Khamis, 4 Ogos 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Allahyarham Yusof Sukarno didalam ingatan...

Posted: 04 Aug 2011 03:13 PM PDT

Apabila 5 orang peneroka Felda Ulu Jempol, Maran mengambil tindakan berani memisahkan diri mereka daripada warga peneroka lain dengan tidak mahu menyerahkan ladang mereka untuk diuruskan oleh Felda diawal tahun 1980-an, mereka dengan serta merta diambil tindakan oleh Felda untuk menyingkirkan mereka sebagai peneroka.

Saya mempertahankan mereka daripada disingkirkan dari rancangan Felda, tetapi saya tidak kesempatan untuk mewakili mereka di Mahkamah kerana saya telah ditahan dibawah ISA pada awal tahun 1985 tersebut.

Tetapi sebelum kejadian ini saya telah mengujudkan kumpulan peneroka-peneroka Felda bagaimanakah mereka boleh mengatasi masalah kekurangan pendapatan dan mengelakkan daripada berhutang dengan Felda.

Kumpulan saya itu termasuklah sahabat saya yang sekarang ini sudah pun meninggalkan kita semua iaitu Allahyarham Yusof Sukarno, seorang peneroka yang bertubuh kecil, bercakap pelat Kelantan yang pekat tetapi mempunyai pandangan luas dan berjiwa besar dari Felda Jengka 10.

Yusof memberikan masanya untuk memperjuangkan dan membela nasib peneroka-peneroka Felda.

Melalui kesepakatan itu, ramai peneroka-peneroka yang bersama kami khususnya dari gugusan Jengka. Kami berbincang dan mengaturkan sesi-sesi penerangan. Di peringkat awalnya memang peneroka-peneroka tidak nampak jalan keluarnya dari gagasan yang ingin kami bawa.

Mereka takut untuk mencuba. Mereka merasakan bahawa mereka tidak mempunyai kekuatan untuk mencuba.

Kami tetap meneruskan penerangan kami. Yusof dan saya tidak henti-henti membuat penerangan walaupun kepada kelompok yang kecil sahaja.

Apakah gagasan kami? Peneroka-peneroka Felda boleh mengatasi masalah pendapatan yang kecil dan mengelakkan dari hutang dengan Felda jika menanam sendiri.

Kami andaikan bahawa wang caruman yang dicarum oleh peneroka untuk tanam semula yang disimpan oleh Felda sudah cukup untuk memulakan proses menanam sendiri tanpa melalui Felda. Wang sebanyak RM17,000.00 itu sudah cukup untuk pembelian benih, baja dan racun dan elaun saraan dalam tempoh tanam semula itu.

Bahkan semasa proses tanam semula itu, kami andaikan bahawa antara 50% hingga 70% pendapatan mengikut tahap masih boleh diambil dari pokok-pokok sawit yang tidak ditebang itu.

Biarlah saya namakan sistem ini SISTEM YUSOF SUKARNO. Melalui sistem Yusof Sukarno ini, seseorang peneroka menanam anak-anak benih sawit dicelah-celah sawit yang tua dengan sawit yang tua itu dimusnahkan mengikut peringkat-peringkatnya.

10%-20% dari sawit tua itu dimusnahkan sebaik saja benih-benih sawit itu mula menumbuh dengan baik untuk memberikan cahaya matahari untuk kesuburannya.

Pokok-pokok sawit yang tua itu masih boleh memberikan pendapatan kepada peneroka-peneroka yang terlibat, dan justeru itu masalah saraan mereka adalah terjamin.

Pokok-pokok tua itu dibunuh (dimusnahkan) mengikut tahap pembesaran anak-anak sawit itu, dan sementara itu peneroka-peneroka tersebut masih boleh bergantung kepada hasil pokok-pokok tua itu untuk menyara hidup mereka; sehinggalah kepringkat anak-anak sawit itu sudah mula berbuah selepas 3 tahun, maka pokok-pokok tua itu dimusnahkan keseluruhannya.

Pokok-pokok sawit baru yang dijaga dengan baja dan ladang dibersihkan dengan racun, mengeluarkan hasil yang baik dan dengan sistem ini, peneroka-peneroka tidak putus dengan pendapatan dari mula anak-anak sawit ditanam hinggalah anak-anak sawit itu memberikan hasil.

Melalui sistem ini, peneroka-peneroka tidak perlu menanggung sebarang hutang dan apabila sudah mengeluarkan hasil pendapatan peneroka-peneroka terlibat tidak lagi dikawal oleh Felda, dan pada hari ini mereka yang menanam sendiri boleh berpendapatan melebihi RM6000.00 sebulan dan semasa harga sawit tinggi ada yang boleh berpendapatan hingga melebihi RM10,000.00 sebulan jika nak dibandingkan dengan peneroka-peneroka yang menyerahkan urusan ladang kepada Felda dimana Felda memberikan pinjaman elaun sara hidup sebanyak RM1500.00 (gross).

Mereka yang tanam sendiri bukan sahaja memperolehi pendapatan yang besar bahkan mereka juga tidak perlu menanggung hutang kepada Felda, manakala mereka yang diuruskan oleh Felda mendapat elaun sara hidup yang kecil dan dikira hutang.

Peneroka-peneroka melalui Felda ini menanggung hutang yang tinggi. Didalam tempoh 8 tahun sahaja dari mula ladang mereka ditanam semula peneroka-peneroka ini sudah pun dikenakan hutang sebanyak RM95,000.00.

Yusof Sukarno sudah lama meninggalkan kita. Saya berjuang bersama beliau dan semasa beliau meneruskan perjuangan itu kehidupan beliau juga terhimpit, namun, demi perjuangan Yusof meneruskannya untuk kepentingan peneroka-peneroka.

Didalam perjuangan ini, tidak semestinya peneroka-peneroka menanam sendiri. Bahkan memang dianjurkan bahawa Felda menanamkan untuk peneroka-peneroka. Jika sistem yang dijalankan oleh Felda itu telus, peneroka-peneroka mungkin tidak memperolehi pendapatan sebesar yang diperolehi oleh peneroka-peneroka yang tanam sendiri, tetapi adalah tidak munasabah bahawa peneroka-peneroka yang tanam sendiri boleh berpendapatan hingga RM10,000.00 sebulan sedangkan peneroka-peneroka yang tanam melalui Felda hanya diberikan elaun sara hidup sebanyak RM1500.00 (gross) yang dikira hutang.

Saya ambil perkiraan yang paling mudah. Andaikan sahaja bahawa peneroka-peneroka boleh berpendapatan hanya RM5000.00 sahaja dari ladang mereka. Terbukti bahawa melalui Penyata Hutang (bukan kunci kira-kira) seseorang peneroka itu telah menanggung hutang sebanyak RM95,000.00 dalam tempoh lapan tahun (iaitu 3 tahun sebelum mengeluarkan hasil dan 5 tahun setelah mengeluarkan hasil).

Pendapatan RM5000.00 sebulan x 12 bulan x 5 tahun, maka pendapatan peneroka dalam tempoh 5 tahun setelah ladang mereka mengeluarkan hasil adalah RM300,000.00, sedangkan Penyata Hutang mereka menyatakan bahawa mereka berhutang kepada Felda sebanyak RM95,000.00. Maka pendapatan bersih peneroka itu adalah RM205,000.00.

Mengikut perkiraan ini Felda masih terhutang dengan setiap seorang peneroka sebanyak RM205,000.00.

Inilah kemungkinannya kenapa Felda enggan dan gagal mengeluarkan Kunci Kira-Kira bagi setiap peneroka Felda untuk mengelakkan rahsia Felda terhutang dengan peneroka-peneroka terbongkar.

Saya salute arwah Yusof Sukarno. Walaupun dia bukan berpelajaran tinggi dan bukan pula seorang pakar pertanian, tetapi beliau telah menyumbang kepada pembelaan nasib peneroka-peneroka Felda. Semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada roh Allahyarham Yusof Sukarno, Al Fatehah.

(5 orang peneroka Felda Ulu Jempol Maran tersebut telah dibela oleh seorang peguambela dari Kuantan, dan mereka kekal menjadi peneroka di Ulu Jempol)

Kenapa tidak berminat jadi calon?

Posted: 04 Aug 2011 02:46 PM PDT

Rata-rata saya memberitahu rakan-rakan didalam parti bahawa saya tidak berminat menjadi calon didalam Pilihanraya. Ini bukan kerana alasan-alasan yang biasa kita dengar. Tetapi ini adalah protes kecil saya bahawa Pilihanraya di Malaysia ini adalah pilihanraya yang tidak demokratik.

Saya menyampah dengan alasan SPR bahawa badan yang kononnya bebas itu sebenarnya adalah sebuah badan yang tidak bebas.

SPR sepatutnya mempertahankan pilihanraya yang bebas, demokratik, telus dan berintegriti, tetapi SPR berlagak seolah-olah dia adalah sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional, dia mempertahankan perjalanan pilihanraya yang tidak demokratik.

Di negara-negara demokrasi lain, badan seperti SPR ini terpaksa bermasam muka dengan parti yang memerintah jika parti yang memerintah itu cuba mempengaruhi SPRnya untuk kepentingan parti yang memerintah. Tetapi disini lebih sudu dari kuah.

Apabila ditunjukkan bahawa daftar senarai pengundi-pengundi tidak bersih, bertikam lidah SPR nak membuktikan bahawa senarai itu bersih. Walaupun ditunjukkan bahawa sesebuah alamat itu mengandungi berpuluh orang pemilih daripada pelbagai kaum, SPR akan kata bahawa itu adalah kesilapan teknikal.

Apabila ditunjukkan bahawa penduduk tetap dimasukkan kedalam senarai daftar pemilih, SPR bermati-matian mengatakan bahawa itu adalah kesilapan teknikal.

Apabila ditunjukkan bahawa disesetengah Negeri dan disesetengah kawasan Pilihanraya dimana BN menang tipis atau PR menang tipis, SPR menyatakan bahawa telah wujud kesedaran dikalangan pemilih untuk berdaftar.

Apabila ditunjukkan bahawa undi pos telah diselewengkan dengan seorang berdua mengundikan untuk ratusan pengundi pos (khususnya tentera) dan diakui oleh pegawai-pegawai yang terlibat dengan pengundian itu, SPR kata ini tidak pernah berlaku.

Apabila ditunjukkan bahawa berlaku pertindihan nama seseorang yang mengundi pos juga berdaftar sebagai seorang pengundi ditempat lain, SPR mengatakan bahawa perkara itu tidak berlaku.

Apabila ditunjukkan bahawa seseorang pengundi itu mengundi lebih dari sekali di tempat yang berbeza, SPR mempertahankan bahawa kejadian seumpama itu hanyalah tuduhan liar.

Bawalah apa-apa bukti sekali pun mengenai penyelewengan ini, SPR tetap mempertahankan penyelewengan itu sebagai tidak wujud, dan berkata bahawa jika SPR menyeleweng, bagaimanakah Pakatan Rakyat dapat kekal di Kelantan dan menawan 4 Negeri yang lain?

Tidak pernah SPR menyatakan bahawa tanpa penyelewengan itu bukan sahaja 5 Negeri jatuh ke tangan PR bahkan seluruh Malaysia jatuh ke tangan PR.

Selain dari SPR, Mahkamah juga sudah menjadi pak turut BN. Jelas bahawa rasuah didalam skala besar berlaku seperti di Hulu Selangor apabila pengundi di Felda Sg Buaya diberikan RM1000.00 dan baki RM49,000.00 akan diberikan jika BN menang, tetapi itu tidak dianggap rasuah.

Jelas bahawa BN menjanjikan pelbagai projek semasa Pilihanraya jika BN menang, dan jelas projek-projek dijalankan semata-mata semasa Pilihanraya, tetapi kesemua itu tidak dianggap rasuah.

Jelas berlaku pemberian wang semasa pilihanraya bahkan menjadi pertikaian dikalangan penerima di Sarawak baru-baru ini, tetapi itu tidak dianggap rasuah Pilihanraya.

Maka Pilihanraya di Malaysia adalah Pilihanraya yang paling rasuah didalam dunia.

Barisan Nasional telah menyalahgunakan semua jentera kerajaan. TV dan Radio digunakan 24 jam untuk kempen BN, sesuatu yang tidak berlaku bahkan dicemoh di Negara-Negara demokrasi tetapi berlaku di Malaysia.

Penyalahgunaan kuasa sebegini menjadi alasan utama keputusan pilihanraya ditolak di negara-negara demokrasi, tetapi di Malaysia, penyalahgunaan kuasa ini tidak mencemarkan demokrasi ala-BN ini.

Untuk Pembangkang menang didalam Pilihanraya di Malaysia ini ia perlu mendapat sokongan lebih dari 60% pengundi, kalau hanya sekadar memperolehi 51% Pembangkang masih kalah dan mungkin kalah agak besar juga berhadapan dengan segala bentuk penipuan yang dijalankan oleh UMNO/BN dengan diizinkan oleh SPR.

Untuk diri saya sendiri, saya tidak berminat menjadi calon didalam Pilihanraya, dan belum sampai ke tahap saya memboikot pilihanraya kerana saya masih akur dengan parti yang saya sertai. Selagi parti saya menyertai Pilihanraya, saya akan membantu parti saya, walaupun saya sendiri sudah hilang selera untuk menjadi calon.

Saya akur dengan keputusan parti saya.

Tiada ulasan: