Isnin, 6 Jun 2011

Zulkifli Noordin

Zulkifli Noordin


AKHIRNYA ISLAM PERGI JUA!

Posted: 05 Jun 2011 09:18 PM PDT

(Menziarahi perkuburan syuhada Memali baru-baru ini yang usang & terbiar)

(Assyahid Ustadz Ibrahim Libya syahid kerana memperjuangkan Negara Islam)

Salam 2 all.

Kenyataan Joceline Tan dalam analisanya di akhbar The Star hari ini mengenai kesan pemilihan PAS merumuskan secara tepat apa yang berlaku bila beliau berkata, "the PAS polls shows how hungry the party is to win the general election, so hungry that they are prepared to compromise on their party's "Leadership by the Ulama" policy - pemilihan PAS menunjukkan betapa kebulurnya parti itu untuk memenangi pilihanraya umum, kebuluran yang menyebabkan mereka bersedia berkompromi dengan dasar "kepimpinan ulama'" parti tersebut!".

Deklarasi YB Tuan Guru Haji Hadi bahawa PAS akan mengetepikan perjuangan penubuhan "Negara Islam" dan mengubahnya kepada slogan "Negara Kebajikan" adalah bukti jelas kenyataan diatas. Kesanggupan beliau menyatakan "konsep Negara Islam" tidak ada dalam Al Quran bagi menghalalkan perubahan dasar itu membuktikan kesanggupan Neo-PAS melakukan apa sahaja untuk memenuhi impian ke takhta Putrajaya. Ini adalah kenyataan daripada seseorang yang 30 tahun lepas sanggup mengisytiharkan UMNO sebagai kafir kerana tidak mahu melaksanakan hudud, qisas & ta'zir dan menolak penubuhan "Negara Islam". Sebab itu ada hadis Melayu menyebut "kalau nak meludah jangan ke langit, kerana kelak akan terkena muka sendiri!".

Melaksanakan "negara Islam" bermakna melaksanakan juga konsep kebajikan, sebab didalam Islam ada ciri kebajikan. Tetapi melaksanakan "negara kebajikan" belum tentu melaksanakan negara Islam, sebab bukan semua kebajikan itu Islamik. Abu Talib adalah antara manusia paling hebat membuat kebajikan; beliau membela, membesarkan, melindungi dan mempertahankan Rasulullah saw, tetapi beliau tetap kafir. Negara New Zealand dan Sweden adalah antara negara yang dikenali sebagai "welfare state", "negara kebajikan", tetapi mereka tetap negara kafir. Menukar slogan daripada "Negara Islam" kepada "Negara Kebajikan" adalah sekadar retorik politik, tetapi malangnya Al Quran dijadikan sandaran kepada retorik ini!!!

Teman sebenarnya bersimpati dengan Tuan Guru Haji Hadi. Teman sangat menghormati beliau sebagai seorang agamawan yang tegas walaupun tidak banyak bercakap. Namun beliau kini tersepit diantara 'impian ke syurga' dengan 'kilauan Putrajaya'. Kenyataan beliau bahawa pemilihan kepimpinan PAS yang baru adalah "kabinet perang pilihanraya" beliau mengundang satu persoalan besar: perang untuk siapa?

Adakah Tuan Guru Haji Hadi terlupa ada diantara kaum Anwarinas yang dimahkotakan perwakilian baru-baru ini pernah secara terbuka mencabar beliau supaya meletak jawatan. Juak-juak mereka diluar sana juga tidak kurang pernah menghina Tuan Guru Haji Hadi secara terbuka dengan mendesak beliau meletak jawatan Presiden. Malah mereka berkata Tuan Guru Haji Hadi adalah "penghalang besar" mereka ke Putrajaya! Teman tidak terkejut jika konspirasi halus akan dibuat untuk menekan Tuan Guru Haji Hadi samada meletak jawatan, atau "ISA-Ikut Saja Anwarinas"!

Dan itulah yang telah Tuan Guru Haji Hadi lakukan. Tindakan pertama beliau sebagai Presiden bagi kaum Anwarinas membuktikannya; kenyataan beliau secara terbuka semasa ucapan penangguhan menolak videoklip yang didakwa membabitkan Anwar, atas alasan tidak ada 4 saksi, adalah bukti jelas betapa tersepitnya beliau. Kenyataan beliau ini sebenarnya memperlekehkan hukum dan undang-undang Islam; seolah-olah Islam tidak menerima kemajuan sains dan teknologi. Seolah-olah hukum Islam ini statik dan jumud, tidak mengikuti perkembangan masa! Adakah wanita yang mengadu dirogol wajib membawa empat orang saksi; tidak cukupkah DNA, videoklip, cctv, kajian forensik dan lain-lain untuk mensabitkan kesalahan serangan seksual itu?

Sebenarnya teman yakin Tuan Guru Haji Hadi tahu, jauh dihati kecilnya siapa pelaku dalam videoklip itu. Bak kata beberapa ulama' PAS yang pernah menonton, "sukar untuk nak kata itu bukan Anwar!!!". Tuan Guru Haji Hadi tahu isunya bukan qazaf, bukan zina; tetapi kelayakan untuk memimpin, untuk menjadi pemimpin. Dan Tuan Guru Haji Hadi tahu videoklip itu membuktikan manusia yang ditabal isterinya sendiri tidak layak menjadi pemimpin. Tetapi sayang, Tuan Guru Haji Hadi tersepit kelemasan dalam gelombang kemunculan kaum Anwarinas!

Pemilihan kali ini menyaksikan kaum Anwarinas berjaya menguasai saf kepimpinan PAS. Sebagaimana idola mereka, kaum Anwarinas ini adalah kaum yang sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi nafsu politik mereka. Dan yang lebih merbahaya, ini adalah kaum yang akan bersedia menggunakan Al Quran & sunnah untuk menghalalkan apa sahaja yang akan mereka lakukan, sebiji sebagaimana yang dibuat oleh Attarturk semasa menghalalkan tindakan menghancurkan Islam dengan menggunakan Islam. Sebab itu tidak layak mereka diberi label "Erdogan", kerana prinsip dan perjuangan Reccep Tayyib Erdogan jauh berbeza dengan mereka. Lebih layak mereka diberi label "Attarturk", atau lebih afdhal "kaum Anwarinas", kerana qiblat mereka ialah manusia yang ditabal bininya sebagai anugerah tuhan, bukannya Tuan Guru Haji Hadi!

Kaum Anwarinas mendakwa mereka sangat menghormati ulama'. Malah mereka menegaskan akan memperkasakan 'ulama didalam PAS. Ternyata ini sekadar retorik politik dan pemanis mulut sahaja! Inilah kaum yang pernah menuntut Tuan Guru Haji Hadi meletakkan jawatan. Beberapa hari sebelum pemilihan, juak mereka menghina Tuan Guru Haji Hadi dengan mendesak beliau mengosongkan jawatan Presiden. Nasihat para 'ulama saperti Timbalan Mursyidul 'Am (Dato' Dr. Haron Din) dan Ketua Dewan 'Ulama (Datuk Harun Taib) agar kepimpinan ulama' sedia ada dikekalkan mereka tolak macam sampah. Hari ini mereka pootar-poosing mendakwa sangat menghormati dan akan memperkasakan 'ulama.

Umat Islam dan rakyat negara ini perlu bersedia berhadapan dengan satu fenomena baru politik machiavelli yang akan dibawa oleh kaum Anwarinas ini. Ini adalah kaum yang mana prinsip utamanya ialah "matlamat menghalalkan cara". Kalau kalimah ALLAH swt pun mereka sanggup gadai-jual demi politiking yang melampau, maka politiking kaum ini memang tidak ada sebarang batasan. Kalau anak isteri mereka boleh jadikan bahan gadaian politik dengan "bai'ah talaq tiga", umat dan rakyat boleh bayangkan apa yang mereka boleh dan sanggup lakukan demi sedikit mahkota kekuasaan!

Ingatlah, inilah kaum yang dahulu pernah melabel Anwar Ibrahim dengan gelaran "Al-Juburi". Inilah kaum yang pernah melabel Anwar sebagai "kafir", termasuk diatas mimbar Jumaat. Inilah kaum yang pernah melabel syiah sebagai "kafir". Inilah kaum yang pernah mengisytiharkan berkawan dengan kafir itu kafir - arridho bil kufr, kufr bentak mereka. Tapi hari ini, kaum ini juga menjadi penjilat Anwar nombor wahid! Inilah kaum yang hari ini menjadikan syiah sebagai rakan sekutu. Inilah kaum yang hari ini yang sanggup tidur sebantal dengan kafir harbi biaDAP! Inilah kaum yang hari ini melabel Sahibus Samahah Mufti Perak dengan gelaran "haramsani". Inilah kaum yang hari ini mengatakan "negara Islam" tidak ada dalam Al Quran!!! Kaum Anwarinas ini adalah kaum yang bersedia melakukan apa sahaja; politik mereka tanpa batas tiada sempadan; semuanya halal bila boleh memuaskan nafsu serakah mereka!

Teman dapat melihat bahawa politik negara ini akan menjadi haru biru. Kaum Anwarinas ini, samada dalam PAS, PKR atau DAP, samada dalam parti atau luar parti, adalah pengamal politik songsang, politik luar tabi'e. Mereka akan sanggup lakukan apa sahaja, malah termasuk melanggar undang-undang dan keharmonian negara. Teman tidak akan terkejut kalau budaya "politik jalanan" akan bercambah segar. Teman cukup yakin kaum ini akan menggunakan pendekatan "politik rimba" dalam mencapai impian mereka. Demonstrasi, rusuhan, perhimpunan haram besar-besaran, rapat umum dan segala macam politik rimba akan diterjemahkan sebagai "politiking yang halal". Caci maki, sumpah seranah, maki hamun, fitnah memfitnah, pembohongan, label-melabel akan menjadi satu norma dan kebiasaan mereka.

Bagi umat Islam bangsa Melayu, kemunculan kaum Anwarinas ini adalah mimpi ngeri bagi umat Islam. Kalau kalimah ALLAH mereka fatwakan halal untuk Kristian gunakan dalam bentuk syirik; boleh bayang apa yang mereka boleh buat. Teman tidak terkejut kalau mereka menghapuskan hak dan keistimewaan Islam dan Melayu. Sebab itu teman tidak terkejut salah seorang daripada kaum Anwarinas baru-baru ini membuat kenyataan bahawa jika memerintah, mereka bersedia melantik Panglima Angkatan Tentera, (dan mungkin termasuk Ketua Polis Negara) dari kalangan bukan Islam, walaupun hakikatnya bukan Islam tak berapa kerat sahaja dalam Angkatan Tentera dan Pasukan Polis DiRaja Malaysia. Semuanya demi mendapat sokongan dan undi daripada bukan Islam, jual gadai apa sahaja yop!

Kepada kaum bukan Islam/ Melayu, teman berpesan supaya jangan terpedaya dengan kaum Anwarinas ini. Kalau tuhan dan agama mereka pun mereka sanggup jual dan bergolok gadai, jangan kamu ingat mereka tidak bersedia buat apa sahaja nanti terhadap kamu. Mungkin kamu akan mendapat keuntungan jangka pendek dengan menyokong mereka, tetapi teman cukup yakin kamu sendiri yang akan menyesal dari segi jangka panjang. Ini adalah kaum yang paling tak boleh dipercayai. Jangan kamu lupa pembohongan 16 Sept!

Kepada para ulama', 'ilmuan, ustadz dan da'ie didalam PAS, bangkitlah mencegah kemungkaran besar yang akan berlaku. Masa masih belum terlambat. Dalam masa terdekat ini, beberapa langkah tegas dan jelas perlu diambil iaitu:

1. pastikan pemilihan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik hendaklah daripada kalangan 'ulama dan 'ilmuan. Sekurang-kurangnya tambahan 6 anggota baru yang dilantik dikalangan ulama' akan dapat mengimbangi kaum Anwarinas ini;

2. kedua, pastikan perlantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri seramai 14 orang itu adalah dikalangan para 'ulama dan 'ilmuan. Kehadiran mereka dalam mana-mana mesyuarat AJK PAS Pusat akan memberi sokongan moral kepada para ulama' dan 'ilmuan;

3. ketiga, pastikan perlantikan Ahli Mesyuarat Dewan Harian iaitu Setiausaha Agong, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihanraya adalah dikalangan para ulama' dan 'ilmuan Islam yang takut dan bertaqwa kepada ALLAH; bukan penyembah manusia;

4. keempat, eloklah jawatan Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan Ahli Majlis Syura' dilantik dikalangan para 'ulama dan 'ilmuan yang tidak partisan atau memegang sebarang jawatan politik kepartian. Ini akan menjadikan Majlis Syura' lebih berwibawa dan dihormati;

5. Dewan 'Ulama dan Dewan Pemuda PAS kini menjadi benteng terakhir kepimpinan 'ulama dan pembawa obor dasar perjuangan menegakkan sebuah negara Islam. Maka usaha memperkukuh kedua-dua Dewan 'Ulama dan Dewan Pemuda perlu disegerakan dan dimantapkan.

Manakala bagi langkah panjang, para 'ulama, 'ilmuan, da'ie dan pejuang Islam hendaklah melakukan perkara-perkara berikut:

1. kumpulan usrah wajib diujudkan, dan hendaklah dilantik para naqib dikalangan ulama' dan 'ilmuan untuk memimpin kumpulan usrah;

2. 'amalan usrah hendaklah diwajibkan dikalangan ahli. Pastikan tiap ahli wajib menghadiri dan menjadi ahli usrah. Mana-mana ahli yang tidak mendapat pengesahan Naqib sebagai ahli usrah tidak boleh menjadi perwakilan didalam mana-mana muktamar atau tamrin, atau menjadf calun dalam mana-mana pilihanraya;

3. tarbiyyah wajib menjadi asas keahlian; semua ahli PAS wajib menjalani tarbiyyah Islam, dimana modul nukilan Assyahid Syeikh Hassan Al Banna boleh dijadikan panduan;

4. 'amalan zikir dan tareqat perlu diperkenalkan kepada tiap ahli PAS; dan Al Ma'thurat wajar dijadikan 'amalan harian bagi tiap ahli;

5. para ulama', ustadz, dai'e dan pendakwah wajib kembali ke markas-markas untuk berdak'wah dan membina semula budaya 'ilmu dikalangan ahli dan menterjemahkan kepimpinan 'ulama ke alam realiti ahli-ahli. Apa yang berlaku sekarang budaya "out-reach" ini agak kekurangan dikalangan para 'ulama dan para pendakwah. Ujud jarak yang serius dengan para ahli; sedangkan kaum Anwarinas dan yang sewaktu dengan mereka siang malam pagi petang terus menjalankan aktiviti "out-reach" mereka.

Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh dilakukan oleh para 'ulama, 'ilmuan dan pendakwah didalam PAS. Satu perkara yang sangat ketara, para 'ulama perlu bersuara dalam isu-isu semasa, dan suara mereka mestilah berdasarkan Al Quran dan Sunnah, bukan mengikut rentak arus politik kepartian. 'Ulama sepatutnya menjadi pembentuk pemikiran dan akhlak ummah; bukannya menjadi pengangguk kepada kehendak semasa. Umat hari ini memerlukan bimbingan, bawalah mereka kearah haq dan kebenaran walaupun berhadapan dengan rintangan dan risiko cabaran; selagi ianya bersandarkan Al Quran & Sunnah.

Kemunculan dan kejayaan kaum Anwarinas didalam pemilihan PAS baru-baru ini telah mengubah landskap politik PAS; daripada menjadikan politik sebagai alat, Islam sebagai matlamat; kini ia berubah menjadi Islam sebagai alat, kuasa politik sebagai matlamat! Tranformasi PAS daripada parti politik berteraskan Islam kepada sekularisma semakin jelas. Perubahan slogan daripada "Negara Islam" kepada "Negara Kebajikan" atas dasar "Negara Islam" tidak ada didalam Al Quran sekadar menguatkan persepsi bahawa ini semua adalah sekadar retorik politik machiavelli. Semoga para 'ulama akan bangkit semula membawa obor perjuangan Islam, semoga Al Quran & Sunnah kembali menjadi dasar haq dan benar didalam PAS. Kalau tidak, amanat dahulu yang mengisytiharkan sesiapa yang menolak negara Islam adalah kafir akan terpalit dan boomerang kembali kepada PAS! Akhirnya perjuangan mendaulatkan sebuah negara Islam pergi jua meninggalkan PAS! Apalah agaknya kata Assyahid Ustadz Ibrahim Libya jika Allahyarham mendapat tahu PAS tidak lagi mahu memperjuangkan penubuhan sebuah Negara Islam, sedangkan Almarhum membayar dengan nyawa untuk perjuangan itu!

Semoga ALLAH memberikan keampunan, petunjuk dan hidayah kepada semua mereka yang masih memiliki sekelumit keimanan. Semoga ALLAH masih mahu melimpahkan sifat ihsan dan rahimNya kepada kita semua. Yang baik datang dari ALLAH, yang tidak kelemahan teman sendiri. Semoga ALLAH menjauhkan teman dari sebarang perasaan dengki, 'ujub dan takbur; dan moga ALLAH menjadikan tulisan teman ini sebahagian daripada 'ibadah.

Wallahua'lam dan wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
04 Rejab 1432
06 Jun 2011

Tiada ulasan: