Rabu, 31 Ogos 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Memainkan perasaan perkauman adalah mudah ...

Posted: 31 Aug 2011 05:09 PM PDT

Kita sudah meninggalkan 13 Mei lebihkurang 32 tahun yang lampau. Dan 13 Mei itu membawa satu kesedaran baru kepada rakyat Malaysia.

Tidak dapat dinafikan bahawa golongan terbesar Orang Melayu (Melayu bawahan) tersisih dari perkembangan ekonomi Negara dan perasaan tidak puas hati menjadi meruap-ruap. Mereka menyedari bahawa Malaysia adalah sebuah Negara yang kaya dengan hasil mahsul, dan mereka mempersoalkan kedudukan dan nasib mereka yang tidak terbela.

Rata-rata Orang Melayu pada waktu itu berlindung dibawah naungan UMNO dan kepada Kerajaanlah mereka mengharapkan supaya nasib mereka terbela. Tetapi malangnya Kerajaan UMNO tidak berjaya membela mereka, dan untuk menutup kelemahan mereka, Kerajaan UMNO khususnya pimpinan UMNO menuding jari bahawa ekonomi Negara ini sudah dibolot oleh Orang-Orang Cina, satu sentimen yang mudah menaikkan emosi orang-orang Melayu; walhal pemimpin-pemimpin Melayu didalam UMNO mengaut kekayaan Negara untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Kemiskinan dan penyisihan dari arus perkembangan ekonomi ini sesungguhnya bukan hanya melanda Orang Melayu bawahan tetapi juga Orang Cina, Orang India, Orang Bumiputra Sabah/Sarawak; tetapi oleh kerana parti-parti didalam Perikatan pada waktu itu (UMNO/MCA/MIC) adalah parti-parti perkauman dan memperolehi pengaruh melalui perkauman, maka tidak ada parti-parti didalam Perikatan yang mahu menyatakan bahawa kebobrokan ekonomi ini adalah kerana dasar atau sistem ekonomi yang berpihak kepada golongan atasan dan menyisih golongan bawahan.

Rakyat didendangkan dengan lagu perkauman; kepada Melayu mereka ditunjukkan bahawa kemiskinan mereka adalah kerana pegangan ekonomi oleh Orang-Orang Cina; kepada Cina dan India, ditunjukkan bahawa kemiskinan mereka adalah disebabkan penggondolan Hak Istimewa Orang-Orang Melayu.

Kaum-kaum yang ada di Malaysia pada waktu itu tidak mempunyai pandangan yang tepat kenapa kaum masing-masing hidup didalam kesempitan sedangkan didalam Perikatan itu, kaum Melayu, kaum Cina dan kaum India atasan hidup mewah dan menguasai ekonomi Negara.

Parti-parti politik didalam Perikatan masing-masing memainkan semangat perkauman demi mengekalkan pengaruh masing-masing tanpa berpaut kepada tanggungjawab bahawa politik perkauman itu amatlah berbahaya dan pasti akan meletup pada bila-bila masa sahaja.

Selepas Pilihanraya 1969 itu, Orang Melayu merasakan bahawa kuasa politik mereka sudah terhakis apabila Gerakan memenangi Pulau Pinang, dan bersama-sama DAP hampir memenangi Selangor dan Perak.

Bagi Orang Cina dan India pula mereka merasakan sudah tiba masanya satu rombakan dasar secara besar-besaran agar boleh mendatangkan menfaat kepada golongan bawahan mereka.

Bomb-jangka sudah dipasang, dan hanya memerlukan sedikit sahaja usikan, bomb itu akan meletup. Maka ledakan bomb itu pada 13 Mei merupakan titik hitam sejarah Malaysia. Berlaku banyak kematian, berlaku banyak harta benda dirosakkan, dan berlaku perasaan benci-membenci.

Tindakan Tun Haji Abdul Razak mengambil alih pimpinan Negara dari Tunku Abdul Rahman dengan menubuhkan Pemerintahan Margeran, Parlimen digantung dan semua kuasa terletak ditangan Margeran, dapat meredakan keadaan, dan semua parti politik diberikan kerusi didalam pemerintahan pada waktu itu.

Dari segi politik, Tun Razak berjaya menggabungkan semua parti-parti politik yang akhirnya tertubuhlah Barisan Nasional dengan pembahagian kuasa dan Gerakan memerintah Pulau Pinang, PPP diberikan kedudukan yang baik di Perak, PAS diberikan kuasa di Kelantan; hanya Parti Rakyat Malaysia dan DAP sahaja yang tidak mahu berada didalam gabungan itu.

Dibawah pentadbiran Tun Razak, Dasar Ekonomi Baru telah digubal dan dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan Orang Melayu bawahan yang tersisih dari ekonomi Negara dan kedudukan Orang Cina dan India bawahan yang tidak mendapat tempat selama ini.

Dasar Ekonomi Baru telah banyak merubahkan landscape politik dan pegangan ekonomi di Negara ini.

Sebagai sebuah Negara yang kaya Malaysia boleh memberikan berbagai peluang ekonomi kepada rakyatnya. Buat kali pertama wujudlah Orang-Orang Melayu yang berkecimpung didalam bidang ekonomi dan mereka diminta supaya mewujudkan usahasama dengan rakan-rakan bukan Melayu, Orang-Orang Melayu yang merupakan golongan majoriti juga diberikan peluang yang luas untuk mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti tempatan dan luar Negara. Permit-permit dan lesen-lesen buat kali pertama diberikan kepada Orang Melayu yang sudah mulai sedar kepentingan dunia perniagaan. Dan didalam pada itu kedudukan Orang Cina dan India diberikan tempat yang sewajarnya.

Keadaan ini tidak lama berkekalan sedemikian. Pemimpin-pemimpin politik mulai merasakan bahawa mereka mempunyai hak yang lebih. Dasar Ekonomi Baru yang boleh menguntungkan rakyat Melayu dan bukan Melayu tiba-tiba disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin politik Barisan Nasional. Mereka mulalah mengaut apa juga faedah yang ditawarkan oleh Dasar Ekonomi Baru, dan mulalah wujud kelas Orang Kaya Baru dikalangan Orang-Orang Melayu yang menyokong UMNO, dan mereka pula bersekongkol dengan Orang-Orang Cina yang menjadi golongan atasan didalam MCA dan MIC. Merekalah yang berkuasa terhadap ekonomi Negara.

Keadaan ini tidak disenangi oleh rakyat dari semua kaum. Walaupun UMNO, MCA dan MIC masih berpegang kepada dasar perkauman masing-masing kerana dengan dasar itu memudahkan mereka untuk mengekalkan pengaruh dikalangan keanggotaan masing-masing, rakyat sudah mulai bangun. Mereka sudah mulai sedar bahawa dasar perkauman itu bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga merugikan Negara.

Isu perkauman menjadi semakin lantang apabila pemimpin-pemimpin UMNO menubuhkan badan-badan NGO dan membuat ugutan perkauman yang melampau-lampau.

Gejala ini nampaknya lebih tertumpu kepada UMNO dan parti itu sendiri secara penglibatan pemimpin-pemimpinnya merestui semangat perkauman yang melampau-lampau itu; pemimpin-pemimpin NGO Melayu yang membuat desakan-demi desakan perkauman tidak diambil tindakan, bahkan ada pula bekas-bekas pemimpin besar didalam UMNO yang mengatakan bahawa UMNO akan kecundang jika mengambil tindakan kepada NGO-NGO perkauman itu.

Gejala perkauman ini adalah perkara yang mudah untuk mempertahankan kuasa kerana emosi rakyat mudah dibakar. Tetapi gejala inilah yang akan membawa Negara ini rebah dan tersungkur.

Sementara itu saudah wujud gerakan kesedaran dikalangan rakyat yang mahu melihat Malaysia menjadi sebuah Negara dimana semua rakyatnya dari berbilang kaum dapat hidup bersama dengan setiap dari rakyatnya mendapat pembelaan.

Pakatan Rakyat telah berjaya memainkan peranannya bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum dengan mengambil dasar perjuangannya membela rakyat tanpa mengira kaum, agama dan pegangan politik. Dasar ini semakin mendapat tempat, dan kesedaran sudah mulai meresapi rakyat bermula dari kawasan bandar dan kini mulai menjalar ke kampong-kampong.

Dasar perpaduan kaum yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat ini akan menjadi aliran utama politik Negara dan akan melenyapkan apa juga dasar yang memecah-belahkan rakyat; rakyat sudah menolak dasar "pecah dan perintah" wasiat dari Penjajahan Inggeris!


Tiada ulasan: