Rabu, 15 Jun 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Inkues Belakangi Keluarga Sarbaini, Kata Peguam Hak Asasi

Posted: 15 Jun 2011 02:51 AM PDT

Dari The Malaysian Insider

Tindakan Putrajaya mengadakan inkues tanpa mengambil kira pandangan keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed, yang masih mahukan suruhanjaya diraja siasatan, satu langkah tidak menghormati mereka, kata peguam N Surendran dari Lawyers For Liberty.

Ini kerana jelas Surendran, pandangan atau pendirian keluarga penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia perlu diambil kira dalam setiap keputusan yang mahu dibuat Putrajaya termasuk mengadakan inkues bagi mencari punca kematian.

"Sudah pasti kerajaan perlu mengambil kira pandangan keluarga Ahmad Sarbaini sebab mereka ada hak dan tindakan kerajaan ini langsung tidak menghormati mereka sebagai keluarga… saya difahamkan mengenai inkues ini juga keluarga tidak tahu.

"Sepatutnya polis perlu memberikan maklum balas kepada keluarga, mereka berhak tahu apa yang berlaku dan pada saya, suruhanjaya diraja adalah lebih baik daripada inkues.

"Dan, apa yang pasti tindakan kerajaan membuat keputusan tanpa memaklumkan kepada keluarga amat tidak wajar dan tidak menghormati mereka… kalau nak buat apa-apa, pandangan keluarga perlu diambil kira sebab mereka yang paling penting," katanya kepada The Malaysian Insider.

Awal pagi ini The Malaysian Insider melaporkan, anak sulung Sarbaini, Shahril, 27, menolak keputusan Putrajaya mengadakan inkues yang akan bermula 4 Julai ini. Ia akan diketuai koroner Aizatul Akmal Maharani.

Jelas Shahril (gambar, kiri), pihaknya lebih suka jika Putrajaya terus menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan berbanding inkues.

Kata Shahril, keluarga itu percaya inkues yang mahu diadakan sukar untuk mengenal pasti punca kematian selain akan melambatkan proses menuntut keadilan.

Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat sebuah bangunan SPRM pada 6 April lalu setelah dilapor pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Mengakui suruhanjaya diraja siasatan lebih baik daripada inkues, Surendran yang juga Naib Presiden PKR menegaskan, sepatutnya kedua-dua tindakan susulan itu harus dibuat selepas polis mendedahkan hasil siasatan yang masih menjadi "rahsia" sehingga kini.

Sambil menyifatkan punca kematian Sarbaini bukan "bunuh diri", beliau berkata, sepatutnya hasil siasatan polis itu sudah cukup untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

"Kes ini sepatutnya disiasat secara profesional, cepat dan pendakwaan dilakukan dengan segera… sebab menurut maklumat yang kita terima kes ini bukan bunuh diri, malah Ahmad Sarbaini juga tidak mempunyai apa-apa kekayaan luar biasa, jadi tiada alasan untuk dia bunuh diri.

"Kalau kita lihat sejak dari kes ini berlaku sehingga kini, tiada tindakan diambil, hasil siasatan juga kita tidak tahu dan tiba-tiba mahu mengadakan inkues seolah-olah macam ada sesuatu yang nak dibuat," katanya

Tegas Surendran, tindakan Putrajaya yang secara tiba-tiba mahu mengadakan inkues tidak wajar selagi hasil siasatan polis yang diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara didedahkan kepada umum, selain boleh menimbulkan persoalan mengenai status sebenar perkara itu.

"Adalah tidak wajar jika terus mengadakan inkues sedangkan hasil siasatan tidak didedahkan… saya nak beritahu inkues bukan tempat dedahkan hasil siasatan tapi tempat mencari punca kematian.

"Saya khuatir inkues yang akan diadakan ini akan dipengarui dengan banyak aspek seperti yang berlaku dalam inkues Teoh Beng Hock, sebab itu saya katakan jika polis tidak dapat buat pendakwaan lebih baik hasil siasatan didedahkan supaya kita tahu apa yang berlaku," katanya.

Surendran sekali lagi menegaskan, polis seharusnya mendedahkan hasil siasatan selain mengambil tindakan lanjut termasuk inkues atau suruhanjaya diraja siasatan.

"Bagi saya suruhanjaya diraja siasatan lebih baik daripada inkues, tetapi apa yang lebih baik sekiranya polis mendakwa mereka yang terlibat dalam kematian Ahmad Sarbaini.

"Jika polis tidak dapat cari punca kematian, dedahkan sahaja hasil siasatan mereka… melalui itu kita boleh tahu mengapa tiada tindakan diambil, tiada pendakwaan dibuat dan mungkin siasatan itu tidak sempurna," katanya.

Kematian Sarbaini merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM selepas Teoh.

Rakyat Dicandui Mimpi Muluk Umno-BN Lagi

Posted: 15 Jun 2011 12:46 AM PDT

Dari Malaysiakini
Oleh Wira Arjuna

Dalam lawatan saya ke India baru-baru ini, saban hari saya membaca iklan-iklan berbayar oleh kerajaan-kerajaan negeri di rantau itu mengenai projek-projek yang mereka telah mulakan untuk kebaikan rakyat.

Iklan itu dihiasi dengan pelbagai slogan, semuanya untuk memberikan mesej bagaimana rakyat bakal menerima manfaat begitu besar hasil pemerintahan kerajaan berkenaan.

Peliknya kerajaan-kerajaan negeri yang membuat janji-janji sedemikian sudah pun lama memerintah. Jadi jika rakyat baru dijanjikan manafaat "yang bakal" dinikmati mereka, tentunya ada sesuatu yang tidak kena.

Di sebalik iklan-iklan yang penuh dengan janji-janji sedemikian, saya hanya perlu melangkah ke luar hotel untuk berdepan dengan realiti hidup di India.

Memang diakui New Dehli, Jaipur dan bandaraya-bandaraya lain seperti Amritsar mempunyai bangunan pencakar langit dan lebuh raya sibuk dengan kereta mewah, namun ia juga penuh dengan pengemis tua, muda dan kanak-kanak.
Menyayat hati

Amat menyayat hati bila melihat ibu mendokong bayi belasan bulan yang berpakaian nipis di musim sejuk dengan suhu 10 darjah Celsius di celah-celah kotaraya, mencari makanan di tong-tong sampah.

Saya tidak dapat mengelak daripada membandingkan iklan-iklan di India itu dengan muka depan akhbar-akhbar arus perdana di Malaysia semalam mengenai kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) membabitkan pelaburan sebanyak RM2.27 bilion.

Utusan Malaysia melaporkan gabungan semua 15 inisiatif ini dalam tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) mewakili pelaburan RM63.38 bilion dan pendapatan negara kasar sebanyak RM66.13 bilion serta mewujudkan 63,531 peluang pekerjaan.

Berdasarkan laporan media itu semata-mata, nampaknya Malaysia kini memasuki era keemasan di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mungkinkah ini satu hakikat? Atau, ia sebenarnya sama seperti apa yang berlaku di India?

Kita bersyukur kerana pengemis-pengemis jalanan yang berkeliaran di negara kita kini kebanyakan mereka adalah rakyat asing; buat masa ini.

Namun siapa yang sanggup menafikan hakikat kita semua semakin merasakan kesempitan hidup.

Kos sara hidup yang melambung, tanpa kenaikan gaji yang selari, penarikan balik subsidi, kenaikan harga hampir semua barangan perlu, dari secawan kopi di gerai kepada bil elektrik – semuanya semakin mencengkam kita.

Bajet tambahan

Sehari selepas Najib mendabik dada memberitahu dunia mengenai manfaat yang bakal dikecapi rakyat daripada NKRA dan ETP tajaannya, timbalan beliau terpaksa berdiri di Parlimen memohon Belanjawan tambahan sebanyak RM13 bilion.

"Ini untuk menampung keperluan perbelanjaan menguruskan negara," kata Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek Hussain (kiri).

Bermakna Belanjawan sebelum ini yang dibentangkan oleh Najib iaitu sebanyak RM162.8 bilion tidak mencukupi.

Ini juga bermakna belanjawan Najib hanya bertahan untuk tempoh begitu singkat, dan segala unjuran oleh pakar-pakar beliau tidak menepati sasaran!

Adakah kita sanggup dibuai dengan janji-janji indah NKRA, ETP dan sebagainya atau berpegang kepada realiti hidup semasa untuk merumuskan bahawa ada sesuatu yang amat tidak kena dengan ekonomi negara kita.

Kenapa subsidi untuk rakyat ditarik balik, manakala subsidi untuk Penjana Eletrik Bebas di kekalkan?

Kenapa perlu diadakan projek mega 100 tingkat Menara Warisan bernilai RM5 bilion atau membelanjakan RM65 juta untuk mengubah suai kediaman Perdana Menteri?

Apakah keperluan untuk kerajaan bergabung dengan sektor swasta membelanjakan RM27 juta ringgit untuk mengumpul sejuta pemuda bagi beramah mesra dengan Perdana Menteri, baru-baru ini?

Keperitan hidup

Bagaimanakah Kementerian Perlancongan boleh diberi kelulusan membelanjakan RM1.8 juta untuk mengendalikan laman Facebooknya, sesuatu yang boleh dilakukan dengan belanja jauh lebih murah?

Jawapan kepada persoalan-persoalan ini tidak mungkin akan dikupas oleh media arus perdana milik kerajaan, namun ini tidak bererti rakyat tidak boleh memikirkan mengenainya.

Dalam mengharungi keperitan hidup akibat pemotongan subsidi, rakyat kini menyaksikan kerajaan yang sama memohon kepada Parlimen untuk diberikan tambahan RM13 bilion bagi pengurusan negara.

Sudah tentu ia akan memburukkan lagi defisit negara, dan jika defisit negara bertambah meruncing, apakah ini tidak bermakna rakyat akan dijadikan mangsa menerusi pemotongan subsidi yang lebih dahsyat?

Pembaziran, ketirisan dan rasuah mewarnai setiap kerajaan yang memerintah di India sejak kemerdekaan. Prinsip-prinsip yang dijulang oleh Bapa India – Mahatma Gandhi sudah lama diabaikan oleh kebanyakan ahli poltik negara itu dalam mengejar kemewahan untuk diri dan kroni.

Segelintir daripada rakyatnya adalah antara yang terkaya di dunia, namun sebilangan besar masih lagi terperangkap dalam kancah kemiskinan tegar yang amat memeritkan.

Di Malaysia, janji-janji NKRA-ETP ialah pusingan mimpi baru yang dijual oleh kerajaan Umno-BN kepada rakyat negara ini.

Ungkapan kroni, kronisme

Kita sudahpun menyaksikan bagaimana pengswastaan Tun Dr Mahathir Mohamad mempopularkan ungkapan kroni dan kronisme.

Duit rakyat beratus billion ringgit disalur untuk membayar syarikat-syarikat konsesi air, elektrik, dan sistem aliran transit ringan dan sebagainya.

Hasil jelas pemerintahan beliau, rakyat terpaksa membayar tol tinggi untuk menggunakan lebuhraya, bil elektrik dan air juga meningkatkan manakala kemudahan pengangkutan awam negara ini jauh daripada memuaskan.

Selepas Mahathir, rakyat disajikan pula rancangan-rancangan seperti Koridor Ekonomi wawasan Tun Abdullah Badawi.

Belum pun Koridor itu menjadi realiti, rakyat diminta menerima keindahan NKRA dan ETA oleh Perdana Menteri 1Malaysia Najib Razak.

Maaf jika rasa sinis saya membaca iklan-iklan akhbar berbayar kerajaan di India menyerlah sekali lagi apabila membaca "kebesaran ETP dan NKRA" di muka depan akhbar-akhbar arus perdana semalam.

Saya cuma memikirkan nasib rakyat yang terperangkap dengan segala sara hidup semakin melambung yang cuba dibuai dengan mimpi-mimpi seorang lagi Perdana Menteri Umno-BN.

This posting includes an audio/video/photo media file: Download Now

Selangor Sedia Perancangan Naik Taraf Hidup Peneroka

Posted: 14 Jun 2011 10:07 PM PDT

Dari TV Selangor

Golongan peneroka Felda di Selangor kini bakal menikmati manfaat daripada usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya melalui perancangan utamanya dalam pembentangan kertas kerja Akta Tanah (Kawalan Penempatan Berkelompok) 1960 atau GSA 1960, semalam.

Tiga perancangan utama terbabit adalah pemberian hak milik tanah kepada peneroka, pembinaan rumah mampu milik dan juga penamatan status GSA 1960.

Menurut ahli panel Dialog-Diskusi, Suhaimi Said,usaha Kerajaan Negeri Selangor ini mampu dilaksanakan dibawah peruntukan GSA 1960 sekali gus memberikan kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih Felda Plantation untuk mengurus sendiri pentadbiran tanah berkenaan.

Suhaimi yang juga pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR berkata, melalui ruang undang-undang berkenaan dibawah Seksyen 44 membolehkan kerajaan negeri menamatkan rancangan berkelompok dan mengambil semula ladang di bawah kuasa Felda.

Jelasnya lagi, peruntukkan GSA 1960 itu juga memberikan kerajaan negeri kuasa untuk mengeluarkan geran mengikut Seksyen 10 akta berkenaan.

“Macam mana hendak keluarkan daripada akta GSA 1960? Kerana Felda Plantation menggunakan senjata ini (Akta Penempatan Berkelompok) untuk mengikat peneroka-peneroka Felda dengan kontrak yang berat sebelah.

“Walau kawasan yang sudah diberikan hak milik juga mesti dijual kepada pembeli yang telah ditetapkan Felda. Dan untuk keluarkan mereka dari akta GSA 1960 ia mesti dikaji bawah kuasa 44 untuk tamatkannya,”katanya.

Suhaimi berkata demikian ketika membentang kertas kerja Akta Tanah (Kawalan Penempatan Berkelompok) 1960 atau GSA 1960 di Dewan Annex, Shah Alam.

Suhaimi berkata, melalui jawatankuasa yang ditubuhkan ini kerajaan negeri juga perlu mengambil peluang untuk mengumumkan perancangan bagi membina rumah mampu milik, khususnya untuk anak-anak peneroka Felda dari Generasi kedua dan seterusnya.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan kawasan tanah seluas lebih 30 ekar di kawasan Felda Suharto untuk dijadikan tapak bagi membina rumah mampu milik berkenaan.

Tambah Suhaimi, pihaknya juga telah mengemukakan satu kertas cadangan bagi membolehkan tanah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri sekali gus dipersetujui Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, melalui akta GSA 1960 ini juga kerajaan negeri bersedia untuk mengeluarkan geran tanah kepada para peneroka.

“Felda Plantation ada hak untuk membantah keputusan kerajaan negeri, namun kuasa kerajaan negeri terhadap tanah-tanah rancangan Felda sangat besar dan luas sekali gus mempunyai hak untuk mengeluarkan geran,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut salah seorang lagi ahli panel Dialog-Diskusi, Mazlan Aliman, usaha yang dilakukan bagi golongan peneroka ini berkenaan sepatutnya ditawarkan dalam pakej seperti manisfesto Buku Jingga Pakatan Rakyat.

“Ini akan jadi isu utama yang kita akan jadikan peluru pilihan raya. Oleh itu, untuk pilihan raya akan datang Felda bukan lagi talian hayat BN dan tidak mustahil kubu-kubu kuat mereka inilah yang akan menjadi kubu terakhir yang runtuhkan BN,” kata pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan itu lagi dalam majlis perbincangan sama.

Hadir sama dalam pembentangan kertas kerja Akta Tanah (Kawalan Penempatan Berkelompok) 1960 ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pakar perundangan, barisan exco Kerajaan Negeri dan lebih 60 orang ahli majlis serta peneroka.

Pada majlis Dialog-Diskusi Akta Tanah (Kawalan Penempatan Berkelompok) 1960 Felda Selangor itu juga satu jawatankuasa khas Felda Negeri Selangor telah ditubuhkan bagi menasihati kerajaan negeri Selangor mengenai langkah yang boleh diambil untuk membela masyarakat Felda di negeri itu.

Bagaimanapun, jawatankuasa yang telah ditubuhkan sejak lebih setahun itu sebelum ini dikepalai oleh Datuk Zaid Ibrahim sebelum bertindak keluar daripada PKR dan kini mengetuai parti baru KITA.

ETP-EPP Hanya Jana Kekayaan Atas Kertas

Posted: 14 Jun 2011 10:02 PM PDT

Dari Harakah

PAS menganggap Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga kini hanya mampu 'menjana kekayaan atas kertas'.

"Saya membangkitkan dalam soalan tambahan saya tentang Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sehingga kini hanya mampu 'menjana kekayaan atas kertas' dan masih belum menggarap 'kekangan utama' atau critical bottle-neck yakni persoalan modal insane atau skilled workforce," kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, Najib pada 2 hari lalu, mengumumkan 9 inisiatif baru di bawah ETP bernilai pelaburan RM2.77 bilion dengan jangkaan kesan Pendapatan Negara Kasar (GNI) RM18.67 bilion serta bakal mewujudkan 36,595 pekerjaan menjelang 2020.

Tambahnya, terdahulu PM telah mengumumkan dalam tempoh yang singkat, iaitu dari Oktober 2010 hinggalah April 2011, 70 projek pelaburan yang berpotensi, didakwa bakal memperolehi jumlah pelaburan RM106.4 bilion, mencipta 298,865 peluang pekerjaan dan jumlah pendapatan penduduk (GNI) sebanyak RM153.83 bilion menjelang tahun 2020.

Menurutnya, mutakhir ini berdepan dengan PRU ke-13 yang boleh sahaja beliau umumkan bila-bila masa, Najib semacam terlalu ghairah untuk menyuntik rasa sedap atau feel-good factor di kalangan rakyat Malaysia dan khususnya di kalangan masyarakat bisnes.

"Saya ingatkan PM, sementara saya menyanjungi usaha gigih beliau, saya juga ingin mengingatkan PM supaya tidak keterlaluan dalam membuat pengisytiharan propjek-projek EPP-ETP ini kerana ia bakal memberi kesan sebaliknya khususnya pada pasaran saham yang menjana paper wealth atau kekayaan ke atas seperti yang telah hangus dan lesap berjumlah RM52bilion dari pegangan ekuiti saham bumiputera dari jumlah sebelumnya RM54 bilion!" ujarnya.

Katanya, lebih khusus lagi dan menjadi lebih malang mutakhir ini ialah apabila pengisytiharan demi pengisytiharan yang dibuat Perdana Menteri, apa yang berlaku hanyalah "kekayaan di atas kertas" khususnya kepada syarikat-syarikat yang disebut-sebut, yang masih dalam pelbagai peringkat komitmen bertaraf pelbagai 'bintang'.

Beliau berkata, harga saham GLC atau syarikat besar swasta telah melonjak seandainya namanya tersenarai dalam EPP-ETP.

Malah, ujarnya ada yang dua kali ganda kadar lonjakan harga sahamnya, antara syarikat yang bermodal kecil yang namanya tersenarai dalam ETP, misalnya Tricubes Bhd yang menanggung kerugian sebelum ini, Karambunai CorpBhd, Petaling Tin Bhd dan lain-lain.

Sebagai contoh, katanya harga saham Tricubes Bhd melonjak dari 5.5 sen pada 18 April kepada 32.5 sen pada 22 April, setelah diumumkan bahawa syarikat ini menerima projek Emel 1Malaysia, bersamaan kadar lonjakan 491%.

Katanya, paling mutakhir saham Tricunes merudum kembali ke paras 10.5 sen.

"Umum tahu bahawa syarikat ini tergolong dalam syarikat GN3 atau dengan kata lain, mempunya permasalahan hutang yang perlu di'strukturkan' pembayarannya," katanya.

Tiada ulasan: