Rabu, 3 Ogos 2011

Angkatan Muda Keadilan Bagan Datoh,Perak Darul Ridzuan

Angkatan Muda Keadilan Bagan Datoh,Perak Darul Ridzuan


SPR dilapor mula lantik pegawai pengurus p'raya

Posted: 02 Aug 2011 08:55 AM PDT

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula melantik pegawai pengurus pilihan raya bagi semua kawasan pilihan raya - satu petanda bahawa pilihan raya umum mungkin diadakan tiga atau empat bulan lagi - berkemungkinan besar November depan.

Menurut laporan akhbar bahasa Cina Kwong Wah Daily hari ini, surat pelantikan bagi semua pegawai pengurus pilihan raya itu dikeluarkan dalam tempoh dua minggu lepas.

Pada kebiasaannya, pilihan raya umum diadakan tiga atau empat bulan selepas surat pelantikan pegawai pengurus pilihan raya dikeluarkan.

Laporan itu menyebut, cakap-cakap bahawa pilihan raya umum semakin hampir, sudah tersebar luas dan semua petunjuk menunjukkan semua pihak sedang membuat persediaan untuk menghadapinya.


SPR juga telah mengenal pasti tempat untuk dijadikan pusat penamaan calon manakala Jabatan Pelajaran memilih sekolah yang akan digunakan sebagai tempat mengundi.

"Sekolah-sekolah berkaitan telah diarah supaya tidak menyewakan dewan mereka pada bulan November," kata laporan itu.

Semalam akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily melaporkan bahawa semua bahagian BN di 222 kawasan Parlimen telah diminta mengemukakan senarai awal calon kepada pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan tertinggi BN secepat mungkin.

Memetik sumber, laporan itu berkata arahan itu telah dikeluarkan oleh kepimpinan BN sebelum perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu

MCA MAHU HAPUS HAK KONTRAKTOR MELAYU, INDIA MUSLIM DI PULAU PINANG?

Posted: 02 Aug 2011 08:52 AM PDT

Sejak Pakatan Rakyat menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang, tender projek-projek kerajaan negeri yang tidak melebihi RM200,000 dikhaskan kepada kontraktor Kelas F melalui tender terbuka, di mana kesemuanya adalah kontraktor Bumiputera.

Bagi projek-projek yang nilainya melebihi RM200,000, tawaran akan dilakukan melalui tender terbuka kepada semua warganegara Malaysia, termasuk Melayu, Cina dan India dan warga-warga negara yang layak.

Justeru itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik membidas sikap Ketua Wanita MCA Pulau Pinang Tan Cheng Liang yang telah mempersoalkan mengenai 243 projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri yang ditawarkan kepada kontraktor-kontraktor Kelas F di mana nilai projek-projek tersebut adalah kurang daripada RM200,000.

MCA cadang kontraktor kelas F dimansuhkan?

"Adakah Tan Cheng Liang bercadang supaya Kontraktor Kelas F (untuk Bumiputera) dimansuhkan?

"Jikalau MCA berhasrat untuk berbuat demikian, beliau seharusnya mengemukakan cadangan tersebut melalui Presiden MCA atau Menteri-Menteri MCA yang berada dalam Kabinet.

"Jangan lemparkan kritikan yang tidak berasas terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang yang melaksanakan tender terbuka serta menjaga kepentingan kontraktor-kontraktor Kelas F yang kurang kemampuan mereka dari segi modal berbayar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ng yang juga Adun Komtar turut mempersoalkan Tan dan MCA sama ada mereka mahu menentang UMNO dan menolak peruntukan undang-undang yang ada kerana mahu memansuhkan hak kontraktor-kontraktor kelas F demi membela kepentingan kontraktor-kontraktor bukan Bumiputera.

Beliau menambah tuduhan MCA itu membuktikan lidah pemimpin-pemimpin BN bercabang dua.

Tender tebuka untuk semua yang layak

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menjelaskan buat kesekian kalinya bahawa hanya usahawan yang cekap, mahir dan layak sahaja akan mendapat kontrak melalui tender terbuka di negeri itu tanpa mengira kaum dan kabel politik mereka.

Katanya, dalam keadaan di mana semua kontrator Bumupitera termasuk India Muslim mendapat kontrak, ia membuktikan mereka semuanya layak dan berkemampuan melaksanakan tugas.

"Tidak ada orang Cina atau Melayu akan marah dengan kerajaan negeri kerana memberi pulang yang adil kepada semua kontraktor," tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan dan Adun Air Putih.

Menurutnya, dakwaan Tan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Wanita MCA kononnya DAP meminggirkan kaum Cina kerana memberi kontrak JPS kepada kontraktor Melayu dan India Muslim adalah tidak matang dan berfahaman sempit.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata sikap MCA itu sama seperti cara politik UMNO yang menuduh kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang mengabaikan nasib orang Melayu di negeri itu.

"Jika kerajaan negeri membantu masyarakat Melayu, MCA akan tuduh kita meminggirkan masyarakat bukan Melayu. Sekiranya kita bantu masyarakat bukan Melayu, UMNO pula dakwa kita meminggirkan masyarakat Melayu.

"Sekiranya pemikiran dan sikap begini masih lagi menjadi ikutan dan amalan, maka pembentukan sebuah masyarakat majmuk yang hidup harmoni, tanpa prejudis tidak akan tercapai," tambah beliau.

Siapa anti-siapa?

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula berkata sepatutnya MCA dan UMNO sama-sama bertanya kepada diri mereka: "Siapa yang anti-siapa di Pulau Pinang?"

"Jika MCA menuduh DAP anti-Cina, mengapa MCA berdiam diri apabila UMNO dan Perkasa menuduh Lim Guan Eng dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang anti-Melayu?" katanya yang juga Ahli Parlimen Tanjung dan Adun Padang Kota.

Mengikut lojik tidak masuk akal UMNO-MCA itu, jika MCA menuduh DAP anti-Cina kerana kontrak dimenangi oleh Bumiputera untuk kelas kontraktor Bumiputera, MCA sepatutnya membuat tuduhan yang sama terhadap UMNO di peringkat nasional dan semua negeri yang diperintah oleh UMNO.

Sebagaimana kata Ng, rakyat kini sudah bosan dengan tipu helah pemimpin-pemimpin BN yang lidah bercabang dua dan cakap tak serupa bikin.

"Rakyat akan terus memberi sokongan yang padu terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang yang berjiwa rakyat serta adil dan telus dalam melaksanakan tender secara terbuka, dan bukannya MCA atau UMNO yang ketagih memainkan sentimen perkauman," tambah beliau.

Tiada ulasan: