Selasa, 28 Jun 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Anita Karim, Setiausaha Wanita PKR Cabang Kuala Krau

Posted: 28 Jun 2011 07:15 PM PDT

Anita adalah seorang AJK Wanita PKR Kuala Krau yang aktif. Pada 24 -26hb Jun lalu, beliau turut menghadiri Kursus Jatidiri di Laman Bestari, Gombak dan mengambil cuti dari perniagaannya.

Sekembali dari kursus itu beliau tidak lagi perlu diberikan arahan untuk bertugas tetapi mengambil inisiatif sendiri.

Beliau berniaga kedai makan beroperasi dari petang hingga tengah malam. Maka program-program parti yang biasa tidaklah dapat beliau luangkan masa untuk hadir kecuali program-program besar yang dijalankan oleh parti.

Namun begitu beliau mengambil inisiatif sendiri diwaktu siang hari menghubungi ranting-ranting khususnya kaum wanita diperingkat ranting dan membawa masuk anggota-anggota baru dan mengedarkan edaran-edaran yang disediakan oleh parti.

Beliau tidak dapat hadir Majlis Dialog yang diadakan pada malam tadi di Kg Gajah Mati tetapi beliau mengambil inisiatif sendiri membekalkan minuman dan makanan yang dihantarkan ke Majlis Dialog itu.

Sesebuah organisasi itu boleh diibarat sebagai sebuah rumah. Ada tiangnya, ada dindingnya, ada lantainya, ada alangnya, ada atapnya, ada pintunya dan ada tingkapnya. Saling lengkap melengkapi antara satu dengan yang lainnya.

Inilah capaian yang perlu ada didalam sesebuah organisasi itu. Dan saya berbangga mempunyai seorang Anita di dalam PKR Cabang Kuala Krau ini.

Ramli Idup - Ketua Penerangan PKR Cabang Kuala Krau

Posted: 28 Jun 2011 06:52 PM PDT

Didalam Majlis Dialog yang diadakan di Kg Gajah Mati malam tadi, telah dipersetujui bahawa sekurang-kurangnya ada 80 orang tenaga kerja Pilihanraya dan PACA bagi mengemudikan PRU-13 untuk DUN Jenderak.

Tenaga-tenaga dari DUN Jenderak yang baru pulang dari Kursus Jatidiri di Laman Bestari, Gombak benar-benar menunjukkan kesungguhan masing-masing mempraktikkan apa yang mereka terima dari kursus itu.

Mereka telah menjayakan Majlis Dialog di Kg Gajah Mati itu dan dengan dialog itu seramai 20 orang anggota-anggota parti dapat dimasukkan kedalam parti. Mereka perlu mencukupkan 10 orang lagi untuk penubuhan ranting baru.

Mereka yakin bahawa kelayakan menubuhkan ranting itu akan tercapai sebelum 15hb Julai ini.

Ramli Idup, Ketua Penerangan PKR Cabang Kuala Krau, cukup bersemangat. Pagi-pagi lagi pada hari ini beliau telah sampai ke Matau, disana bertemu dengan Ketua Ranting PKR Matau, dan beliau mahu rekrut minima 20 orang tenaga kerja Pilihanraya untuk DUN Jenderak dari sana.

Sehabis bertugas disana beliau akan ke Kg Gong Halt. Kampong ini adalah kampong yang memberikan kemenangan kepada calon PKR didalam PRU 2008 dulu.

Ketua-ketua Ranting ditugaskan untuk mendapatkan paling minima 5 orang petugas-petugas dan PACA dari setiap kampong. Walaupun target PKR DUN Jenderak hanya sekadar 80 orang sahaja, tetapi dengan gerakan seumpama ini, senang-senang boleh direkrut paling tidak 120 orang petugas-petugas.

Disetiap ranting akan ditubuhkan Jawatankuasa Pilihanraya dengan perlantikan seorang Pengarah Pilihanraya, Ketua Logistik, Ketua Pengangkutan, Ketua Bilik Gerakan, Ketua Bekalan Makanan, Ketua Kempen/termasuk gerak kerja rumah ke rumah.

Ramli Idup sudah menunjukkan jalan untuk diikuti oleh Ketua-Ketua Ranting. Saya sangat berterima kasih kepada Ramli. Saya sendiri terpaksa mengambil masa untuk berehat kerana kesihatan saya terganggu dan semalam dinasihati oleh Doktor (seorang doktor pakar) untuk saya berehat.

Saya akan hanya hadir semasa dialog diadakan diwaktu malam seumpama malam tadi di Kg Gajah Mati, dan malam ini pula Majlis Dialog di Kg Orang Asal, Kg Paya Mendoi atas isu tanah-tanah Orang Asal dan Polisi Tanah yang perlu ditetapkan oleh Parti Keadilan Rakyat agar sokongan Orang Asal kepada PKR yang sekarang ini sudah mengukuh bukan sahaja dimenfaatkan untuk PRU akan datang, tetapi dapat menurunkan satu dasar yang boleh dimenfaatkan oleh penduduk Orang Asal di Negara ini.

Saya mula memahami dasar yang kini menjadi ikutan NGO-NGO Orang Asal bahawa mereka mahukan tanah mereka di wartakan dengan suatu WARTA yang tidak boleh diganggu-gugat dan apabila tanah mereka sudah diwartakan maka terserah kepada Orang Asal samada mahu tanah mereka digerankan atau pun tidak.

Mereka mahu mengekalkan pegangan adat mereka dan mereka mahu mengekalkan hutan sebagai kawasan rayau mereka, dan mahu hutan dikekalkan sebagai khazanah negara, tidak diceroboh untuk perbalakan atau untuk dimiliki oleh individu-individu yang kaya raya.

Ramli Idup akan terus menjalankan tugasnya menemui ketua-ketua ranting pada hari ini sebelum beliau ke Kampong Paya Mendoi untuk membuatkan persediaan Majlis Dialog pada malam ini.

Ranjau-ranjau diperjuangan

Posted: 28 Jun 2011 06:11 PM PDT

Masa itu aku masih bersekolah tetapi aku sangat berminat dengan perkembangan politik di Singapura. Aku pinta izin dari kawan sesekolahku untuk aku mendengar radio di rumahnya yang berjiran dengan pondokku untuk mengetahui keputusan Pilihanraya Umum di Singapura.

Aku memberikan sokongan aku kepada parti PETIR (People's Action Party) yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew. Didalam Petir terdapat ramai pejuang-pejuang kiri dan Kesatuan Sekerja yang berjuang untuk rakyat bagi membebaskan Pulau Singapura daripada pemerintahan ala-Perikatan (kini digelar BN). Rakyat Singapura sudah sedar dan bangkit menentang pemerintahan yang konserbatif.

Petir menang dengan bergaya dan parti pimpinan konserbatif tumbang.

Rupa-rupanya kemenangan itu bukanlah kemenangan rakyat. Apabila Lee Kuan Yew berkuasa, perkara pertama yang dilakukan olehnya ialah menangkap dan menahan semua pimpinan kiri yang menyumbang kepada Petir.

Hampir kesemua pimpinan Kesatuan Sekerja yang bergabung di bawah SATU ditahan, pemimpin-pemimpin yang kemudiannya bergabung dibawah Barisan Sosialis kesemuanya ditahan, pemimpin Parti Rakyat Singapura dibawah pimpinan Said Zahari ditahan.

Malam itu, aku bersedia mahu mendengar keputusan PRU Singapura. Rupa-rupanya ayah kepada kawan aku itu tidak benarkan aku mendengar keputusan dari radio di rumahnya.

Jam sudah menghampiri 10 malam, aku cari juga mana-mana rumah kawanku di Bandar Temerloh yang memiliki radio untuk mendengar keputusan PRU Singapura. Tiada yang mahu.

Aku tetap mahu dengar. Terbayang aku untuk pulang ke rumah ku di Kg Lubok Kawah untuk mendengar keputusan itu.

Aku buat keputusan nekad untuk pulang ke rumah ku di Lubok Kawah. Rintangan pertama adalah muara Sungai Semantan. Aku tanggalkan seluar bajuku dan aku renangi Sungai Semantan menyeberang ke Tg Keramat. Tg Keramat yang begitu banyak sejarah-sejarah menggerunkan.

Ada sebatang pokok keranji yang besar dan dibawahnya ada sebuah kubur yang banyak metosnya. Aku lalui tempat itu berjalan kaki berseorangan didalam kegelapan malam. Letih aku berjalan, sampailah ke suatu titian sebelum Kg Bangau, yang merentangi suatu parit besar.

Disitu ada sepohon pokok ara yang menjuraikan tali-talian hampir mencecah bumi dan diceriterakan bahawa disanalah tempat hantu pontianak bermain di waktu malam. Alangkah takutnya aku, tetapi aku tidak lagi dapat berpusing ke belakang kerana sebenarnya aku cukup takut merenangi Sungai Semantan kerana disana ada kisah-kisah seekor buaya yang sentiasa timbul dimuaranya.

Aku perlu pergi kehadapan dengan remangan bula roma dan belakang tengkokku terasa berat.

Dikawasan itu tidak ada sebuah rumah manusia pun. Aku teruskan perjalanan didalam hambatan ketakutan.

Akhirnya sampailah aku ke Kg Bangau. Satu lagi rintangan yang menakutkan. Jalan menghala ke Lubok Kawah betul-betul merentasi kawasan perkuburan. Terbayang-bayang kepada aku bahawa di atas batu-batu nesan itu akan duduk lembaga bepakaian putih menunggu kedatanganku.

Aku cukup biasa dengan jalan itu, dan aku tutup mataku rapat-rapat dan terus mara kehadapan.

Hampir setengah jam sampailah aku ke suatu kawasan yang memang digeruni oleh semua penduduk iaitu di penghujung Kg Bangau bersempadan Kg Tanah Merah. Di kedua-dua kawasan itu tidak dihuni oleh manusia.

Di situ ada terdapat denai-denai jalan yang diselubungi oleh pokok-pokok. Disitulah tempat berlakunya seorang pemuda ditembak mati dan dikatakan bahawa pada waktu malam sebegitu terdengar jeritan kesakitan. Di situ juga adalah kawasan ular alai.

Bagaimanalah hendak aku lalui kawasan yang begitu menakut dan menyeramkan. Tidak, aku tidak boleh berpaling ke belakang. Aku pasti tempohi juga kawasan ini.

Untuk menghabiskan kawasan Tanah Merah ini aku rasakan perjalanan aku cukup jauh dan cukup lama, berat kaki aku mahu melangkah, tetap aku berlari sekuat-kuat kakiku membawanya. Maka sampailah aku ke pinggir Kg Lubok Kawah, suatu kawasan yang gelap gelita yang tidak ada penghuni.

Rumahku terletak hampir setengah kilometer dari situ menyimpang ke kiri mengikuti jalan dicelah-celah hutan. Kawasan ini aku lebih biasa kerana disitulah kampong ku dan keberanian ku sudah semakin pulih.

Namun tiba-tiba berbunyi suara binatang haiwan yang menggerunkan. Aku lari sekuat-kuatnya, hinggalah aku sampai ketepi paya yang aku mesti lalui mengikut batas-batas yang berselang-seli dengan becak-becak.

Akhirnya sampailah aku ke kawasan rumah ku. Aku lepaskan segala ketakutan aku dengan menjerit sekuat-kuat hati ku memanggil ayahku: "Ayah......................!"

Mungkin ayahku terdengar akan jeritan aku itu, dia membukakan pintu rumah dan aku melompat masuk ke rumah.

Ayah: "Apahal buang tabiat balik malam-malam buta ni?"

Aku: "Nak dengar radio tentang keputusan Pilihanraya Singapura"

Ayahku cepat-cepat buatkan kopi keras, kami minum bersama kerana ayahku seorang Pejuang Kemerdekaan dari Angkatan Pemuda Insaf (API) juga berminat nak mendengar keputusan itu. Ayahku hisap cerut, dan dia kata: "Mi, nak cerut tak?"

Aku ambil sebatang cerut tu, cerut murah, dan aku hisap bersama-sama ayahku.

Kami menjerit keseronokan apabila diumumkan satu demi satu PETIR memenangi PRU itu dan aku dengar ayahku berkata: "Mampuslah Perikatan".

Apabila aku padankan dengan perjuangan bagi memperkasakan rakyat di Malaysia hari ini, itulah ranjau-ranjau di perjalanan dan akhirnya perjuangan rakyat TETAP MENANG.

Tiada ulasan: