The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
- Tun Razak...oh...Tun Razak...
- Latarbelakang FELDA secara ringkas
- Generasi Baru Felda
- Dekatilah Peneroka Felda untuk mengetahui Masalah yang mereka hadapi
Posted: 10 Jun 2011 09:08 PM PDT Tun, Lihatlah kemusnahan yang dilakukan oleh manusia bernama Najib Tun Razak yang mengekalkan dasar Mahathir Mohamed. Dasar yang Tun bawa untuk membasmi kemiskinan petani-petani luar bandar dengan menempatkan peneroka-peneroka kedalam kawasan tanah penempatan beramai-ramai telah berjaya dilaksanakan. Tetapi pada tahun 1990, Dr Mahathir telah menyeleweng dari dasar yang diturunkan oleh Tun. Mahathir tidak lagi mahu menjadikan dasar membasmi kemiskinan dikalangan petani-petani luar bandar, dan sebaliknya mahu menggunakan Felda untuk tujuan menempatkan badan itu sebagai badan konglomerat pertanian yang terbesar. Mahathir mahu Felda dijadikan badan korporat, terlibat dengan perniagaan dalam dan luar negara, beliau tidak mahu lagi petani-petani ditempatkan dirancangan-rancangan Felda, tetapi sebaliknya tanah-tanah yang diserahkan oleh kerajaan-kerajaan Negeri kepada Felda dijadikan ladang-ladang yang dikelola-urus oleh Felda sendiri untuk mendatangkan untung dan laba kepada Felda sebuah badan yang bertukar wajah menjadi badan konglomerat pertanian. Dibawah pentadbiran Mahathir, golongan profesional seperti Taib Andak dan Raja Alias tidak lagi dilantik menjadi Pengerusi Felda dan ini diteruskan oleh anak Tun, Najib, yang terus melantik ahli-ahli politik menjadi pengerusi Felda, dan lebih teruk lagi dari itu, Najib telah melantik seorang Pengerusi yang telah didapati terlibat dengan rasuah yang dikenakan 6 tahun penggantungan oleh UMNO. Sekiranya kes ini dilapor kepada SPRM dan SPRM bertindak sebagai Badan Bebas sudah tentu orang ini dipenjarakan sebagai seorang yang dijatuhkan hukuman rasuah. Semasa golongan profesional ini mentadbirkan Felda, bukan sahaja wang rezab Felda bertambah dari masa ke semasa dan mungkin pada hari ini sudah pun sampai ke tahap melebihi RM10 billion, tetapi dibawah Najib selaku Menteri yang bertanggungjawab kepada Felda, wang rezab Felda menjunam jatuh dari RM4.3 billion kepada RM1.3 billion. Sudah tentu berlaku penyelewengan yang melampau yang telah berlaku didalam pengurusan kewangan Felda ini, dan baru-baru ini Felda telah pula meminjam daripada KWSP sebanyak RM6 billion. Pinjaman itu untuk apa? Sekiranya pengurusan kewangan didalam pentadbiran Felda tidak diperbetulkan, maka pinjaman Felda ini akan terbeban kepada peneroka-peneroka untuk menjelaskannya. Tun, Peneroka-peneroka sudah sangat lama menderita dan berkorban demi masa depan mereka. Dan kini sudah mulai ternampak kesenangan itu. Tetapi Felda telah memanipulasikan sekali lagi kedudukan peneroka-peneroka Felda. Peneroka-peneroka yang sudah menjelaskan Bayaran Kembali kepada Felda dan menjelaskan bayaran cac (btd) melalui Felda masih lagi menunggu-nunggu geran tanah mereka yang sengaja dilewat-lewatkan oleh Felda. Walaupun dari segi GSA, Kerajaan Negeri berhak mengeluarkan geran tanah kepada peneroka-peneroka tetapi dari segi prosedurnya pihak Feldalah wajib membuat syor kepada Kerajaan Negeri supaya geran dikeluarkan kepada peneroka-peneroka. Ada disesetengah rancangan Felda kelewatan ini sudah pun tertangguh melebihi 14 tahun, dan kelewatan tertangguh hingga 6 atau 7 tahun adalah perkara yang normal. Apabila notis-notis dihantar kepada Felda, jawapan standard diberikan oleh Felda bahawa tindakan sedang atau sudah diambil, namun, geran-geran tanah peneroka berkenaan tetap juga tidak diserahkan kepada peneroka-peneroka. Tun, Tentu Tun masih ingat bahawa setiap peneroka Felda dikenakan bayaran RM4.00 setiap ekar setiap bulan selama 15 tahun bertujuan untuk dimasukkan kedalam Tabung Tanam Semula, sebagai kemudahan kepada peneroka-peneroka untuk menguruskan tanam semula apabila sampai waktunya. Kepada mereka yang belum menerima geran tanah, Felda telah memanipulasikan pengurusan ini dengan mengadakan Perjanjian Tanam Semula dimana syarat-syarat dan terma-termanya sangatlah berat sebelah sehingga menyebabkan peneroka-peneroka menanggung hutang yang begitu besar diantara RM70,000.00 hingga RM120,000.00. Ada juga peneroka-peneroka yang terpaksa menanggung hutang yang lebih besar kerana kebun-kebun mereka yang ditanam melalui Felda telah gagal ditanam semula walaupun pokok-pokok sawit atau getah mereka telah ditebang oleh Felda; mereka ini diberikan pinjaman elaun sara hidup sebanyak RM1500.00 sebulan tetapi kebun-kebun mereka tidak mengeluarkan sebarang hasil/pendapatan dan justeru itu mereka akan menanggung hutang dan tidak ada sumber menjelaskan hutang itu. Bagi mereka yang tanam sendiri pula, Felda telah membuat manipulasi kewangan dengan gagal menjelaskan bayaran kembali dari Tabung Tanam Semula itu dan sesetengah dari mereka hanya dibayar separuh sahaja dari kewangan Tabung yang dicarumkan oleh peneroka-peneroka itu dan selebihnya dikehendaki mengambil input-input pertanian yang tidak dikehendaki oleh peneroka-peneroka kerana input pertanian yang dibekalkan oleh Felda adalah input yang mutu rendah. Tun, Berpuluh-puluh tahun Felda telah selewengkan pendapatan peneroka-peneroka kerana membayar peratusan perahan yang kecil berbanding peratusan perahan sebenar. Felda memberikan peratusan perahan hanya diantara 17 hingga 18% sahaja sedangkan peratusan perahan yang disahkan oleh Makmal boleh meningkat hingga melebihi 30%. Ini bererti setiap peneroka telah ditipu sebanyak lebih dari RM1000.00 setiap bulan. Dizaman Tun dulu tak pernah kita dengar peneroka-peneroka menyaman Felda. Tetapi dizaman Dr Mahathir dan dizaman Najib ini, peneroka-peneroka akan hanya mendapat keadilan dengan menyaman Felda. Di Felda Kemahang 3 di Kelantan, Mahkamah Persekutuan telah menganugerahkan lebih RM11 juta kepada peneroka-peneroka disana kerana peratusan perahan yang jauh lebih kecil dari yang sepatutnya. Di Felda Maokil, Johor seramai 650 peneroka-peneroka menyaman Felda, di Serting 1 dan 2 seramai 766 orang peneroka menyaman Felda, dan di kawasan Jengka diluar DUN Jengka, seramai 700 peneroka sudah pun melantik peguam untuk menyaman Felda. Seramai 1000 orang lagi di gugusan Bera dan 1000 lagi di DUN Jengka, 300 orang di gugusan Keratong sedang bersedia menyaman Felda. Menyaman Felda bukanlah satu perkara yang menyeronokkan tetap satu perkara yang perlu dibuat kerana Felda tidak mahu berunding dengan peneroka-peneroka, dan Felda hanya tahu "bahasa" saman sahaja. Disamping isu perahan ini, timbul juga isu buah-buah "muda", "mengkal" yang direject oleh Kilang-Kilang Felda. Setelah dibuat kiraan, tidak kurang dari RM20,000.00 kerugian menimpa peneroka-peneroka Felda kerana buah yang direject itu diproses bersama dengan buah yang normal yang dihantar kekilang, tetapi hasilnya tidak diberikan kepada peneroka-peneroka bahkan peneroka-peneroka itu pula dikenakan denda. Pemeriksaan di Makmal mengesahkan bahawa buah-buah reject itu boleh mendapat peratusan perahan antara 19 hingga 21 peratus. Tun, Kadar Getah Kering yang disahkan oleh Makmal boleh mencapai hingga 62%, tetapi kilang-kilang getah Felda hanya membayar lebihkurang 45% sahaja. Kajian sedang dibuat untuk mengumpulkan maklumat-maklumat untuk memfailkan saman di Mahkamah mengenai KGK ini. Di seluruh rancangan-rancangan Felda di seluruh Negara kini peneroka-peneroka sedang mengambil tindakan untuk menyaman Felda samada berhubung KPG, KGK, kegagalan tanam semula oleh Felda, Tabung Tanam Semula, bayaran insentif tanam semula oleh MPOB, dan geran tanah. Perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku jika Felda yang Tun asaskan itu berperanan untuk melaksanakan tujuan asalnya iaitu untuk meninggikan taraf ekonomi peneroka-peneroka Felda. Tun, Ucapan Tun di Parlimen pada 27hb April 1960 adalah untuk semua tanah-tanah Kerajaan Negeri yang diserahkan kepada Felda jelas melarang Felda dari menyerahkan tanah-tanah itu kepada syarikat atau anak-anak syarikat. Dan setiap rancangan itu ditempatkan peneroka-peneroka. Tetapi Dr Mahathir dan Najib telah menyelewengkan dasar itu dengan tanah-tanah itu diserahkan kepada Felda dan Felda menyerahkan kepada Felda Plantation, dan setelah 1990 Felda tidak lagi mengambil sebarang peneroka baru. 800,000 ekar tanah kerajaan Negeri itu dijadikan Felda Plantation, dan sekarang ini jumlah yang sangat besar dari kalangan generasi baru Felda yang tidak mempunyai pekerjaan dan tinggal dengan ibu-bapa masing-masing dengan tidak mempuyai masa depan, mereka kini menganggur dan separa-menganggur dengan pendapatan kecil. Tun, Jika 800,000 ekar itu diambil dan diagih-agihkan kepada generasi baru Felda, sebahagian daripada masalah generasi baru didalam rancangan Felda itu dapat diatasi, dan inilah keputusan yang diambil oleh Pakatan Rakyat. Dari segi penempatan peneroka-peneroka baru Felda ini, dasar yang Tun perjuangkan adalah selari dengan dasar yang diambil oleh Pakatan Rakyat, dan saya amat yakin Tun sangat bersetuju dengan dasar Pakatan Rakyat ini. Akhirnya Tun, saya masih mengingati Tun semasa saya bertugas di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dimana disetiap hari Ahad saya bertugas di kediaman Tun di Sri Taman. |
Latarbelakang FELDA secara ringkas Posted: 10 Jun 2011 08:40 PM PDT Felda dikenali sebagai LKTP pada tahun 1956 telah ditubuhkan dibawah suatu Ordinan bertujuan memberikan jaminan kepada petani-petani luar bandar untuk memperolehi tanah melalui skim berkelompok untuk membasmi kemiskinan di luar bandar dan membenteras pengaruh komunis yang meresap dikalangan penduduk-penduduk yang miskin. Pada tahun 1960 telah digubal undang-undang tanah yang baru bagi menyelaraskan pengurusan dan mempastikan keseragaman undang-undang dan dasar tanah bagi kawasan penempatan berkelompok dan syarat-syarat untuk pemberimilikan dan penempatan dikawasan tanah yang berkelompok tersebut. Secara ringkasnya, apabila seseorang peneroka Felda diterima masuk kedalam sesuatu kawasan berkelompok dibawah jagaan Felda dan menandatangani Perjanjian Peserta Rancangan Kemajuan Tanah dan namanya tersenarai didalam Borang A Jadual 1 iaitu Daftar bagi kawasan rancangan berkenaan, peneroka tersebut disifatkan sebagai seorang yang menduduki dengan harapan mendapatkan hakmilik (occupier in expectation of title). Setelah ia menjelaskan bayaran Consolidated Annual Charga (bayaran tahunan yang disatukan)(BTD), maka tanahnya (ladang dan kampong), kawasan rancangan itu secara otomatik kembali kepada pihak berkuasa negeri (PBN) dan hak Felda sebagai lembaga kemajuan dikawasan tersebut secara otomatik tamat. Timbul isu-isu disini bahawa selepas CAC dijelaskan Felda masih mahu meneruskan pengurusan didalam rancangan-rancangan Felda, dengan pelbagai cara diantaranya: (a) melambat-lambatkan pengesyoran kepada kerajaan negeri supaya dikeluarkan geran; (b) mewujudkan perjanjian-perjanjian baru sebelum geran dikeluarkan bagi menambat peneroka-peneroka agar terus tertakluk kepada pengurusan Felda; seperti Perjanjian Tanam Semula yang menguntungkan Felda bilamana Felda mengenakan hutang yang tidak pernah diberikan Penyata Kira-Kira kepada peneroka dan Felda tidak membenarkan peneroka-peneroka menjalankan Tanam Sendiri. (c) Felda memberikan elaun sara hidup kepada peneroka-peneroka dengan kadar dibawah kemiskinan (jika kadar kemiskinan Negeri Selangor digunapakai) dengan elaun yang dikirakan hutang sebanyak RM1500.00 sebulan dan Felda tidak pernah menyatakan berapakah sebenarnya pendapatan bulanan peneroka Felda, pendapatan peneroka Felda yang tanam sendiri adalah tidak pernah jatuh dari RM5000.00 sebulan dan sebahagiannya memperolehi lebih dari RM10,000.00 sebulan. (d) Oleh kerana tidak ada Penyata Kira-Kira bulanan dan tahunan, hutang peneroka-peneroka kepada Felda meninggi sehingga antara RM70,000.00 hingga RM120,000.00 (suatu manipulasi angka yang dibuat sewenang-wenang oleh Felda). Bukanlah menjadi tuntutan asas kepada peneroka-peneroka untuk tanam sendiri dan keluar dari Felda, tetapi menjadi tuntutan asas yang wajib ditunaikan oleh Felda agar Felda menjelaskan pendapatan bulanan kepada peneroka-peneroka sekurang-kurangnya RM5000.00 sebulan memandangkan rakan-rakan mereka yang tanam sendiri sedang memperolehi minima RM5000.00 sebulan setiap bulan. Asas kepada penubuhan Felda adalah untuk membasmikan kemiskinan diluar bandar. Tetapi dengan cara pengurusan yang dilakukan oleh Felda pada hari ini hampir satu juta manusia didalam rancangan-rancangan Felda berada dikedudukan dibawah kemiskinan, dan ini tidaklah membanggakan rekod Felda yang dikatakan menjadi badan konglomerat pertanian yang memperolehi pendapatan berbilion ringgit setiap bulan. |
Posted: 10 Jun 2011 08:25 PM PDT Terdapat kini seramai 800,000 generasi baru didalam rancangan dan mereka merupakan golongan majoriti didalam rancangan-rancangan Felda diseluruh Negara. Mereka berhadapan dengan masalah pengangguran dan kebanyakannya masih tinggal dengan ibu-bapa dan tidak mempunyai peluang untuk mempunyai rumah sendiri. Sesetengah mereka terlibat dengan pekerjaan yang berpendapatan kecil. Ada diantara mereka bekerja di Felda Plantation sebagai boroh kasar yang dibayar gaji secara harian. Oleh kerana keadaan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan yang tetap ramai dari kalangan mereka terlibat dengan masalah sosial seperti gejala merempit dan gejala pengambilan dadah. Pihak Kerajaan dan Felda nampaknya berpuas hati dengan apa yang mereka berikan sebagai gula-gula kepada generasi baru Felda ini memadai dengan penyediaan tempat-tempat bersukan seperti padang takraw, futsal dan mengujudkan persatuan-persatuan belia tetapi tidak ada bimbingan yang menyeluruh untuk memberi kemahiran kepada mereka dan tidak menyediakan ruang dan peluang bekerja dan ruang dan peluang untuk menjalankan sebarang usaha untuk mereka boleh berdikari. Tuntutan yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat supaya memansuhkan Felda Plantation dan mengagih-agihkan ladang-ladang Felda Plantation adalah program yang berkesan untuk mengatasi sebahagian besar dari masalah-masalah yang dihadapi oleh generasi baru Felda ini. Felda Holdings yang mempunyai puluhan anak syarikat dan yang sesetengahnya membuat keuntungan yang besar setiap tahun wajib memikul tanggungjawab menyediakan pekerjaan kepada anak-anak peneroka didalam syarikat itu dan anak-anak syarikatnya. Pihak Felda dan Kerajaan perlu membuka pelbagai pusat latihan serta kemahiran untuk generasi baru Felda ini didalam bidang-bidang kemahiran seperti sekolah-sekolah vokasional melatih anak-anak muda Felda agar bukan sahaja mereka boleh mencari pekerjaan didalam sektor swasta bahkan boleh pula menjalankan usaha-usaha dibidang kemahiran. Dan kemudahan perlu diberikan kepada mereka untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi membuka bengkel-bengkel ceburan mereka mengikut kemahiran yang mereka perolehi. |
Dekatilah Peneroka Felda untuk mengetahui Masalah yang mereka hadapi Posted: 10 Jun 2011 05:35 AM PDT Kalau seseorang melihat dari segi luaran sahaja, ia boleh memberikan gambaran yang tidak betul apabila melihat kehidupan seseorang peneroka Felda. Dipandang dari jauh, kita boleh membayangkan bahawa peneroka-peneroka itu hidup berbahagia. Rumah peneroka-peneroka Felda kelihatan besar dan hebat jauh lebih besar dan hebat jika dibandingkan dengan rumah-rumah orang-orang diperkampongan tradisional. Disetiap buah rumah peneroka sudah pasti akan terdapat sekurang-kurangnya sebuah kereta dan 2 atau 3 buah motosikal. Sekira-kiranya rumah seumpama ini dan dengan kehadiran beberapa buah kenderaan tentulah penghuninya boleh dijumlahkan orang yang senang dengan hidupnya lebih dari sederhana. Penelahan begini kadang-kadang tidak tepat. Si peneroka ini telah berjuang di ladang dengan penuh kesabaran dan dengan wang yang terkumpul hasil dari bekerja lebih dari 20 tahun, beliau berjaya membina rumah yang baik. Namun begitu, tanpa disedari, si peneroka itu mempunyai 4 atau 5 orang anak yang menjadi bebanan kepadanya untuk difikirkan masa hadapan mereka. Daripada 4 atau 5 orang anak itu, sesetengahnya sudah berkahwin dan mempenyai 4 atau 5 orang anak sendiri setiap seorang darinya, hanya seorang sahaja daripada mereka itu boleh mewarisi ladang dan kawasan kampong milik ibu dan ayahnya. Anak-anaknya yang lain itu tidak dapat mewarisi hartanya itu. Lagi menyusahkan ibu bapa itu kerana anak-anak itu tidak mempunyai kerja dan pendapatan yang stabil. Didalam suatu keluarga peneroka, terkadang-kadang mempunyai generasi ke-2 yang besar, 5 - 7 orang adik beradik, ada lelaki dan ada perempuan. Daripada jumlah ini, hanya seorang sahaja boleh mewarisi tanah ladang dan rumah peneroka itu, maka yang lain-lain tidak ada harapan untuk memiliki ladang dan rumah ibu-bapa mereka. Ibu-bapa mana yang boleh senang hati memikirkan nasib anak-anak mereka yang nantinya tidak bertempat apabila ibu-bapa itu meninggal dunia. Bukan tidak ada anak-anak peneroka yang berjaya dari segi pendidikan dan sesetengahnya sudah menjawat jawatan yang tinggi samada didalam Kerajaan atau Korporat atau yang sudah berjaya didalam kerjaya perniagaan mereka. Tetapi berapakah jumlah yang berjaya ini? 20,000 orang? Generasi Ke-2 dan Ke-3 sudah pun meningkat hingga 800,000 orang. Sekadar 20,000 yang berjaya adalah satu ratio yang sangat kecil; jumlah terbesarnya masih berada di rancangan-rancangan Felda menumpang kehidupan ibu-bapa masing-masing, tidak ada sebarang pekerjaan dan ramai pula yang terlibat dengan gejala sosial yang tidak memungkinkan mereka terlepas dari belenggu kemiskinan. Kalau seseorang pergi ke rancangan-rancangan Felda dan disebelah petang akan terlihat kumpulan-kumpulan yang begitu besar menunggu-nunggu diatas motosikal di simpang-simpang masuk ke rancangan-rancangan itu; mereka ini tidak ada pekerjaan yang tetap dan hidup mereka terumbang-ambing, tidak mempunyai masa depan yang boleh menjaminkan. Tidak kurang daripada mereka terlibat dengan kegiatan mengambil dadah. Kalau seseorang pergi pula meninjau di Mahkamah-Mahkamah Magistrate, daripada puluhan yang dihadapkan ke Mahkamah kerana pertuduhan mengambil dadah adalah terdiri daripada generasi ke-2 dan ke-3. Gejala buruk ini berlaku kerana anak-anak muda itu tidak mempunyai hala tuju kehidupan yang baik. Mereka hilang panduan, mereka berhayal dan tidak mempunyai nilai didalam kehidupan. Golongan inilah yang kita kena fokus didalam perjuangan kita. Ini bukan cakap kosong seperti UMNO dan Pesaka yang sentiasa bercakap tentang ketuanan Melayu, Hidup Melayu, Hak Istimewa Orang Melayu dan sebagainya. Tetapi ini adalah perjuangan yang nyata, suatu perjuangan untuk membela nasib rakyat Melayu muda yang menjadi terbiar dibawah sistem pemerintahan yang diperkenalkan oleh UMNO/BN. Pakatan Rakyat menyediakan satu mekansima untuk mengatasi masalah pengangguran dan gejala sosial yang tidak sihat ini dengan menawarkan kepada generasi ke-2 dan ke-3 ini untuk hidup berdikari. Pakatan Rakyat menawarkan untuk memansuhkan Felda Plantation dan ladang-ladang di ladang-ladang itu diagih-agihkan kepada generasi ke-2 dan ke-3 yang layak, lebihkurang 80,000 hingga 160,000 anak-anak peneroka boleh ditempatkan di rancangan-rancangan baru dari pemansuhan Felda Plantation itu. Demi rakyat, tanah-tanah hutan dibeberapa buah Negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak boleh dibuka untuk rancangan-rancangan Felda baru dan boleh menempatkan bukan sahaja anak-anak peneroka bahkan golongan lain dari pelbagai kaum yang tertambat kepada pertanian tetapi yang tidak memiliki tanah. Ini adalah polisi yang amat jelas dan positif untuk mengatasi masalah pengangguran dikalangan anak-anak muda di luar bandar yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat, dan Pakatan Rakyat menjanjikan bahawa proses pemansuhan Felda Plantation itu dilaksanakan didalam tempoh 100 hari Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya. Pembukaan tanah-tanah baru akan dilaksanakan peringkat demi peringkat didalam proses yang jelas mengikut polisi yang berpihak kepada rakyat dan bukan berpaksi kepada golongan korporat dan golongan kroni. Rakyat sedang menunggu-nunggu supaya PRU-13 diadakan dengan seberapa segera yang boleh kerana rakyat sudah pun berkira-kira untuk memenangkan Pakatan Rakyat didalam Pilihanraya yang bakal tiba ini. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan