah sebahagian daripada jentera Inggeris mempertahankan penjajahan, dan perlu diterima bahawa mereka mati kerana mempertahankan penjajahan Inggeris.

Sejarah untuk mereka itu bukanlah sejarah memperjuangkan kemerdekaan tanah air, tetapi sejarah mempertahankan penjajahan Inggeris.

Untuk tidak mencatatkan bahawa mereka yang berjuang menentang Inggeris itu sebagai pejuang-pejuang kemerdekaan, maka UMNO melalui beberapa orang profesor kangkong, menyatakan bahawa Malaya tidak pernah dijajah, Inggeris hanya datang ke Malaya untuk menasihati Raja-Raja Melayu. Alangkah hinanya Raja-Raja Melayu diperlakukan oleh profesor-profesor kangkong ini apabila seluruh episod penjajahan Inggeris itu dicatatkan sebagai peristiwa jemputan Raja-Raja Melayu untuk menasihatkan mereka.

Sejarah tetap sejarah, fakta tetap fakta; mereka yang menentang penjajahan wajib dicatitkan sebagai pejuang kemerdekaan walaupun ideologi yang mereka wakili itu tidak bersesuaian dengan cita-rasa kita; dan mereka yang mempertahankan Inggeris wajib dicatitkan sebagai talibarut Inggeris, walaupun mereka itu terdiri daripada anak negeri sebangsa dengan kita.

Sejarah tidak boleh diputarbelitkan sebagai suatu permainan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu, roh kemerdekaan akan hanya kekal apabila sejarah dicatatkan mengikut fakta yang benar!

Rumah Daud bin Mahad, 221 Felda Jenderak Selatan, Kuala Krau, terbakar!

Posted: 26 Sep 2011 03:41 AM PDT

Daud bin Mahad adalah seorang anggota PAS. Pihak PAS kawasan Kuala Krau telah memberikan sumbangan dan begitu juga kutipan daripada anggota-anggota PAS yang menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya di Felda Jenderak Selatan hari semalam. Mengetahui akan kebakaran ini, saya pergi ke Felda Jenderak Selatan dan dapat bertemu dengan Daud bin Mahad yang sekarang ini ditempatkan dirumah seorang anggota PAS di perkampongan Felda itu. Saya sempat juga menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan bebanan Daud dan keluarganya. Daud memberitahu bahawa semasa kebakaran berlaku dia tidak sempat berbuat apa-apa; semua kain-baju, pinggan mangkuk dan apa juga yang ada didalam rumah semuanya musnah; yang dapat diselamatkan oleh beliau hanyalah keretanya. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih diatas bantuan dan sumbangan daripada orang ramai, dan dengan sumbangan itu dapatlah beliau meneruskan kehidupan sehingga memperolehi pendapatannya daripada ladang. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Felda kerana meluluskan serta-merta pinjamannya untuk membina sebuah rumah yang baru berharga lebih kurang RM60,000.00 (RM40,000.00 daripada pinjaman Felda dan RM20,000.00 daripada Insuran Kebakaran).
Sdr Nawi Ralit, Ketua PKR Ranting Felda Jenderak Selatan menunjukkan tapak rumah Daud yang telah ditolak dan sedia untuk dibina rumah barunya.
Inilah rumah Daud yang musnah teruk akibat kebakaran.
Pihak bomba sedang menyuraikan api.
Rumah Daud hangus dijilat api. Kepada mana-mana pihak yang bersimpati dan ingin membuat sebarang sumbangan seperti kain baju, alat-alat dapur, tilam, bantal dan sebagainya serta wang tunai bolehlah berhubung dengan Haji Suhaimi Said, F-128 Tkt 1, Jalan Tengku Ismail, Temerloh, Pahang no. hp: 0199321260.

Tiada ulasan: