Jumaat, 26 Ogos 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


DEWAN MESYUARAT UNTUK ORANG ASAL

Posted: 26 Aug 2011 09:09 PM PDT

Saya sangat tertarik dengan ucapan Dato Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang, semasa merasmikan Himpunan Orang Asal Kuala Krau di Kg Penderas beberapa bulan lalu berhubung dengan perjuangan dan hak Orang Asal di Negeri Pahang.

Setelah membicarakan kedudukan orang Asal dari pelbagai aspek termasuk aspek sosial, ekonomi, kesihatan, pendidikan dan aspek yang ada kaitan dengan adat istiada Orang Asal, Dato Fauzi menekankan perjuangan Orang Asal untuk mencapaikan hak mereka.

Dari segi aspek politik, Dato Fauzi menekankan bahawa hanya Parti Keadilan Rakyat sahaja yang meletakkan didalam Perlembagaannya perjuangan untuk membela dan mempertahankan hak orang Asal.

Secara amalinya Parti Keadilan Rakyat meletakkan Orang Asal didalam pimpinan parti baik diperingkat Pusat, Negeri mahupun Cabang dan beliau melahirkan syukurnya kerana Parti Keadilan Rakyat Cabang Kuala Krau memilih Orang Asal untuk menjadi Naib Ketua parti itu diperingkat Cabang dan beberapa anggota Jawatankuasanya terdiri daripada Orang Asal termasuk juga pimpinan Wanita dan AMK.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada PKR Cabang Kuala Krau yang berjaya menubuhkan rantingnya di kesemua 10 buah kampong Orang Asal di Kuala Krau dengan keahliannya meningkat hingga 600 orang.

Dato Fauzi menggariskan tindakan-tindakan yang bakal diambil oleh PKR jika Pakatan Rakyat berjaya memerintah Negeri Pahang.

Tindakan pertama ialah untuk menubuhkan satu Majlis seperti Dewan Undangan Negeri yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Orang Asal dari seluruh Pahang, Majlis itu adalah badan bertindak untuk Orang Asal Negeri Pahang, dibayar elaun oleh Kerajaan Negeri, membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal Orang Asal Negeri Pahang.

Rumusan dari perbincangan di Majlis itu akan dibawa ke Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pahang untuk dibentangkan dan untuk diambil tindakan.

Dewan Undangan Negeri Pahang dan Kerajaan Pahang akan mengambil tindakan untuk memperbaiki kedudukan dan status Orang Asal di Negeri Pahang setelah mengambil pandangan keputusan Majlis.

Isu yang paling utama menghantui Orang Asal ialah mengenai tanah mereka, dan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pahang akan mendapatkan pandangan dari Majlis itu sebelum mengambil apa-apa tindakan.

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pahang juga akan melantik wakil-wakil penduduk untuk menjadi pimpinan di peringkat Daerah dengan wakil-wakil itu dibayar elaun, dan wakil-wakil ini membantu Kerajaan mengambil tindakan diperingkat Daerah. Wakil-wakil tersebut diambil dari akar umbi agar mencerminkan kehendak majoriti penduduk Orang Asal.

Cadangan seumpama yang dikemukakan oleh Dato Fauzi itu adalah satu cadangan yang sangat progresif yang tidak pernah dilakukan oleh Barisan UMNO/BN dan meletakkan kedudukan Orang Asal ditempat yang tinggi semata-mata untuk mengatasi masalah yang mereka hadapi selama lebih 50 tahun dibawah pemerintahan UMNO/BN.

Dato Fauzi membayangkan untuk dipinda Perlembagaan Negeri untuk membolehkan perlantikan seorang berdua dari pimpinan Orang Asal menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri secara lantikan.

Untuk itu beliau meminta kerjasama daripada Orang Asal untuk memenangkan Pakatan Rakyat didalam Pilihanraya Umum yang akan datang.

DAP MELAYU MAHU BERTANDING DI KAWASAN PKR, UNTUK BUKTIKAN BAHAWA PARTI ITU TIDAK PERKAUMAN!

Posted: 26 Aug 2011 07:43 PM PDT

DAP adalah sebuah parti yang agak established di kawasan pilihanraya didalam bandar dan diantara parti-parti didalam Pakatan Rakyat, DAP lah yang paling berjaya memenangi kawasan-kawasan yang dipertandingkan.

Akhir-akhir ini sudah ada beberapa orang pemimpin DAP berbangsa Melayu yang turut menerajui parti itu, walaupun keanggotaan DAP masih dipenuhi oleh mereka yang bukan Melayu. Pemimpin-pemimpin Melayu didalam DAP ini tidak mempunyai kawasan yang selamat untuk bertanding di kawasan bukan Melayu, dan DAP juga bimbang jika pemimpin-pemimpin Melayu didalam parti itu bertanding di kawasan Cina, calon Melayu itu akan kalah.

Bagaimana pun DAP ingin menunjukkan kepada masyarakat bahawa DAP bukanlah parti perkauman seperti yang tercatit didalam Perlembagaan parti itu. Untuk membuktikan bahawa DAP bukan parti perkauman maka DAP mahu meletakkan beberapa orang calon dari kalangan pemimpin-pemimpin Melayunya untuk bertanding didalam kawasan Melayu. Untuk membuktikan bahawa DAP tidak parti perkauman dengan meletakkan calon Melayu di kawasan Melayu bukanlah cara yang baik untuk tujuan itu. Adalah lebih baik calon Cina dari DAP diletakkan didalam kawasan majoriti Melayu dan calon Melayunya diletakkan didalam kawasan majoriti Cina.

Tuntutan daripada DAP ini sudah lari daripada persepsi asal untuk parti-parti didalam Pakatan Rakyat. Persepsi asalnya ialah parti-parti didalam Pakatan Rakyat berkongsi tenaga, jentera dan pengaruh untuk meletakkan calon-calon yang boleh memberikan kemenangan dan persepsi itu ialah kawasan-kawasan yang dominan Cina ditandingi oleh DAP, dominan Melayu ditandingi oleh PAS dan kawasan-kawasan campuran ditandingi oleh PKR.

Di Sarawak baru-baru ini PKR terpaksa menggalas tanggungjawab untuk mengelakkan BN menang percuma dan dengan itu bertanding juga di kawasan-kawasan pedalaman yang memang sukar untuk dimenangi, sedangkan kawasan-kawasan bandar disapu bersih untuk ditandingi oleh DAP; manakala PAS juga tidak mahu bertanding di kawasan pedalaman, sehingga menimbulkan persepsi bahawa PKR tamak.

Sepatutnya Pakatan Rakyat di Sarawak baru-baru ini ditandingi oleh parti-parti didalam Pakatan Rakyat dengan pembahagian yang lebih lumrah. DAP tidaklah bertanding hanya di kawasan-kawasan Bandar di mana penduduknya mempunyai kefahaman dan kesedaran politik yang lebih tinggi, dan boleh memberikan kemenangan yang mudah.

PKR adalah sebuah parti yang baru tetapi walaupun baru parti itu telah menunjukkan prestasi yang baik dan berpotensi memenangi samada di kawasan bandar atau luar bandar kerana komposisi pimpinan parti itu tidak berpijak hanya kepada satu-satu kaum dan begitu juga keanggotaannya.

PKR boleh bertanding didalam Bandar dan PKR juga boleh dan mampu bertanding di luar bandar dan amat bersesuai didalam kawasan-kawasan campuran.

Sebagai sebuah parti yang bukan sahaja mengikut Perlembagaannya multi-racial, PKR juga adalah sebuah parti pelbagai kaum yang menganggotainya, berbeza sedikit dengan DAP yang juga tidak perkauman tetapi keahliannya dipenuhi oleh orang-orang Cina; dan PAS yang tidak perkauman tetapi ahli-ahlinya dipenuhi oleh orang-orang Melayu.

Tidak ada ironi kepada PKR, keanggotaannya terdiri daripada Orang Melayu, Orang Cina, Orang India, Orang Asal, Orang-Orang Bumiputra Sabah dan Sarawak menjadikan parti itu sebagai "Truly Malaysian".

Bagaimana pun PKR tidak mengambil pendekatan bahawa pemimpin Cinanya hanya bertanding di bandar, atau pemimpin Melayunya hanya bertanding di luar bandar, atau pemimpin Indianya bertanding di kawasan India atau pemimpin Bumiputranya bertanding di kawasan Bumiputra.

PKR adalah sebuah parti multi-racial dan ia boleh meletakkan calon Cinanya di kawasan bercampur yang majoritinya pengundi Melayu, meletakkan mana-mana calonnya didalam kawasan Cina, meletakkan calonnya didalam kawasan Melayu sesuai dengan konsep perjuangan parti itu yang tidak perkauman dan tidak pernah memainkan politik perkauman.

PKR berlandaskan kepada perjuangan rakyat dan bukan perkauman. Maka untuk DAP mahu membuktikan bahawa dia bukan parti perkauman bukanlah dengan cara meletakkan calon Melayunya didalam kawasan majoriti Melayu dan DAP kenalah berkorban agar kawasan-kawasan majoriti Cina yang ditandinginya itu diberikan kepada calon-calon Melayu didalam parti itu dan tidak memainkan sentimen bahawa kawasan Cina hanya layak ditandingi oleh pemimpin-pemimpin Cina nya dan kawasan Melayu hanya layak ditandingi oleh pemimpin-pemimpin Melayu nya.

Pakatan Rakyat sewajarnya sudah menjadi lebih matang, komponen partinya tidaklah tamak mahu mengekalkan kawasan-kawasan yang pernah ditandinginya dengan mengatakan bahawa kawasan-kawasan itu adalah kawasan tradisinya.

Sebagai parti yang baru PKR tidak mempunyai kawasan tradisi, tetapi PKR mempunyai pengaruh diluar spektrum komposisi kaum dan tidak hanya berlandaskan kepada bilangan keanggotaannya bagi satu-satu kawasan. Orang ramai kadang-kadang mahu memilih PKR kerana mereka memandang bahawa parti itu adalah parti jalan tengah bagi mereka.

PAS sebagai parti yang tua didalam Pakatan itu juga tidak boleh mengatakan semua kawasan yang ia bertanding sebagai kawasan tradisinya. Kawasan tradisi membawa erti bahawa kawasan itu adalah kawasan yang ia terus-menerus bertanding dengan memperolehi kemenangan. Jika itu berlaku tiada sesiapa pun lagi mahu mempertikaikan bahawa itu adalah kawasan tradisinya, tetapi jika kawasan itu ditandingi oleh PAS sejak 1955 tetapi tidak pernah menang, maka kawasan seumpama itu bukanlah kawasan tradisi, kawasan itu hanyalah kawasan yang ditandingi oleh PAS sejak tahun 1955, dan tradisinya disitu adalah kalah didalam setiap Pilihanraya.

Parti-parti didalam Pakatan kena akur bahawa jika calon parti itu bertanding beberapa kali didalam Pilihanraya didalam satu-satu kawasan (sekurang-kurangnya 3 kali) dan tidak pernah menang maka kawasan-kawasan itu bolehlah bertukar kepada parti-parti lain didalam Pakatan. Yang penting ialah supaya Pakatan menang bukan parti mana yang bertanding. Maka menjadi sangat tamak kepada parti berkenaan jika calonnya disesuatu kawasan itu kalah dari satu pilihanraya ke satu pilihanraya dalam kawasan yang sama tetapi masih mahu mengekalkan kawasan itu dengan keangkuhan bahawa itu adalah kawasan tradisi. Tradisi kalah bukanlah tradisi yang boleh dikekalkan.

MAKA Parti-Parti didalam Pakatan Rakyat kenalah bersikap lebih bertanggungjawab dan tidak emosi mempertahankan kawasan-kawasan yang pernah ditandinginya jika tidak pernah menang, dan didalam bidang ini contoh dari Barisan Nasional perlu diperhatikan bahawa parti komponen MIC yang kecil dari UMNO dan MCA diberikan kawasan-kawasan yang tidak mempunyai majoriti kaum India.

Bendera Malaysia atau Kuih Raya?

Posted: 26 Aug 2011 03:09 PM PDT

Malaysia menghadapi ujian getir pada tahun ini. Rakyatnya betul-betul berhadapan dengan dilema kerana Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari yang hampir sama dengan Hari Merdeka.

Adakah orang Islam Malaysia akan membuat pilihan samada mahu merayakan Aidilfitri atau Hari Merdeka? Sudah tentu pada 1 Syawal, umat Islam akan menunaikan Solat Sunat Aidilfitri, selepas itu menziarahi kubur, mengadakan majlis tahlil dan menziarahi sanak saudara dan rakan-rakan taulan.

Sudah tentu juga Upacara Menyambut Hari Merdeka akan diadakan di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah.

Hanya bezanya adakah rakyat biasa (awam) memilih untuk pergi ke Upacara Menyambut Hari Merdeka atau mereka akan kesibukan merayakan Hari Raya Aidilfitri.

Beberapa minggu ke belakangan ini, saya sempat mengadakan perjalanan ke beberapa buah Negeri di Semenanjung dan banyak Daerah di Negeri Pahang. Dan semalam saya membuat perjalanan ke Kuantan mengikut jalan lama dari Temerloh, dan kembali semula ke Temerloh melalui Highway dan keluar di Tol Chenor untuk pergi ke Bandar Tun Razak (nama baru bagi Bandar Jengka).

Didalam perjalanan ke Kuantan saya tidak terjumpa kenderaan yang memasang bendera Malaysia baik kenderaan persendirian, mahupun kenderaan komersial dan termasuk juga kenderaan Kerajaan.

Tetapi didalam perjalanan dari Kuantan ke Jengka saya terjumpa dengan sebuah lori yang memasang bendera Malaysia di sebelah kanan dan bendera Pahang di sebelah kiri.

Di Bandar Jengka tidak ada sebuah kereta pun yang memasangkan bendera Malaysia. Di Matau, Jengka tidak ada sebuah rumah pun yang memasang bendera Jalur Gemilang.

Tetapi didalam perjalanan dari Tol Chenor ke Bandar Jengka begitu ramai manusia berpusu-pusu di persimpangan Felda Jengka 19, 18, dan seterusnya hingga ke Bandar Jengka kerana disana ada disediakan juadah dan lauk pauk untuk berbuka puasa dan ada pula kuih muih untuk Hari Raya. Gerai ayam panggang penuh dikelilingi oleh pembeli-pembeli dan begitu juga di tempat membakar lemang.

Saya sempat singgah di Simpang Felda Jengka 18, padat betul dengan manusia dan gerai-gerai kerana disana ada pasar Ramadhan yang bertembung dengan pasar malam.

Macam-macam jualan ada dan saya mengambil kesempatan untuk membeli sedikit lauk untuk berbuka puasa.

Disana ramai yang saya kenal, dan sempatlah berborak dengan mereka. Saya kisarkan perbualan saya mengenai sambutan Hari Merdeka.

Kebanyakannya menjawab: "Itu biarlah Menteri-Menteri dan Pegawai-Pegawai Kerajaan saja yang raikan, kita orang bawah ni apa ada hal?"

Kalau beginilah menjadi tanggapan umum, Hari Merdeka sudah tidak ada erti lagi kepada rakyat bawahan, dan persepsi sebegini mestilah diubah segera untuk menjadikan Hari Merdeka itu sebagai hari yang paling penting bagi Negara dan Rakyat Malaysia.

Persepsi ini bukan dibuat-buat. Ia lahir dari perlakuan yang mereka saksikan sendiri bahawa seolah-olahnya Negara ini hanya memberikan faedah dan menfaat kepada hanya pemimpiin-pemimpin politik dari UMNO dan Barisan Nasional.

Kalau begitu kenapakah ahli-ahli UMNO peringkat kampong tidak menyambut Hari Merdeka kalaupun mereka yang menjadi ahli parti-parti Pembangkang dipulaukan dari Majlis-Majlis seumpama itu?

Ini menunjukkan bahawa Pimpinan UMNO tidak lagi boleh ambil "take for granted" terhadap ahli-ahli mereka, walaupun ahli-ahli UMNO itu masih bersedia menyambut Hari Merdeka jika ada imbuhan dan bendera-bendera percuma untuk menghadirkan diri.

Sudah menjadi tradisi kepada ahli-ahli UMNO bahawa jika pemimpin-pemimpin mahukan penyertaan mereka, maka pemimpin-pemimpin mesti menyediakan "pelincir" untuk mereka hadir; duit minyak keretanya, duit makannya, dan duit poketnya. Ini termasuklah juga jemputan oleh pimpinan tertinggi parti itu untuk Majlis Berbuka Puasa. Bas disediakan, duit poket disediakan. Kalau tidak alamatlah Majlis Berbuka Puasa itu dihadiri oleh hanya Pegawai-Pegawai peringkat Daerah serta Ketua-Ketua Kampong dan Ahli JKK.

Semangat juang ahli-ahli UMNO sudah menjadi begitu rendah. "Kenapa tidak," kata mereka, "Yang dapat projek ini dan itu semuanya pemimpin UMNO, kita dapat apa? Kami ni dah jadi ahli Gerakan, Tak Gerak Tak Makan."

Penanaman semangat patriotisme selama lebih 50 tahun dibawah budaya UMNO menjadikan manusia hilang semangat itu. Peranan rasuah dan politik wang yang selama ini ditaburkan oleh UMNO sudah menjadi racun menikam UMNO sendiri. Ahli-ahli mereka hilang semangat juang, hilang semangat patriotisme melainkan ada "pelincir", dan kerosakan ini bukanlah satu kerosakan yang kecil untuk diperbaiki.

Kesemua ini bermula apabila pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat Cawangan dan Bahagian berubah wajah. Kalau dulu mereka yang berhempas pulas menegakkan perjuangan dipilih menjadi pemimpin terutama dikalangan guru-guru, tetapi pada hari ini tidak memerlukan pemimpin seumpama itu lagi.

Seseorang kontraktor atau ahli perniagaan yang berjaya dengan mudah merasp masuk menjadi pemimpin UMNO kerana mereka berupaya membeli undi dari perwakilan. Setahun dua ini UMNO sudah mulai mengambil langkap serkap jarang untuk menangkap pemimpin-pemimpin seumpama itu. Tetapi seperti kata ahli-ahli UMNO, "Yang kena tangkap itu tak ramai, yang tak kena tangkap itulah yang menjadi pemimpin dan menjadi Wakil Rakyat, Ahli-Ahli Exco dan Menteri-Menteri."

Ini sudah menjadi satu persepsi umum didalam Parti UMNO, maka bukan mudah persepsi itu hendak ditanggalkan.

Biar pun persepsi itu boleh ditanggalkan di peringkat parti, ahli-ahli UMNO juga memerhatikan perbuatan dan sikap pemimpin-pemimpin mereka yang dengan secara rambang boleh mereka sifatkan sebagai "no money no talk".

Maka didalam keadaan inilah dapat dibuatkan konklusi bahawa Bendera Malaysia tidak akan dapat mengatasi Kuih Raya.

Marilah kita merayakan Hari Raya Aidilfitri mengikut apa yang dituntut oleh Agama kita, dan marilah kita merayakan Hari Merdeka mengikut tuntutan patriotisme kita.



Tiada ulasan: