Anwar Ibrahim |
- Siri Jelajah Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Selangor & Negeri Sembilan
- Avatar Video Seks
- Scorpene, Altantuya, Inflasi: Tekanan untuk Najib
- Apakah Umno-BN Faham Erti Negara Berkebajikan?
- Pendedahan PPA: TNB Terus Mengelak…
- Dedah PPA Kepada Rakyat, Bukan Hanya Ahli Parlimen- Saifuddin
Siri Jelajah Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Selangor & Negeri Sembilan Posted: 08 Jun 2011 05:51 PM PDT 10 Jun 2011 (Jumaat) Program 1 – Selangor 9.00 – 12.00 Malam – Ceramah Perdana 1 Lokasi : Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang Penceramah:
Program 2 – Negeri Sembilan 9.00 – 12.00 Malam – Ceramah Perdana 2 Lokasi: Kampong Sirusa, Batu 4, Port Dickson Penceramah:
|
Posted: 08 Jun 2011 06:56 AM PDT OLEH HASMI BIN HASHIM "If they can make Avatar, they can make every thing". ~ Dr Mahathir Mohamad. Kata-kata itu tak kosong. Ia adalah sebuah keyakinan hati mantan perdana menteri ke-4. Samalah ketika ditanya apa yang beliau mahu selepas melepas jawatan Perdana Menteri, dengan nada seloroh dan jenaka katanya, "saya nak jadi Agong, mereka tak kasi". Dari kaca mata politik-kekuasaan, itu bukan jenaka—walaupun nadanya terdengar seperti mudah dan seloroh. Maka, "Avatar" yang dimaksudkan Dr Mahathir seolah-olah apa sahaja gambaran dapat dibuat—termasuk, tentu sahaja, video seks yang pelakonnya menyamai wajah sesiapa sahaja. Termasuk wajah Anwar Ibrahim. Anwar tetap musuh nombor satu beliau. Sekali Dr Mahathir pernah coba menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri; tak ada alasan untuk beliau dengan mudah melepaskan Anwar pada mana-mana waktu. Meskipun selepas beliau berundur daripada jawatan PM, ia bukan sebab untuk tidak terus menyerang Anwar. Kemarahan terbesar Mahathir kepada Abdullah Badawi, dalam pengamatan saya, bukanlah kerana Barisan Nasional (BN) hilang banyak kerusi di dalam Pilihanraya Umum ke-12. Di bawah kritikan mendesak Abdullah berundur, tentulah kerana Abdullah dilihat 'membebaskan' Anwar. Apabila Anwar bebas, maka oposisi terpandu untuk kembali mengejar jejak ke Putrajaya. Inilah yang paling ditakuti Dr Mahathir. Beliau tanpa sedar atau tidak, pernah mengakui akan lari dan tinggal di luar negara kalau Anwar berjaya menjadi perdana menteri. Ternyata, walaupun selepas Dr Mahathir berundur daripada jawatan PM, kerja politik beliau tidak terhentikan. Beliau masih coba aktif mengatur itu-ini. Orang-orangnya masih ramai. Kepentingan dan sumber ekonomi yang mahu beliau pertahan, tetap sahaja banyak. Sementara di dalam diam-diam, timbul nama Shazryl Eskay Abdullah—seorang yang pernah mempunyai kepentingan langsung terhadap projek Jambatan Bengkok. Apakah kita lupa bagaimana projek Jambatan Bengkok adalah antara projek emas Dr Mahathir. Di sinilah hubungan antara Dr Mahathir-dengan-Eskay yang tak dapat disembunyikan. Watak-watak lain di dalam drama pendedahan video seks yang didedahkan Eskay juga punya hubungan terus dengan Dr Mahathir. Terutamanya Rahim Tamby Chik, mantan Ketua Menteri Melaka. Rahim, malah di dalam satu kenyataannya menyebutkan bagaimana beliau percaya karier politiknya dahulu pernah dibinasakan oleh Anwar yang ketika itu adalah Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri. Rahim sendiri mengakui beliau bertanya kepada Dr Mahathir, apakah Dr Mahathir yang menyebabkan kes "rogol budak bawah umur" dibawa ke mahkamah? Khabarnya Dr Mahathir menafikan. Lalu menuduh ia disebabkan Anwar. Rahim konon-kononnya percaya sehingga ramai sekali orang percaya hal itu, langkah Rahim kali ini tak lebih hanya untuk membalas dendam terhadap Anwar. Di dalam riuh-riuh kes video seks, terdengar pula nama Shuib Lazim. Beliau adalah orang kuat Perkasa. Jawatannya penting iaitu sebagai Bendahari Agung. Maka dengan mudah kita bisa faham bagaimana Perkasa tak lain adalah sebuah "kenderaan politik" Dr Mahathir. Tak hairan juga bagaimana Perkasa jadi antara pehak yang paling banyak membuat komen terhadap video seks berkenaan melalui presidennya, Ibrahim Ali. Begini, konspirasi tetap konspirasi. Hal "perut boroi" jadi kantoi sehingga menimbulkan pertanyaan meluas apakah benar pelaku di dalam video berkenaan adalah tulen Anwar? Polis melalui Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar hanya berani menyebutkan bahawa video itu tulen, tetapi tak berani menyatakan bahawa Anwar-lah pelaku di dalam video yang kemudiannya tersebar meluas di Youtube. Alasannya ialah tak ada keperluan undang-undang untuk mendedahkan lelaki pelakunya—sedangkan beliau terlupa, apakah ada peruntukan undang-undang untuk menyatakan video itu tulen atau tidak? Keadaan ini hanya menimbulkan satu lagi keraguan. Melihat pengalaman dua kali fitnah yang dilempar ke atas Anwar, pehak polis sebelum ini begitu tangkas untuk bertindak—meskipun banyak tindakan polis bukan sesuatu yang mengikut lunas undang-undang. Sebagai contoh, serbuan segera yang dibuat di rumah Anwar pada malam 20 September 1998; apakah sepenuhnya mengikut undang-undang? Begitu juga tangkapan kali kedua terhadap Anwar di hadapan simpang rumah beliau di Bukit Segambut—selepas Saiful Bukhari membuat aduan konon beliau diliwat—juga sangat jauh daripada mengikut undang-undang. Lantaran itu, 'kelembapan' polis bertindak kali ini menunjukkan bagaimana sesungguhnya Polis juga tahu apakah pelaku di dalam video berkenaan bernar-benar Anwar atau tidak. Arakian langkah tidak mengumumkan pelakunya hanya meninggalkan persepsi negatif di dalam fikiran masyarakat (khususnya orang Melayu) terhadap Anwar. Dalam kata mudah, orang Melayu khususnya di luar bandar yang susah mendapat maklumat barangkali telah menyakini bahawa pelaku seks itu adalah Anwar. Sebab itu kes ini adalah kes politik. Sebab itu tindakan pehak polis, khususnya Khalid sendiri boleh ditafsir juga sebagai "langkah politik" yang telah memenangkan sang konspirator dan pemerintah Umno-BN. Gelanggang politik Malaysia bukanlah sebuah gelanggang yang terlalu besar dengan para pemain utama terlalu ramai. Balik-balik orang itu, orang itu jugalah. Lantas, adalah sesuatu yang sangat mustahil apabila seorang perdana menteri, seperti Najib Razak tidak mengetahui lebih awal mengenai sebuah rakaman video seks yang dikatakan melibatkan musuh politik nombor satu beliau sendiri. Ya, seperti kata Dr Mahathir, "kalau Amerika boleh buat [filem] Avatar," apa sahaja boleh dibuat secara visual dan filem. Untuk membentuk wajah Anwar sedang melakukan hubungan dengan seorang wanita (dikatakan pelacur) Cina, bukanlah terlalu sukar. Belanjanya juga bukanlah terlalu mahal, dan tak perlu dibuat sampai ke Hollywood. Saya tak fikir Najib tak tahu semua ini—tapi untuk mudah-mudah lepas tangan kononnya beliau 'bersih' tak terlibat, dan kononnya Umno juga tak ada kena -mengena di dalam komplot kali ini adalah satu kenyataan hipokrit. Lebih-lebih lagi, hari pertama video itu mahu ditayang; ia ditayangkan kepada editor-editor kanan media perdana—orang yang tentu sahaja mempunyai hubungan terus dengan HP dan emel Najib. Sejak era Dr Mahathir sebagai PM, Najib bukanlah seorang menteri yang bersarang idea yang lebih hebat daripada Dr Mahathir. Najib selalunya menurut sahaja apa kehendak Dr Mahathir. Lalu, tidak mustahil untuk Najib sekali ini memberi restu kepada sebuah rakaman video fitnah yang sudah siap dibuat untuk dipublikkan seraya apa yang beliau perlu katakan cukup mudah, iaitu "Umno tak terlibat". Namun kata-kata sedemikian tidak semestinya dapat membersihkan Umno daripada dosa yang maha besar. Dalam arti kata lain, kerosakan selepas lebih sedekad, dengan konspirasi demi konspirasi menjadikan orang Melayu dalam tak sedar telah belajar berbohong. Melihat pembohongan sebagai sesuatu yang seakan-akan diizinkan demi mencapai matlamat apapun. Termasuklah matlamat politik. Media milik Umno, khususnya Utusan Malaysia juga dilihat tidak memainkan isu ini cukup kuat. Andailah memang pelakunya Anwar, kita yakin Utusan akan mencetak foto petikan video berkenaan saban hari di muka surat depan, di samping tak perlu bersusah payah mengalih isu kepada isu sumpah. Belum pernah di dalam kehidupan budaya orang Melayu, sebegini bobrok dan hodohnya digambarkan wajah tamadun bangsa Melayu. Inilah dosa besar dua pimpinan Umno, iaitu Dr Mahathir dan Najib di mana mereka boleh dikatakan sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa. Itu mereka punya pasal. Orang Melayu sendiri sesungguhnya harus menolak amalan politik ala Mahathir-Najib ini. Kita tidak boleh lagi mendiamkan diri dan menerima fitnah sebagai satu amalan biasa politik. Memang tak ada lagi alasan untuk menerima Umno yang ternyata telah merosakkan akal-budi bangsa sampai ke tahap ini. Menolak Umno buat sekali ini berarti menyelamatkan bukan sahaja negeri, malah menyelamatkan bangsa daripada terus binasa; tenggelam dengan fitnah—sepertimana sebelum ini Tuhan menghancurkan bangsa-bangsa yang menjadi fitnah sebagai sebahagian daripada makanan harian mereka. Saya percaya, Melayu tidaklah selemah itu. |
Scorpene, Altantuya, Inflasi: Tekanan untuk Najib Posted: 08 Jun 2011 12:25 AM PDT Dari Merdeka Review Perbicaraan mahkamah berhubung kes pembelian kapal selam oleh kerajaan Malaysia yang didakwa mempunyai gejala rasuah bakal berlangsung di Perancis. Sekali lagi, Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Najib Razak dihantui kes pembunuhan Altantuya, yang didakwa berkait rapat dengan pembelian kapal selam dengan bayaran komisen yang tinggi. Kini, arus inflasi semakin menderas. Model Ekonomi Baru pula sukar menampakkan keberkesanannya. Najib (gambar kiri) berdepan dengan perebutan sumber dalam UMNO. Sayap kanan dalam parti mungkin mengambil kesempatan untuk menekan agar Najib berundur – seandainya Najib gagal memulihkan keadaan, lebih-lebih lagi menjadi liabiliti dalam parti – berikutan skandal yang terpalit pada dirinya. Untuk Najib, beliau berdepan dengan pelbagai rintangan – dalam pertimbangannya untuk mengumumkan pilihan raya umum awal sebagai strateginya membalas serangan. Kes pembunuhan Altantuya Berkali-kali PKR mengaitkan kes pembelian kapal selam dengan kes pembunuhan wanita Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu. Ketiga-tiga orang tertuduh, Razak Baginda, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didakwa mempunyai hubungan dengan Najib. Razak Baginda, adalah think tank untuk Najib; sementara Ketua Inspektor Azilah dan Koperal Sirul didakwa sebagai pengawal Najib. Najib terpaksa menjawab isu ini setelah diserang bertalu-talu oleh Anwar Ibrahim dalam PRK Ijok pada tahun 2007. Najib mendakwa dirinya tidak mengenali Altantuya, dan Kementerian Pertahanan membuat kenyataan bahawa wang bernilai 114.96 juta Euro (kira-kira RM535.8 juta) yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd bukan “komisen”, tetapi kos perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama enam tahun. Syarikat Perimekar dimiliki isteri Razak Baginda (gambar kanan). Selepas empat tahun, kes ini hampir melabuh tirai, dengan Razak Baginda dibebaskan, sementara Azilah dan Sirul dijatuhkan hukuman mati. Kedua-dua tertuduh boleh membuat rayuan, namun perbicaraan belum berlangsung sebagaimana yang diketahui buat setakat ini. Sebelum Najib mengorak langkahnya untuk menjadi PM, beliau dihujani tuduhan daripada Raja Petra Kamaruddin (RPK) dan penyiasat persendirian Balasubramaniam a/l Perumal, yang membuat akuan bersumpah untuk membabitkan Najib dan isterinya Rosmah Mansor dalam kes Altantuya (gambar kiri). RPK melarikan diri ke luar negeri, dan tampil di TV3 pada April 2011 – semasa pilihan raya negeri Sarawak – untuk menafikan bahawa dirinya yang membuat tuduhan terhadap Najib dan Rosmah, sebaliknya hanya mendedahkan maklumat yang diterimanya dari sumber. Bagaimana sekalipun pertikaian selanjutnya tentang “pengakuan” RPK ini, yang penting adalah Najib telah mendakwa bahawa nama dirinya “dibersihkan” lantaran daripada wawancara TV3 tersebut. Sejauh manakah impak isu ini, yang dibangkitkan semula selepas empat tahun berlalu? Perbicaraan bakal bermula di Perancis Pengarah SUARAM, Cynthia Gabriel berkata kepada MerdekaReview, perbicaraan kes pembelian kapal selam ini akan bermula dalam tempoh sebulan dua akan datang mengikut prosedur mahkamah Perancis. Lebih banyak maklumat dalaman yang terperinci bakal didedahkan pada ketika itu. Cynthia (gambar kanan) menjelaskan bahawa buat masa kini rakyat gagal memperolehi dokumen-dokumen ini daripada kerajaan Malaysia lantaran daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA). Namun, dokumen berkenaan boleh diperolehi daripada Perancis setelah perbicaraan mahkamah bermula, malah hakim boleh memanggil saksi untuk memberi keterangan di mahkamah. Sebelum ini, Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi mendakwa bahawa dirinya sedia memberi keterangan di mahkamah Perancis seandainya dibenarkan kabinet. Bagaimanapun, Cynthia berkata mahkamah di Perancis tidak boleh mewajibkan kehadiran Menteri Malaysia di mahkamah kerana melibatkan isu kedaulatan negara. Setakat ini belum diketahui apakah maklumat dalaman yang bakal didedahkan. Namun demikian, PKR baru-baru ini mendakwa bahawa ada “pihak ketiga” yang menemani Razak Baginda dan Altantuya dalam lawatan mereka ke Macau. Tanpa menamakan identiti “orang ketiga” itu, PKR mendesak Najib agar menunjukkan passportnya untuk membuktikan dirinya tidak terlibat. Kita tidak lupa bahawa Najib pernah bersumpah atas nama Allah bahawa dirinya tidak kenal Altantuya – di depan kira-kira 900 orang pemimpin akar umbi UMNO, pada Julai 2008. Seandainya apa-apa bahan bukti dalam mahkamah Perancis menunjukkan bahawa Najib mengenali Altantuya, maka beliau bakal berdepan dengan krisis integritinya. Najib mungkin menjadi liabiliti UMNO Di samping itu, Model Ekonomi Baru (MEB) yang diketengahkan Najib mencungkil saraf golongan sayap kanan dalam UMNO, yang menentang hebat rancangan ekonomi tersebut. Najib perlu menjelaskan bahawa ia sekadar “cadangan”, selepas bahagian pertama MEB dikemukakan – memperlihatkan rintangan yang dihadapinya dalam parti. Najib kini tersepit dalam dilema. Politik naungan telah lama berakar umbi dalam UMNO. Najib tidak boleh kembali ke pangkal jalan untuk meneruskan pendekatan perkauman yang ekstrem, pada masa yang sama “Najibnomics“-nya yang tidak meneliti masalah struktur juga gagal mentransformasikan ekonomi negara. Negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 setakat sasaran – realitinya rakyat terus bergelut dalam suasana inflasi yang menekan. Mereka yang menguasai sumber pada masa yang sama menggenggam kuasa. Perebutan sumber bertambah rancak apabila sumber semakin berkurang. Kenaikan tarif elektrik, pengurangan subsidi untuk bahan api, cukai perkhidmatan yang melonjak dari 5% hingga 6% – segala-gala ini membuat rakyat merasakan bahawa khazanah negara semakin kekosongan dipunggah, dan kerajaan kini perlu menyedut wang dari rakyat. Zahid Hamidi berpaling tadah? Kini, pergelutan dalam UMNO sendiri menjadi menarik. Kenyataan Zahid Hamidi yang mendakwa dirinya bersedia untuk memberi keterangan di mahkamah – dengan syarat dibenarkan kabinet – juga menarik. Beliau meletakkan semua beban atas bahu Najib, sebagai Ketua Kabinet – untuk menentukan sama ada beliau boleh atau tidak untuk tampil di mahkamah Perancis. Zahid (gambar kiri, kanan) dilihat sebagai “orang Najib” dalam pemilihan UMNO pada tahun 2009. Menteri Pertahanan ini kelihatan telah meninggalkan kem Najib. Perlu diingatkan, skandal kapal selam gagal selam, kecurian enjin jet – pendedahan ini memperlihatkan bahawa “ada pihak yang melepaskan khabar” – tentang skandal yang berlaku ketika Najib merangkap jawatan Menteri Pertahanan. Baru-baru ini Zahid dikatakan calon yang bakal memainkan peranan “Muhyiddin Yassin” dalam usaha menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi – seandainya usaha baru diperlukan untuk menjatuhkan Najib Razak. Ini kerana Najib berdepan dengan cabaran untuk mengembalikan majoriti dua pertiga dalam PRU ke-13, malah kuasa kerajaan negeri Selangor yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Cabaran buat Najib Najib kini perlu berhati-hati untuk membuat percaturannya. Soal selidik yang diumumkan Merdeka Center pada 4 Disember 2010 menunjukkan bahawa sejumlah 59% rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi Najib membanteras rasuah. Lebih-lebih lagi, ketiga-tiga kaum menganggap kerajaan Najib perlu mendahulukan isu membanteras rasuah. Apa yang menarik, seandainya perbicaraan kes pembelian kapal selam ini menunjukkan bahawa Najib turut terlibat dalam amalan rasuah – maka beliau semestinya berdepan dengan tekanan rakyat dan UMNO agar beliau berundur. Nampaknya Najib tidak mempunyai ruang yang lebih selesa. Meskipun Najib dan Timbalannya, Muhyiddin Yassin memainkan peranan berasingan untuk menyasarkan undi dari komuniti berlainan – iaitu Najib dengan 1Malaysia-nya, dan Muhyiddin dengan “Kemelayuan”-nya, tapi jelas, Muhyiddin kelihatan lebih disenangi dalam UMNO. Dalam keadaan sedemikian, mungkinkah Najib mengambil langkah untuk mempercepatkan pilihan raya umum, menggunakan kuasa yang ada pada Presiden untuk melantik calon, lantas menyingkirkan orang yang tidak taat kepadanya? Dan seandainya beliau berbuat demikian, apakah keadaan seperti PRU ke-12 bakal berulang – iaitu sabotaj daripada peringkat akar umbi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Presiden UMNO? Saf pimpinan PAS yang baru lahir dari pemilihan mungkin menjadi faktor pertimbangan Najib. Seandainya PRU diadakan tahun ini, mungkin PAS belum sempat mengatur langkahnya untuk bersedia. Jikalau dilihat tarikh yang ada, bulan puasa bermula pada akhir Julai, dan masyarakat muslim bakal menyambut Hari Raya pada awal September. Tempoh ini bukanlah tempoh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya. Jikalau PRU diadakan pada awal Julai, maka Najib perlu mengambil kira kemungkinan rakyat melepaskan kemarahan melalui undi lantaran kenaikan tarif elektrik. Justeru itu, tempoh antara September hingga Oktober mungkin masa yang sesuai, kerana pantai Timur sering dilanda banjir mulai November. Menurut pemimpin di akar umbi UMNO, mereka telah bersiap sedia 24 jam untuk PRU sejak dua, tiga bulan yang lalu. Namun tarikh PRU ke-13 kekal menjadi teka-teki. Untuk Najib, bukan senang untuk mencari satu tarikh yang menjamin kemenangan BN. Kenaikan harga barang, ketegangan hubungan antara sekta dalam UMNO, saf pimpinan baru PAS yang menyuntik semangat kepada Pakatan Rakyat, cetusan isu perkauman dan agama yang mencungkil ketidakpuasan masyarakat… Sehingga bila “suasana baik” boleh dikekalkan dengan Program Transformasi yang direkacipta Najib? |
Apakah Umno-BN Faham Erti Negara Berkebajikan? Posted: 07 Jun 2011 11:30 PM PDT Dari TV Selangor KOMENTAR : Ini satu lagi ujian bagi rakyat Malaysia; sekurang-kurang untuk menyukat kefahaman dan kebijaksanaan mereka. Persoalan kali ini mudah – apakah erti kebajikan? Dan, setelah mengerti istilah kebajikan, apakah pula yang dimaksudkan dengan Negara Berkebajikan? Seperti biasa pemimpin Umno-BN akan menggunakan segala kudrat media dan instrumen penerangannya untuk memberi takrif kebajikan dari sudut pandang mereka. Umumnya, pemimpin Umno-BN mendakwa mereka telahpun melaksanakan tuntutan Negara Berkebajikan dalam urusan pentadbiran negara. Tanpa sebenarnya mengulas dan memperinci erti kebajikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, misalnya, terus mendabik dada mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Berkebajikan. Dalilnya, kata beliau, kerajaan telah memberi dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat di bidang pendidikan, prasarana, subsidi sara hidup dan sebagainya. Lantas, beliau dan timbalannya, Muhyiddin Yassin, memperlekehkan teras perjuangan PAS kini untuk menegakkan sebuah Negara Berkebajikan. Malah diperli-perli pula PAS yang kononnya tergamak meninggalkan perjuangan menegakkan sebuah Negara Islam. Seolah-olah meratapi anjakan keutamaan PAS ini, Umno mahu perjuangan mulia PAS menegakkan Negara Islam diteruskan. Namun rakyat yang peka tentu dapat membaca dalam usaha memikat pengundi Melayu-Islam, Umno melalui bekas presidennya, Dr Mahathir Mohamad, dengan selamba menabalkan Malaysia sebuah Negara Islam hanya kerana Perlembagaan menyebut Islam agama rasmi Persekutuan. Langkah itu semua diambil dengan tujuan mematikan langkah politik PAS terus memenangi hati dan minda orang Islam di negara ini untuk menyokong agenda menegakkan sebuah Negara Islam di Malaysia! Kini apabila PAS memperkenalkan konsep perjuangan Negara Berkebajikan, Umno (melalui Presiden dan Timbalan Presiden) beria-ia benar mengumumkan kerajaan Umno-BN memang sudah lama memperjuangkan konsep Negara Berkebajikan itu. Memang diakui demikian. Namun tindakan Umno-BN itu adalah satu usaha yang dilakukan sudah terlalu lama dahulu. Itupun ketika Umno-BN belum lagi dirasuk nafsu serakah untuk menghimpunkan dividen kebajikan kerajaan kepada sanak saudara dan suku sakat Umno dan sedikit sahaja untuk ahli komponen BN yang lain. Sejak berjaya melakarkan impian bahawa Malaysia akan menjadi sebuah Negara Maju menjelang tahun 2020, Umno mula memusatkan perhatian untuk menghimpunkan kekayaan dan kemewahan atas nama Dasar Ekonomi Baru. Kira-kira RM54 bilion dikumpulkan untuk menjana kekayaan bagi pihak kaum Bumiputera. Hari ini hanya RM2 bilion sahaja yang boleh dikaitkan dengan pemilikan Bumiputera baki RM52 bilion itu lesap atau tiris entah ke mana. Hanya Umno dan pemimpinnya tahu siapakah yang benar-benar mendapat manfaat daripada kerangka kebajikan yang diwar-warkan oleh Najib dan Muhyiddin ini. Adalah selamat dikatakan bahawa Umno-BN Cuma faham erti kebajikan dari sudut material semata-mata. Dari tindak tanduk dan sikap, boleh dirumuskan bahawa Umno tidak menghitung bahawa pengertian Negara Berkebajikan juga mempunyai dimensi rohaniah atau kejiwaannya. Seseorang yang bernaung di bawa sebuah Negara Berkebajikan mungkin tidak lengkap dibantu dengan kebajikan material sahaja. Kebajikan yang hakiki ialah ketenangan, kesejahteraan dan kemakmuran jiwa dan akal fikiran. Perspektif ini amat penting diterjemah dan dihayati dalam sesebuah negara yang berkebajikan. Soal bantuan ekonomi dan materi lain memang mutlak menjadi tanggungjawab kerajaan. Namun bantuan dan kebajikan hakiki mestilah dijelmakan dalam soal bebas menghayati rasa aman, sejahtera dan selamat daripada segala onar. Rakyat harus bebas dari ketakutan harta-benda dan nyawa mereka dicerobohi. Jika ia disakiti oleh hasad dengki insan lain, ia tahu bahawa ia akan dapat pembelaan dan, jika ia dibicarakan, ia yakin bahawa ia akan dihakimkan dengan adil. Bila disebut Negara Berkebajikan, ia bermakna rakyat mestilah dilindungi oleh hambatan ekonomi seperti inflasi, menghuni sistem perumahan yang munasabah dan mampu memelihara maruah individu dan keluarganya. Kemudahan hidupnya seperti peluang pendidikan, prasarana pengangkutan dan sebagainya mestilah diapit erat oleh ketenangan, keamanan dan keadilan yang dijamin oleh pemerintah. Bagaimana mungkin akan ada ketenangan jika dalam kehidupan seharian kos sara hidup semakin merentap nilai setiap sen yang diperolehi dari jerih rakyat oleh inflasi lantaran kebebalan pengurusan kerajaan memotong subsidi barangan perlu tetapi masih mempertahankan jaminan RM19 bilion subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) saban tahun? Kebajikan apa namanya jika setiap ibubapa sentiasa musykil, bimbang dan ngeri akan keselamatan anak dan keluarga dalam kes kejadian jenayah yang semakin parah? Kebajikan apa namanya, jika agensi keselamatan dilihat lebih mudah diarah oleh pemerintah untuk menggertak dan mengancam rakyat yang mahu bersuara tentang kepincangan sistem pilihanraya, mahkamah dan menuntut hak untuk bebas bersuara? Untuk mencapai status Negara Maju, Malaysia memerlukan warga yang tinggi pendidikannya dan lapang pemikirannya tanpa cengkaman peraturan dan undang-undang yang zalim. Rakyat memang dengan penuh komitmen sentiasa membimbing keluarga masing-masing ke arah itu. Maka zaman untuk terus menjadi tukang angguk kepada sebuah pemerintah seperti Umno-BN yang berpendirian "hanya kerajaan yang lebih tahu" sudah berlalu. Rakyat hari ini lebih mengerti maksud Negara Berkebajikan. Usah Najib, Muhyiddin atau mana-mana pemimpin Umno-BN beranggapan bahawa rakyat jahil dalam membezakan ciri-ciri sebuah Negara Berkebajikan dengan sebuah pemerintah yang hanya menghimpunkan kebajikan kepada juak-juak mereka sahaja. |
Pendedahan PPA: TNB Terus Mengelak… Posted: 07 Jun 2011 10:48 PM PDT Dari Malaysiakini Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengelakkan diri daripada menjelaskan kedudukannya dalam perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang dimeterai dengan pengeluar tenaga bebas (IPP). Dalam reaksinya kepada soalan wartawan, jabatan perhubungan korporat TNB hanya berkata pihaknya tidak dapat memberikan sebarang komen dan merujuk Malaysiakini kepada Unit Perancangan Ekonomi, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Semalam, Persatuan Pengeluar Tenaga Bebas dalam satu kenyataan menafikan mereka mendapat manfaat daripada subsidi gas dan berkata harga yang dibilkan ditentukan mengikut kadar yang ditetapkan oleh kerajaan. Ia meminta rakyat supaya "rasional dan objektif" dan membabitkan mereka melalui dialog. Sebelum ini dipercayai PPA di bawah bidang kuasa EPU, namun ia dinafikan oleh kerajaan yang menyatakan ia adalah perjanjian yang dimeterai oleh entiti swasta. Perjanjian berkenaan dikatakan terikat dengan klausa yang ia tidak boleh didedahkan dan telah lama dibidas kerana disifatkan berat sebelah dan memihak IPP. Semalam, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir berkata butirannya boleh dibekalkan kepada ahli parlimen jika isu itu ditimbulkan di Dewan Rakyat tetapi tidak boleh dimaklumkan kepada orang ramai. Sikap ingin tahu orang ramai mengenai kandungan PPA itu semakin memuncak apabila kerajaan memutuskan untuk mengurangkan subsidi ke atas pelbagai barangan dan perkhidmatan. Harga gas akan naik sebanyak RM3 bagi setiap mmBtu setiap enam bulan sehingga Disember 2015, dan kemudiannya ia akan diapungkan mengikut harga pasaran mulai 2016. |
Dedah PPA Kepada Rakyat, Bukan Hanya Ahli Parlimen- Saifuddin Posted: 07 Jun 2011 10:06 PM PDT Dari KeadilanDaily Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan sepatutnya mendedahkan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) kepada seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya terhad kepada ahli parlimen. Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir bahawa dokumen perjanjian antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) itu, hanya boleh didedah di Dewan Rakyat. "Saya menolak idea Datuk Mukhriz untuk memberi akses Perjanjian Pembelian Tenaga kepada hanya 222 ahli parlimen. Sesuatu perjanjian yang melibatkan rakyat terbanyak seharusnya didedah secara terbuka kerana mereka adalah kelompok yang paling terkesan terhadap butiran perjanjian yang telah dimeterai antara TNB dan IPP. "Jika butiran perjanjian tersebut hanya menguntungkan syarikat pengeluar tenaga (IPP) kerajaan harus bersedia untuk semakan semula. Sebaliknya jika perjanjian ini disembunyikan, sudah tentu rakyat yang menjadi mangsa. "Ia bukan memenuhi prinsip paling minima mengenai amalan keterbukaan oleh sesebuah kerajaan. Ringkasnya, saya menolak idea dan cadangan yang dibawa Datuk Mukhriz," katanya yang juga Setiausaha Agung KEADILAN. Saifuddin, menambah, sebelum ini PPA bukan sahaja tidak didedahkan kepada umum, malah kerajaan juga tidak pernah memberikan butiran perjanjian tersebut di parlimen meskipun diasak Pakatan Rakyat. "Setiap kali kita minta dedahkan, kerajaan hanya memberi maklumat-maklumat cebisan," katanya kepada keadilandaily.com. Menurut Saifuddin, dalam mekanisme Fuel cost pass through yang diperkenal, perjanjian tersebut sepatutnya meletakkan rakyat sebagai pihak terakhir yang memikul beban. "Namun sebaliknya, TNB berada pada kedudukan disadvantage apabila syarikat pengeluar tenaga yang mengaut keuntungan hasil daripada perjanjian. "Jualan gas oleh Petronas kepada IPP berupa subsidi gas juga hanya menguntungkan syarikat pengeluar tenaga. Ini juga meletakkan kedudukan Petronas dalam keadaan disadvantage," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Anwar Ibrahim To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan