Khamis, 2 Jun 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Semangat Lubok Kawah

Posted: 02 Jun 2011 08:42 PM PDT

Akhir-akhir ini saya ditanyakan lagi kenapa blog saya dinamakan The Spirit of Lubok Kawah atau Semangat Lubok Kawah.

Kalau mereka membaca entri-entri saya terdahulu, tentulah mereka faham kenapa saya pilih Semangat Lubok Kawah tu.

Tetapi secara ringkasnya biarlah saya turunkan sekali lagi kenapa saya pilih nama itu. Saya dilahirkan di Kampong Lubok Kawah pada tahun 1944. Ayah dan ibu saya adalah petani di kampong itu, dan lebih dari itu, ayah saya adalah seorang pejuang Kemerdekaan Tanahair menganggotai Angkatan Pemuda Insaf (API).

Dalam tahun 1948 itu ayah saya bersama-sama dengan puluhan pemuda-pemuda Lubok Kawah ditahan oleh Penjajah Inggeris dan ayah saya diletakkan didalam tahanan di Batu Gajah dan tempat-tempat lain.

Saya hanya dapat bertemu semula dengan ayah saya apabila dia dibebaskan bersyarat pada tahun 1953.

Lubok Kawah adalah kampong rebolusi. Disanalah tertegaknya Markas API yang besar, dan disana jugalah bergeraknya AWAS (Angkatan Wanita Sedar), sayap wanita kepada API dan API pada waktu itu melancarkan gerakan kemerdekaan dengan semboyan MERDEKA DENGAN DARAH.

Hampir kesemua pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan API menyinggahi Lubok Kawah didalam perjuangan mereka menentang Inggeris.

Di Lubok Kawah juga adik kepada ayah saya, Pok Da Uda, dan adik kepada emak saya Ayah Chik Mokhtar gugur ditembak penjahat-penjahat Inggeris. Saudara mara saya yang ditahan Inggeris termasuklah ayah angkat saya Pak Itam Deraman dan adik emak saya Mak Itam Saudah/Zauyah, emak saudara saya Mak Ngah Minah, Ngah Hawa, Abang Hashim, Abang Kadir, Abang Yaakub, Abang Manap, Abang Khamis dan mereka yang terlepas dari tahanan adalah Embong Zamiah, dan ramai lagi yang tak dapat saya namakan satu persatu, manakala ada yang ditangkap Inggeris dan dijatuhkan hukuman gantung adalah Abang Omar. Mereka ini kesemuanya adalah emak saudara, bapa saudara dan pupu-pupu saya.

Dimasa itu, tidak ada yang berkecuali. Kesemua penduduk Lubok Kawah mengambil sikap menentang Inggeris. Tok Ayah, iaitu seorang tokoh Ulama terkenal di Lubok Kawah yang mengepalai Sekolah Pondok disana menggalakkan penduduk Lubok Kawah berjuang untuk kemerdekaan. Menantu beliau Wan Ahmad dan anaknya Pok Him juga ditahan oleh Inggeris.

Disitulah kampong saya dilahirkan, saya dilahirkan didalam keluarga rebolusi, keluarga yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air, dan saya bangga menjadi keluarga geriliya itu, dan Malaya tidak akan Merdeka melainkan Inggeris sudah tidak berupaya lagi menentang perperangan gerila yang dilancarkan oleh kumpulan progresif rakyat Malaya yang dipimpin oleh Parti Komunis Malaya, Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan parti-parti politik kiri yang ditubuhkan selepas PKM dan PKMM diharamkan.

Itulah kenapa saya namakan blog saya itu dengan nama perjuangan Semangat Lubok Kawah, buka sia-sia saya mengambil nama itu.

Nostalgia Felda 1980-an - Peristiwa Berdarah Felda Lubok Merbau

Posted: 02 Jun 2011 07:52 PM PDT

Setelah saya berjaya menubuhkan Cawangan PAS untuk Felda Lubok Merbau, saya kembali ke Temerloh untuk saya lawati pula rancangan-rancangan Felda di lain-lain kawasan di Semenanjung. Tetapi didalam tempoh yang tidak lama selepas itu, Ahli Parlimen Padang Terap telah meninggal dunia, dan satu Pilihanraya Kecil berlangsung di kawasan itu.

Ustaz Fadhil Nor meminta saya bertugas dan bertanggungjawab kepada kempen PAS di Felda Lubok Merbau memandangkan saya sudah mempunyai pengalaman disana dan sudah mengenali petugas-petugas PAS di rancangan itu.

Saya telah pergi ke Felda Lubok Merbau bersama-sama Man Kadir (kini dikenali sebagai Pak Jabit) dan Pak Harun (seorang ahli veteran PAS di Temerloh yang berasal dari Kedah).

Kami telah menubuhkan Markaz PAS disebuah rumah ahli PAS di Felda Lubok Merbau, dan dari masa ke masa tidak kurang dari 50 orang dari dalam dan luar Negeri Kedah menjadi petugas PAS di kawasan Felda itu.

Kami menjalankan kempen di Felda Lubok Merbau dengan cara yang belum pernah dijalankan sebelum ini oleh PAS. Saya mengaturkan bahawa setiap hari akan dilangsungkan pengedaran risalah-risalah penerangan khususnya penerangan mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh peneroka-peneroka Felda.

Setiap hari saya susun beberapa ceramah kelompok, dan sebelum ceramah-ceramah itu dilangsungkan, edaran rumah ke rumah bukan sahaja mengenai penerangan mengenai masalah peneroka-peneroka Felda bahkan juga jemputan ke ceramah-ceramah kelompok itu.

Setiap hari semasa kempen itu berlangsung, tidak kurang dari 3 ceramah sehari diadakan di Felda Lubok Merbau.

Felda Lubok Merbau adalah satu kawasan yang sangat luas dan ribuan penduduk peneroka berada disana.

Didalam semasa kempen pilihanraya kecil itu, sudah hampir 200 orang telah mendaftar sebagai ahli PAS. Walaupun bilangan itu masih kecil berbanding dengan keseluruhan penduduk dan keseluruhan ahli-ahli UMNO, tetapi jumlah itu sudah besar berbanding dengan keahlian PAS sebelum Pilihanraya itu.

Rumah Naza'ie (kalau nama itu saya tidak silap) yang menjadi Markaz PAS untuk kempen PRK Padang Terap itu tidak sunyi dengan kehadiran penyokong PAS. Ramai anggota-anggota PAS dari luar Kedah mengunjungi Markaz itu dan membantu kami menjalankan kerja-kerja kempen seperti menampal poster dan membuat edaran dari rumah ke rumah.

Ahli-ahli UMNO di Lubok Merbau bersikap seperti samseng. Poster-poster yang kami pasang, diturunkan dihadapan mata kami, dikumpulkan dan dibakar dihadapan kami.

Jika kumpulan kami yang menampal poster itu tidak berapa ramai, mereka datang mengepung kami, dan memberikan amaran bahawa jika kami tidak beredar dari situ, mereka akan serang kami.

Demikianlah setiap hari diperlakukan oleh ahli-ahli UMNO Lubok Merbau.

Kami mengambil sikap "mengalah" untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini. Tetapi apabila keadaan menjadi semakin tenat, maka kami dikunjungi oleh lebihkurang 20 orang pemuda-pemuda yang menamakan diri mereka sebagai P.A.S atau yang kami namakan pas titik. Mereka ini bukan ahli PAS dan ramai diantara mereka menjadi ahli UMNO dan sebahagiannya menyokong PAS.

Seorang daripadanya berjanggut panjang, tidak banyak bercakap, tetapi dia memberitahu saya bahawa kumpulannya menjaga keselamatan orang-orang PAS terutamanya pemimpin-pemimpin PAS.

Dimana saja saya pergi memberi ceramah, dia akan berada disitu, dan sesampai saya ke tempat ceramah dia akan memberitahu saya, bahawa keadaan sudah terkawal dan keselamatan saya didalam jagaan yang baik.

Kami juga jemput penceramah-penceramah dari kalangan pimpinan PAS Pusat ke Felda Lubok Merbau, dan kami cuba elakkan ceramah kami itu berdekatan dengan ceramah UMNO untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ustaz Fadhil Nor hadir ke tempat ceramah yang telah kami aturkan. Ribuan manusia menghadiri ceramah itu, dan mereka yang hadir itu bukanlah pengundi-pengundi tempatan, tetapi ramai yang datang dari luar.

Lebihkurang 2 km dari tempat ceramah Ustaz Fadhil itu adalah ceramah UMNO dan penceramahnya ada Ketua Pemuda UMNO iaitu Najib Tun Razak yang diadakan di Balai Raya Felda Lubok Merbau.

Kawasan Balai Raya itu tidaklah jauh dari Markaz PAS. Saya dan beberapa orang yang lain bertugas di Markaz dan beberapa orang lagi mengambil tugas untuk menjaga poster-poster yang kami pasang supaya tidak diturunkan atau dibakar oleh puak-puak UMNO yang sentiasa bersikap seperti samseng.

Semasa Ustaz Fadhil Nor sedang berceramah dan pada masa itu Ceramah UMNO sudah berakhir, kami mendengar jeritan bahawa petugas-petugas kami dipukul dan jatuh bergelimpang didalam longkang.

Dari Markaz kami berkejar ke tempat kejadian yang tidak begitu jauh dari Markaz kami, dan kami lihat 2 orang sudah terbaring, seorang berlumuran darah dan seorang lagi hanya terbaring.

Kami membawa kedua-duanya ke Markaz. Yang berlumuran dengan darah dan yang seorang lagi itu kami segera hantar ke Hospital.

Tidak berapa lama, kami mendengar perkhabaran bahawa salah seorang yang dibawa ke Hospital itu telah meninggal dunia.

Beliau adalah Othman Talib. Rupa-rupanya beliau telah dipukul atau dihentak diatas kepalanya, walaupun tidak berdarah tetapi hentakan itu adalah sangat parah. Maka gugurlah Othman Talib sebagai seorang yang syahid, mempertahankan Islam.

Saya dan Syed Ibrahim, iaitu AJK PAS Pusat yang juga seorang peguam, telah pergi ke Balai Polis Lubok Merbau untuk membuat laporan polis. Kami dikawal oleh pihak Polis sepanjang masa kami berada di Balai Polis itu.

Apabila saya balik ke Markaz ribuan manusia yang menghadiri ceramah Ustaz Fadhil tadi sudah berkumpul di Markaz.

Saya telah rundingkan dengan pihak Polis untuk menyediakan pengangkutan untuk sesiapa yang mahu keluar dari Lubok Merbau, dan pihak Polis mengadakan pengangkutan yang secukupnya.

Akhirnya, tinggallah kami entah berapa kerat di Markaz itu, tetapi saya sentiasa diawasi oleh kumpulan P.A.S yang mengatakan bahawa keselamatan saya didalam jagaan mereka.

Kumpulan P.A.S yang menjaga kami itu turut berhubung dengan kumpulan mereka yang berada dipihak UMNO, dan kedua-dua pihak memberi jaminan bahawa mereka tidak terlibat dengan tindakan jahat puak-puak UMNO itu.

Pada waktu malam itu, kami berjaga di Markaz PAS, tidur secara bergilir-gilir dan kami memang bersiap sedia menghadapi apa-apa kemungkinan jika diserang oleh pengganas-pengganas UMNO itu.

Disitulah saya lihat siapa wira dan siapa pengecut, dan saya memang tidak hormat kepada golongan pengecut yang berdahulu-dahuluan meninggalkan markaz PAS itu dan yang hanya mahu menyelamatkan diri sendir.

Naza'ie meminta saya meninggalkan Markaz PAS itu untuk mengelakkan kemungkinan keselamatan saya terjejas. Tetapi saya enggan meninggalkan Markaz itu, saya berikrar bersama Man Kadir (Pak Jabit) dan Pak Harun bahawa kami akan berada di Felda Lubok Merbau sehingga selepas Pilihanraya itu untuk mempastikan Naza'ie dan keluarganya tidak diganggu oleh penjahat-penjahat UMNO, dan anggota-anggota P.A.S juga mengambil ikrar yang sama.

Setelah PRK itu saya kembali ke Temerloh dan didalam ceramah yang diadakan di Darul Amin, Temerloh, saya turut melahirkan rasa dukacita dan kesal saya dengan perangai sesetengah ahli dan pemimpin PAS yang meninggalkan kami di Felda Lubok Merbau untuk berhadapan dengan penjahat-penjahat UMNO. Apa-apa boleh berlaku kepada kami.

Sebagai mengenangkan peristiwa itu, saya tuliskan dua buah buku diatas tajuk yang sama iaitu PERISTIWA BERDARAH FELDA LUBOK MERBAU DAN PERISTIWA BERGAMBAR FELDA LUBOK MERBAU.

Kedua-dua Buku ini telah diharamkan, dan saya diberitahu tentang pengharaman buku-buku ini semasa saya berada didalam tahanan ISA.

Nostalgia Felda 1980-an - Dihalang Memasuki Felda Lubok Merbau

Posted: 02 Jun 2011 05:06 PM PDT

Didalam jelajah saya ke rancangan-rancangan Felda di seluruh Negara, saya menerima cabaran untuk memasuki Felda Lubok Merbau di Kedah. Saya diberitahu bahawa rancangan ini "sangat keras". Saya diberitahu bahawa Dato Asri Haji Muda, semasa menjadi Presiden PAS pun dihalang dari memasuki rancangan Felda ini. Tidak ada pemimpin-pemimpin tertinggi PAS yang dapat memasuki Felda Lubok Merbau.

Begitu keras dan begitu tegas Pengurus Rancangan itu. Beliau betul-betul memainkan peranan sebagai "anjing" UMNO, setia betul dengan tuannya.

Saya sampai ke Felda Lubok Merbau jam lebihkurang 4.00 petang. Gate ke rancangan itu ditutup rapat. Apabila saya sampai di gate itu, datanglah seorang yang agak segak juga, bertanya kepada saya sesuatu, dan apabila saya nyatakan saya mahu melawat seorang kenalan saya di rancangan itu, dia terus menanyakan nama saya.

Saya jawab dengan baik: HAJI SUHAIMI SAID.

"Minta maaf Encik, saya tidak dapat benarkan Encik masuk, kerana nama Encik sudah disenarai-hitamkan oleh Felda," katanya.

Tidak ada jalan untuk saya masuk, gate itu terus ditutup semula, maka berpatahlah saya dari tempat saya mula datang. Mencari-carilah saya akan rumah ahli PAS di kampong-kampong berdekatan.

Saya ternampak bendera PAS terpasang disebuah rumah di sebuah kampong yang tidak jauh dari Felda Lubok Merbau. Setelah bertemu dengan Tuan Rumah, seorang ahli PAS, saya ceritakan apa yang berlaku sebentar tadi.

Saya memohon kepada beliau untuk meminjam motorsikalnya, dan baju serta seluar kerjanya. Saya pakai baju dan seluarnya, serta topi kerjanya, dan saya pinta dia bawa kereta saya masuk ke Felda Lubok Merbau.

Menggunakan motorsikal, berpakaian seperti seorang petani, saya memasuki Felda Lubok Merbau tanpa sebarang halangan.

Di sana, saya terus mencari rumah seorang Ahli PAS yang telah diberikan nama dan alamatnya kepada saya. Saya berjumpa dengan ahli PAS itu, dan saya menyatakan bahawa saya mahu mengadakan ceramah di rumahnya. Mula-mula dia mengatakan bahawa ceramah PAS di Lubok Merbau tidak akan mendapat sebarang sambutan kerana disana hanya ada dua-tiga orang saja Ahli PAS. Tetapi apabila saya desak juga dia supaya diadakan ceramah, dia pinta izin untuk menjemput beberapa orang Ahli PAS yang ada di rancangan itu.

Datanglah seorang anak muda. Dia adalah seorang Ahli PAS, rupanya dia bertugas di Pejabat Felda. Setelah berbincang dengannya, dia bersetuju diadakan ceramah PAS.

Dia kembali ke Pejabat Felda dan dia gelek 200 naskhah jemputan ceramah kepada peneroka-peneroka Felda Lubok Merbau dan dia sendiri yang edarkan.

Malam itu lebih kurang 20-30 penduduk telah hadir ke Majlis Ceramah itu. Saya sempat berucap selama lebih kurang 1/2 jam sebelum Rumah itu dihujani dengan kayu dan batu yang dibaling oleh ahli-ahli UMNO yang berkumpul di luar rumah.

Walaupun ceramah itu terhenti begitu sahaja, tetapi kesannya amat meluas. Seorang yang hadir itu adalah Bendahari kepada salah satu cawangan UMNO di Felda Lubok Merbau. Dia menyatakan bahawa dia terasa sangat malu dengan kejadian malam itu, dan dia terus umumkan dia keluar dari UMNO dan pada malam itu juga mengisi Borang PAS bersama beberapa orang yang lain yang hadir.

Saya tinggal di Felda Lubok Merbau buat beberapa hari dan dalam tempoh itu berjaya mendapatkan beberapa orang lagi peneroka-peneroka untuk menyertai PAS. Memang mereka itu menyokong PAS tetapi mereka takut untuk menjadi Ahli PAS. Saya memberikan jaminan kepada mereka bahawa jika Felda menyingkirkan mereka dari rancangan kerana mereka itu Ahli PAS, saya memberikan khidmat guaman percuma kepada mereka untuk menghalang Felda menyingkirkan mereka.

Setelah beberapa hari disana dan akhirnya berjaya menubuhkan Cawangan PAS di Felda Lubok Merbau, saya kembali ke Temerloh, Pahang.

Ditakdirkan oleh Allah swt, Ahli Parlimen kawasan Padang Terap dari UMNO meninggal dunia tidak lama selepas itu, dan Ustaz Fadhil Nor meminta saya bertugas di Felda Lubok Merbau, dan episode itu akan saya catatkan didalam rencana selepas ini atas tajuk PERISTIWA BERDARAH FELDA LUBOK MERBAU.

Hutang RM72,000.00, kena bayar RM117,000.00

Posted: 02 Jun 2011 03:56 PM PDT

Perangkap "cess" untuk peneroka-peneroka Felda Jengka 22 adalah suatu mimpi ngeri yang akan ditanggung mereka selama 15 tahun. Najib Tun Razak menawarkan "bayaran cess" kepada peneroka-peneroka itu dengan syarat-syarat yang akan membebankan peneroka-peneroka, iaitu peneroka-peneroka akan dikenakan bayaran BK kepada Felda sebanyak RM650.00 sebulan jika peneroka-peneroka itu menerima bayaran cess sebanyak RM13,000.00.

Kesemua dari peneroka-peneroka Felda Jengka 22 menanam semula ladang mereka melalui Felda Plantation dari getah kepada kelapa sawit. Mereka berhak mendapat RM18,000.00 daripada pihak RISDA.

Jika mereka menanam sendiri, wang itu akan diserahkan oleh RISDA kepada peneroka mengikut kemajuan, dan wang itu tidak dikenakan bayaran kembali kerana wang cess adalah wang yang terkumpul dari jualan hasil getah mereka selama 20-25 tahun untuk tujuan tanam semula. Wang cess ini diperuntukkan kepada semua pekebun kecil getah, samada pekebun kecil di kampong atau di dalam rancangan Felda.

Apabila sesuatu agensi seperti Felda melaksanakan tanam semula bagi pihak peneroka, wang cess itu dibayar terus kepada Felda sebagai kos tanam semula. Inilah yang berlaku kepada peneroka-peneroka di Felda Jengka 22.

Tetapi apabila Felda mengembalikan wang cess dengan syarat peneroka-peneroka itu membayar kembali hutang mereka (BK) kepada Felda diatas kadar RM650.00 sebulan, ada beberapa persoalan yang perlu ditanya dan perlu dijawab.

(a) Tidakkah Felda sudah menggunakan wang cess itu sebagai menampung kos tanam semula?
(b) Jika wang cess itu digunakan untuk kos tanam semula, maka hutang peneroka-peneroka Jengka 22 itu daripada Felda untuk kos tanam semula hendaklah mengambil kira bayaran RM18,000.00 ini.
(c) Peneroka-peneroka juga membayar sebanyak RM4.00 bagi setiap ekar sebulan untuk dana tanam semula dan Felda memperakukan bahawa bayaran ini dikiran RM17,000.00 (untuk 10 ekar) untuk tujuan tanam semula.
(d) Ini bererti peneroka sudah pun menjelaskan RM17,000.00 + RM18,000.00 = RM35,000.00 untuk kos tanam semula.
(e) Ini juga bererti bahawa Felda tidak lagi perlu mengenakan sebarang hutang kepada peneroka Felda apabila peneroka menyerahkan ladang mereka untuk ditanam semula oleh Felda atau agensinya Felda Technoplant.
(f) Jika wang cess ini telah digunakan untuk tujuan tanam semula, dan wang itu sudah dibayar oleh RISDA kepada Felda, maka tidak timbul lagi masalah wang cess itu dikembalikan kepada peneroka-peneroka kerana sudah pun digunakan untuk tanam semula dan dengan itu mengurangkan kos tanam semula yang perlu dibebankan kepada peneroka-peneroka.

Maka bayaran cess kepada peneroka-peneroka Felda Jengka 22 semasa Pilihanraya Kecil DUN Kerdau dahlulu adalah satu manipulasi politik, suatu rasuah politik oleh Barisan Nasional untuk membeli undi daripada peneroka-peneroka.

Disamping itu pula, bayaran cess itu menjadi perangkap kepada peneroka-peneroka untuk dibebankan dengan hutang yang bertambah.

Sehingga bulan Januari 2011, hutang peneroka-peneroka Felda Jengka 22 sudah meningkat kepada RM72,000.00 dan peneroka-peneroka dikenakan BK kepada Felda sebanyak RM250.00 setiap bulan.

Tetapi dengan menerima RM13,000.00 daripada Felda kononnya untuk pengembalian wang cess, peneroka-peneroka itu dikenakan membayar BK diatas kadar RM650.00 sebulan, maka dengan sendirinya hutang peneroka-peneroka itu ditambah dari RM72,000.00 kepada RM117,000.00.

Apa-apa pun peneroka-peneroka Felda Jengka 22 telah diperangkap oleh Felda dengan beban hutang yang jauh lebih besar semata-mata kerana mereka "makan umpan" bayaran wang cess.

Tanggungan hutang itu terbeban keatas peneroka-peneroka. Jalan keluar bagi peneroka-peneroka itu ialah bersatu untuk menolak hutang baru yang dikenakan hasil dari menerima "wang cess" itu.

Dari segi prosedurnya, wang cess tidak dikenakan bayaran kembali, dan apabila Felda mengenakan bayaran kembali kerana bayaran wang cess itu, maka itu adalah satu penipuan yang jelas dan nyata.

Tiada ulasan: