Rabu, 29 Jun 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Cerita-cerita lawak Bersih 01

Posted: 29 Jun 2011 05:01 PM PDT

Sekatan jalanraya dilakukan oleh Polis disemua jalanraya, Highway atau jalan Negeri dan kampong.

Disemua pintu keluar menghala ke Kuala Lumpur dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan didalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sendiri, sekatan dan halangan dibuat.

Pada malam sebelumnya ramai yang sudah ditahan sebagai tindakan preemptif. Namun, BERSIH 01 mencapai matalamat kehadiran yang begitu besar.

Saya dan keluarga sampai di Kuala Lumpur sehari sebelum BERSIH 01 dan menginap di rumah anak saya di Kg Pandan. Saya dan anak saya Mohd Syukri menaikki LRT ke Masjid Jameq untuk bersama ribuan manusia yang ada disana.

Apabila pihak Polis mula mengganas dengan pancutan air racun dan gas pemedih mata yang ditujukan kedalam Masjid, saya jatuh pengsan kerana bomb gas itu betul-betul jatuh didepan saya dan apabila terhidu gas itu saya tidak boleh bernafas. Saya jatuh. Menurut rakan-rakan yang membantu saya semasa pengsan mereka sempat sambar saya semasa saya jatuh itu dan jika tidak kepala saya akan terhantuk ke tembok simen dan perkara yang tidak diingini mungkin berlaku kepada saya.

Menurut mereka saya telah diangkat ke tempat wudhuk dan disana saya disiramkan dengan air sehinggalah saya sedarkan diri semula.

Apabila saya sedar semula saya bersama-sama anak saya cuba melepaskan diri dari kepungan polis dan disana bertemu dengan rakan-rakan dari Temerloh yang dipimpiin oleh Sdr Nizam Hamid. Kami pergi ke kedai Mamak dan mengambil makanan, disana kami dapat bertemu dengan ramai lagi mereka yang datang dari Pahang dari PKR dan PAS.

Kemudiannya kami mengelamun ke kawasan berdekatan dimana kami bertembung dengan sepasukan FRU yang sedang beratur, disana kami bertemu dengan Yassin Salleh.

Oleh kerana semua jalan tersekat kami berehat di sebuah pondok bas. Disana terserempak dengan 2 orang yang berpakaian kemas. Sombong lakunya mereka. Tak mahu senyum dan tak mahu berbual-bual walaupun mereka disapa.

Kedua-duanya memegang bungkusan yang dibalut dengan surat khabar. Tiba-tiba kenderaan membawa makanan untuk anggota polis pun tiba dan pihak polis berjalan menuju kesana untuk mengambil rasyion masing-masing; dan kedua-dua orang di pondok bas yang berpakaian kemas itu juga menuju kesana dan mengambil makanan dari sana.

Mereka tinggalkan bungkusan yang mereka pegang itu. Kami pergi tengok bungkusan itu, rupa-rupanya apa yang dibungkus itu adalah batu-bata.

Ah, inilah kerja mereka. Apakah tujuannya? Mungkin mereka akan hayunkan kepada cermin kedai-kedai yang berdekatan disitu dan apabila cermin itu pecah maka semua media BN yang busuk seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, TV 3 dan TV1 akan mendakyahkan bahawa para pendemo telah bertindak ganas dan memecahkan cermin kedai; dan towkay kedai itu pula akan diinterview memaki hamun para pendemo dan orang ramai taik-pembodek UMNO akan mengatakan akan kejahatan para pendemo.

Saya masih teringat kepada satu demo yang berlangsung di Padang Selangor Club, masa itu saya bertugas sebagai Pegawai Undang-Undang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur telah diisytiharkan kawasan hitam dan kami pegawai-pegawai Dewan Bandaraya kena bertugas 4 jam setiap seorang di Balai Polis Jalan Bandar. Waktu tugasan saya adalah diantara 2 pagi hingga 6 pagi.

Lebihkurang jam 4.00 pagi tiba-tiba riuh rendah Balai itu dengan kehadiran manusia yang berbagai rupa. Ada yang memakai coat dan tie, ada yang pakai baju kemeja lengan panjang yang smart, tapi lebih ramai lagi yang pakai seluar jean dan baju T, dan yang selebihnya berpakaian yang tak senonoh semacam peminta sedekah dan kutu jalan.

Diantaranya bercakap: "Aku baling cermin masjid Negara tu, berderai pecah!"

Ya, inilah agen probokatur yang membuat kejahatan didalam himpunan yang dianjurkan secara aman. Puak-puak inilah yang memecahkan cermin kereta, melemparkan kata-kata kesat terhadap orang ramai, merekalah yang bertindak ganas dan tidak terurus apabila para pendemo berhadapan dengan polis dan FRU, seolah-olah yang melakukan keganasan dan kejahatan itu datangnya dari para pendemo.

Orang-orang ini ada didalam pertubuhan politik, ngo dan lain-lain persatuan dan agenda mereka adalah jelas memporakperandakan organisasi itu dan agar organisasi itu meletakkan agenda ganas didalam gerakkerja mereka.

Mahu kenal mereka? Kalau didalam parti politik, mereka mengambil inisiatif menyimpangkan strategi dan taktik parti; mereka mahu dikenali sebagai golongan yang lebih komited, lebih berani dan sanggup mengambil risiko diluar jangkaan. Kalau agenda demonstrasi itu adalah untuk mengenengahkan isu pembersihan sistem piliihanraya, puak-puak ini akan mengambil agenda menggulingkan kerajaan melalui jalanan dan mereka bersikap ganas, kasar dan tidak mengikut arahan pimpinan.

Saya pernah melihat satu tayangan wayang gambar semasa menjadi pelajar di London dimana puak-puak agen probokatur ini berjaya meresapi sebuah kesatuan sekerja yang akhirnya kesatuan itu hancur walhal peringkat awalnya kesatuan itu merupakan satu kesatuan yang kokoh dan berjaya memperjuangankan kepentingan para pekerja dan kebajikan mereka.

Maka kenalilah agen probokatur ini dikalangan kita, hati-hati dengan mereka, jangan biarkan mereka merosakkan organisasi kita.

Apa dia cerita lawak Bersih 01? Ceritanya begini. Seorang anggota parti dari Pahang disekat di kawasan rehat Lanchang. Polis yang menahan keretanya itu meminta dia membuka bonet keretanya dan diselongkar sebelah dalamnya. Kemudian polis itu bertanya: "Tak ada parang ke?"

Anggota parti itu mengatakan: "Maaf Encik, kena bawa parang ke? Kalau gitu bior kawan balik rumah dulu ambil parang!"

Sekatan jalanraya kali ini lebih menyeluruh dari BERSIH 01. Datanglah ke Kuala Lumpur beberapa hari sebelum BERSIH 2.0 jika tidak mahu tergendala dijalanan.


Demokrasi adalah pilihan terbaik

Posted: 28 Jun 2011 09:57 PM PDT

Kalau saya ditanyakan pelbagai alternatif didalam didalam sistem pemerintahan sesebuah Negara, saya akan menjawab dengan tegas tanpa teragak-agak bahawa pilihan saya adalah Demokrasi.

Didalam Demokrasi itu sudah mengandungi semua elemen kebaikan. Ianya bermaksud kuasa rakyat, kebebasan, hak menentukan kerajaan yang mewakili rakyat, tidak ada elemen paksaan, ugutan, rasuah, salahguna kuasa dan jauh sekali dari elemen-elemen kediktaturan.

Sistem pemerintahan demokrasi sangat berbeza dengan otokrasi, kediktaturan, monarki, ia menolak pemerintahan kukubesi, juga sistem perhambaan oleh manusia keatas manusia.

Banyak Negara feudal mengamalkan sistem kukubesi dibawah pemerintahan beraja. Dibawah sistem itu semua ranting pentadbiran dan pemerintahan tertakluk dibawah pemerintahan yang ditentukan oleh Istana. Baiknya raja itu maka baiklah pemerintahannya. Dan begitulah juga sebaliknya. Rakyat tidak mempunyai apa-apa kuasa atau hak, dan pentadbirannya hanyalah untuk kepuasan Raja yang bertakhta.

Begitu juga sistem kukubesi kediktaturan. Rakyat tidak ada pilihan melainkan akur sahaja dengan kehendak manusia kukubesi itu.

Demokrasi itu akan menjadi layu dan mati jika jika ciri-ciri amalannya diketepikan.

Kelayuan dan kelesuan demokrasi itu akan berlaku jika undang-undang didalam Negara itu ditampalkan dengan halangan-halangan dan rintangan-rintangan; rosaklah demokrasi di negara itu jika hanya pihak yang memerintah memonopoli segala alat Negara seperti Polis, Kehakiman, Pentadbiran dan media.

Demokrasi seumpama itu tidak boleh bertahan lama, dan walaupun demokrasi itu dikatakan wujud, tetapi negara yang mengamalkan segala elemen songsang yang bertentangan dengan demokrasi itu tidaklah lagi boleh dipanggil Negara demokrasi.

Didalam sesebuah Negara demokrasi, pilihanraya semata-mata bukanlah mencerminkan bahawa Negara itu mengamalkan demokrasi. Negara-Negara yang diperintah satu parti pun mengadakan juga Pilihanraya bagi memilih pemimpin-pemimpin Negara, tetapi tidak sama pemilihan itu dengan pemilihan dimana rakyat secara bebas boleh memilih parti dan pemimpin yang mereka mahukan.

Jika semua elemen penipuan berlaku didalam dan kearah pilihanraya berlaku, maka keputusan pilihanraya itu tidak mencerminkan pemilihan yang dibuat oleh rakyat. Justeru kerana itu, dibawah sistem yang mengongkong, seseorang pemimpin diktatur itu boleh dipilih dengan 98% undi, tetapi undi yang diterima itu bukanlah mencerminkan kehendak rakyat.

Demokrasi bukan hanya bererti pilihanraya, walaupun pilihanraya itu merupakan perkara utama untuk melengkapkan sistem demokrasi.

Apa maknanya demokrasi jika senarai pemilih adalah senarai yang kotor, wujud pengundi hantu, wujud pula undi pos yang pemilih-pemilih yang disenaraikan bukan menjadi pengundi tetapi undi dipangkah oleh seorang berdua sahaja, parti yang memerintah menggunakan segala alat dan kemudahan kerajaan, rasuah politik dilakukan oleh parti sepihak sahaja khususnya parti yang boleh menyalahgunakan kuasa, dan badan yang mengendalikan pilihanraya itu adalah badan yang tidak bebas tetapi badan yang mahukan kemenangan untuk parti yang memerintah.
Tidak ada makna demokrasi itu jika semua alat-alat media awam seperti televisyen dan akhbar disalahguna sepenuhnya oleh parti yang memerintah.

Lagi teruk apabila pemimpin-pemimpin pembangkang didalam sistem itu boleh ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah dengan tuduhan-tuduhan yang direka-reka apatah lagi mereka boleh dikurung hingga bertahun-tahun tanpa dibawa ke muka pengadilan.

Tidak ada erti bagi demokrasi jika Parlimen itu digunakan bukan untuk membahaskan isu-isu Negara dan Rakyat tetapi dengan menyalah-gunakan majoriti didalam Parlimen untuk menindas golongan minoriti.

Raja Berperlembagaan bukanlah bertentangan dengan demokrasi jika Raja itu benar-benar berkuasa diatas nasihat rakyat bukan untuk kepentingan raja-raja itu tetapi untuk kepentingan Negara dan rakyat, dan Raja itu tidak memihak kepada mana-mana organisasi politik, dan menjadi Raja yang boleh menaungi semua rakyat tanpa mengira pegangan politik, ugama dan kaum. Raja adalah institusi yang tidak berpolitik.

Apa juga penyelewengan dan salahguna kuasa boleh dikritik dan suasana untuk mengkritik itu mengikut saluran yang dibolehkan oleh demokrasi hendaklah bebas dari sebarang kekangan dan tekanan.

Diantara kritik yang sesuai dengan demokrasi adalah tunjuk perasaan, dan tidak ada maknanya demokrasi itu apabila tunjuk perasaan itu diserang dengan kekuatan alat negara seperti kekangan daripada pihak polis atau pun tentera.

Demokrasi tidak boleh dikekang dengan keganasan daripada alat Negara seperti polis dan tentera tetapi demokrasi kena disuburkan dengan membenarkan berlakunya mana-mana elemennya yang diguriskan dibawah demokrasi.

Alat-alat Negara didalam Negara demokrasi hendaklah bebas dari segi pengaruh parti-parti politik dan alat-alat itu hendaklah bebas dan tidak dikekang oleh parti-parti yang memerintah. Badan-badan yang boleh merosakkan perjalanan demokrasi jika dikekang oleh parti-parti pemerintah termasuklah badan-badan yang diwujudkan oleh Perlembagaan seperti Kehakiman, Pentadbiran, dan Suruhanjaya-Suruhanjaya yang diberi kuasa menjaga kepentingan awam seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Rasuah, Suruhanjaya Pilihanraya dan badan-badan awam seperti Polis, Tentera dan badan-badan berkanun.

Keakuran kita kepada semua elemen-elemen itu menjadikan Demokrasi sebagai satu bentuk pemerintahan yang unik yang boleh dipertahankan oleh semua pihak dan tidak ada pihak yang boleh menyeleweng dan merosakkan pemerintahan yang menjaga kepentingan umum itu.

Tiada ulasan: