The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Posted: 09 Jul 2011 05:31 AM PDT Apakah yang ditakutkan sangat kepada tuntutan BERSIH sehingga ada yang dituduh bahawa BERSIH mengancam keselamatan Negara, sehingga ada yang dituduh menjadi komunis, sehingga ada yang dituduh menjadi dalang kepada kuasa asing, sehingga dituduh bahawa ia menjadi alat oleh parti-parti pembangkang, sehingga dituduh bahawa ada agenda yang terselindung? BERSIH adalah gabungan dari badan-badan NGO yang kesemuanya berdaftar dibawah Pendaftar Pertubuhan dan kesemuanya adalah badan bukan Kerajaan yang halal dan sah disisi undang-undang dan kesemuanya didaftarkan mengikut kehendak Perlembagaan Malaysia. Badan-badan NGO ini telah membuat kajian yang teliti dan mendapati bahawa perjalanan Pilihanraya di Negara ini boleh diperbaiki jika pihak SPR dapat memperbaiki sistem dan prosedur Pilihanraya yang Pilihanraya menjadi adil, telus, bersih dan lebih demokratik. Pemerhatian mereka bahawa senarai pengundi-pengundi mengandungi senarai yang diragukan dan mereka telah menunjukkan bukti-bukti yang jelas. Undi pos yang dijalankan terbukti melanggar prinsip-prinsip demokrasi apabila berlaku bahawa hanya seorang berdua sahaja daripada pegawai-pegawai tentera yang mengundikan untuk pengundi-pengundi tentera dan tidak ada seorang pun polling agent ditempatkan di tempat mengundi tersebut, dan ada juga bukti-bukti bahawa sesetengah pengundi pos mempunyai ruang mengundi lebih dari sekali kerana disamping nama mereka disenaraikan sebagai pengundi pos, mereka juga tersenarai di senarai bukan pengundi pos, khususnya kepada mereka yang sudah bersara dari tentera, dan siapakah yang mengundikan bagi mereka untuk undi pos tersebut? Untuk mengelakkan seseorang pengundi itu daripada mengundi lebih dari satu kali dan lebih dari satu kawasan mengundi, maka amat perlu ada mekanisme yang menetapkan mereka hanya keluar mengundi sekali sahaja. Semasa pilihanraya, media nasional semuanya dikuasai oleh UMNO dan Barisan Nasional sehingga digambarkan seolah-olah hanya UMNO dan BN sahaja yang bertanding, kalau pun ada berita tentang parti-parti pembangkang, semuanya berita yang negatif terhadap mereka. Oleh kerana UMNO/BN dapat menggunakan segala kemudahan kerajaan dan media, maka mereka tidak perlu kepada tempoh masa berkempen yang panjang, tetapi untuk parti-parti pembangkang yang dinafikan hak kemudahan tersebut, jangka masa 8 hingga 10 hari untuk berkempen adalah terlalu singkat. Jelas didalam semua Pilihanraya sebelum ini pihak Parti yang memerintah (UMNO/BN) telah menyalahgunakan institusi awam untuk faedah mereka, dan segala peruntukan awam disalahgunakan untuk tujuan kempen UMNO/BN sedangkan kemudahan itu adalah kemudahan rakyat yang sepatutnya menjadi haram digunakan oleh parti yang memerintah. Rasuah politik semasa Pilihanraya amat ketara sekali. Rasuah itu bukan sahaja berbentuk pemberian wang ringgit kepada pengundi-pengundi tetapi janji pemberian projek-projek jika rakyat mengundi parti yang memerintah dan janji-janji itu melibatkan kemudahan dan pembiayaan dari institusi awam serta kementerian-kementerian. Politik ugut, fitnah, dan menakut-nakutkan adalah permainan biasa bagi UMNO/BN, dan kesemua taktik ini adalah bertentangan dengan perjalanan demokrasi yang tulen dan dengan politik kotor inilah UMNO/BN meraih undi. Maka, badan-badan NGO yang sedar dan insaf ini merasakan bahawa Pilihanraya mestilah dijalankan mengikut sistem yang profesional, adil, telus dan demokratik dan untuk itu mereka menuntut suatu pembaharuan kepada sistem Pilihanraya agar semua pihak yang menyertai Pilihanraya itu boleh "bermain diatas padang yang sama dan peraturan yang sama". Untuk itu, mereka menubuhkan BERSIH yang memperjuangkan 8 perkara untuk diterima-pakai oleh Suruhanjaya Pilihanraya iaitu: 1. Pembersihan senarai undi; 2. reformasi undi pos; 3. penggunaan dakwat kekal; 4. akses media yang bebas dan adil; 5. temph berkempen minima 21 hari; 6. kukuhkan institusi awam; 7. hentikan rasuah; 8. hentikan politik kotor. Adakah tuntutan ini bertentangan dengan dasar pilihanraya yang adil? Adakah tuntutan ini mengancam keselamat negara? Adakah tuntutan ini bertentangan dengan demokrasi? Maka, hanya mereka yang tidak mahu melihat demokrasi telus dan bersih sahaja yang tidak mahu melihat pembaharuan pilihanraya di Negara ini. Hanya mereka yang berfikiran sempit dan kolot sahaja yang menentang tuntutan ini. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan