anjung setiawangsa |
AKTA KAMPONG BARU : KERAJAAN JANGAN ZALIMI PENDUDUK Posted: 20 Sep 2011 06:32 PM PDT KENYATAAN MEDIA SEKRETARIAT PEMBANGUNAN KAMPONG BHARU (SPKB) Sekretariat Pembangunan Kampong Baru (SPKB) mendesak Kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Pembangunan Kampong Baru yang dijadualkan akan dibentangkan untuk bacaan kedua dalam sidang Parlimen bulan Oktober akan datang kerana majoriti penduduk, pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru jelas membantah cadangan untuk mewujudkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru menerusi Akta tersebut. Walaupun mendapat bantahan keras dari pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru , Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tetap berkeras untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) tersebut untuk bacaan kedua. Tindakan ini bukan sahaja telah membelakangkan suara pemilik dan pewaris tanah, malah ia memperlihatkan sikap angkuh dan gelojoh Kerajaan untuk mengaut keuntungan mega dengan memperdagangkan satu-satunya aset berharga milik penuh orang Melayu di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur ini. Tindakan ini telah menampakkan kebenarannya dengan pewartaan Kampong Baru sebagai Zon Komersial sepenuhnya dalam Draf Pembangunan Kuala Lumpur 2020. SPKB menegaskan bahawa pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru bukanlah menentang atau menolak pembangunan, tetapi biarlah pembangunan yang hendak dirancang itu bersifat manusiawi, ikhlas dan memberikan keutamaan serta mengambil kira pandangan mereka, bukannya mengutamakan kepentingan pihak-pihak tertentu. Sejak dari awal lagi Kerajaan telah menunjukkan sikap yang sangat tidak jujur terhadap penduduk Kampong Baru di mana Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru tersebut telah dibentangkan dahulu untuk bacaan pertama di Parlimen, kemudian barulah pihak Kementerian turun berjumpa penduduk, pemilik dan pewaris tanah untuk kononnya "berbincang" dengan mereka. Tindakan ini seumpama meletakkan pistol di kepala penduduk dan meneruskan dengan perbincangan, sedangkan banyak perkara-perkara yang jelas memprejudis dan merugikan penduduk, pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru jika RUU tersebut diluluskan kelak. Antara perkara yang mendapat bantahan keras dari penduduk Kampong Baru ialah kaedah penyerahan hakmilik tanah kepada Kerajaan untuk dibangunkan tanpa jaminan bilakah ia boleh dikembalikan semula kepada pemilik, penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan segala keputusan Perbadanan yang tidak boleh dicabar di mahkamah, pemansuhan Lembaga Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang telah lebih seabad mentadbir dan menguruskan hal-ehwal tanah Kampong Baru, keanggotaan Perbadanan yang tidak mewakili suara anak Kampong Baru serta penubuhan Majlis Penasihat yang langsung tidak "bertaring". Selain itu, pemusatan kuasa yang sangat luas dan tidak terbatas ke atas Kampong Baru yang diletakkan hanya kepada seorang manusia sahaja iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, yang boleh mendedahkan kepada amalan penyalahgunaan kuasa, urustadbir yang korup dan tidak bertanggungjawab. Semua perkara tersebut menggambarkan sikap tidak telus dan jujurnya Kerajaan untuk menjaga kepentingan orang-orang Kampong Baru. Walaupun beberapa pindaan terhadap RUU tersebut telah dicadangkan oleh pihak Kementerian dan dicanangkan kepada penduduk Kampong Baru, SPKB menegaskan bahawa pindaan undang-undang tersebut hanyalah bersifat "kosmetik" dan bertujuan untuk mengaburi mata pemilik dan pewaris tanah semata-mata, yang kononnya Kerajaan telah mendengar pandangan dan bantahan mereka. Hakikatnya, pindaan tersebut tidak membawa makna apa-apa kerana RUU tersebut telahpun dibentangkan di Parlimen dan tidak ditarik balik sehingga kini. Justeru itu, SPKB mencabar Kerajaan untuk mendedahkan hasil pungutan suara (referendum) penduduk Kampong Baru berkenaan cadangan pindaan dan RUU tersebut sebelum ia dibentang dan diluluskan di Parlimen. SPKB dimaklumkan bahawa sambutan penduduk, pewaris dan pemilik tanah Kampong Baru amat dingin terhadap referendum Kementerian tersebut. Ini memberikan gambaran yang sangat jelas bahawa penduduk, pewaris dan pemilik tanah menentang keras Akta Kampong Baru tersebut. Oleh itu, Kerajaan digesa untuk menarik balik Akta tersebut sepenuhnya dan diingatkan agar jangan terus zalimi penduduk dengan mengambil tindakan yang akhirnya akan merugikan penduduk, pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru dan orang-orang Melayu khususnya. 20 September 2011 AHMAD ZAMRI BIN ASA'AD KHUZAIMI Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampong Baru (SPKB) |
You are subscribed to email updates from anjung setiawangsa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan