Rabu, 8 Jun 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Masalah-masalah yang dihadapi oleh peneroka-peneroka Felda di Negeri Johor

Posted: 08 Jun 2011 06:51 PM PDT

Didalam lawatan kami dari Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pusat dan hasil daripada Majlis-Majlis Dialog diantara Biro ini dengan peneroka-peneroka Felda di Felda Sg Mas, Felda Adela, Felda Bukit Batu, Felda Ulu Dengar, Felda Redong dan Felda Maokil serta pertemuan dengan peneroka-peneroka Felda Cahaya Baru, Felda Papan Timur, Felda Nipah 2, Felda Ulu Betong, Felda Lok Hing, Felda Chempelak, Felda Tenang, Felda Kahang dan Felda Kemelah, pelbagai masalah telah ditimbulkan.

Di Felda Redong, lebih kurang 43 orang peneroka-peneroka dihalang oleh pihak pengurusan Felda daripada mengambil alih ladang mereka untuk mereka menguruskan sendiri.

Mereka telah melantik seorang peguam di Negeri Johor untuk mengambil tindakan saman di Mahkamah terhadap Felda.

Peneroka-peneroka tidak berpuas hati kerana ladang-ladang mereka dibiarkan didalam keadaan semak samun, tidak diurus dengan baik dan tidak dibaja.

Peneroka-peneroka bimbang kerana keadaan yang menimpa kebun-kebun mereka tidak membolehkan sawit mereka mengeluarkan hasil yang baik dan dengan itu keupayaan mereka untuk membayar hutang kepada Felda menjadi terbatas sedangkan hutang mereka semakin bertambah kerana elaun sara hidup yang mereka terima dari Felda sebanyak RM1500.00 sebulan dikira sebagai hutang manakala kebun mereka tidak mengeluarkan pendapatan sewajarnya untuk menjelaskan hutang mereka kepada Felda.

Rata-rata hutang mereka kepada Felda sudah meningkat melebihi RM70,000.00 setiap orang.

Peneroka-peneroka rata-rata tidak puas hati dengan pengurusan yang dijalankan oleh Felda Technoplant, anak syarikat Felda itu gagal menguruskan ladang mereka. Sawit-sawit yang mati tidak disulam, tidak dijalankan pembajaan yang betul, dan dibiarkan tanah-tanah mereka didalam keadaan yang tidak terurus, semak-samun.

Peneroka-peneroka Felda Cahaya Baru pula mengatakan bahawa 7 ekar tanah getah mereka telah diserahkan kepada sebuah Syarikat Pemaju dan telah digadaikan kepada Bank dan terlepas tangan daripada mereka dengan janji bahawa mereka akan dibayar RM1.2 juta. Kini mereka sudah kehilangan tanah dan kehilangan pendapatan. Ada lebihan tanah seluas 2 ekar tetapi setiap bulan mereka hanya dibayar RM55.00 sahaja. Dua ekar tanah sawit itu boleh mendatangkan pendapatan tidak kurang daripada RM600.00 sebulan, tetapi mereka hanya dibayar dengan RM55.00 sahaja sebulan.

Mereka telah minta Menteri Besar Johor, Perdana Menteri dan semua jabatan-jabatan yang sepatutnya boleh memberikan pertolongan tetapi tidak ada Wakil Rakyat, Menteri Besar dan Perdana Menteri yang mahu mendatangkan bantuan, bahkan pemimpin-pemimpin besar ini pula yang menempelak mereka dengan kata-kata yang sangat menghinakan seperti: "Dulu kenapa ghairah sangat nak jadi jutawan?" walhal peneroka-peneroka itu dipujuk dan dirayu oleh pemimpin-pemimpin UMNO untuk menyerahkan tanah mereka.

Seorang peneroka di Felda Chempelak menyatakan bahawa pada tahun 2009, beliau mendapat Penyata bahawa hutang beliau dengan Felda termasuk bekalan baja semasa berbaki RM29,799.71. Dengan kerjasama adik-beradik, beliau telah jelaskan hutang itu sepenuh kepada Felda. Tetapi pada bulan April 2010, beliau menerima Penyata Hutang yang baru bahawa beliau masih terhutang sebanyak RM14,000.00. Beliau sangat tidak berpuas hati lantas menemui Pengurus Felda rancangan untuk mendapatkan penjelasan kerana beliau telah mengambil alih ladang untuk kerja sendiri dan tidak lagi mengambil apa-apa elaun atau bekalan baja dan lain-lain dari Felda. Pengurus meminta beliau pergi ke Ibu Pejabat.

Setelah berbincang dengan Ibu Pejabat Felda, beliau diberitahu bahawa Felda telah menerima daripadanya terlebih RM1200.00 dan lebihan itu dikembalikan kepadanya.

Pada bulan April 2011, sekali lagi beliau menerima surat dari Felda untuk beliau menjelaskan baki hutang beliau iaitu hutang baja semasa berjumlah RM5752.03. Beliau sangat tidak puas hati kerana seolah-olah Felda mengenakan hutang atas angin daripada beliau. Insya Allah, saya mengambil alih untuk menjawab Surat Tuntutan daripada Felda ini dan notis akan dihantar kepada Felda didalam sehari dua ini selepas saya kembali dari Rompin.

Di Felda Nipah 2, Tanam Semula yang dilaksanakan oleh Felda Technoplant diatas tanah peneroka-peneroka masih gagal dibuat walaupun tempoh tanaman sudah berlalu lebih dari satu tahun.

Masalahnya Felda Technoplant tidak mempunyai semaian anak-anak sawit, dan anak-anak sawit yang dibekalkan adalah anak-anak sawit baka yang tidak elok. Bukan sahaja anak-anak sawit itu tidak membesar bahkan menjadi ketot setelah ditanam.

Tanaman itu pula tidak dibaja dan mati begitu sahaja. Apabila peneroka-peneroka mahu melaporkan kepada polis dan SPRM, pihak pengurus meminta kerjasama daripada peneroka-peneroka supaya beliau tidak dibebankan dengan kesukaran kerana tidak lama lagi mahu bersara.

Dan pengurus itu membuat helah bahawa anak-anak sawit yang ditanam itu mati kerana diserang oleh haiwan. Justeru, telah digali parit besar, dan direntang pagar berelektrik yang sebenarnya tidak ada aliran elektrik, dan kesemua kos pembangunan tambahan ini dikenakan kepada peneroka-peneroka menjadikan hutang peneroka-peneroka kepada Felda meninggi hasil kecuaian pengurusan Felda menguruskan tanaman mereka.

Dihampir kesemua rancangan Felda yang kami lawati, peneroka-peneroka mengadu mengenai Tabung Tanam Semula yang masih tidak dibayar oleh Felda kepada peneroka-peneroka yang menanam sendiri dan tidak bersama Felda.

Berhubung dengan isu ini kami telah meminta peneroka-peneroka menubuhkan Jawatankuasa Bertindak dan menyenaraikan semua peneroka-peneroka yang terlibat dengan isu Tabung Tanam Semula agar pihak Peguam PKR dapat mengambil tindakan saman terhadap Felda.

Bagi peneroka-peneroka yang tanam semula dengan sawit, mereka mempersoalkan kenapa mereka tidak dibayar oleh MPOB berhubung dengan Insentif Tanam Semula sebanyak RM5000.00.

Di Felda Lok Hing pula peneroka-peneroka mempersoalkan kenapa geran tanah mereka masih belum dikeluarkan walaupun mereka telah lama menjelaskan BK kepada Felda dan cac melalui Felda. Mereka sedar bahawa tujuan Felda melengah-lengahkan pemberian geran ini adalah untuk dimanipulasi supaya mereka menanam bersama Felda dan dengan itu akan membelenggu mereka dengan hutang besar berterusan.

Team guaman daripada Biro Masyarakat Felda akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh peneroka-peneroka Felda di Negeri Johor.

Nampaknya, Felda tidak mempunyai sikap untuk berkebajikan kepada peneroka-peneroka dan "lagu" yang difahami oleh Felda hanyalah dalam bentuk saman yang akan dikemukakan kepadanya.


Lawatan Biro Masyarakat Felda Ke Negeri Johor

Posted: 08 Jun 2011 07:13 AM PDT

Biro Masyarakat Felda Parti Keadilan Rakyat Pusat telah mengambil tindakan berani dengan program-program lawatannya ke Negeri-Negeri yang diliputi oleh Felda. Setelah selesai dengan program lawatan ke Negeri Sembilan, pihak Biro memutuskan untuk membuat lawatan ke Negeri Johor.

Didalam rombongan lawatan itu adalah saya sendiri selaku Pengerusi Biro dan dianggotai oleh Sdr T. Kumar selaku Timbalan Pengerusi, Sdr Rebin Birham selaku Setiausaha, Sdr Zabdie Abas selaku Ketua Generasi Muda Biro, dan dibantu oleh pimpinan Biro Felda dan Orang Asal Negeri Johor yang diketuai oleh Sdr Zulkifli Daud, Pengerusi Biro Felda PKR Negeri Johor.

Rombongan kami tiba di Felda Sg Mas jam lebihkurang 2.00 petang pada 5hb Jun 2011, disana kami mengadakan Dialog dengan wakil-wakil peneroka Felda Sg Mas dan rancangan-rancangan sekitarnya dan diakhir majlis dialog itu kami telah melancarkan Borang Permohonan Menjadi Peneroka Baru dari kalangan anak-anak peneroka Felda dari Generasi Ke-2 dan Generasi Ke-3.

Selesai Majlis itu kami berlepas ke Felda Adela dimana satu Majlis Ceramah PKR telah diadakan, dan diakhir Majlis itu telah dilancarkan pembentukan Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Negeri Johor selepas pelancaran Borang Permohonan Menjadi Peneroka Felda baru.

Esuknya kami pergi ke Felda Bukit Baru dan dijamu makan tengah hari di Rumah Sdr Zabidie Abas sebelum kami ke Felda Ulu Dengar di Gugusan Kahang untuk mengadakan Majlis Dialog di rancangan Felda tersebut untuk peneroka-peneroka Ulu Dengar dan kawasan-kawasan sekitarnya. Diakhir Majlis Dialog itu, kami lancarkan Borang Permohonan Menjadi Peneroka Baru dari Generasi Ke-2 dan Generasi ke-3.

Pada jam 9.00 malam, kami meneruskan perjalanan kami ke Felda Bukit Batu dalam kawasan Parlimen Kulai untuk mengadakan Ceramah serta Majlis Dialog. Disana kami telah ditemani oleh Datuk Chua Jui Meng. Majlis Ceramah itu cukup berjaya kerana dia dihadiri oleh tidak kurang dari 200 orang anak-anak muda, dan anak-anak muda ini menyambut baik dan menerima Borang Permohonan Menjadi Peneroka Baru.

Malam itu kami menginap di Stay Inn Hotel di Bandar Simpang Renggam. Selepas mengambil sarapan pagi pada keesukan harinya, kami menziarahi Dr Ann, seorang aktivis PKR di Bandar Simpang Renggam. Beliau adalah diantara mereka yang akan bertanding disalah satu kawasan DUN disana.

Selesai berbincang dengan Dr Ann (bukan seorang wanita), kami meneruskan lawatan kami ke Felda Redong di kawasan Parlimen Sekinjang dan didalam Majlis Dialog di Felda itu pada jam 3.00 petang, Dr Gurmit Singh, Ketua PKR Cabang Segamat, Pn Natrah Ismail, Ketua Wanita PKR Negeri Johor, Pn Siti Halijah Hj Mohamad, Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal Wanita PKR Pusat, dari Generasi Ke-2 Felda Cahaya Baru. Ucapan beliau di Majlis Dialog itu memberikan kesan mendalam kepada para hadirin yang sangat bersimpati dengan nasib yang menimpa peneroka-peneroka Felda Cahaya Baru yang menjadi "jutawan fakir". Pn Natrah juga turut memberikan ucapan.

Pelancaran Borang Permohonan Menjadi Peneroka Baru Felda mendapat sokongan yang begitu menggalakkan dan lebih dari 300 Borang Permohonan itu telah diambil oleh anak-anak muda yang hadir.

Sebaik saja selesai Majlis Dialog di Felda Redong itu, saya dan isteri saya terus ke Segamat untuk menempah bilik Hotel.

Kemudian kami pergi ke Labis untuk mengambil makan malam bersama-sama dengan Zabidie Abas, Zulkifli Daud, Natrah Ismail, Siti Halijah dan rombongan dari Felda Cahaya Baru sebelum kami pergi ke Felda Maokil untuk Majlis Ceramah.

Sesampai di Maokil, kami diberitahu oleh Cikgu Saadon, Ketua PKR Cabang Pagoh bahawa tempat ceramah telah dipindahkan kerana berlaku satu kematian kepada keluarga tuan rumah.
Kami mendapat kebenaran dari sebuah Restoran untuk mengadakan ceramah di restoran itu.

Pada malam itu Cikgu Saadon, Siti Halijah Mohamad, Rebin Birham dan saya sendiri menjadi penceramah manakala Sdr Zabidie mempengerusikannya.

Sebaik sahaja Siti Halijah berucap, Majlis itu telah diganggu oleh Pengurus Felda Maokil yang mengarahkan Majlis Ceramah itu diberhentikan. Arahan daripada beliau itu dibuat diatas kuasa yang diberikan kepadanya dibawah GSA. Cikgu Saadon cuba berbincang dengan Pengurus itu, tetapi suara Pengurus itu semakin meninggi untuk Ceramah itu diberhentikan.

Saya masuk campur dan bertanya Pengurus itu kenapa Majlis Ceramah yang berjalan dalam suasana baik itu hendak diberhentikan. Semakin kami cuba meminta kerjasama darinya semakin bongkak Pengurus itu, akhirnya, saya tanyakan dibawah Seksyen apa dibawah GSA beliau mahu memberhentikan ceramah itu. Beliau mengatakan bahawa beliau mempunyai kuasa dibawah Seksyen 36 Akta GSA itu.

Saya pergi ke kereta saya dan mengambil Buku Akta GSA itu, dan saya tunjukkan kepada Pengurus itu bahawa Seksyen 36 tidak memperuntukkan kuasa kepada Pengurus Felda untuk memberhentikan Ceramah.

Seksyen 36 itu langsung tidak menyebut sebarang kuasa Pengurus, maka kami teruskan saja Ceramah itu.

Giliran saya berceramah dan saya terangkan dalam ceramah saya itu Seksyen 36 yang ditambatkan kepada Seksyen 38 sebelum saya berceramah mengenai maudho' ceramah itu iaitu mengenai peruntukan Buku Jingga didalam Perkara 8 yang menerangkan tentang keputusan Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang akan memansuhkan Felda Plantation dan tanah ladang Felda Plantation itu akan diagih-agihkan kepada Generasi ke-2 dan ke-3 Felda.

Sebaik saja saya menamatkan ceramah saya lebihkurang jam 11.45 malam, beberapa buah kereta Polis telah menyerbu tempat kami berceramah, mereka itu dipanggil oleh Pengurus Felda yang bongkak itu.

Polis nak buat apa? Majlis Ceramah sudah tamat, dan mereka menyatakan bahawa kalau dah tamat tak perlulah mereka masuk campur. Alangkah keciwanya Pengurus itu!

Diakhir Majlis Ceramah itu, kami juga melancarkan Borang Permohonan Menjadi Peneroka Felda Baru.

Sepanjang 3 hari kami berada di Negeri Johor dengan mengadakan 3 Majlis Dialog dan 3 Majlis Ceramah, tidak kurang dari 2000 borang permohonan menjadi peneroka baru Felda telah diambil oleh pihak generasi ke-2 dan generasi ke-3.

Sementara itu, saya sendiri menerima jemputan lagi untuk datang lagi memberikan ceramah di Felda Cahaya Baru, Felda Air Itam, Felda Siboi, Felda Lok Heng, Felda Kahang, Felda Chempelak dan beberapa Felda yang lain di Negeri Johor.

Saya menetapkan satu lagi lawatan Biro Masyarakat Felda PKR Pusat akan diadakan dipenghujung bulan Julai untuk lawatan beberapa hari, lawatan itu merubah persepsi generasi ke-2 dan ke-3 terhadap peranan yang dimainkan oleh Pakatan Rakyat dan mereka berpandangan positif terhadap peranan yang dimainkan oleh Parti Keadilan Rakyat melalui Biro Masyarakat Feldanya.

Tiada ulasan: