Khamis, 21 Julai 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Mahkamah Tangguh Rayuan Gugur Kes Adun Sri Muda

Posted: 21 Jul 2011 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 21 JULAI : Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menangguhkan rayuan kes Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafie  11 Ogos depan bagi membolehkan Shuhaimi dan peguam beliau memilih satu daripada dua rayuan yang dikemukakan.

Rayuan yang dibuat oleh Shuhaimi pada hari ini adalah untuk menggugurkan kes ke atas beliau manakala satu lagi ialah pertikaian mengenai akta hasutan yang difailkan ke atasnya bersabit penulisan dalam blog yang didakwa menghina Sultan Selangor tahun lalu.

Hakim Nor Azian Shaari meminta peguam yang mewakili shuhaimi melampirkan salah satu daripada rayuan yang ingin dikemukakan pada 26 Julai ini.

Peguam Shuhaimi, Edmund Bon hari ini memberitahu mahkamah pihaknya memohon supaya kes yang difailkan ke atas Shuhaimi digugurkan selain menyifatkan seksyen yang dikenakan ke atas anak guamnya di bawah Akta Hasutan bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Pengistiharaan bahawa Akta Hasutan seksyen 4 (1) adalah bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan," kata beliau.

Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada manifestasi prinsip kebebasan bersuara yang dijamin dalam sebuah negara berpelembagaan.

Oleh itu, Hakim Nor Azian meminta peguam Shuhaimi berbincang dengan anak guamnya untuk menetapkan salah satu daripada rayuan untuk dipertimbangkan.

Shuhaimi yang ditemui TvSelangor berharap, kes ini berkesudahan dengan baik.

"Apa pun langkah yang diambil, saya serahkan semuanya ini kepada peguam, saya yakin akhirnya nanti kes ini digugurkan," kata beliau ketika ditemui di luar mahkamah.

Terdahulu pada 19 Julai, Mahkamah Sesyen Shah Alam memutuskan untuk menangguhkan kes kepada 8 ogos depan sementara menunggu keputusan rayuan kes di Mahkamah Tinggi.

Shuhaimi dihadapkan ke mahkamah berhubung artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959" tahun lalu.

Artikel bertarikh 30 Disember 2010 yang ditulis Shuhaimi  mendapat kecamanan hebat dari musuh politik yang dilihat cuba mengambil kesempatan dengan memanipulasi penulisan beliau selain membuat beberapa laporan polis kononnya Adun PKR itu menghina Sultan Selangor.

Siri serangan terhadap Shuhaimi terus dipergiat apabila pihak tidak bertanggungjawab bertindak menyimbah cat merah dipintu Pejabat Adun Sri Muda di Kota Kemuning Shah Alam.

Shuhaimi dituduh mengikut seksyen 4 (1) Akta Hasutan ekoran penulisannya itu dikaitkan dengan kontroversi pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Khusrin Munawi.

Manakala pihak pendakwaan pula dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof.


Sumber: TVSNEWS

Ditahan Dibawah Ordinan Darurat Penganiayaan Kepada PSM 6

Posted: 19 Jul 2011 08:50 AM PDT

Bukit Aman, 19 Julai 2011 - Keenam-enam aktivis PSM (Parti Sosialis Malaysia) masih lagi ditahan pihak berkuasa di bawah Ordinan Darurat 1969.

Mereka yang ditahan ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D. Michael Jeyakumar, 56, Sukumaran a/l Munisamy, 50, Letchumanan a/l Aseer Patham, 49, Choo Chon Kai, 33, Sarasvathy a/p Muthu, 58, dan Sarat Babu a/l Raman, 25.

Dibawah Ordinan Darurat mereka boleh ditahan selama 60 hari tanpa sebarang perbicaraan.

Perhimpunan aman candlelight vigil masih lagi diteruskan dan pada malam ini YB Dr Xavier Jayakumar mengutuk dan mendesak kerajaan supaya membebaskan kesemua tahanan dengan segera.

Turut hadir dan menjelaskan kezaliman penahan tanpa bicara adalah bapa saudara kepada Dr Michael Jeyakumar Devaraj, Encik Victor Oorjitham yang juga merupakan peguam yang telah bersara.

Lebih seratus hadir menyalakan lilin tanda protes penahanan dan juga sebagai sokongan kepada mereka yang ditahan.







Laporan Polis Desak Pembebasan PSM 6

Posted: 17 Jul 2011 03:00 AM PDT

Klang, 17 Julai 2011 - YB Dr Xavier Jayakumar hari ini membuat laporan polis mendesak pembebasan enam aktivis PSM (Parti Sosialis Malaysia) yang ditahan dibawah Ordinan Darurat.

Laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Klang Selatan. Hadir bersama-sama YB Dr Xavier adalah Encik P. Sundarajoo, Ahli Majlis Perbandaran Klang, Encik Sadek Bin Wali, Ketua Kampung Teluk Menegon, Encik Vicknesvaran Krishnan, wakil PIKOM serta Encik Syed Ahmad Putra, Setiausaha DUN Seri Andalas.

Ordinan Darurat hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kedua-duanya membolehkan polis menahan suspek sehingga 60 hari tanpa didakwa.

Mereka yang ditahan ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D. Michael Jeyakumar, 56, Sukumaran a/l Munisamy, 50, Letchumanan a/l Aseer Patham, 49, Choo Chon Kai, 33, Sarasvathy a/p Muthu, 58, dan Sarat Babu a/l Raman, 25.

Candlelight Vigil PSM 6 di Bukit Bintang

Posted: 16 Jul 2011 08:50 AM PDT

Bukit Bintang, 16 Julai 2011 - Sekurang-kurangnya 200 orang berhimpun secara aman pada candlelight vigil yang diadakan demi enam aktivis PSM yang ditahan dibawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 di Bukit Bintang.

Perhimpunan aman tersebut telah menarik perhatian orang ramai yang berada di sekitar Bukit Bintang untuk turut bersama-sama mendengar berita terkini mengenai mereka yang ditahan.

Salah seorang pemimpin yang melawat Dr Michael Jayakumar Devaraj iaitu YB Sivarasa menyampaikan berita tentang keadaan YB Ahli Parlimen Sungai Siput tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan sempat memberi sedikit penerangan serta soal jawab mengenai Ordinan Darurat dan ISA kepada orang ramai. Arutchelvan berkata seramai 1,500 pernah ditahan dibawah ordinan tersebut.







Berhujan Demi Tahanan Enam Aktivis PSM

Posted: 15 Jul 2011 08:50 AM PDT

Bukit Aman, 15 Julai 2011 - Walaupun terpaksa mengharungi hujan, orang ramai tetap meneruskan candlelight vigil demi enam aktivis PSM (Parti Sosialis Malaysia) yang ditahan.

Mereka yang menghadiri perhimpunan terdiri daripada ahli PSM, ahli keluarga aktivis-aktivis yang ditahan, para penyokong serta para pemimpin masyarakat.

Pada perhimpunan malam ini lebih ramai ahli keluarga yang hadir, ini disebabkan ahli keluarga telah dibenarkan berjumpa dengan mereka yang ditahan. Ibu Dr Michael Jeyakumar Devaraj turut sempat melawat beliau pagi ini.

Kesediaan para hadirin mengharungi hujan yang menyebabkan mereka basah dan kesejukan menunjukkan semangat yang tidak luntur dalam menuntut kebenaran dan keadilan demi mereka yang ditahan.

Dr Michael Jeyakumar Devaraj dan lima lagi; Sukumaran a/l Munisamy, Letchumanan a/l Aseer Patham, Choo Chon Kai, Sarasvathy a/p Muthu, dan Sarat Babu a/l Raman ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969.

Esok, candlelight vigil dijadualkan diadakan di Bukit Bintang.




Tiada ulasan: