Selasa, 21 Jun 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Peneroka lebih suka berunding dari menyaman Felda

Posted: 21 Jun 2011 05:34 PM PDT

Akhir-akhir ini, peneroka-peneroka Felda, telah mengambil tindakan saman terhadap Felda untuk menuntut hak mereka. Tindakan saman bukanlah jalan yang mudah dan terbaik tetapi memandangkan bahawa hanya itu sahajalah cara untuk peneroka-peneroka mendapatkan hak mereka, maka tindakan saman terpaksa diambil terhadap Felda.

Lebih dari 10 tahun yang lampau peneroka-peneroka Felda Kemahang 3 di Kelantan memfailkan saman terhadap Felda kerana mereka merasakan bahawa mereka telah ditipu kerana perahan KPG buah sawit mereka diberikan peratusan yang sangat rendah.

Akhirnya ada dikalangan mereka menjualkan buah sawit mereka ke Felcra di kawasan berdekatan, dan Felcra itu menghantar kepada Kilang Felda tetapi memperolehi peratusan perahan yang lebih tinggi.

Melalui maklumat itu, peneroka-peneroka telah cuba berunding dengan Felda untuk mendapatkan peratusan perahan KPG yang lebih munasabah. Tetapi Felda enggan berunding, bahkan mereka yang menuntut untuk peratusan perahan yang lebih munasabah diugut untuk dipecat dari rancangan Felda.

Mereka telah melantik peguam, Wan Rohimi Wan Daud, untuk membuat tuntutan di Mahkamah dan saman mereka difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Semasa kes belum didengar di Mahkamah, peneroka-peneroka telah diberikan ugutan bahawa kesemua mereka akan disingkirkan dari rancangan Felda oleh Pengurus yang berkenaan (pengurus itu telah pun meninggal dunia sebelum kes ini selesai dibicarakan). Seorang Menteri UMNO dari Negeri Kelantan juga turut mengugut peneroka-peneroka tersebut.

Akhirnya, setelah kes ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu dengan rayuan oleh Felda di Mahkamah Rayuan dan akhirnya di Mahkamah Persekutuan, peneroka-peneroka telah diberikan kemenangan oleh Mahkamah Persekutuan, Mahkamah yang tertinggi di Negara ini, dan didalam perintah itu Mahkamah menyatakan bahawa Felda telah menipu peneroka-peneroka. Dan Felda diarahkan membayar RM11 juta kepada peneroka-peneroka.

Hasil kemenangan itu, peneroka-peneroka Felda seluruh Negara memohon Felda supaya berunding dengan peneroka-peneroka agar dapat menyelesaikan tuntutan peneroka-peneroka melalui jalan rundingan. Namun, permohonan dari peneroka-peneroka tidak dilayan oleh Felda.
Oleh kerana itu, saman terhadap Felda diteruskan. Melalui peguam Hanifah Maidin, peneroka-peneroka di Felda Sg Koyan di Raub telah memfailkan saman terhadap Felda di Mahkamah Tinggi Kuantan untuk menuntut supaya wang Tabung Tanam Semula yang dicarumkan oleh peneroka-peneroka. Didalam perbicaraan itu, peneroka-peneroka telah sekali lagi menang, dan mendapat perintah supaya Felda membayarkan wang dari Tabung itu dikembalikan kepada peneroka.

Sekali lagi, melalui Peguam Wan Rohomi, peneroka-peneroka dari Felda Kemahang 1 dan 2 di Kelantan telah mendapat perintah dari Mahkamah Tinggi Kota Bharu supaya Felda mengembalikan wang dari Tabung Tanam Semula kepada 120 peneroka-peneroka dengan jumlah RM1.2 juta.

650 orang peneroka daripada Felda Maokil di Negeri Johor telah memfailkan saman terhadap Felda berhubung masalah peratusan perahan KPG yang dimanipulasi oleh Felda. Kes ini sedang menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Kes ini diikuti oleh seramai 766 orang peneroka di Felda Serting 1 dan 2 di Negeri Sembilan yang menuntut Felda membayar sebanyak RM200 juta kepada peneroka-peneroka kerana kes manipulasi peratusan perahan KPG oleh Felda selama lebih 15 tahun, kes ini sedang menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Tinggi Seremban.

Seramai 711 orang peneroka dari kawasan Felda Jengka (diluar DUN Jengka) memfailkan saman terhadap Felda sebanyak RM344 juta diatas isu manipulasi peratusan perahan KPG dan juga masalah buah "reject".

Peneroka-peneroka daripada berbagai gugusan kini akan mengikuti langkah-langkah yang dijalankan oleh peneroka-peneroka yang berani termasuklah di gugusan Trolak dan Besaut di Perak, berbagai gugusan di Negeri Johor, Negeri Sembilan, Mempaga, Keratong, Bera, dan DUN Jengka di Negeri Pahang.

Felda melalui kilangnya hanya memberikan peratusan perahan tidak melebihi 20% kepada peneroka-peneroka di kawasan Jengka, bahkan sebelum isu saman ini diketengahkan, Felda hanya memberikan antara 17 hingga 18% sahaja. Sedangkan peratusan yang diperolehi apabila buah-buah sawit dihantar ke Makmal peratusan perahannya boleh mencecah hingga 30% (secara average tidak kurang dari 27%).

Ini bererti peneroka-peneroka telah ditipu lebih dari RM1000.00 setiap bulan untuk tempoh 15 tahun yang lepas.

Buah-buah yang dalam kategori reject apabila dihantar ke Makmal juga boleh memberikan perahan melebihi 22%. Sekurang-kurangnya peneroka-peneroka kerugian tidak kurang dari RM20,000.00 dalam tempoh 15 tahun kerana buah-buah reject ini sedangkan mereka tidak boleh dikembalikan buah-buah itu manakala Kilang Felda turut mencampurkan buah-buah ini untuk diproses dengan buah-buah yang normal.

Walaupun kini saman-saman telah difailkan dan banyak lagi saman-saman akan difailkan, peneroka-peneroka masih memberi ruang kepada Felda untuk merundingkan ganti-rugi kepada peneroka-peneroka.

Peneroka-peneroka tidak menuntut perkara-perkara yang bukan hak kepada mereka. Mereka menuntut dikembalikan wang tanam semula yang mereka sendiri carumkan; mereka menuntut perbezaan peratusan perahan KPG yang dimanipulasi oleh Felda; mereka menuntut supaya geran tanah mereka diserahkan kepada mereka kerana mereka sudah menjelaskan BK dan cac, mereka menuntut supaya kerja-kerja penanaman semula yang dijalankan oleh Felda Technoplant dijalankan dengan sempurna; mereka menuntut supaya Penyata Kira-Kira secara bulanan dan tahunan diserahkan kepada peneroka-peneroka agar peneroka-peneroka mendapat tahu bagaimanakah aliran kewangan yang tertimpa kepada mereka sehingga ada yang sudah menanggung hutang hingga melebihi RM100,000.00.

Peneroka-peneroka ingin tahu berapakah sebenarnya hutang mereka iaitu kos pembangunan dan tanam semula dan pendahuluan elaun bulanan dan lain-lain bayaran yang tertanggung kepada mereka dan berapakah sebenarnya pendapatan mereka dari 10 ekar tanah ladang mereka, dan bagaimana hutang mereka menjadi begitu besar seolah-olah ladang mereka tidak mendatangkan sebarang pendapatan.

Peneroka-peneroka ingin tahu juga kenapa peneroka-peneroka yang tanam sendiri boleh mendapat pendapatan hingga RM10,000.00 sebulan dan paling jatuh RM5000.00 sedangkan mereka yang menanam melalui Felda hanya diberikan elaun sara hidup sebanyak RM1500.00 yang dikira hutang. Tidakkah ladang mereka mengeluarkan sebarang pendapatan sehingga hutang mereka kepada Felda bertambah didalam jumlah yang tinggi secara melampau?

Peneroka sudi berunding dan jika Felda terus menutup pintu rundingan maka tidak adalah jalan lain yang terbuka kepada peneroka melainkan terpaksa mengambil jalan saman terhadap Felda.


Tiada ulasan: